Anak-anak adalah permata hati mak ayah. Kehadiran insan-insan kecil itu pasti menggembirakan hati pasangan suami isteri. Anak pengikat kasih antara mak dan ayah. Namun mak aya kena ingat, anak-anak adalah amanah Allah SWT, disertai dengan tanggungjawab.
Dunia hari ini memberi memberi tamparan hebat kepada institusi pendidikan dan kekeluargaan. Dalam tidak sedar generasi yang kita lahirkan semakin tenat. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap soal pendidikan anak-anak terutamanya soal agama dan akhlak sudah tiba masanya untuk kita merenung sejenak adakah kita sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik?Jika tidak, ini masanya untuk melakukan anjakan paradigma.
Anak-Anak Hadir Dengan Tanggungjawab
Rakan penjaga yang dihormati, tanggungjawab dan amanah ini hakikatnya amat berat dan harus dipandang serius dalam kehidupan. Ini kerana, amanah ini akan diaudit di akhirat kelak. Ini kerana, kehidupan yang kita lalui tidak berhenti di sini sahaja malah kita akan lalui yang kekal abadi di sana nanti. Oleh yang demikian, sebagai muslim, tasawur kehidupan kita harus benar-benar jelas agar kita tidak tersasar dalam meletakkan prioriti.
Dalam soal mendidik anak yang paling penting adalah memastikan wujud rasa percaya dalam perhubungan kekeluargaan yang sedang kita bina. Unsur ini amat penting bagi memastikan kelestarian perhubungan yang positif sesama ahli keluarga. Usah silap dalam meletakkan percaturan.
Kita mungkin percaya bahawa apabila sudah menjadi keluarga jadi rasa percaya akan wujud secara semula jadi. Perkara ini mungkin betul dari satu segi namun masih banyak harus dilihat kembali. Rasa percaya tidak hadir dengan sendiri tanpa dibenihkan dengan kasih sayang yang dapat dirasakan.
Bukti kepercayaan menebal dalam perhubungan adalah rasa kebersamaan yang kuat sesama ahli keluarga. Sewaktu anak-anak kita masih kecil, mereka amat bergantung kepada kita selaku orang dewasa kerana pada waktu itu mereka masih belum boleh berdikari.
IKLAN
Namun setelah semakin dewasa mereka semakin boleh berdikari secara fizikal dan pada waktu ini ikatan kasih sayang dan kepercayaan yang mengikat mereka untuk kembali dan sentiasa wujud bersama ibu bapa dan keluarga.
Kukuhkan Kepercayaan Dengan Kasih Sayang
Rasa kepercayaan boleh diwujudkan atau diperkukuhkan dengan kasih sayang yang boleh dirasai oleh anak-anak. Mereka harus dapat merasakan bahawa ibu dan ayah amat menyayangi mereka sama ada dengan ucapan atau pun perbuatan. Tanda sayang bukan sahaja terhad dengan material namun lebih lagi dengan sokongan emosi dan dukungan spiritual yang kita berikan kepada anak-anak. Mereka harus dapat melihat prioriti yang jelas dalam kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Kefahaman ini membantu mereka untuk menghayati kehidupan dan tanggungjawab dalam keluarga. Selain daripada itu, masa yang diperuntukkan untuk bersama dengan anak-anak juga merupakan kunci kepercayaan. Apabila ibu dan ayah ada masa untuk mendengar keluhan dan kegembiraan anak-anak maka mereka akan mengiktiraf kita sebagai sahabat mereka yang akrab.
IKLAN
Mak Ayah Kepercayaan Anak-Anak
Kita juga akan menjadi orang kepercayaan mereka dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka kelak. Amatlah beruntung ibu ayah yang mendapat kepercayaan ini daripada anak-anak mereka. Mengapa? Ini kerana apabila kepercayaan ini sudah diperoleh, mudah bagi kita untuk memberikan panduan yang baik kepada anak-anak. Saya pasti tiada ibu ayah yang menginginkan yang tidak baik untuk anak mereka.
Ini berbeza jika, anak-anak lebih percaya kepada rakan-rakan atau orang luar sebagai penasihat peribadi. Sudah tentu cakap kita, nasihat kita menjadi secondary untuk diri mereka. Malah kita mungkin kita dapat mendengar keluhan dan masalah mereka langsung kerana rasa ingin bercerita itu tertutup untuk kita. Nauzubillah. Inilah kegagalan kita dalam mendidik.
Oleh yang demikian, biarkan anak bercakap sewaktu kecilnya dan layanlah mereka dengan baik kerana waktu itu, mereka sedang membina persepsi dan kepercayaan tentang perhubungannya dengan kita. Insya-Allah sewaktu kita perlu mendengar daripada mereka kelak, mereka akan datang tanpa menunggu arahan kita kerana kita pada waktu itu telah pun menjadi orang kepercayaan mereka. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahuakbar! Seorang bapa keluar membeli barang, kemudian tinggalkan anak tanpa pengawasan.” Kanak-kanak ini ditemui meninggal apabila jatuh kondominium dari tingkat 29.
Beratnya ujian. Sudah tentu sang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang ditinggalkan apabila ditemui sudah tidak bernyawa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Bapa Keluar, Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima maklumat kejadian pada 2.41 petang.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang ke lokasi dan berdasarkan siasatan awal, mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah dalam keadaan berkunci.
“Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.
“Mangsa ditemui salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beh berkata, pihak pengurusan menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Tingkap Tiada Jeriji
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tingkap bilik mangsa terbuka dan satu kerusi berada di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji itu.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga tragedi ini menjadi iktibar buat kita semua. Tidak dinafikan malang tak berbau, namun selagi boleh elak janganlah dibiarkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
Apabila Allah menghadirkan 5 orang anak lelaki dalam hidupnya, wanita ini, Puan Siti Maisarah Saifuddin, 29 tak melihat anugerah itu dari sudut yang negatif. Pahlawan muda inilah bakal menjadi pahlawan muda yang menjaga dirinya dan bakal pengusung jenazah dirinya apabila dia dipanggil pulang oleh Yang Esa.
Siti Maisarah juga seperti kebanyakan ibu yang lain. Melalui susah senang mendidik 5 hero dengan tangannya sendiri. “Anak pertama kedua, memang jadi harimau singa. Masuk no. 5 dah jadi Naga berapi uminya.” Tulisnya dalam perkongsian facebooknya tak lama dulu.
Mingguan Wanita mendekati ibu muda ini mencari lebih detail tip dirinya dan suami, Mohamad Russaini Che Ngah, 39 mendidik 5 pahlawan mudanya,Muhammad Habib Tajuddin, 8, Muhammad Hanif Muslim, 6, Muhammad Naasiruddin Hafiz, 5, Muhammad Fiqhuddin AlHasyri, 3 dan Muhammad Rafi’e Hakim, 5 bulan agar menjadi anak-anak yang hebat.
“Rutin mereka sama seperti anak-anak yang lain. Selalunya setiap pagi, saya bahagi tugas dengan suami. Bukanlah kami tetapkan bahagian masing-masing. Tapi saling membantu berdasarkan situasi pada pagi tersebut.
“Adakalanya saya mengejutkan anak-anak, siapkan pakaian mereka ke sekolah. Waktu ini suami ambil alih tugas menyediakan sarapan. Suamilah orang yang paling faham bagaimana situasi waktu pagi.
“Sebagaimana kerenah mereka juga berlainan setiap pagi. Ada masa umi uruskan. Ada masa nak ayah yang mandikan. Dalam masa sama, yang kecil juga meragam waktu pagi. Suami akan hantar anak ke sekolah waktu pagi dan saya akan mula menyiapkan tugasan rumah sebelum menantikan staff datang.”
Siti Maisarah bukan sekadar seorang IBU, dalam masa yang sama menjalankan bisnes produk sendiri iaitu Jus Kurma Homemade dan Susu Kurma Homemad dan 100% aktif berniaga di rumah.
“Kadang kala saya ambil tempahan untuk Doorgift makanan sunnah seperti goodies dan hamper.” Boleh bayangkan bagaimana sibuknya ibu 5 hero ini?
Rutin Malam
Petang harinya anak akan pulang dari sekolah, Siti Maisarah siapkan dahulu makanan mereka. Dan bersiap untuk solat mahgrib berjemaah bersama di rumah.
“Waktu ini juga, saya dan suami ambil peluang untuk tasmik atau mengulang surah yang anak-anak saya hafal.”
“Waktu malam, saya bergilir dengan sumi untuk tidurkan anak-anak. Sama ada 2 orang dengan saya atau 3 orang dengan suami di bilik berasingan. Bila dah tidur semua, barulah letak dalam satu bilik. Ada juga yang ketikanya tidurkan mereka berlima sekaligus. Tapi selalunya mereka gaduh sebab berebut nak tempat tidur sebelah umi atau ayah.”
