Ada benarnya kebersihan serta kesucian diri daripada najis jangan sesekali diambil ringan. Perlu tahu cara sebenar untuk membersihkan najis dan hadas sama ada kecil ataupun besar.Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak kecil, mak ayah lebih banyak ‘berurusan’ dengan air kencing, muntah, air liur basi mahupun najis anak.
Hati-hati cara kita membersihkannya, walaupun pada zahirnya mungkin nampak bersih tapi hakikat sebenar masih bergelumang dengan najis. Akibatnya solat mungkin tidak diterima dan doa tak dimakbulkan. Ini kerana ia menentukan sahnya amal ibadat yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.
Seorang ibu memandikan bayinya. Pampers dicabut lalu direndam si anak di dalam besen atau bekas mandian khas bayi.Selesai sahaja, diangkat bayi tadi dengan disiram sekali lalu (tidak rata) dengan keadaan kaki bayi yang masih menjulur lagi ke dalam besen yang bertakung najis.
Semasa anak kecil itu menunggu dipakaikan pampers, ia sudah terkencing. Terus si ibu mengelap dengan kain tuala yang digunakan juga untuk mengelap tubuh si anak, lalu baju pun disarungkan dengan tangan ibu yang telah terkena kencing si anak dan ibu ini meneruskan kerja-kerja yang lain tanpa membersihkan dengan baik kawasan yang terkena air kencing tersebut.
Ini kisah benar yang berlaku dan pelbagai macam ‘cara’ membersihkan najis yang salah serta dianggap remeh oleh segelintir kita.
Kita sedar atau tidak
1. Najis WAJIB dibersihkan dengan baik sehingga suci (hilang bau, warna dan rasa). Masyarakat kita menganggap najis itu adalah tahi sahaja. Sedangkan AIR KENCING juga adalah najis. Penyuciannya juga sama, wajib betul-betul bersih dan suci.
2. Besen yang direndamkan bayi tanpa menyuci dahulu kemaluan bayi yang terkena najis akan menjadikan seluruh air mandian tersebut telah tercemar dengan najis dan tidak dapat menyucikan lagi.
3. Tuala atau pakaian yang terkena air kencing bayi adalah najis dan jika terkena pakaian atau tempat lain ia boleh memindahkan najis tersebut.
Ads
4. Lantai tandas yang sudah terkena air kencing lalu tidak dijirus baik dan terkena pula pada pakaian atau badan adalah najis yang jika dibawa keluar akan memindahkan najis tersebut ke tempat lain.
5. Pakaian yang bernajis dipakai pula untuk solat serta solat ditempat bernajis tidak sah dan tidak diterima solatnya. Jika solat pun tidak diterima apatah lagi doanya.
Sedih melihat betapa kurangnya kefahaman kita tentang pengurusan najis. Segelintir kita mengangap asal tidak nampak betul-betul sebagai tahi ianya bukan najis. Ianya jelas kefahaman yang salah.
Tidakkah kita bertanya kepada diri ?
Mampukah kita mendidik baik anak-anak ini jika dari kecil tubuhnya bergelumang najis ?
Ibu ayah bergelumang dosa kerana pengabaian pendidikan thaharah dan penyuciannya ?
Lalu bagaimana solatnya, doanya harus diterima Allah ?
Ads
Akibatnya jauh lebih besar.Seisi keluarga solat tidak diterima, doanya tidak dimakbulkan, rumahnya menjadi tempat kotor persingahan syaitan, membesar anak-anak yang hatinya keras dan kematiannya dalam keadaan tercela dan diazab asbab daripada AIR KENCING .
Ianya bukan sekadar pendidikan “kebersihan” yang biasa-biasa, bahkan impaknya mampu memberi sebuah rasa ketenangan dan keharmonian dalam rumah tangga jika dijaga baik.
Belajar Semula Bab Taharah (Kebersihan)
Ingatan saya untuk para suami dan isteri…
Wahai para suami, didik dan berikanlah ilmu agama yang secukupnya bermula daripada aspek “kebersihan dalam Islam” yang kian dipandang ringan oleh kebanyakan keluarga Islam.
Tidak salah anda membuka kembali ‘ Pelajaran Thaharah’ memperbincangkannya dalam bulatan kecil bersama keluarga sehingga difahami keseluruhan ahli keluarga anda dengan baik.
Mana yang nampak salah tegur dan ajak bersama-sama diperbaiki. Perhati cara isteri mengurus najis anak kecil, dan tegur dengan cara yang berhikmah jika terdapat kelemahan atau kesalahan.
Perhatikan cara anak-anak menggunakan tandas, sediakan kemudahan yang perlu untuk memastikan mereka mampu menjaga adabnya dengan baik. Anak-anak lebih mudah dididik melalui teladan. Jadilah seorang suami yang kepimpinan dan kewibaannya bukan hanya terletak pada katanya tetapi teladan yang baik yang membentuk isteri dan anak lebih dekat dengan ketakwaan.
Wahai para isteri, masamu mengurus anak adalah lebih lama berbanding suamimu maka perkemaskan diri dengan ilmu yang dipraktikkan dengan baik dalam aspek kebersihan ini.
Kita penat menjerit memarahi sikap anak yang melawan kata, geram dengan perangainya yang keras hati lalu tidak menyelidik rupanya kita gagal BUKAN mengurus emosi mereka tetapi dari kecil kita sendiri melakukan dosa membiarkan anak dan rumah tangga begelumang najis, lalu mengharap anak mendengar kata ? sedangkan rumah tangga yang kita bina didampingi syaitan akibat gagal mengurus najis dengan baik.
Ads
Kain baju bernajis bercampur aduk, anak-anak masih kecil sebebasnya keluar masuk tandas tidak beralas kaki, air kencing…tahi..muntah dll diuruskan dengan ceteknya ilmu.
Mulianya seorang isteri apabila ‘lelahnya’ mengurus keluarga bukan setakat makan dan minum tetapi memastikan keluarganya terpelihara daripada mendapat azab-Nya sehingga tidak ada ganjaran yang lebih layak baginya melainkan syurga.
*Ambillah juga pengajaran buat semua terutama yang dipertangungjawab menguruskan bayi yang baru lahir samaada suami, isteri, ibu sendiri, ibu mertua, adik beradik atau sesiapa sahaja. Semoga Allah selalu memelihara dan merahmati.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Semoga kita tak terlepas pandang menyucikan najis ini kerana ini menentukan sahnya amal ibadat yang kita lakukan.
Terdapat persepsi segelintir wanita mengganggap bahawa ketika berhadas besar dalam keadaan tidak suci, maka potong kuku dan rambut adalah tidak dibenarkan sama sekali. Sehinggakan jika dipotong perlu ‘dibawa’ mandi wajib sekali dan ditanam.
Rupanya tiada dalil yang melarang wanita daripada potong kuku dan rambut ketika sedang berhadas besar baik ketika haid, nifas atau junub. Hukum berkaitan perkara ini ada dijelaskan oleh PU Azman didalam laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut;
Tiada dalil yang melarang wanita yang haid, nifas atau hadas besar atau junub untuk mengerat kuku, rambut dan segala bulu yang ada.
Dan tak perlu untuk dibawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib. Kerana tiada dalil yang mewajibkannya.
Dan takder kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu.
Mungkin disebabkan inilah ada perempuan yang takut nak kerat kuku ketika haid sedangkan kuku yang sedia ada pun memang panjang bak kuntilanak dan waktu haid pun panjang lagi.
Bahkan ada hadis ketika Aisyah isteri Nabi menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.
Maksud hadis :“Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah.”(Bukhari Muslim)
Daripada hadis ini, kita paham bahawa bersikat mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi takder langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa mandi wajib nanti.
Hukum HARUS
Jadi kesimpulannya, BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid, nifas (segala macam hadas besar).
Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang saja dengan baik di samping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi kalau tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.
Potong kuku dan rambut, tak wajib dibawa sekali mandi wajib, tapi kalau potong bekalan air, memang payah nak mandi wajib.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberi pencerahan buat para wanita yang keliru mengenai hukum ini. Tak salah dan diharuskan memotong kuku ketika berada dalam keadaan hadas besar.
Upah menyusu, pernah viral dan mungkin ada juga segelintir yang mengamalkan cara ini. Memberi hadiah, barang kemas dan sebagainya atas pengorbanan isteri. Tak kurang juga isteri yang menuntutnya.
Sebenarnya, tak salah untuk isteri minta upah menyusu. Bersyukurlah kerana dianugerahkan untuk merasa dan memberi susu kepada anak. Sedangkan ada ibu-ibu lain yang tidak dapat melakukan.
Inilah pandangan daripada Dr Syahr Musafir dalam perkongsiannya tentang upah menyusu. Kena faham betul-betul, rupanya upah menyusu untuk bekas isteri bukannnya untuk isteri.
Viral sungguh tulisan tu. Orang itu share, orang ini share. Di bahagian komen, para isteri tag suami masing-masing.
Tapi tak seronok pula saya baca.
Isu yang penulis itu utarakan adalah isteri yang menyusu perlu diberi upah menyusu, dan penulis itu mencadangkan isteri-isteri itu meminta cincin emas sebagai upah susu anak pertama, rantai emas sebagai upah menyusu anak kedua, bla bla bla. Viral sungguh, para isteri tag suami masing-masing.
Saya bukan menulis pasal kena upah menyusu atau tak.
Isu sebenar adalah ayat 6 surah at-Talaq yang disandarkan sebagai dalil itu tak tepat dengan penulisan.
Terjemahan ayat 6 itu berkaitan wanita yang dalam iddah.
Apabila berkaitan iddah, maksudnya wanita atau isteri yang telah diceraikan.
Telah ditalakkan.
Terang dan jelas ayat itu bercakap tentang jika wanita yang diceraikan itu sedang hamil, bertanggungjawablah jaga dia hingga dia bersalin.
Dan selepas dia melahirkan lalu menyusukan, berilah upah kepadanya selepas tamat menyusu.
Selepas cerai, wanita atau ibu yang menyusukan itu tidak tinggal bersama lelaki bergelar ayah kepada anak itu. Bekas suami tak beri makan minum kepada bekas isteri yang sedang jaga anak dia. Logiklah dia beri upah kan sebab dia dah tak beri nafkah kepada bekas isteri kan…
Beri upah kepada bekas isteri yang telah diceraikan, bekas isteri menjaga dan menyusukan si anak dalam keadaan si ayah atau bekas suami ini tak perlu menafkahi bekas isteri.
Upah kepada bekas isteri.
Jangan Salah Tafsir
Bukan upah kepada isteri.
Kalau baca ayat 1 hingga 5 tu semua cakap pasal cerai iaitu bekas isteri, janganlah tiba-tiba ayat 6 tu ditafsirkan pasal isteri pula…. Allahu.
Saya bukan apa, nampak viral sangat pasal isteri-isteri minta upah menyusu anak-anak daripada suami-suami, macam ‘pesta’ pula minta-minta ni. Sedangkan dalil tu bukan pasal upah kepada isteri pun.
Mungkin jika ada untuk isteri sekalipun, penulisan yang viral itu tidak menulis dalil yang tepat. Tak sepatutnya disebarkan dan menjadi hujah.
Menyusu anak itu adalah ‘arahan’ Allah kepada ibu-ibu yang mampu menyusukan. Saya tak rasa ia adil untuk diimbuhkan dengan barang kemas seperti cincin, rantai, gelang…. Tak padan.
Menyusukan anak tu penat sangat-sangat, kalau nak upah sepatutnya bukan seuntai gelang tetapi upah segunung emas baru padan. Hehehe
Sepanjang penyusuan tu suami faham kepenatan isteri, tolong urut sakit belakang ke, suami tak marah isteri tak sempat masak bahkan suami tolong masakkan atau beli makanan ke, suami faham isteri menyusukan itu tertidur kepenatan bukan isteri tu saja-saja tidur atau pemalas asyik nak tidur je, ini semua lebih penting dan bermakna daripada upah cincin sebenarnya kan….
Bagi sayalah
Menyusukan tu nikmat besar, hanya ibu yang dapat buat dan rasa. Ayah yang baik
Hebat ikhlas macam mana pun takkan dapat buat dan rasa. Itulah mulianya dan hebatnya ibu, isteri dan wanita.
Menyusukan anak adalah ibadah yang besar sangat-sangat. Tak harapkan suami upah, sebab Allah dah janjikan upah besar nanti.
Mingguan Wanita : Anugerah terhebat buat seorang yang bergelar ibu.
Bila memandang di cermin, rambut hitam mula bertukar putih. Uban mula menampakkan diri. Rasa takut muncul di hati, itu petanda diri makin dimamah usia. Sebenarnya jangan takut bila uban mula memenuhi kepala. Sebaliknya jadikan peringatan kepada diri sendiri untuk tingkatkan amalan.
Tahun 2020 Penuh Cabaran
Diam tak diam kita hanya tinggal kurang lebih dua bulan sahaja lagi untuk meninggalkan tahun yang ditunggu-tunggu sebelum. Dahulunya tahun 2020 ditunggu-tunggu oleh kebanyakan orang. Masing-masing mempunyai andaian dan penafsiran sendiri tentang tahun 2020.
Saya masih ingat lagi ketika saya ditanya oleh seorang peserta tentang tahun 2020. Jawapan ringkas saya ialah “jawapan saya sering tidak sama dengan jawapan orang lain.” Apabila diminta berkali-kali untuk memberikan pandangan, saya hanya menjawab; “tak usahlah memikirkan sangat tahun 2020, ia penuh dengan didikan dan ingatan dari Yang Maha Kuasa”.
Tafsiran Masing-Masing
Berkaitan dengan numerologi, pada saya setiap orang ada penafsiran masing-masing. Bahkan saya sering mengatakan penafsiran yang diungkap semuanya betul kerana masing-masing bersandarkan ilmu dan pengetahuan yang diberi.
