Cabaran besar sebenarnya bila jauh di sudut hati kita ada rasa diri dah cukup baik. Sama ada nak mengaku atau tak, kadangkala akan wujud perasaan itu dalam diri.
Cabaran Besar
Bukan mudah mengurus perasaan “Aku Orang Baik!”. Besar cabaran yang perlu dilalui oleh individu yang telah beroleh nikmah ilmu, iman, amal dan takwa daripada Tuhan. Pelbagai dugaan dan hasutan perlu dihadapi demi menjaga anugerah Ilahi yang tiada ternilai itu.
Bila Tuhan ingin memberi cahaya ilmu, iman dan amal kepada seseorang maka tiada siapa mampu menghalang. Namun begitu, perubahan diri daripada seorang yang ‘kurang baik’ kepada seorang yang ‘lebih baik’ sering mengundang perasaan negatif jika tidak dikendali secara kefahaman Islam yang betul.
Cabaran Bila Suka Bandingkan Diri Dengan Orang Lain
Bila seseorang menjadi ‘lebih baik’, individu mula membanding kebaikan diri dengan orang lain. Individu merasa dirinya yang betul dan perlu diikuti. Keinginan berdakwah bagi membetulkan persekitaran kehidupan negatif dilakukan secara tanpa berhikmah hingga mengguris perasaan orang lain.
Maka lahir kesombongan dalam diri hingga boleh menimbulkan pergeseran dalam hubungan keluarga, organisasi dan masyarakat.
Nikmat ilmu, iman dan amal itu harus disertai dengan kesyukuran kepada Allah SWT. Antara bentuk kesyukuran yang boleh dilakukan adalah melalui amal-amal kehidupan yang dilaksanakan dengan cara yang terbaik
Ads
Maksudnya, jika seseorang itu buat bisnes, usahakan agar bisnes itu benar-benar menempah kejayaan yang boleh dibanggakan. Jika seseorang itu bekerja dalam organisasi, tampilkan kualiti kerja yang terbaik hingga mampu mengharumkan nama majikan atau organisasi.
Lakukan Yang Terbaik
Jika seorang menjadi suami maka jadilah suami yang terbaik dalam memimpin ahli keluarga ke arah kehidupan yang diredai Tuhan. Jika menjadi isteri, maka jadilah isteri yang sangat berbakti kepada suami dan anak-anak. Jika menjadi anak maka jadilah anak yang soleh yang berbakti kepada kedua ibu bapa dengan penuh kasih sayang.
Sememangnya itu lah tuntutan sebenar daripada individu muslim-mukmin yang baik. Segala kebaikan diri yang terbina dan terdidik melalui cahaya ilmu, iman dan amal akan menampilkan personaliti yang mulia secara zahir dan batin. Kebaikan itu lah yang boleh dirasai kemanisannya oleh orang-orang di sekeliling bahkan oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain.
Pancaran Makna Nama-Nama Tuhan
Kewujudan Tuhan terpancar pada kejadian makhluk-Nya. Kebesaran Tuhan terpancar pada kejadian langit dan bumi. Kebijaksanaan Tuhan terpancar pada perjalanan seluruh planet dan bintang-bintang di angkasa. Sifat ‘al-Rahman’ Tuhan terpancar kepada seluruh kehidupan yang melata di atas muka bumi dengan jaminan rezeki yang mencukupi.
Bila ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w, Saidatina Aishah r.a. menjelaskan bahawa akhlak baginda adalah al-Quran. Maksudnya, seluruh pengajaran al-Quran terpancar pada peribadi Rasulullah s.a.w yang mulia itu.
Ads
Cabaran Indahkan Personaliti Diri
Sesuai dengan perbincangan ini, bolehkah individu muslim-mukmin memperindahkan personaliti diri hingga dirinya menjadi pancaran kepada keindahan nama-nama Allah SWT yang banyak itu?
Maksudnya, jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Rahman’ (Yang Maha Pengasih) maka individu cuba mempamerkan sifat kasih-sayang yang terbaik dalam kehidupannya. Jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Sabur’ (Yang Maha Penyabar) maka individu cuba menghayati sifat kesabaran yang terbaik dalam kehidupan ini. Jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Afuw’ (Yang Maha Pemaaf) maka individu cuba mengamalkan sifat bermaaf-maafan yang terbaik dalam kehidupan ini.
Tempat Allah Pancarkan Kewujudan-Nya
Maka jadilah diri individu muslim-mukmin yang baik itu sebagai tempat untuk Allah SWT pancarkan kewujudan-Nya kepada seluruh manusia yang ada. Mudah-mudahan dengan cara itu orang-orang Islam yang tidak yakin dengan Allah SWT akan kembali meyakini Keesaan-Nya.
Hargai setiap nikmat Tuhan kepada diri, khususnya nikmat ilmu, iman dan amal. Mohon agar segala kurniaan Ilahi itu kekal hingga akhir hayat kita di atas muka bumi ini.
