Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Ads
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Ads
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak susah sebenarnya nak menjemput rezeki ini. Tapi anda kenalah lakukan amalan-amalan yang membolehkan rezeki datang kepada anda. 11 tip yang dikongsikan oleh Puan Nor Mahsuri Mhd Nordinini insyaAllah membantu.
1. Letakkanlah sedikit makanan dan semangkuk air di luar rumah untuk kucing-kucing yang datang agar mereka tidak kelaparan.
2. Sisihkan sedikit dari hasil gaji @ upah jerih payahmu, untuk disumbangkan kepada anak yatim & orang miskin.
3. Sentiasa sediakan wang kecil di dalam dompet untuk diberikan kepada yang memerlukan.
4. Letakkanlah di bilikmu sebuah kotak. Setiap kali kamu merasa melakukan dosa, masukkan wang kecil ke dalamnya, genap 1 bulan, buka kotak itu & sedekahkan wang tersebut.
5. Jika kamu hadir dalam acara keramaian (keluarga & kerabat atau sahabat), belilah 1 @ 2 kotak air mineral, niatkan untuk sedekah kepada orang2 yang memerlukannya (orang tua, sakit, kanak-kanak dan lain-lain).
6. Jika kamu membeli barang dari peniaga2 kecil kemudian peniaga ingin mengembalikan wang baki, biarkan baki wang itu untuknya (sedekah atau hadiah).
7. Belilah mushaf (Al-Quran) letakkan di salah satu madjid. Bayangkan berapa pahala yang akan kamu dapat daripada setiap huruf bagi mereka yang membacanya.
8. Berikanlah perasaan gembira kepada setiap orang, khususnya kepada mereka yang sedang ditimpa kesedihan, dengan senyuman dan ucapan doamu yang tulus.
9. Lemparkanlah senyuman kepada orang yang kamu temui, berilah salam kepada orang yang duduk & bertuturlah dengan ucapan yang baik kerana semuanya adalah sedekah.
10. Jangan biarkan kamu tertidur, melainkan telah kamu ampuni setiap orang yang telah berbuat jahat kepadamu dari menghinamu, menyebarkan fitnah & menzalimimu.
11. Setkan pada handphone kamu, penggera peringatan pada masa-masa tertentu untuk anda baca surah Al-Fatihah @ Al-Ikhlas untuk disedekahkan kepada kedua ibubapa kita, samada masih hidup atau telah meninggal dunia.
Kirimkan mesej ini ke semua kenalan. Siapa tahu ada yang mahu mengamalkan. Moga kita pun akan diberi pahala kerananya.
Ketika kisah ini ditulis, bayi comel bernama Nur Zulfa bt Mohd Fadzli sedang dirawat Hospital Serdang, Selangor. Ini kali ketujuh Zulfa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Betapa hebat dugaan dugaan yang dihadapi oleh bayi comel yang dilahirkan pada 4 Julai 2018 ini.
Kelahiran Nur Zulfa bt Mohd Fadzli membawa kegembiraan buat kedua ibu bapanya. Wajah comel yang ditunggu-tunggu setelah sembilan bulan berada dalam kandungan ternyata menyerikan lagi keluarga yang semakin membesar.
Namun kegembiraan itu tidak mampu bertahan lama apabila ibunya Zuraini Razali mengesyaki sesuatu telah berlaku apabila anak bongsunya itu tidak mahu menyusu badan seperti bayi lain setelah dilahirkan.
“ Masa hamil doktor tidak mengesyaki sebarang kekurangan pada bayi. Semuanya baik belaka. Zulfa anak kelima saya. Sebelum ini ketika mengandungkan anak pertama hingga anak keempat saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
” Jadi apabila hamil anak kelima ini, saya anggap segala-galanya baik. Malah sewaktu Zulfa dilahirkan, doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tidak mengesyaki sebarang masalah. Cuma masa di bilik bersalin, Zulfa tidak mahu menyusu badan.
” Ketika itu saya rasa pelik kenapa baby tidak mahu menyusu. Sebelum ini keempat-empat anak saya ok sahaja. Mereka pandai sahaja menyusu ketika berada di bilik bersalin. Saya fikir mungkin Zulfa tidak pandai. Bagi masa pada dia,” ujar Zuraini membuka perbualan.
Zuraini tabah demi Zulfa
Rujuk Pakar
Selepas dua hari dilahirkan, Zulfa tidak lagi mahu menyusu. Dia menangis sebab lapar. Sebagai ibu, naluri Zuraini mula terdetik ada sesuatu yang tidak kena.
“ Saya mula periksa apa yang tidak kena pada Zulfa. Selepas itu saya mula perasan ada sesuatu yang pelik pada lelangit mulut Zulfa. Saya beritahu doktor keadaan tersebut. Doktor periksa dan beritahu tidak ada apa-apa.
