Ayah turut memainkan besar dalam mendidik dan membentuk diri anak-anak. Kenapa sering kali dilabelkan ayah akan DITAKUTI dan bukan DIHORMATI? Sebab itu, ramai anak yang mengakui, mereka lebih suka kalau ayah tak ada di rumah dan hubungan dengan ayah juga kurang mesra terutama anak lelaki.
Dalam satu kes yang saya kendalikan, seorang ayah bersikap kasar dan keras walaupun terhadap anak yang baru berusia dua tahun dan empat tahun. Menurut si ibu, anaknya tak boleh main dalam keadaan suara yang meriah walau pun sedikit, pasti suaminya akan menjerit marah-marah kerana merasakan masa rehatnya diganggu.
Ayah Tak Beri Anak Kebebasan Di Rumah
Anak-anak juga tak dibenarkan berlari dan bergerak bebas di dalam rumah. Bagi si suami, tindakan si anak mengganggu konsentrasinya untuk menikmati rancangan televisyen kegemarannya yang hanya boleh ditonton di waktu hujung minggu.
Disebabkan tindakan si suami, anak-anak akan menjadi murung dan monyok jika ayah mereka berada di rumah. Tapi bila suaminya ditugaskan bekerja luar daerah, anaknya yang kecil bersuara: “papa tak balik ye? Bestnya!”
Wajarkah Sikap Ayah?
Mungkin bagi sebahagian pembaca, menganggap sikap si ayah adalah sikap yang wajar. Ya lah! Dah penat bekerja, mestilah nak bertenang dan rehat dalam keadaan yang selesa. Mungkin ada yang berpendapat, si lelaki dalam kes ini belum bersedia untuk menjadi seorang ayah.
Bagi saya pula, bersedia atau tidak untuk menjadi seorang ayah bukanlah topik utama kerana ketika anda, sama ada lelaki atau perempuan, mengambil keputusan untuk berkahwin, anda sebenarnya telah bersedia untuk menjadi seorang suami atau isteri sekali gus bersedia juga untuk menjadi seorang ibu atau bapa.
Isu bertenang dan berehat sememangnya benar tetapi yang jelas di dalam kes ini ialah, si ayah gagal untuk memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah malah gagal untuk memahami kehendak anaknya sendiri.
Sebagai seorang ayah malah juga seorang ibu, anda perlu fahami kehendak anak anda. Dalam usia sekecil anak-anak di dalam kes tersebut, sememangnya mereka suka bermain, membuat kecoh, berlari malah meneroka ke sana sini bagi mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.
Jika fitrah ini disekat, pembesaran si anak akan terbantut dan boleh menjadikan si anak seorang yang tidak aktif, lembap dan tidak bijak. Malah, bermain di usia kanak-kanak merupakan satu bentuk pengajaran yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada ibu bapa.
Didik Anak Cara Rasulullah
Rasulullah s.a.w mengajar agar anak-anak dibentuk sikap dan akhlaknya melalui empat peringkat usia:
Umur bawah 6 tahun – dibentuk melalui bermain, bermanja, bergurau;
Umur 7 hingga 14 – dibentuk secara mengajar dan mendisiplinkan;
Umur 15 hingga 21- mendidik melalui berkawan;
Umur melebihi 21 tahun pula diberikan kebebasan bertindak sementara ibu bapa sebagai penasihat.
Jika saranan Rasulullah s.a.w ini difahami sebaiknya, takkan ada ibu bapa yang marah-marah bila anaknya bermain malah ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bermain bersama si anak.
Ayah Sila Ubah Sikap
Buat si ayah yang pernah mendabik dada, kononnya anda ayah dan ketua keluarga, kata-kata anda adalah kata muktamad, tak boleh ditambah kurang apatah lagi dibangkang, berusahalah untuk mengubah sikap diri sekiranya anda inginkan anak anda juga berubah.
Ads
Tak perlu jadi seorang yang garang, kasar dan keras terhadap anak-anak bagi menjadikan diri anda dihormati dan disayangi. Kasih sayang hanya akan wujud dan bercambah dengan kasih sayang juga, bukan dengan kekerasan. Jika kekerasan yang anda ajarkan kepada anak anda, pastinya kekerasan juga yang anda akan peroleh.
Masa Kualiti Dengan Anak
Dalam masa yang sama, peruntukkan masa yang berkualiti untuk anak anda. Benarlah, dunia hari ini sentiasa mengejar masa dan duit. Namun, satu perkara yang perlu diingat, mempunyai wang berjuta-juta pun takkan mampu membeli kasih sayang yang tulus dan ikhlas daripada anak anda sendiri.
Bukan hanya perhatian, belaian dan kasih sayang yang perlu diberikan kepada seorang anak. Malah sebagai seorang bapa, anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanggung segala perbelanjaan keperluan hidup anak-anak anda.
Tanggungjawab Yang Berkekalan
Tanggungjawab ini kekal walaupun berlaku perceraian antara anda dan isteri anda dan si anak diletakkan di bawah jagaan bekas isteri anda. Jangan mudah memberikan alasan tak mampu sedangkan anda boleh pula mencari beban baru dengan berkahwin lagi malah ada kes, membiayai anak tiri. Bayangkan apa yang anak-anak alami?
Rayuan saya, ambil masa untuk berfikir, apa yang bakal berlaku 10 atau 20 tahun akan datang, andai akan kekal dengan sikap tidak mempedulikan anak-anak anda kini? Terlalu banyak kes dikongsikan media hari ini. Ambillah teladan dan pengajaran agar anda tidak menjadi bahan berita mereka pula pada masa akan datang.