Sekitar jam 11 malam, anak-anak dah masuk tidur, Siti Maisarah settlekan apa yang patut. Kemas rumah atau siapkan untuk persiapan esok hari.
Ibu Kenali Karektor Anak-anak
ANAK SULUNG lebih manja berbanding yang lain, makan minum adakala cerewet tapi punya sifat caring dengan adik-adik, dia juga suka membantu saya dan suami.
ANAK KEDUA lebih berdikari, suka bercerita dan suka bertanya.
ANAK KETIGA lebih banyak follow abang-abangnya, ringan tulang dan manja dengan suami
ANAK KEEMPAT sangat disayangi abang-abang dan mudah meminta tolong
Usia anak-anak ini sangat rapat antara satu sama lain. Itu yang membuatkan Siti Maisarah dan suami perlu bijak mainkan peranan.
“Diaorang mudah bergaduh tapi cepat berbaik. Dan sifat saya dari dulu, kalau belikan apa-apa untuk mereka mesti semua sama. Baik buku ataupun baju.” Bila dah besar, diaorang suka berkongsi sebab semua yang ada diaorang share.
“Dulu situasi kritikal, diaorang cepat bergaduh bila tiba waktu makan dan solat jumaat. Awal-awal dulu pinggan pun diaorang berebut, lauk dan kuah. Pening juga nak handle 4 orang sekali gus duduk makan.
“Saya belikan pinggan yang besar seperti TALAM. Dan campurkan semua dalam satu. Alhamdulillah! Diaorang pandai sharing makan, tak berebut dan bonding time lebih lama. Bila talam besar, makan pun suka hati.” Kadang seronok tengok diaorang makan, kami pun join sekaki.
“Anak-anak lagi suka sebab main suap-suap, siapa cepat habis dia menang. Yang sulung saya ajarkan buat air, kerja rumah yang ringan. Alhamdulillah, diaorang rajin membantu.
“Kalau bab SOLAT JEMAAH di rumah sangatlah mencabar. Masing-masing BEREBUT NAK JADI IMAM. Kena buat giliran, even nak susun sejadah dan nak kemas balik.
Ini Cara Tukar Mood Moody Kepada Happy
Siti Maisarah, akui dirinya garang dengan anak-anak. Jaga mereka yang lasak, sangat-sangat mencabar emosinya.
“Dulu sering saya marah-marah, sebab penat. Malu nak ke rumah orang, modah moody dan susah handle emosi. Suamilah orang yang paling banyak menyaksikan keadaan saya.
“Balik dari kerja, dia bantu buat kerja rumah. Kadang tengah malam pun dia bawa saya dan anak-anak keluar, biarpun sekadar ambil angin luar. Sebab siang hari dia sibuk di tempat kerja.
“Bila sampai satu tahap STRESS, dia jadi PENDENGAR SETIA. Sampailah dapat anak ke-3, saya bersalin ceaserean, tak banyak boleh buat kerja. DIA UPAH CLEANER HARIAN UNTUK SAYA. katanya supaya saya lebih banyak masa dengan anak dan tak stress.
“Kami banyak masa bersama, buat rutin bersama. kata orang nak kawal emosi diri, buat sesuatu yang lain dari yang lain. Barulah kita rasa happy”
BEG ITULAH SUAMI.. “Kadang lepas anak tidur, kami kemas halaman rumah, tanam pokok. Walaupun masa itu dah 11 malam. Sebab siang dah sibuk dengan anak-anak. Waktu inilah ME TIME kami berdua.”
Bila buat sesuatu yang luar biasa, barulah emosi Siti Maisarah terkawal.
“Suami juga faham saya suka rumah kemas. Suka alih perabot, pusing sana sini. Saya anggap ia terapi minda buat saya dengan berdeko atau hias/kemas rumah. MASA MENGEMAS TULAH SEMUA STRESS DILEPASKAN. ”
Katanya, anak-anak pun akan join sama tolong menukar cadar dan hias bilik sendiri.
BILA SUAMI FAHAM SITUASI PENATNYA, dialah yang akan memasak dan uruskan anak belajar dan sebagainya.
“Kadang kami ajak mereka memasak bersama. Belek buku resipi, cari resipi nak makan. Dan mula!
“Bila anak tenang dan tak meragam. Bagi reward kat mereka. Even lepaskan diaorang mandu hujan pun dah cukup besar reward tu.