” Kemudian tunjuk lelangit mulut Zulfa pada emak mentua yang juga seorang jururawat. Dia beritahu mungkin Zulfa ada sumbing lelangit. Saya anggap sebab itu Zulfa tidak menyusu sebab langit jadi luas.”
” Hanya setelah Zulfa mengalami masalah kuning dan penat sebab tidak menyusu, barulah Zulfa dirujuk kepada doktor pakar. Doktor pakar mengesahkan Zulfa ada masalah cleft palate atau lelangit rekah. Tetapi doktor tidak dapat memastikan adakah sebab cleft palate ini bayi tidak mahu menyusu.”
” Bermula dari situ rawatan selanjutnya diberikan kepada Zulfa. Dia dipakaikan tiub untuk memudahkan susu dimasukkan melalui hidung. Sambil bagi susu melalui tiub, doktor juga memberikan botol khas untuk memberi susu.
” Botol itu akan ditekan-tekan bagi mengeluarkan susu untuk diberikan kepada Zulfa kerana bayi tidak akan menghisap jika diberi begitu sahaja.”
Selepas seminggu di hospital di Kuantan, doktor tidak mengesyaki Zulfa menghidap penyakit lain selain masalah cleft palate. Cuma Zuraini sedar setiap kali anaknya diberi susu, Zulfa akan berasa penat dan berhenti dan biar susu itu keluar dari mulut. Hanya separuh sahaja susu yang yang mampu diminum anaknya.
Lelangit Rekah, Jantung Berlubang
Hospital jadi rumah kedua
Setelah dibenarkan balik ke rumah setelah 10 hari di hospital, Zulfa diberi minum susu menggunakan botol khas. Tidak ada lagi tiub digunakan.
“ Pada usia Zulfa 30 hari, jururawat yang ulang-alik melakukan pemeriksaan di rumah rasa pelik kenapa berat badannya semakin menurun setiap minggu. Dia suruh saya bawa jumpa doktor. Doktor terus tahan Zulfa di hospital Muadzam Shah selama seminggu.
” Doktor memantau penyusuan Zulfa melalui mulut dan melalui tiub. Saya perhatikan Zulfa akan berhenti sebelum separuh susunya habis. Dia jadi penat. Hari terakhir di hospital, kebetulan ada seorang pakar kanak-kanak datang melawat.
” Dia periksa dan memberitahu ada masalah pada Zulfa. Dia telah merujuk Zulfa pada HTAA agar boleh pemeriksaan kardiologi dan pemeriksaan selanjutnya dilakukan. Dia mengesyaki Zulfa mengalami masalah jantung berlubang.
” Masa itu saya rasa dunia ini gelap. Tidak terjangka saya. Sudahlah saya baru hendak terima kenyataan Zulfa ada cleft palate, kini ada lagi berita yang mengejutkan saya.”
Keesokan harinya Zuraini telah membawa anaknya ke HTAA. Dia ingatkan pemeriksaan biasa sahaja. Rupa-rupanya sangkaan doktor pakar itu benar belaka. Zulfa didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang.
“ Pada masa itu jantung Zulfa sudah bengkak dan banyak jangkitan sebabnya kami telah memaksanya minum susu sebelum ini. Zulfa dan penat tapi kami paksa juga dia minum ikut mulut dan ikut tiub. Berlaku jangkitan juga akibat itu. Selama sebulan Zulfa ditahan di HTTA bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
” Zulfa dilahirkan normal. Budaknya gemuk. Memang saya tidak mengesyaki sebarang masalah. Apabila ada satu persatu masalah saya mula rasa risau,” jelas Zuraini dengan sayu.
Kekuatan Luar Biasa
Bayi comel ini mula mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor apabila Zuraini mula berpindah ke tempat kerja baru di Uniten Putrajaya. Sewaktu cerita ini ditulis, Zuraini hanya boleh melawat anaknya di hospital kerana Zulfa ditahan dalam wad PCICU.
“ Sebelum ini, Zulfa pernah dirujuk di Institut Jantung Negara (IJN) setelah pemeriksaan yang dibuat di HTAA mendapat banyak lagi masalah kesihatan pada Zulfa. Masa di HTAA doktor hanya mengesyaki 4 masalah kesihatan pada Zulfa iaitu masalah jantung berlubang, salur tekak sempit, lelangit rekah dan sindrom tulang rahang kecil.
” Di IJN doktor mahu fokus masalah jantung. Tetapi doktor dapat mengesan tiga masalah jantung lagi. Zulfa ada mengalami masalah Large perimembranous ventrile septal defect (VSD); patent foramen ovale (PFO/ASD); partial anomalous pulmonary venous drainage in heart failure (PAPVD).”
Jelas Zuraini lagi, pembedahan jantung dijangka boleh dilakukan setelah berat bayinya mencapai 10 kg lebih.
“ Sekarang ini berat Zulfa hanya 3.9 kg. Bila la agaknya hendak mencapai 10 kg itu. Ditambah lagi defect kedua berkaitan salur pernafasan yang dipanggil Mild Laryngomalacia. Juga bakal dilakukan pembedahan kedua, setelah pembedahan jantung untuk membuang bahagian yang menutup salur pernafasan.
” Defect ketiga, cleft palate. Perlu juga pembedahan untuk menutup ruang lelangit mulut yang terbuka. Defect ini yang saling berkait, membuatkan baby susah untuk menyusu dan selalu tidak selesa bernafas. Bayangkan anak sekecil ini melalui semua kesakitan sedemikian,” ujarnya sayu.
Positif
Kekuatan yang Allah beri pada bayinya membuatkan Zuraini banyak berfikir.
“ Allah itu sebenarnya memberi kita kekuatan sangat luar biasa. Cuma kita sedar atau tidak. Selalu cakap “ aku tidak mampu” , “ aku tidak kuat” tapi sebenarnya kita melebihi dari apa yang kita fikirkan.
” Jika anak kecil ini tetap ceria, tabah, bertahan dengan bermacam ketidakselesaan, kesakitan, bagaimana dengan kita? Mana datangnya kelemahan yang kita canangkan. Allah menguji mengikut kemampuan hambanya. Jika anak sekecil ini mampu lalui ujian sebesar ini, kita yang dewasa ini bagaimana agaknya.”
Sesungguhnya Zuraini rasa malu pada anaknya. Zuraini sering mengeluh dengan hidupnya ini. Tetapi melihatkan kuatnya Zulfa melalui hari-hari yang mendatang, ia membuatkan hati Zuraini semakin kuat.
“ Kehadiran Zulfa mengajar tentang banyak perkara yang positif. Alhamdulillah. Allah mendidik dengan caraNya yang sukar kita fahami dengan mata zahir.”
Foto: Zuraini Razali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri yang hebat, di luar jadi wanita berkerjaya, di rumah juga cekap jalankan tanggungjawab suri. Dua-dua mempunyai tugas yang berbeza. Biarpun penat nak urus dua-dua amanah ini, wanita tak boleh sesuka hati ikut emosi negatif.
Mungkin kita beralasan, itu cara nak lepaskan tension. Tanpa sedar rupanya sikap kita itu suami tak berapa suka. Cuba perhati tanda-tanda di bawah ini dan perbaiki diri.
Rumah Berselerak
Seharian di tempat kerja, sudah tentu balik ke rumah untuk berehat. Kalau rumah berselerak, boleh jadi ‘jiwa kacau’. Tapi, janganlah biarkan rumah tidak berkemas dan bersepah sehingga berminggu-minggu tidak dikemas. Bukan saja kita yang pening, suami pun turut pening. Pinggan mangkuk dalam singki belum di cuci, lantai bilik mandi yang sudah berlumut, belum lagi bilik tidur yang tidak dikemas.
Anak Tidak Terurus
Memang bila ada anak kecil, kemas berjam-jam tetapi kalau nak buat bersepah cuma lima minit dah berselerak semula. Walaupun anak aktif dan saling ‘berperang’ sesama mereka tetapi janganlah biarkan anak-anak nampak comot dengan pakaian yang lusuh, dah tak ada coraknya dan lebih teruk pakaian senteng yang boleh dipakai oleh adiknya. Ada juga mak-mak yang biarkan anak comot dengan hidung berair tidak dibersihkan.
HP Kat Tangan Sambil Tengok TV
Tak salah untuk mak-mak rehatkan badan tapi kena tengoklah keadaannya. 24 jam depan televisyen dan tangan main hp sedangkan rumah berselerak, baju kotor bertimbun dan anak-anak dibiarkan bermain tanpa tentu arah.
Suami Tak Terjaga
Bila berkahwin, tentu yang cepat orang sekeliling perhatikan adalah penampilan suami. Kalau isteri cerewet tentang gaya suami, beruntunglah. Sebab sudah tentu suami mahukan isteri yang boleh jaga penampilannya. Tapi janganlah cerewet sampai semua ditetapkan oleh isteri.
Bila Suami Mula Berkata-kata
Bab ini memang suami dah tak boleh tahan dengan cara kita. Tahap kesabaran sudah hilang. Jangan sampai suami berbunyi tentang rumah berselerak, ‘awak ni malaslah’ dan sebagainya.
Ini bukan peringatan untuk isteri yang bekerja tetapi isteri yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa pun belum tentu seorang yang rajin. Jadi, berfikirlah secara telus kerana rumah tangga adalah tanggungjawab bersama. Jadilah isteri yang rajin!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri Fikry Ibrahim tuntut cerai selepas 4 bulan kahwin, baru dua hari diihat berkongsi gambar bercuti atas kapal.Tiada angin tiada ribut, dikira masih...