Kini semua orang mahukan supaya tahun 2020 cepat menghilangkan diri. Semua mengharapkan dengan hilangnya tahun 2020 maka hilanglah segala tekanan dan kekangan serta penderitaan dan ketakutan.
Ingin Segera Berlalu
Moralnya pada saya, kita selalu mengharapkan sesuatu perkara yang kita mahu datang dengan segera tanpa kita ketahui sama ada kedatangannya itu membawa kebaikan atau sebaliknya. Jika kedatangannya penuh dengan penderitaan maka kita mahu ianya segera berlalu. Tetapi kita lupa ia hadir kerana kita. Kita yang memanggil dan mengharapkan kedatangannya.
Sesuatu yang saya sangat pasti ialah apabila tahun 2020 mula menghilangkan diri, usia kita pasti akan bertambah. Kehilangan tahun 2020 tidak akan membuatkan usia kita semakin berkurang. Bagi mereka yang seusia dengan saya atau mungkin lebih berusia, mungkin ada kelainan dari segi penampilan diri.
Bila Rambut Hitam Mula Putih
Watak kita mungkin masih sama tetapi tenaga kita boleh jadi semakin berkurangan. Rambut kita mungkin bertambah panjang seperti biasa tetapi ketebalannya susut hingga mula menampakkan kulit kepala. Rambut kita mungkin masih hitam. Namun di sebalik rambut yang hitam, terdapat banyak yang sudah bertukar menjadi putih.
Setiap kali saya menyisir rambut saya, saya pasti akan melihat cahaya-cahaya di hari kiamat yang sudah banyak berada di kepala saya. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Shu’aib yanga mana Baginda s.a.w bersabda “Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.”
Jangan Takut Bila Uban Memenuhi Kepala
Justeru rambut hitam yang bertukar menjadi putih itu tidak perlu ditakuti. Apabila kita sudah beruban maka cahaya-cahaya kiamat sudah mula timbul. Kiamat yang paling hampir adalah kiamat kecil. Maka apabila uban sudah mula ada, perkara paling penting bagi saya ada sentiasa mempersiapkan diri untuk bertemu Allah swt dalam keadaan yang diinginkan.
Hitam menjadi putih juga pada saya, membawa falsafah yang bermaksud sudah tiba masanya untuk membuang segala kehitaman yang ada pada diri agar perjalanan seterusnya penuh dengan cahaya yang indah. Tiada seorang manusia pun yang sempurna di dunia ni.
Tiada ada seorang pun di antara kita yang maksum kerana kita bukan nabi dan kita bukan rasul. Justeru, warna hitam rambut kita memberi perlambangan yang kita ini terdedah dengan dosa. Bahkan kita layak digelar pembuat dosa atau pendosa.
Datangnya rambut putih di kepala kita sebagai satu pesanan dan ingatan untuk kita berubah untuk memutihkan segala kehitaman yang pernah kita lalui samada dengan sengaja, tidak sengaja atau tanpa kita sedar. Semakin banyak hitam bertukar menjadi putih maka seharusnya semakin banyaklah usaha kita untuk membersihkan diri.
Putih itu pada saya adalah perlambangan pembersihan. Ini akan menyebabkan kita sentiasa mendapat kebaikan daripada usaha kita memdamkan kehitaman lalu. Baginda s.a.w juga pernah bersabda “ tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.” (HR Abu Daud).
Peringatan Tentang Mati
Saya juga meletakkan satu falsafah tentang uban dalam diari hidup saya. Putih itu juga tanda kematian yang semakin hampir kerana kain kafan yang bakal dipakaikan ketika kita memasuki ke rumah transit kelak juga berwarna putih. Justeru, semakin banyak uban di kepala maka semakin banyaklah ingatan mati untuk kita.
Semakin kurang rambut kita di kepala maka semakin kuranglah fikiran untuk dunia kita. Kita bukan siapa-siapa. Kita adalah pendosa. Kita semua sama. Apa yang berbeza adalah keikhlasan kita untuk bertemu Allah SWT dan tahap keimanan kita kepada-Nya. Semakin kita ikhlas untuk bertemu denganNya semakin kita cuba untuk membersihkan diri.
Semoga tubuh kita sentiasa memberi ingatan tentang kekuasaan Allah SWT dan ingatan kepada kematian. Apabila hitam menjadi putih, itu tanda kita perlu membersihkan diri biar bersih agar nanti kita tidak sedih.
Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, Certified NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis jemputan di dalam majalah MINGGUAN WANITA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Eyka Farhana selamat bergelar isteri Akhyar Rashid, 5 tahun menyulam kasih sebelum bersatu. Lima tahun menyulam kasih, akhirnya pelakon jelita Eyka Farhana sah bergelar...