Entah apa agaknya yang difikirkan bila lelaki pakai hiasan. Sekadar untuk berfesyen dan trend anak-anak muka. Mungkin mereka rasa ‘elok’ dan jadi daya penarik untuk orang melihatnya.
Tak dinafikan, lelaki pakai hiasan ini bukan setakar orang biasa -biasa tapi lebih ketara nampaknya bila ada selebriti, artis dan influencer yang semakin berani tonjolkan diri di khalayak dengan gaya sebegini.
Selalunya, lelaki pakai hiasan dengan mengenakan rantai daripada besi, perak dan tanpa segan silu ada yang memakainya daripada emas. Seolah-olah ia sudah menjadi kebiasaan dan diterima.
Dalam perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun turut memperkatakan isu ini dan sudah tentulah nampak terang-terangan lelaki pakai hiasan adalah haram.
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Ads
Syeikh Badruddin al-‘Aini pula mengulas hadis ini, kata beliau:
Maksudnya: “(Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki yang menyerupai perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang tangan, gelang kaki, dan juga anting-anting.” (Kitab ‘Umdatul Qari, Al-‘Aini 22/41)
Jelas daripada hadis di atas bahawa HARAM bagi seseorang untuk memakai pakaian atau perhiasan yang khas bagi jantina berlawanan dengannya. Antara barang perhiasan yang tidak dibenarkan dipakai oleh lelaki adalah:
a) Rantai.
b) Gelang tangan (kecuali bagi tujuan perubatan hukumnya harus).
c) Gelang kaki.
d) Cincin (yang dibuat daripada emas).
e) Anting-anting.
Pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita ini tiada khilaf dalam kalangan alim ulama sama ada dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat.
2. MEMAKAI GELANG DAN CINCIN BAGI LELAKI
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jumhur ulama mengharamkan lelaki memakai gelang.
Ads
Syeikh Zakariyya Al-Ansari berkata bahawa diharuskan bagi seorang lelaki memakai cincin perak kerana mengikut Rasulullah SAW, bahkan hukumnya adalah sunat, namun lelaki tidak boleh memakai gelang dan tidak halal baginya, meskipun gelang tersebut diperbuat daripada perak.
Hal ini kerana memakai gelang itu mempunyai unsur kewanitaan dan ia tidak layak dan sesuai dengan sifat seorang lelaki.
(Rujuk Fatawa Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali, hlm. 30; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/444 dan Asna Al-Matolib 1/379).
3. BARANG PERHIASAN DARI EMAS UNTUK LELAKI
Kaum lelaki diharamkan untuk mengambil emas sebagai perhiasan, maka begitu juga dengan memakai cincin emas bagi lelaki juga jelas pengharamannya melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
أَنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Rasulullah SAW pernah melihat seseorang memakai cincin yang diperbuat daripada emas lalu Baginda SAW mencabut cincin tersebut dari tangan lelaki tersebut lalu mencampakkannya, kemudian Baginda SAW bersabda:
Ads
يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ إِلَى جَمْرَةٍ مِنْ نَارٍ فَيَجْعَلُهَا فِي يَدِهِ
Maksudnya: “Seseorang dari kalian sengaja meletakkan bara dari api neraka ditangannya.” (HR Muslim, hadis sahih)
Ada Pengecualian
Namun dalam isu ini terdapat beberapa pengecualian, antaranya ialah fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan keharusan pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki untuk tujuan perubatan atau rawatan berdasarkan keperluan dan hajat dengan syarat:
1. Ia bukan diperbuat daripada emas, perak, suasa atau sutera (bagi lelaki).
2. Tidak terdapat unsur najis padanya.
3. Tidak mempercayai atau meyakini bahawa pemakaian gelang tangan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu kerana ia dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang kepada unsur khurafat yang boleh menjejaskan aqidah.
4. Tidak menyebabkan kemudaratan kepada pemakainya.
5. Mendapat perakuan daripada pakar perubatan yang beragama Islam dan telah terbukti secara saintifik bahawa ia merupakan antara kaedah rawatan yang berkesan dalam merawat penyakit.
Bagi lelaki yang memakai gelang untuk tujuan perubatan, adalah lebih baik tidak memakainya di tempat awam secara terbuka atau menghebahkannya di media sosial supaya mengelakkan fitnah terhadap pemakai, kerana melakukan sesuatu yang mendatangkan fitnah adalah makruh.
Rujukan:
1. Al-Kafi #1722: Hukum Lelaki Memakai Gelang
2. Maktabah Al-Bakri #770: Lelaki Memakai Cincin Emas
Jemput baca artikel penuh tentang lelaki memakai perhiasan di link berikut:
https://muftiwp.gov.my/…/4498-al-kafi-1722-hukum-lelaki…
Mingguan Wanita : Rasanya tak perlulah nak ‘try hard’ pakai hiasan supaya dipandang tapi, fikir dosa pahala.
Lafaz doa memang di mulut, namun apakah hati kita sepenuhnya berserah dan ikhlas atas tiap patah kata doa tersebut? Jangan mulut lain di hati lain…
Doa adalah amalan yang mulia serta amat dituntut dalam Islam. Berdoa mempunyai kaedah serta adab-adab tertentu agar setiap doa diberkati oleh Allah SWT.
Antara adab yang disarankan adalah seseorang berdoa dalam keadaan melepaskannya di mulut serta melepasnya di hati. Apa maksud saranan ini?
Meluahkan Dan Lafazkan Doa
Sudah menjadi amalan rutin ketika berdoa, individu meluahkan segala permintaan melalui lidah (mulut). Individu meluahkan segala hajat tidak kira hajatnya panjang atau pendek maka semuanya diungkapkan dengan lidah secara jelas dan terperinci.
Bagi individu yang kreatif serta mampu menyusun bait-bait doa yang indah serta berkesan di hati maka gaya bahasa yang indah itu diluahkan ke hadrat Ilahi.
Amalkan Doa
Tidak kira daripada mana sumber doa yang dipilih, baik doa yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis atau doa ciptaan sendiri, doa itu disebut atau diluahkan melalui mulut. Doa terus diamalkan sebagai suatu ibadah yang dilakukan demi memenuhi keperluan hidup sebagai hamba.
Berdoa pada tahap inilah yang dimaksudkan dengan melepaskan doa di mulut. Cakap atau sebut lah segala hajat anda ke hadrat Ilahi beserta harapan doa itu diperkenankan. Usah jemu meluahkan permintaan anda melalui kata-kata kerana Tuhan tidak pernah jemu mendengar kata-kata permohonan daripada hamba-hamba-Nya.
Sebenarnya tidak ada kesalahan pada tahap doa di mulut ini. Kita bebas menyatakan segala doa dengan sepuas hati kepada Ilahi. Cabaran berdoa adalah tentang persoalan di hati. Adakah doa itu terbit daripada hati yang pasrah dengan menyerah serta melepaskan segala-galanya kepada Ilahi?
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat tentang hati ketika berdoa. Hati menjadi tumpuan pandangan Allah SWT. Hati menjadi penyebab bagi doa diterima atau ditolak. Keadaan hati menyumbang kepada kesungguhan serta kepasrahan ketika berdoa.
Lafaz Doa Dalam Keadaan Hati Lalai
Bagaimana dikatakan seseorang belum melepaskan di hatinya ketika dia berdoa, walau dia sudah melepaskannya di mulut? Contoh mudah, individu berdoa dalam keadaan lalai. Mulut berdoa tetapi hati dan perasaan entah ke mana. Hati tidak memahami atau menghayati apa yang diungkapkan oleh mulut.
