Nak BERJAYA, Yakinkan Diri Dan Hilangkan Segala Keraguan. Tak kira dalam apa juga bidang yang diceburi. Sama ada kerjaya mahu pun kehidupan peribadi.
Asas ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan hidup adalah keyakinan. Islam datang membina keyakinan dalam diri sebagai tunjang kehidupan manusia. Kejayaan dakwah Islam digerakkan oleh individu-individu yang memiliki keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah diganggu-gugat.
Kejayaan dan kebahagiaan hidup akan tercapai melalui keyakinan diri yang diperkukuhkan tanpa jemu. Keyakinan diri ini perlu diusahakan agar individu terselamat daripada cengkaman keraguan (doubt) yang sering membantutkan usaha-usaha ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan diri.
Kemuncak bahaya keraguan diri ini tentulah keraguan diri terhadap kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya. Keyakinan kepada Tuhan mula tergugat terutama ketika diri dilanda tekanan hidup yang tiada entah bila akan berakhir. Diri mula mempersoalkan keadilan dan kasih-sayang Allah ke atas diri.
Tanpa mengira usia, bangsa dan agama, keraguan (doubt) boleh melanda sesiapa sahaja. Ia berlaku secara sedar atau secara tidak disedari. Jika tiada ikhtiar untuk menyingkirkannya, impak negatif keraguan diri ini boleh dirasai hingga ke hujung hayat seseorang.
Keraguan yang menghantui seseorang boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, apabila seseorang sering dibelenggu persekitaran hidup negatif. Persekitaran negatif itu selalu berulang dalam hidupnya atau ia sendiri selalu memikirkan, merasakan dan membayangkannya (V.A.K.) dalam kehidupan harian.
Sebagai contoh, seseorang mengalami trauma negatif pada suatu ketika dahulu.Trauma negatif itu masih menghantui diri hingga kini. Dia sendiri selalu mengingatinya atau menceritakannya hingga trauma itu semakin kuat mencengkam fikiran, emosi dan spiritualnya.
Lagi artikel menarik di sini:
Mak ‘Over Protective’ Buat Anak Kurang Berdikari Dan Tak Berkeyakinan
Suami Niat Beri Nafkah Isteri RM10,000 Sebulan, Yakin Rezekinya Makin Berkat
Jangan lupa FOLLOW MINGGUAN WANITA di instagram
Dalam contoh lain, ada anak-anak yang dilabel dengan label-label negatif oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-gurunya. Label-label negatif seperti “nakal”, “tak boleh diharap”, “tak ada harapan untuk berjaya”, “degil” dan seumpamanya hanya menambah penderitaan diri anak-anak.
Sayugia disarankan kepada ibu bapa khususnya, cuba elakkan label-label negatif atau ayat-ayat menghukum ini kepada anak-anak. Jika saban hari mereka dilabelkan sedemikian rupa, maka semakin parah impak negatifnya kepada mereka.
Kita bimbang, impak negatif yang akan terbina daripada label-label negatif itu terutama bila mereka besar nanti. Mungkin ibu-bapa telah ‘merancang’ kegagalan dan kekecewaan anak-anak sendiri di masa hadapan!
Keraguan juga terbentuk apabila seseorang mudah dipengaruhi persekitaran hidup negatif. Seseorang tidak menjadi dirinya sebenar tetapi terlalu mudah terikut-ikut dengan pengaruh luaran.
Sebagai insan ciptaan Allah yang hebat ini, setiap insan ada harga diri yang perlu dipertahankan. Sepatutnya individu menguasai diri ke arah perkara-perkara positif dan bermanfaat. Individu bina diri dengan acuan akhlak dan nilai budi luhur, memiliki jati diri muslim mukmin yang unggul. Individu mempengaruhi suasana, bukan suasana yang menguasai diri individu.
Bila seseorang hilang daya pengawalan diri, maka ia akan hanyut dengan arus negatif yang melanda. Bila ia dilanda masalah maka ia tenggelam dalam masalah tersebut. Bila tenggelam dalam masalah,itu bermakna masalah menguasai diri. Bila diri dikuasai masalah, maka sukar baginya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Fitrah diri setiap insan adalah positif. Diri insan dipenuhi dengan sifat-sifat terpuji (Asma’ ul husna) yang menjadi inti pati ruh yang ditiupkan ke dalam diri semenjak ia dilahirkan. Energi positifnya tanpa had, melepasi dan melampaui.
Dengan fitrah ini, semua benda mudah, tapa had, tiada halangan, tiada sekatan, semua dalam jangkauan dan dapat dirasakan. Fikirannya bebas, perasaannya bebas, bebas dari ikatan masa dan ruang.
Hilang fitrah diri bermaksud seseorang telah hilang kesemua atau sebahagian besar ciri-ciri fitrah yang dinyatakan itu hingga akhirnya meletakkan dirinya dalam keraguan dan kebimbangan yang tiada hentinya. Roh diri menjadi sempit, terkongkong dan tidak bebas. Pelbagai halangan muncul dalam diri yang nak mengajak kepada kegagalan, kekecewaan dan kesedihan.
Kemuncak kepada kehilangan fitrah ini sudah tentu hilang kepercayaan diri kepada Allah sebagai Ilah yang wajib disembah dan tempat bermohon. Pada peringkat ini dikhuatiri syahadah seseorang boleh terbatal, secara disedari atau tanpa disedari.
Sebagai rumusan, keraguan diri yang sering mencengkam minda dan perasaan harus dikenal pasti dan kemudiannya dikikis daripada diri. Kejayaan dan kebahagian hidup yang kita impikan selama ini mungkin tersekat dek gangguan ini.
Mohon pertolongan Allah agar belenggu keraguan ini dapat dibersihkan daripada diri dan kita memperoleh fitrah asal kejadian yang menjanjikan kebahagiaan dan kejayaan hidup, duniawi dan ukhrawi.
Sumber: Dr Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi