Tolong Hentikan Pembelian Panik & Promosikan Lockdown, Ini Kesannya Pada Semua

Share

Apabila terlalu banyak viral permintaan agar isytiharkan lockdown di negara ini, pembelian panik berlaku secara tiba-tiba pada hari ini, 16 Mac 2020. Orang ramai mula memenuhi sesetengah pasaraya untuk membuat belian stok bahan mentah untuk bekalan sekurang-kurangnya 2 minggu.

Bagaimana pun, pembelian panik dan promosi lockdown ini memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat. Malah mengundang suasana huru-hara. Baca perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, kerana tindakan sedemikian sebenarnya lebih mengundang keburukan daripada kebaikan.

 

 

Jangan Buat Pembelian Panik, Jangan Promosikan Lockdown

Tolong hentikan promosi kononnya Malaysia akan lockdown. Ia hanya menimbulkan huru hara dan pembelian panik di kalangan masyarakat kita.

Ia sangat tidak bagus untuk situasi terkini bila ramai-ramai mula keluar untuk membeli dan menyimpan stok barangan dapur.

Lockdown bukan benda kecil untuk kita kempen sesuka hati.

Benarlah kita semua berharap wabak ini segera berlalu pergi, namun dengan berkempen dan menyebarkan berita palsu kononnya sedikit masa lagi Malaysia akan isytihar lockdown, ia mempengaruhi semua orang.

Majlis Keselamatan Negara memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan membuat kempen hingga masyarakat panik.

Belian Panik Merugikan Banyak Pihak

Pembelian panik akan merugikan banyak pihak. Pekedai mula menyimpan stok, orang berduit boleh borong banyak-banyak, dan orang yang benar-benar perlukan makanan asasi tak boleh beli apa-apa kerana stok semuanya habis.

Stok makanan yang asalnya CUKUP UNTUK SEMUA ORANG akan menjadi susut dengan cepat akibat pembelian panik dan pekedai/pemborong menyimpan barang.

Dan tidak mustahil boleh berlaku rusuhan bahkan rompakan ke kedai/gedung makanan akan berlaku.

Isu ketiadaan makanan bukan isu kecil. Stok makanan negara cukup untuk semua orang. Sepatutnya akan cukup jika tiada yang memborong berkodi-kodi konon untuk berjaga-jaga jika lockdown berlaku.
Tolong jangan hebahkan kempen lockdown ini. Ia memberi mudharat besar pada negara.

Dan tolong hentikan pembelian panik. Beli sekadar yang perlu seperti biasa sahaja, nescaya stok barangan di pasaran akan kekal seperti biasa.

Tunggu pengumuman rasmi dari kerajaan dan hanya sebarkan berita yang sahih sahaja.

Sehingga itu, kita masing-masing jaga diri dan keluarga. Amalkan langkah kebersihan dan pencegahan seperti yang disyorkan. Usah berkunjung ke tempat ramai orang dan berisiko tinggi

.

Dan jangan lupa berdoa agar wabak bahaya ini berlalu segera.
#MFS
 – Hentikan kempen membuat orang panik –

MW : Bertenanglah, amalkan langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19 dalam keluarga anda dan berdoalah semoga virus Covid-19 ini cepat hilang dari bumi Malaysia tercinta.

Baca sini : Pesakit positif Covid-19 ini dedah punca terkena jangkitan dan tanda dialaminya.

Sumber/Foto : Mohd Fadli Salleh

Published by
Netty Ah Hiyer