Contoh yang lain, individu berdoa dalam keadaan hati masih ragu-ragu terhadap Tuhan. Doa diluahkan di mulut namun hati masih ragu-ragu, adakah Tuhan akan makbulkan doa itu. Hati masih ada rasa syak terhadap janji-janji Tuhan yang telah berjanji akan memperkenankan setiap permintaan hamba-Nya.
Lafaz Doa Tapi Hati Sombong
Sebagai contoh yang lain, individu yang berdoa dalam keadaan dia merasai bahawa segala yang dimiliki boleh membantunya andai hajatnya belum dipenuhi. Bagi individu yang berharta maka dia merasai hartanya boleh membantunya. Bagi individu yang berkuasa atau pengaruh maka dia merasai kuasa dan pengaruh yang ada itu boleh membantunya dalam keadaan tertentu.
Inilah gambaran berdoa tanpa melepaskannya di hati. Individu berdoa dengan kesombongan hati. Mereka berdoa sekadar melafazkan di mulut melalui kata-kata tetapi hati masih berprasangka negatif terhadap Allah SWT.
Belajar Pasrah Diri Pada Tuhan
Justeru itu, bagi mencapai maksud yang positif daripada doa yang dipanjatkan maka kita disarankan untuk berdoa dalam keadaan benar-benar pasrah diri kepada Allah SWT. Mulut melafazkan doa dan hati membenarkan kebesaran dan keagungan Ilahi.
Cuba didik hati untuk merasai bahawa diri ini tiada apa-apa (kosong). Segala yang dimiliki pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah SWT. Selarikan apa yang diucapkan di mulut dengan rasa di hati yang menyerahkan segala urusan hidup ini ke hadrat-Nya. Mudah-mudahan hati beroleh kelapangan dan kepuasan pada setiap kali doa dipanjatkan.
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berjemaah menuju kecemerlangan hidup sama ada di dunia mahu pun akhirat. Dalam menjalani kehidupan harian, individu perlu ada niat dan usaha untuk hidup secara berjemaah.
Walau wujud pelbagai watak atau personaliti manusia yang berbeza, ia tidak sepatutnya menghalang budaya hidup sebegini berkembang secara positif di persekitaran hidup ini.
Individu ingin membudayakan suatu amal mulia yang penuh dengan hikmah demi mencari kecemerlangan hidup duniawi dan ukhrawi.
Allah Ada Sebut
Allah SWT sebagai pemilik dan penguasa alam ini, yang mampu mengurus semua hal makhluk-Nya, namun Dia masih menyebutkan usaha-usaha hidup secara berjemaah yang dilakukan bersama-sama para malaikat dalam mengurus kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Sebagai bukti, dalam al-Quran Allah SWT menggunakan kata ganti nama “Kami” (gabungan diri-Nya dan para malaikat) sebagai gambaran tentang usaha-usaha secara berjemaah yang berlaku di alam ghaib tersebut.
Begitu juga bila kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, budaya hidup sebegini terbukti menjadi penyumbang besar kepada kejayaan dakwah Islam. Para pengikut baginda diberi gelaran “Muhajirin” (orang-orang yang berhijrah) dan “Ansar” (orang-orang yang menolong) oleh Allah SWT sebagai pengiktirafan di atas sumbangan mereka membantu dakwah Rasulullah SAW secara berjemaah serta istiqamah.
Saling Bantu Membantu
Bila kehidupan secara berjemaah ini begitu besar pengaruhnya maka sudah tentu ia menjadi prasyarat penting dalam usaha dan ikhtiar ke arah kecemerlangan hidup. Maksudnya, dalam apa juga kehidupan yang individu lalui maka fikirkan tentang berjemaah, perlu melibatkan orang lain bersama kita. Tidak boleh bersendiri atau secara solo.
Dalam urusan kerjaya atau bisnes misalnya, berjemaah itu sangat penting. Kekurangan individu boleh dibantu oleh kelebihan individu lain.
