Lupa Diri Lepas Kaya, Akhirnya Lelaki Ini ‘Hilang’ Anak Isteri

Share

Lupa diri boleh terjadi pada diri sesiapa saja, di saat kita punya segala. Begitu yang terjadi pada seorang lelaki yang telah meluahkan perasaannya kepada Mingguan Wanita. Ikuti luahannya.

Hidup Sederhana

Benarlah kata orang, lelaki akan diduga saat mereka berharta. Waktu itu mata mereka terbuka luas melihat segala ‘keindahan’ dan ‘keseronokan’ dunia. Itulah yang aku alami. Kemewahan yang ku peroleh akhirnya menjeratku ke lembah penuh dosa hingga rumah tanggaku tergadai.

Aku bekerja di sebuah syarikat dengan hanya berbekalkan STPM. Walau pun gaji tidak begitu tinggi, tapi aku mampu hidup sederhana. Bagiku, cukup makan dan pakai sudah memadai.

Sebenarnya bukan aku tidak ingin menyambung pelajaran tapi aku ingin memberikan laluan kepada tiga orang adik untuk belajar. Sebagai anak sulung dan lelaki pula, menjadi tanggung jawabku untuk membantu mak dan ayah yang hanya berniaga kedai runcit segala kecil-kecilan di kampung.

Bertemu Jodoh

Aku berkenalan dengan seorang gadis yang baik dan sopan, bakal guru. Ain namanya. Ketika itu dia masih di maktab dan dia banyak mendorongku kembali menyambung pelajaran secara part time. Dia juga banyak bantu aku dari sudut kewangan. Kami seia sekata untuk hidup bersama setelah stabil nanti.

Akhirnya aku mampu meraih ijazah dan bertuah kerana syarikatku menawarkan kenaikan pangkat sesuai dengan kelulusan baruku.

Setelah agak stabil dan Ain juga telah bekerja sebagai guru, kami berkahwin dengan restu kedua keluarga. Hidup kami bahagia dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Lagi artikel suami isteri di sini:

Masaklah Walau Sekali Seminggu, Besar Hati Suami Makan Masakan Isteri!

Nak Upgrade Cinta Suami Isteri, Cuba Ingat Kembali Pengorbanan Dan Kebaikan Pasangan

Follow IG Mingguan Wanita

Lupa Diri Lepas Senang

Kerjayaku semakin meningkat sehingga mampu meraih pendapatan yang lumayan. Aku semakin sibuk. Pulang ke rumah jam 1-2 pagi perkara biasa. Ain tetap sabar dan memahami keadaanku. Sehinggakan masa bersama anak-anak juga terbatas. Tapi aku katakan padanya, aku lakukan semua itu demi kesenangan kami sekeluarga.

Dalam diam, duniaku semakin berubah. Aku mula pandai keluar minum bersama rakan-rakan. Malah aku sudah berjinak-jinak ke kelab hiburan. Minum sambil ditemani GRO sudah menjadi perkara biasa bagiku. Malah ada yang sudah ku bawa hingga ke tempat tidur! Alasan sekadar suka-suka, nak lepaskan tekanan kerja.

Kegiatan Liar Tak Diketahui

Kegiatanku di luar rumah tidak diketahui Ain. Dunianya hanya di rumah bersama anak-anak. Sememangnya dia seorang isteri yang setia.

Satu hari, aku tertinggal komputer riba di rumah dan aku minta Ain buka komputer riba itu dan e-melkan satu dokumen. Rupa-rupanya tanpa pengetahuanku, Ain tergerak hati untuk membuka satu folder foto yang tersimpan rapi di dalamnya.

Entah mengapa, hari itu aku rasa tak sedap hati dan sebaik habis mesyuarat aku pulang ke rumah. Jika tidak, jam dua pagi belum tentu nampak batang hidung.

Terbongkar

Ku perhatikan wajah Ain muram dan anak-anak tak kelihatan. Bila ditanya katanya adiknya datang bawa anak-anak keluar. Ain sediakan minum petang. Selepas aku mandi, aku duduk berehat di ruang tamu sambil membuka laptop. Tak di’off’. Baru hendak mengamuk, mataku tertancap dengan gambar-gambar yang terpampang di skrin. Foto-fotoku di kelab hiburan, termasuk gambar berpelukan dan berciuman dengan GRO.

Aku  tak berani pandang Ain yang sudah berada di depanku. Aku tahu hatinya hancur lebih-lebih lagi ada foto intimku bersama beberapa wanita berlainan! Aku terkedu. Tak sanggup kata apa-apa.

Akibat Lupa Diri, Isteri Tuntut Cerai

Dipendekkan cerita, Ain tidak dapat memaafkan keterlanjuranku dan menuntut cerai. Walau pun perit aku lepaskan dia pergi. Silapku yang rakus dengan keseronokan dunia sehingga kesetiaan seorang isteri ku rentap. Aku sudah insaf dan bertaubat. Aku malu dengan kesilapan yang pernah ku lakukan dulu. Namun nampaknya pintu hati Ain masih tertutup untuk kembali kepadaku…

Published by
Nurul Azwa