Sumber Artikel: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru 2021 buat semua. Diharapnya tahun baru ini akan menjadi lebih baik dari sebelum ini. Maklum saja pelbagai cabaran yang dihadapi pada tahun 2020 dan memang sukar untuk dilupakan terutamanya bagi mereka yang mengalami suasana genting dalam menempuh wabak covid 19.
Bukan mudah untuk melupakan, itulah yang boleh dikatakan. Malah, pada tahun 2021 ini harap kita dapat memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan menghargai setiap apa yang kita ada terutamanya insan-insan tersayang.
Dalam hal memperbaiki diri untuk jadi yang lebih baik dan hargai kasih sayang yang ada ini, Nur Atiqah Othman turut menitipkan beberapa saranan yang boleh kita jadikan rujukan dalam memperbaiki diri.
1. Jika kita biasa bangun pagi solat subuh sahaja. Cubalah setiap pagi bangun lebih awal setengah jam. Menunggu subuh di atas sejadah. Solat 2 rakaat minta ampun kepada Tuhan. Kita sama meraih kasih sayang Tuhan yang tak pernah tinggalkan kita.
2. Sebelum ini tak biasa menunjukkan kasih sayang kepada suami atau isteri. Biasakan setiap pagi peluk pasangan. Ucapkan sayang. Senyum dan ucapkan terima kasih. Pandang wajah anak. Ucapkan sayang. Berilah bahagia pada wajah mereka. Yang mungkin selama ini kita abaikan.
3. Jika sebelum ini jumpa mak dan ayah tanpa salam dan peluk cium. Biasakan sayang dan peluk mereka. Beritahu yang kita sayangkan mereka. Jika tak dapat balik kampung telefonlah sebagai penghubung kasih sayang. Boleh jadi Tuhan akan lebih mengasihi kita.
4. Kalau sebelum ini kurang menziarahi adik beradik walaupun ada yang duduk dekat. Tahun ini sentiasalah datang bertanya khabar. Bawalah sedikit makanan dan barangan dapur. Datanglah ke rumah mereka dan bersembang tanpa tengok telefon. Itulah kawan rapat kita dari kecil. Jangan sia-siakan.
5. Jika tahun lepas kita marah dan susah nak tolong pengemis dan peminta sedekah. Tahun ini jumpa mereka kita senyumlah dan bertanya dengan baik. Jangan hina dan herdik. Kalau mampu beri, berilah sedikit duit. Kalau tak mampu layanlah baik-baik.
6. Kalau tahun lepas dah terbiasa pergi keluar rumah dan balik rumah sahaja. Tahun ini pandanglah jiran sebelah dan sapa.
7. Jika tahun lepas setahun sekali beri hadiah pada rakan sekerja tahun ini cuba buat sebulan sekali. Pasti bertambah kasih sayang kerana saling memberi hadiah.
8. Kalau tahun lepas belanja isteri, suami atau anak-anak sekali setahun. Tahun ini cuba buat sebulan sekali. Bukanlah semestinya mewah tapi cukuplah satu momen yang indah.
9. Malah jika tahun lepas kita sehari di rumah kita hanya sibuk menghadap telefon dan kerja. Cuba tahun ini kita ada masa sehari 2 atau 3 jam untuk off telefon dan sibukkan dengan isteri atau suami dan anak-anak.Hargai dan nikmati masa bersama mereka.
Kawan-kawan,
Masa yang telah berlalu memang tak akan berulang. Tanpa kita sedar kita kurang hargai orang yang kita sayang.
Insan-insan di sekeliling kita, yang kita cuba kasih dan sayang mereka akan sentiasa doakan kita. Paling banyak kita memberi kasih sayang dan paling banyak juga kita terima kasih dan sayang.
Jika kita hanya biarkan kehidupan kita berlalu tanpa kita hargai orang sekeliling dengan kasih dan sayang. Bagaimana Allah dengan sifatnya Ya Rahman Ya Rahiim akan menurunkan lebih banyak kasihNya kepada kita?
Jangan pula kita menyesal. Setelah orang-orang tersayang kita tiada dan kita rasa ruginya tak sepenuh menyayangi.Hidup ini terlalu singkat untuk bersengketa. Terlalu sedikit masa kita di dunia. Berkasih sayanglah. Itu menandakan bahawa kita kasih dan sayang pada Allah dan RasulNya juga.
Begitulah.
Sayang semuanya kerana Allah.
MW: Mana yang tahun lepas kita rasa ada yang kurang, perbaiki dan hargailah apa yang kita ada.
Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh bila sedang diuji, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Mengeluh Dan Keluhan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang dari akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Kecewa Punca Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewaMengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Berdoa Pada Waktu Mustajab
Pada saya mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap.
Doa Yang Sempurna
Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran dan suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Ganti Keluhan Dengan Elemen Positif
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di YouTube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bersyukur. Perkataan itu cukup mudah diluahkan di bibir, namun sejauh mana terkesan di hati? Bukan mudah untuk didik hati untuk bersyukur. Ikuti perkongsian ini daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor. FB: https://www.facebook.com/abuiqbalhakim
Ketika ini saya sedang mengetik komputer riba di perkarangan kampus Universiti Indonesia. Beberapa kali saya didatangi anak-anak kecil. Berusia lingkungan 10 tahun. Mereka menjual tisu muka. Harganya murah. Sebungkus RM1.50 sahaja.
