Berniaga Bukan Perlu Duit Semata, Kena Betulkan Modal Asasnya Iaitu SIKAP

Pada saya hidup ini persis satu perniagaan. Ada kalanya untung, adakala rugi. Bahkan banyak kali juga tidak rugi dan tidak untung. Ramai yang berkata kepada saya, “orang berniaga ni senang, ada banyak masa… banyak duit.”

Berniaga Tanpa Modal

Bagi kami yang berniaga pula memandangnya dari satu sudut yang berbeza kerana mereka yang bekerja biarpun mengeluh tidak berduit tetapi hujung bulan tetap sahaja ada duit masuk. Tak banyak sikit tetap ada kemasukan di hujung bulan. Tinggal lagi bagaimana menyusun perbelanjaan dan simpanan.

Seperkara lagi, cerita yang mengatakan orang berniaga punya banyak waktu adalah sesuatu yang tidak berapa tepat. Orang berniaga tidak boleh mengambil cuti sesuka hati melainkan dia sudah berjaya mempunyai perniagaan yang boleh diurus oleh para pekerjanya. Jika sekadar berniaga biasa-biasa, cuti bermakna duit tidak masuk ke poket.

Berniaga Tak Semesti Modal Besar

Biarpun ada yang mempromosikan bisnes tanpa modal tetapi hakikat perniagaan tetap perlukan modal biarpun sedikit.  Kita perlukan modal untuk bergerak.  Kita perlukan modal untuk berkomunikasi. Justeru, pada saya bisnes tanpa modal bukanlah bermakna terus tiada modal tetapi modalnya terlalu kecil untuk diperkirakan sebagai modal.

Kira-kira 10 tahun yang lepas saya dan seorang sahabat ada mengadakan bengkel teknik berniaga tanpa modal. Tujuan utamanya adalah untuk memberi ruang kefahaman yang jelas agar mereka yang ingin berniaga tidak terikat dengan cerita modal besar dan mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan iklan bisnes tanpa modal yang akhirnya menyebabkan mereka hanya menjadi seorang jurujual produk.

Berniaga Bukan Perlu Duit Semata, Kena Betulkan Modal Asasnya Iaitu SIKAP
Foto: 123rf

Kenal Pasti Kelemahan

Saya pernah ditanya oleh seorang peserta program apprentice (perantis) perniagaan yang kami adakan baru-baru ini. “Saya dah buat promosi online.  Kemudian dah buat macam-macam.  Tapi resultnya tidak seperti mana yang saya harapkan.  Apa salah saya?  Orang lain buat entah apa-apa tapi ok je.”, tanya peserta tersebut kepada saya.

Setiap peserta akan menjalani ujian profiling untuk memudahkan kami mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki dan kelebihan-kelebihan yang perlu diperkasakan. Saya dan sahabat yang terlibat sudah membuat rumusan tentang kelemahan dan kekuatan yang ada pada peserta yang bertanya itu. Kelemahan yang paling ketara yang perlu dia perbaiki seandainya dia ingin berjaya adalah membawa modal asas ke dalam perjalanan hidupnya.

IKLAN

Dia mungkin sudah ada pengalaman berniaga. Dia juga mungkin sudah ada modal untuk memperbesarkan atau memperbanyakkan cabang perniagaannya.Tetapi pengalaman dan modal itu tidak membawanya ke arah yang sepatutnya bahkan sentiasa menyebabkan dia tersandung dalam meraih keuntungan.

Tiada Modal Asas

Bersandarkan kepada keputusan ujian yang dijalaninya, dia tidak menitikberatkan modal asas untuk berjaya dalam apa juga lapangan hidup.  Biarpun kita banyak modal, jika kita tidak ada modal asas ini, insya-Allah kita akan kerugian. Biarpun kita ada ramai pelanggan tetapi apabila kita abaikan modal asas ini, insya-Allah pelanggan yang ramai kabur sedikit demi sedikit.

Modal asas yang diperlukan oleh setiap peniaga adalah ATTITUDE atau SIKAP.  Sikap ini luas maknanya, Justeru sikap yang bagaimana yang diperlukan oleh seorang peniaga untuk berjaya. 

Lagi artikel menarik di sini:

Isteri Sibuk Buat Bisnes Kat Rumah, Keluarga Jangan Terabai Pula

IKLAN

Ikuti MW di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Sikap Adil

Pertama, sikap kita terhadap apa yang kita jual. Jika kita menjual sesuatu produk, adakah kita bersikap adil padanya.Adakah kita benar-benar menyukainya atau kita hanya mahu mempergunakannya. Produk juga satu bentuk makhluk meskipun tidak bernyawa. Justeru, kita juga perlu jujur dengan produk yang kita dagangkan itu. Kedua, sikap kita terhadap orang sekeliling kita, tak kira sama ada pelanggan atau bukan pelanggan.

IKLAN

Adakah kita menjaga silaturahim yang ada atau kita mengambil kesempatan ke atas mereka yang berada di sekeliling kita? Adakah kita mahu berkongsi pengalaman dengan teman-teman seperjuangan kita atau kita hanya mahu mencedok ilmu mereka untuk kegunaan kita?  Kita mungkin tidak mahu mengajar ilmu yang ada kepada mereka tetapi tidak salah untuk berkongsi pengalaman untuk maju bersama.  Mengajar dan berkongsi adalah dua perkara yang tidak sama.

Jaga Silaturahim

Apabila kita bersikap pentingkan diri sendiri dan sering melihat kelemahan orang lain dari membetulkan diri sendiri maka sikap itu bukanlah sikap seorang peniaga.  Orang yang berjaya dalam perniagaan mempunyai sikap terpuji terhadap produk mereka dan mereka juga sangat menjaga silaturahim di kalangan pelanggan dan bukan pelanggan.

Jangan salahkan orang lain andai apa yang anda buat tidak menjadi. Jangan hanya pandai mencari kelemahan produk seandainya tiada yang mahu membeli kerana pembeli tidak membeli hanya kerana produk. Mereka membeli kerana sikap yang ada pada orang menjual produk tersebut.  Justeru, jika kita benar-benar ini berniaga, betulkan sikap kita agar ia selari dengan sikap seorang peniaga.

Sikap itulah yang membezakan seorang peniaga dan orang biasa.  Sikap itulah sebenarnya modal paling asas untuk berniaga. Semoga kita mempunyai sikap yang selari dengan kejayaan yang diimpikan.

Sumber: Dato’ Dr. Azhar Hj Surip, NLP Gold Master Trainer NFNLP USA)

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI