Setiap hari isteri memasak untuk seisi keluarga tidak kiralah yang bekerja atau bergelar suri rumah sepenuh masa. Bila setiap hari memasak, ada hari isteri jadi jemu memasak sebab peat berfikir setiap hari apa yang perlu dimasak. Sebenarnya skil masak mak-mak ini, chef pu tak boleh lawan.
Terapi kalau tiba perasaan tak tentu arah nak masak apa, memang jem kepala mak-mak. Waktu ini, suami kena peka perasaan dan perubahan isteri, bawalah isteri dan makan di luar. Bagi ruang buat isteri bertenang seketika.
Ikuti perkongsian, Farizal Radzali dan fahami situasi yang dialami golongan mak-mak bila mereka buntu di dapur.
Kepada suami tersayang…
Kalau isteri mu sudah masak nasi goreng tiga hari berturut-turut, atau asyik-asyik menu yang sama, atau menu macam nak tak nak saja, atau masak merah jadi warna kuning, atau masak kari rasa taucu, atau masak sardin tin sudah entah berapa tin dalam seminggu sambil buat muka sardin.
Pulak itu, kalau nampak isteri mu termenung panjang di tepi peti ais, keluarkan ikan masukkan balik, keluarkan ayam masukkan balik. Ada masa dia dok tenung ikan dekat sinki macam hendak tembus ikan itu dia punya tenung, main mata dengan ikan itu, mata bertentang mata tapi dia tak usik ikan itu untuk satu tempoh yang lama.
Paling best, jika kau nampak isteri mu keluarkan ayam tapi bila sudah siap, rupanya dia masak ikan.
Hari-hari Memasak Jadi Jemu, Penat Fikir
Itu maknanya dia sudah tak tau hendak masak apa. Silalah bawa dia makan dekat luar. Atau tapau balik untuk dia. Pening sudah dia tu.
Isteri punya skil memasak ni, chef pun surrender tau. Kalau dia tengah rajin, on mood kata orang, dia boleh cipta menu baru, modified menu orang, hispterkan menu klasik, pelbagaikan masakan walau hanya dengan ikan masin sekalipun dan macam-macamlah dia boleh buat.
Tak pernah buat kek, tiba-tiba buat kek. Tak pernah buat biskut, tiba-tiba buat biskut. Biskut 3 bahan katanya.
Tapi kalau dia sudah tak ada mood, atau dah tak tahu nak masak apa, atau sudah boring masak, tengoklah, entah apa-apa saja dia masak. Masak nasi pun jadi tak jadi saja nanti. Silap gaya terus jadi bubur. Kalau boleh, janganlah sampai nasi menjadi bubur. Takut nanti hari-hari kena makan bubur pula sudah.
Bukan Malas, Dia Jemu Memasak Bila Penat Berfikir
Ketahuilah, dia bukan malas masak. Dia bukan cari alasan tak nak masak. Dia bukan nak mengeluh. Tapi ada masa dia jemu memasak, dia sudah penat berfikir. Kita kadang itu pergi kedai makan pun tak tahu nak makan apa.
Inikan pula dia yang hari-hari hendak masak, ahli keluarga pula ramai, yang itu tak makan ini, yang ini tak makan itu. Cabarannya mengalahkan lompat papan anjal tahu tak.
Re-post
Farizal Radzali
MW: Bila isteri tak tahu nak masak apa, jangan cop isteri pemalas pula ya. Sebab bukan selalu isteri begitu, kadang-kadang saja bila dia penat berfikir sangat. Jadi sebagai suami, masa-masa kecemasan begini sebaiknya beli sahaja makanan atau lebih manis bawa isteri makan di luar.
Adik beradik, kalau marah, geram dan gadh dan sakit hati macam mana sekalipun, ia tetap darah daging kita. Ayah yang sama dan berkongsi rahim mak kita. Janganlah bila dah berkeluarga dan mempunyai anak, adik beradik terus dilupakan. Hidup dengan keluarga sendiri.
Kena ingat, masa kecil-kecil dulu siapa yang berada di sisi kita. Bermain, bergurau dan bergaduh. Lepas tu, bila masa makan tetap berkumpul bersama dan tidur di dalam rumah yang sama.
Memang kalau ikutkan hati geram dengan perangai adik beradik masing-masing. Malas nak bertegur sapa dan biarkan dengan caranya. Tapi sampai bila, esok-esok kita akan perlukan bantuan, dengan adik beradik jugalah kita minta tolong.
Begitu juga dengan perkongsian dari Farizal Radzali tentang adik beradik ini.
Orang kata adik beradik jangan duduk dekat-dekat, nanti banyak bunyi.
Keadaan ini boleh berlaku apabila maka ayah sudah tidak ada dan sering dengar cerita pergaduhan adik beradik.
Dulu, masa mak ayah ada, semuanya baik. Tahu tak kenapa? Sebab masa mak ayah ada, mereka selalu doakan anak-anaknya lepas solat. Bila perginya mak ayah, tertutup sudah pintu doa mak ayah. Jadi, kita sbg anak-anaklah kena teruskan doa mak ayah.
Sebenarnya, boleh saja duduk dekat-dekat tapi jangan tinggal bersama. Bunyi tetap ada walau tinggal di mana, menipulah kalau kata tak pernah tersinggung mahu pun berkecil hati, mesti ada. Cuma masa marah itu, marahlah. Bila sudah sejuk tu elok balik. Buang ego masing-masing.
Walau keluar dari rahim yang sama, mak ayah yang sama, membesar dalam keluarga yang sama, makan dari hasil yang sama, tapi perangai masing-masing tetap tak sama.
Ada yang lembut, berlagak, ada yang loyar buruk, kuat sentap, ada yang kuat ngusik, disiplin, ada yang cincai, macam-macamah namun lagi banyak perangai lagi meriah sebenarnya. Kalau semua samasahaja, jadilah beruang panda dalam sangkar, semua sama.
Bila masing-masing sudah berkeluarga, jangan dilupa adik beradik. Kalau dulu satu keluarga kena dijaga, lepas berkahwin, dua keluarga perlu dijaga. Semua org macam tu, jangan rasa hanya kita yang susah. Semua orang lalui perkara yang sama.
Jangan gah mengatakan tanpa adik beradik pun kita boleh berjaya. Kita jadi gah bila kita ramai kawan dan sahabat hingga adik beradik nampak buruk dan jahat. Kawan datang & pergi.
Tapi, adik beradik, walau sejauh mana dia pergi, dia tetap saudara yang berkongsi rahim yang sama sebelum kita lahir ke dunia & berjumpa dengan insan lain di luar sana.
Bila gaduh, tersinggung atau berkecil hati, ingat balik masa kita kecil. Masa keluarga kita tak sesenang sekarang. Masa kita kena marah dengan mak dan masa kita gaduh berebutkan mainan.
Masing-masing bersubahat buat salah, berebut makanan yang sikit. Semua itu kenangan kita. Mee segera sebungkus pun kita boleh merasa 5-6 beradik. Indah kenangan tu.
Buruk manapun adik beradik, jahat manapun adik beradik, ketahuilah, di masa pengkebumian kita, nama adik beradiklah yang orang sebut. Bukan kawan-kawan yang duduk gelak sakan dengan kita.
Paling penting, kena terima keburukan masing-masing sebagaimana kita harap orang lain terima keburukan kita. Melainkan kita rasa kita tak ada keburukan. Hormat menghormati, sayang menyayangi, tolong menolong dan jangan gaduh. Masa rasa nak gaduh, pergilah balik rumah masing-masing. Esok lusa kita jumpa makan sama ok.
MW: Air dicincang tak akan putus. Begitulah yang boleh dikatakan dengan adik beradik, darah daging sama. Mengadu masalah dan susah senang bersama.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Banyak punca terjadinya kecurangan dalam rumah tangga; sama ada si suami yang curang atau isteri yang berpaling cinta pada lelaki lain. Aduh, takkan mereka ini tak benar-benar serius ketika ambil keputusan nak berkahwin dulu?
Memang payah nak faham. Ia macam cerita dalam drama TV, tetapi realitinya memang terjadi. Macam mana curang boleh berlaku lepas kahwin? Apakah mereka kahwin untuk curang?
Apa yang difikirkan sewaktu mula-mula menyatakan kesediaan untuk dikahwini dan apa perasaan pada hari akad nikah?
Kalau memang sudah tetap pendirian untuk tidak dapat menyintai mengapa merelakan diri dikahwini? Setelah berkahwin, bukankah tumpuan kasih sayang mesti disalurkan hanya kepada yang berhak itu? Bolehkah hidup berpura-pura terus?
Jika anda rajin mengikuti perkembangan semasa di laman-laman sosial anda akan bertemu dengan banyak video pasangan-pasangan yang kantoi. Sesetengahnya ditangkap tatkala berada dalam bilik hotel, sesetengahnya di hadapan pasar raya di tengah ramai.
Kalau sudah berkahwin mengapa mesti ada kekasih gelap juga? Setelah tertangkap mengapa sanggup melindungi pula? Bukankah itu sangat berisiko, sebab kejadian berlaku di khayalak ramai.
Ini mungkin salah satu daripada begitu banyak kes serupa – berkahwin semata-mata untuk berlaku curang.
Saya merumuskan tiga sebab mengapa hal ini boleh terjadi:
Tiada hati ketika berkahwin. Maksudnya, hati adalah milik orang lain, namun teruskan juga perkahwinan atas sebab-sebab tertentu misalnya kehendak orang tua atau sebab-sebab yang lebih intim misalnya sudah terlanjur atau lain-lain.
Pada mulanya memang ada rasa suka dan sayang tetapi lama-lama timbul pula rasa yang berlainan. Kegagalan pasangan memupuk perasaan kasih sayang menyebabkan keadaan ini bertambah teruk.
Asalnya sangat menyintai namun apabila mendapati pasangan tidaklah sebaik atau sehebat yang disangkakan, timbullah perasaan yang pelbagai. Akhirnya timbul rasa menyampah, diikuti benci, seterusnya timbul rasa pada orang lain. Babak berikutnya ialah perhubungan sulit.
Oleh itu, adalah sangat penting setiap yang hendak mendirikan rumaht angga benar-benar memiliki hati yang jujur, ikhlas lagi amanah. Tidak boleh berpegang pada rasa yang tidak pasti, nanti keliru.
Syaitan amat mudah memesongkan orang yang keliru untuk lebih jauh terbabas. Sedangkan orang yang stabil pun kecundang lagilah yang sememangnya huru-hara sedari awal.
Carilah penawar dahulu, perbaiki mana-mana yang lompang, usah teruskan perkahwinan sedangkan sudah tahu gelombang besar bakal terjadi. Untuk apa berkahwin semata-mata untuk curang? Kena ingat, apabila tiba masanya anak akan lahir, mampukah dia dibesarkan dalam suasana sebegitu?
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya, “Tiadalah yang lebih memberi manfaat kepada seseorang yang beriman selepas dia bertakwa kepada ALLAH, yang lebih baik daripada memiliki seorang isteri yang solehah. Jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang menyukakan hati dan jika dia tiada bersama dia akan memelihara nama baiknya sama ada pada dirinya atau harta suaminya.” – ,(An-Nasa’i, Ahmad & Abu Daud)
Dasari perkenalan anda, percintaan anda dan perkahwinan anda kerana ALLAH, moga-moga itulah menjadi sebab utama kepada anda untuk terus setia dan jujur pada pasangan sedia ada.
Disahkan menghidap kanser tulang tahap 4 pada usia muda, Nuie terus berjuang menjalani rawatan dan proses pemulihan. Kesetiaan suaminya yang setia menjaga sepanjang saat sukar menyentuh hati ramai.