Cari Rezeki Dengan Seragam Sekolah
Sewaktu saya menaiki jejantas, saya temui lagi anak-anak ini. Ada yang berusia remaja. Masih berseragam sekolah. Menjaja tisu juga. Isteri saya berkata, sebelum remaja lelaki berseragam sekolah menjual di situ, ada seorang anak kecil lelaki di tempatnya. Barangkali, mereka adik-beradik. Menjaja tisu demi segenggam rupiah. Demi bisa ke sekolah.
Bukan sekadar itu. Di sini, jika menaiki kereta di jalan yang jem, kita pasti berpapasan dengan para penjual ini. Bukan sekadar tisu, mereka menjual apa sahaja. Dari air mineral sehinggalah makanan ringan. Biar panas, mereka tahan. Ada ibu yang menggendong anak kecil, meraih simpati dengan wajah sayu. Juga nenek tua yang hitam. Ada yang mengecat diri sendiri lalu beraksi bagai ‘patung bernyawa’, sambil menghulurkan kotak minta simpati.
Bersyukur Kita Lahir Di Malaysia
Kita mungkin tidak dapat melihat senario berkenaan di Malaysia. Jika ada pun yang mencari derma, mereka bukan anak-anak kita. Wajah mereka wajah Myanmar. Namun, di sini (Indonesia), jauh di sudut hati saya merasa pilu. Ya, anak-anak kecil penjual tisu. Mencari belanja sekolah. Dengan seragam yang kusam. Di tepian jalan berjam-jam.
Di sinilah saya sering berpesan kepada diri, juga anak-anak. Betapa kita bertuah dilahirkan di bumi yang namanya Malaysia. Benar, ada kalanya kita diuji. Riak-riak politik yang menjentik. Pasaran saham yang menukik (menjunam). Harga barangan yang menanjak. Itu dan ini. Namun percayalah, kita masih amat jauh beruntung.
Rezeki Menanti
Kehidupan kita berjalan indah. Tidak ada anak-anak tertinggal sekolah. Benar, kita bising dengan pinjaman pengajian yang tinggi. Namun percayalah. Sehabis belajar, pekerjaan banyak menanti. Asal jangan malas atau memilih. Kita tidak perlu mengintai jauh ke luar negeri. Mencari rezeki, meninggalkan ibu bapa, anak isteri.
Kehidupan kita sedari anak berjalan mulus. Benar semuanya memerlukan fulus. Namun keluar sahaja rumah, pasti sore nanti kita bawa wang. Namun sedarkah kita, beberapa teman saya dari tanah seberang berkata. “Di negara kami, keluar pagi, sore nanti belum tentu saku terisi.”
Kehidupan kita memang mencabar. Namun kita masih mampu tersenyum. Banyak bantuan dihulurkan kerajaan. Khususnya golongan miskin (B40), banyak institusi yang menjamin. Pusat zakat, JKM dan apa sahajalah. Sedangkan ada orang lain, di belahan dunia lain, ada yang terlantar kerana segalanya tiada di sisi mereka. Biar pintar, belum tentu bisa belajar. Natijahnya apa?
Didik Diri Untuk Bersyukur
Ya, ia mendidik kita untuk bersyukur. Rasa syukur yang wajib dipamerkan. Bukan sekadar disimpan. Zahirkan dengan perbuatan. Menjadi umat yang lebih prihatin. Saling menjaga. Tidak bertelingkah. Menegakkan keadilan. Menjauhi rasuah. Tanpa kecuali. Rakyat atau pemerintah.
Kita boleh mulakan. Ya, dengan langkah paling mudah. Misalnya, tidak membuang sampah merata-rata. Atau tidak merasa malu mengutip sampah di depan mata. Mematuhi lampu merah di jalan raya. Menjimatkan elektrik dan air. Menebarkan senyum dan salam. Membantu membuka pintu. Menolong mengangkat barangan. Hatta mengucapkan terima kasih. Jua senyum di wajah.
Menyumbang Untuk Kebaikan
Ya. Kita hendaklah berusaha menjadi rakyat Malaysia yang membanggakan. Menjadi rakyat Malaysia yang menyumbang. Ia adalah tuntutan. Jangan sampai kita tersedar dengan keamanan, saat bangunan sudah berantakan. Marilah menyintai rasa kesatuan. Menyintai watan. Kata Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, itulah pra syarat kemajuan.
Percayalah, kita ditakdirkan menjadi rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada banyak perkara yang patut menjadi tujuan. Menyumbang untuk kebaikan. Membanggakan. Paling tidak pun, tidak menyusahkan. Wallahuallam.
Catatan ringkas di Depok, Indonesia pada 4 Mac 2020.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...