Ruang Penyelesaian Boleh Diteroka
Dalam situasi lain, individu yang dilanda tekanan hidup hingga sukar keluar daripada belenggu hidup yang dilalui, maka budaya ini boleh membantu. Dengan cara individu terbabit bertemu dengan orang yang boleh membantu, berkongsi masalah dengan orang lain dan sebagainya maka ruang-ruang penyelesaian akan mudah diteroka.
Sebenarnya banyak lagi hikmah yang bakal tersingkap apabila budaya ini dihayati dalam kerangka gerak kerja yang positif serta berpegang kepada prinsip ‘tolong-menolong dalam perkara takwa, tidak tolong-menolong dalam perkara keji dan mungkar’.
Jemaah yang membina
Cabaran besar untuk menjayakan matlamat berjemaah yang dianjurkan Islam ini adalah bagaimana untuk mendapatkan kelompok individu yang menghayati kefahaman Islam yang sebenar serta beramal dengan akhlak Islam dalam kehidupan mereka. Memang di luar sana terdapat berbagai jemaah diwujudkan tetapi mana yang patut disertai serta beristiqamah dengannya.
Mungkin apa yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda mengarahkan golongan lelaki untuk solat berjemaah di masjid dan membakar rumah orang-orang yang mengingkari arahan itu, boleh kita jadikan panduan.
Maksudnya, bagi individu yang ingin melazimi kehidupan sebegini, langkah terbaik adalah dengan mengunjungi masjid atau surau untuk menunai solat secara berjemaah. Kalau sudah biasa berjemaah dengan “group” lain, usah dilupakan amalan solat ini. Lebih baik lagi, ditambah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu (taman-taman syurga) yang berkembang meriah di persekitaran masyarakat hari ini.
Ibadah solat itu ada hubungan dengan hati. Bila ibadah solat selesai dalam diri, hati mampu dibersihkan. Bila hati setiap anggota jemaah telah bersih maka segala permasalahan hidup yang berpunca daripada hati-hati yang kotor akan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dengan kesucian hati yang bersumberkan pengabdian diri kepada Allah SWT itu, individu membawa dirinya ke dalam “group” yang lain, maka sudah tentu budaya yang positif yang bertunjang mencari keredaan Ilahi akan kembali subur dalam masyarakat.
Berjemaah Mengikut Acuan Islam
Sebenarnya walau apa nama atau slogan jemaah yang ada, individu perlu memastikan kehidupan berjemaahnya itu mengikut acuan Islam yang berpaksikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Buka kehidupan glamour atau ramainya “followers” yang dicari dalam kehidupan berjemaah ini tetapi matlamatnya adalah keredaan Ilahi.
Kehidupan berjemaah ini jauh perjalanannya. Inidvidu bukan hanya berjemaah di dunia tetapi kesan kehidupan berjemaah itu akan dibawa ke akhirat. Bukankah manusia akan dibangkitkan di akhirat bersama-sama dengan ketua-ketua mereka? Fikir-fikirkan, jemaah mana yang patut disertai!
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi
Setiap hari yang kita lalui tentulah ingin yang lebih baik daripada semalam. Sudah tentulah kehidupan ini perlukan perubahan dari pelbagai keadaan. Mungkin rezeki hari ini boleh jadi melimpah ruah daripada semalam. Kita tidak tahu kan!
Kadang-kadang, kita tak tahu apa yang kita lakukan semalam itu menajdi asbab untuk kita mendapat lebih baik tanpa kita duga. Namun, jangan fikir apa yang kia buat itu semata-mata inginkan ganjaran.
Dalam kehidupan, untuk menjadi lebih baik, kita boleh lakukan pelbagai perkara yang menjadi amalan harian. Praktikkan sentiasa dan mungkin lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dalam hidup kita.
Perkongsian daripada Nur Atiqah Othman ini oleh dijadikan panduan untuk memastikan kehidupan kita yang dilalui setiap hari menjadi lebih baik. Tapi ada caranya, bukan hanya perolehi dengan senang ye. Kena amalkan.