“Anak sepah, anak meragam itu biasa. Kami lebih banyak bermain dengan mood anak-anak. Ada tempat perlu tegas, ada masa kita pun jadi kanak-kanak juga.”
9 Tip Didik Anak-anak Lelaki Cara Siti Maisarah
1. Beri Tanggungjawab Pada Anak
Selalunya bila ada tanggungjawab, mereka lebih peka tugas masing-masing. Contoh, Hanif bahagian buang sampah. So dia akan pastikan sampah tak ada dalam tong sampah. Waktu ni dia takkan saling berebut atau tuduh menuduh dengan adik-beradik yang lain.
Setiap seorang saya pastikan ada tugas.
2. Bagi Reward Berdasarkan Kejayaan Hari Ini
Selalunya saya tak menjanjikan permainan atau tempat yang menarik untuk anak-anak sebagai reward. Sebolehnya saya cari reward yang boleh dikongsi bersama 4 beradik. Seperti contoh, semua behave hari ini. So saya masakkan atau belikan makanan mereka yang boleh dikongsi. Sekali pun buah, atau minuman.
Dan siapa yang rajin bantu, buat apa yang umi ayah suruh, saya bagi reward satu bintang yang suami sediakan di whiteboard.
So bila buat satu kerja, dapat bintang. Dengan sendiri diorang berlumba untuk dapat lebih banyak bintang.
3. Sediakan Ruang Khas Untuk Mereka
Anak lelaki tak dapat lari dari bersepah, suka explore benda baru.Begitu juga anak-anak saya. Awal dulu saya kerap stress, buku merata, mainan merata. Akhirnya saya buat satu sudut mainan khas untuk diorang. Sudut membaca dan sudut sepah. Sudut tula yang akan diorg buat macam-macam aktiviti, main-mainan dan lain-lain.
Dan sapa yang sepahkan selalunya saya beri hukuman. Contoh, cancel keluar jalan-jalan ke, dan lain-lain.
Sudut tu juga memberi impak positif untuk diorang. Sebab bila ada anak-anak kawan datang bermain, diorang hanya bermain di sudut itu sahaja.
Tak semestinya besar. Cukup hanya diorg peka itu sudut untuk apa.
4. Ajar Berkongsi Dari Awal
Anak-anak ini semua kena share dan mesti sama. Even warna baju, kasut, seluar. Bila diaorang belajar berkongsi, kuranglah bergaduh.
5. Tegur Kesilapan Dengan Bahasa Memujuk
Mulakan dengan berterima kasih dan memohon maaf. Hati anak-anak ini suci. Kalau salah tegur, dia memberontak. Tapi bila tegur dengan lembut, diorang lebih mudah mendengar. Mertua saya pernah berpesan, pukul anak hanya untuk mengajar. Tapi jangan sesekali usik telinga anak. Baik mencubit, tarik telinga atau jentik. Sebab di situ tempat pertama dia mendengar kata ibu bapanya.
6. Slowtalk Dengan Anak-anak
Kalau nak ke pasar raya, saya pesan siap-siap dalam kereta. Tak nak berlari, kena pimpin tangan adik, dengar cakap umi ayah.
Mainan tak boleh beli tapi buku dan makanan boleh. Selalunya diaorang tanya kenapa tak boleh beli mainan?
Saya akan beritahu, sebab dah ada buku. Dan nanti kita cari buku yang boleh bermain sama-sama. Kalau buku tak ada, saya beli makanan apa yang anak-anak Suka. Selalunya roti kegemaran.
Sebelum tidur juga saya akan banyak bagi nasihat.Do dan donts. Kadang bercerita.
Suami kadang bila letih sangat, tak dapat ganti saya bercerita, dia pasangkan Quran. Jadi, anak-anak tidur dengan sendirinya.
7. Doa Sepenuh Hati Selepas Solat
Selepas solat, saya pastikan doa sepenuh hati, minta Allah kurniakan saya anak soleh Solehah. Mohon ditunjukkan jalan yang lurus dan benar. Banyakkan membaca al-Quran, ajak anak-anak baca bersama, aminkan doa bersama.
Saya juga ajar anak spesifikkan doa.
Apa-apa yang nak, minta DOA dengan Allah.
Kadang diorang main game pun, diaorang sebut kuat-kuat, “Ya Allah, bagilah menang!”
Begitu juga DOA IBU BAPA..
8. Pemakanan yang sihat
Suami juga akan pastikan pemakanan yang sihat untuk ank-anak. Kurma, madu, buah dan sebagainya.
9. Ketegasan & Prihatinnya Suami
Anak walaupun manja dengan ayahnya, tetapi ada juga tegasnya. Kalau kena marah dengan ayah, sayalah tempat anak mengadu sedih.
Masa ni juga suami selalu pesan, peranan saya sebagai pemujuk. Bukan menambah api yang membara.
Dari situ diaorang belajar memohon maaf dengan ayah dan janji tak buat lagi.
Awal-awal dulu mungkin suami tak faham tentang tugas isteri di rumah. Tapi sejak anak dah bertambah ramai, dia sendiri yang menjaga anak ketika saya berpantang, lama-lama dia faham tugas seorang IBU di rumah.
Even nak beli apa-apa, atau anak nak minta sesuatu, dia akan suruh anak minta izin dengan umi dahulu. Kalau rasa OK, baru dia menyokong keputusan saya.
Sumber / Foto: Facebook Siti Maisarah Saifuddin – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya, anak bukan sekadar rezeki, tetapi amanah yang besar tanggungannya pada mak, ayah.
Kehadiran cahaya mata bukan sekadar penyeri hidup mak, ayah tetapi hadir bersama tanggungjawab dan amanah buat pasangan yang telah berkahwin.
Anak ibarat kain putih, mak ayah lah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka. Kongsi Farizal Radzali, sudah-sudahlah mengatakan anak itu rezeki.
Anak BUKAN Sekadar REZEKI
Jika anak-anak itu rezeki, kenapa kebanyakan yang susah hidupnya itu, punyai anak yang ramai? Jika rezekinya pada anak-anak, bukankah lebih ramai anak lebih banyak rezekinya?
Dan akhirnya anak-anak yang ramai itu tak terbela nasibnya. Sekolah tak mampu. Kecil-kecil sudah bekerja cari duit poket sendiri. Malah, kecil-kecil lagi sudah ada yang jadi pencuri.
Kecil-kecil lagi sudah jadi samseng. Masuk usia remaja, hisap dadah. Jadi peragut. Sebab apa? Sebab tekanan hidup? Atau kurang kasih sayang kerana adik beradik ramai?
Mana kualiti anak-anak yang dikatakan rezeki itu?
Tetapi AMANAH Yang Besar
Anak itu adalah rezeki dari Allah SWT. Tak semua orang memilikinya. Itu pemberian Allah, sebab itu dipanggil rezeki.
Tapi untuk ibu ayah, anak itu bukan sekadar rezeki, anak itu amanah. Amanah itu besar tanggungannya.
Anak itu punca rezeki? Jangan sampai rezeki anak, kita yang gunakan untuk kepentingan diri. Jangan sampai amanah dan tangungjawab kepada anak, kita abaikan. Hanya bangga anak ramai, tak peduli bab amanah.
Tingkatkan kualiti, bukan kuantiti.
Dan di satu hari kelak, anak-anak akan menjadi seperti apa yang kita tanamkan dalam diri mereka.
Kita abaikan anak hari ini, nanti anak-anak abaikan kita. Masa itu pasti si anak dicop derhaka kepada mak ayah. Anak-anak sentiasa dilihat salah di mata masyarakat jika mengabaikan ibu ayah. Anak-anak yang jahat, kononnya seburuk manapun ibu ayah kita, mereka tetap insan yang melahirkan dan membesarkan.
Derhaka seorang anak kepada ibu, ayah adalah dosanya kepada ibu ayahnya.
Manakaka derhaka seorang ibu, ayah kepada anaknya adalah dosanya kepada Tuhannya.
Jangan bangga jika punyai anak yang ramai, tapi banggalah punyai anak yang berkualiti walau hanya seorang.
Tiada anak? Jangan sedih. Allah tak kata tiada anak tak masuk syurga. Tapi Allah kata, amanah anak yang tak dijaga, pasti ada hukuman untuknya.
Wallahua’lam.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita : Oleh sebab itu bagi sesetengah pasangan lebih rela memiliki anak yang sedikit kerana mereka memikirkan yang terbaik buat anak-anak, kemampuan mereka dari segi tanggungan dan juga tanggungjawab. Tidak salah beranak ramai, cumanya menjadi salah apabila kita tidak menghargai anak sebaik-baiknya.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Nahas tragedi helikopter TLDM, lelaki buat hantaran jelik didenda RM23,000. Gara-gara menghina nahas tragedi dua helikopter bertembung di udara dua hari lalu, seorang peniaga...