Mak ayah yang telah lama bergelar ibu tunggal atau bapa tunggal bebas untuk memilih jodoh masing-masing bila tiba saat yang mereka rasa sesuai.
Mungkin ada yang telah terbuka hati mereka untuk kembali bergelar suami atau isteri setelah hati mereka terubat daripada duka perpisahan. Tak kira perpisahan itu akibat perceraian atau pasangan meninggal dunia. Ditambah pula bila berasakan tugas mendidik anak-anak sudah ditunaikan.
Ramai ibu atau bapa tunggal yang sanggup mengenepikan perasaan sendiri kerana ingin fokus membesarkan anak-anak. Bila masanya, apabila dirasakan anak-anak sudah mampu berdikari, mereka bukakan pintu hati mereka untuk menerima pasangan baru dalam hidup mereka.
Tak dinafikan, anak-anak tak sepatutnya masuk campur dalam urusan mak ayah bila mereka berhasrat untuk berkahwin lagi. Apatah lagi jika anak-anak sudah besar dan punya keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi mak dan ayah itu dah lama single. Tak salah kan kalau mereka nak kahwin lagi kan?
Marah Atau Hukum Anak, Sesuaikan Dengan Peringkat Usia Mereka
Anak-Anak Amanah Akan DIAUDIT Akhirat, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Jangan salah faham. Ada anak yang marah bila ibu atau bapa mereka luahkan hasrat nak kahwin. Kata mereka, dah tua pun tak sedar diri. Uih, jangan begitu. Kasihan mak ayah tu. Sebenarnya semakin usia meningkat, mereka berkahwin bukan sebab nafsu. Tapi lebih kepada ingin peneman untuk menjalani hari-hari tua bersama. Sekurangnya ada kawan nak ke surau, nak ajak ke klinik.
Mungkin anak berasakan mereka ada, kenapa perlu orang lain? Kena faham, peranan anak tak sama dengan pasangan hidup. Lebih-lebih lagi kalau anak dah ada kehidupan sendiri. Beza tau.
Ya, memang betul anak tak ada hak nak larang. Tapi seeloknya, ibu atau bapa itu berbincanglah dengan anak-anak elok-elok. Kenalkan calon pilihan masing-masing. Kena ingat ye, bila berkahwin, anak-anak juga akan terlibat secara langsung. Sebab itu, penting untuk cari jodoh yang anak-anak boleh terima kerana mereka juga akan berdepan dengan mak atau ayah baru mereka kelak.
Lebih-lebih lagi kalau anak-anak masih tinggal sebumbung bersama mak atau ayah, atau masih di bawah tanggungan. Menerima calon ayah atau mak tiri bukan perkara mudah walau pun zaman sekarang ramai mak atau ayah tiri yang sangat baik, mengalahkan ayah dan mak kandung layanannya pada anak tiri!
Apatah lagi kalau calon pasangan itu ada anak-anak juga. Kena fikir lebih luas. Seeloknya, hubungkan dahulu silaturahim antara anak-anak dengan anak-anak calon pasangan. Bila mereka selesa dan dapat terima antara satu sama lain, insya-Allah harmoni kedua keluarga besar kelak. Silap hari bulan, anak-anak sendiri yang uruskan perkahwinan mak ayah dengan penuh meriah. Tak nak ke?
Mak ayah kena positif kalau anak-anak halang dan tak terima calon pilihan mereka. Mesti ada sebabnya. Kadangkala orang sedang dilamun cinta memang tak nampak apa kurang pun pada calon pasangannya. Semua indah belaka. Maklumlah, tengah angau!
Di pihak anak-anak, mereka melihat dari sudut lain. Mereka fikirkan risiko dan sebarang kemungkinan. Apakah benar calon itu sayang atau ada maksud tersirat pada mak ayah? Misalnya sebab harta. Itu bahaya!
Apa pun juga, bawa bincang dengan anak-anak kerana ini perkara serius dan boleh merubah kehidupan. Tentu mak ayah tak nak hubungan dengan anak-anak pula renggang lepas kahwin. Bagaimana isteri atau suami kelak tak suka pada anak-anak? Naya pula nanti!
Di pihak anak-anak pula, kena berlapang dada dalam soal ini. Kena fikirkan kepentingan si ibu atau bapa itu. Andai benar calon pasangan itu benar-benar jujur menerima dan boleh jaga mereka dengan elok, apa salahnya terima dengan hati terbuka. Anak boleh nasihatkan mak ayah, tapi jangan sampai halang mereka untuk cari kebahagiaan di hujung usia pula. Tak gitu?