Buat mak-mak yang anaknya sudah kahwin, jangan sampai wujud status menantu pilihan dalam keluarga. Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia. Boleh jadi dia suka memandang hina pada isterinya. Dan kalau menantu bijak pandai, belum tentu anak anda bahagia. Mungkin dia suka memperbodoh-bodohkan isterinya.
Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata saja. Tak semestinya menantu ada gelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Bandingkan
Jadi kepada anda yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa biji banglo dan kereta mewahnya cubalah beringat, tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mertua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka. Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita. Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Tak payah Bangga Sangat
Urusan membangga-banggakan anak menantu boleh jadi membawa kesan positif jika mahu memberi pengajaran pada orang lain. Tetapi jangan pula terbakar amal soleh kita disebabkan hasad dengki yang tular akibat tabiat suka tayang hebat. Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. Maka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim. Rasulullah s.a.w bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya. (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Panduan Pilih Menantu
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Dalam tafsir Ibnu Kathir makna ayat ini menurut Umar, Ibnu Abbas, Abu Malik, Qatadah dan selainnya: “Ketika wanita itu berkata begitu kepada bapanya, bapanya bertanya: Apa yang kamu tahu tentang dia? Wanita itu berkata: Dia telah mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat oleh 10 orang lelaki dan ketika aku datang bersamanya berjalan di hadapannya, dia berkata berjalanlah di belakangku. Jika dia berbeza arah denganku maka dia melemparkan batu kerikil agar aku mengetahui ke mana dia berjalan.”
Realiti Menantu Zaman Sekarang
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah melalui kisah ini dan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja. Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan 3 kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rezeki setiap orang itu berbeza. Amalan mereka itulah yang menentukan rezeki datang kepadanya sama ada dengan banyak dan berkat, atau sebaliknya. Bacalah perkongsian kisah rezeki usahawan yang ditulis oleh Bapa Viral Kebangsaan, Khairul Hakimin Muhammadtentang sahabat lamanya.
Bagaimana kawannya ini mendapat rezeki yang tak pernah putus daripada Allah. Apa amalannya?
“Semalam, saya pergi jumpa kawan lama. Beliau ada banyak bisnes tak popular. Contohnya beli hartanah dan sewakan di sana sini. Facebook beliau pun berhabuk tak ada update.
“Saya tanya dia 2-3 soalan tentang murahnya rezeki dia. Kerja tak sampai 10 tahun, namun selepas berhenti, terus buat bisnes, kencang bukan main.
Dia beritahu saya beberapa benda sahaja yang dia buat.
9 Amalan Ini Buat Rezeki Melekat Dan Berterusan
1. Setiap minggu (setiap hari jumaat) dia akan transfer / bank in duit ke isteri dia sebagai hadiah. Buatlah belanja atau nak simpan. Apa-apalah.
Masa kerja gaji RM1,600 dulu. Dia hanya boleh beri RM70 sahaja seminggu.
2. Dia juga buat benda yang sama untuk emak ayah dia dengan jumlah duit yang sama (waktu itu).
Dia pegang pada pesanan gurunya, hadiah kepada yang tersayang dan terdekat ini akan memurahkan rezekinya sendiri.
3. Sentiasa beli lebih untuk agihkan kepada orang lain. Asal dia beli nasi untuk sarapan di pejabat, dia akan beli 2-3 lebih. Letak di pantry dan tulis ‘siapa cepat dia dapat’. Kadang-kadang beli kuih.
4. Masuk surau, masjid, mesti solat dua rakaat. Mesti. Jika nak ke tandas sekalipun, ambil wuduk, dan pergi solat sekejap. Biasanya itu adalah jemputan Tuhan. Waima masa nak ke tandas, kebetulan terjumpa surau / masjid.
Dan kemudian, letaklah duit di tabung.
5. Setiap bulan, beliau beli 2 naskhah buku dan poskan ke sekolah-sekolah yang beliau cari alamat di sosial media. Belasah sahaja hantar atas nama perpustakaan.
6. Setiap kali keluar makan dengan keluarga dan kawan-kawan, dia kata dia akan berusaha pergi bayar. Melainkan masa itu memang tak berduit.
7. Tak boleh berkira. Awal bisnes, jika job yang dapat itu semurah RM50, ambil. Pelajaran lagi besar nilainya dari duit. Dulu, RM50, sekarang dah naik berpuluh kali ganda.
8. Baik sangka dengan Tuhan. Sekiranya ada sahaja ujian yang melibatkan habisnya wang. Ingat balik, adakah bulan / minggu / hari tersebut ada yang termiss beri hadiah atau sedekah.
9. Meminta-minta dengan Tuhan. Ini wajib. Mintalah setiap hari. Tak boleh jemu, tak boleh biar, tak boleh malas. Minta minta minta.
Sila Terkejut Dengan Hasilnya
Hari ini, beliau ada 4 buah kedai 3 tingkat yang disewa. Setiap satunya dapat dalam RM16,000/bulan.
Kemudian ada beberapa rumah juga dijadikan sewaan.
Nak kata beliau kaya raya, tidak juga. Masih ada hutang bangunan yang belum selesai. Namun, hutang peribadi dengan bank semua dah tak ada.
Ada lagilah bisnes beliau yang nampak biasa-biasa dan tidak popular.
Hari ini, pagi-pagi hantar anak sekolah, kemudian pergi minum dengan orang rumah. Cuti-cuti balik kampung tengok keluarga.
Rasa cemburu pun ada. Pesan beliau kepada saya:
“Asal namanya kebaikan, buat. Walau hanya ada RM10 dalan poket, entah-entah RM5 adalah untuk beli kuih / makanan kepada kawan di pejabat. Mana kita tahu dia tak makan kerana tak ada duit, dan datang kerja setiap hari hanya minum air kosong.
“Aku pernah rasa semua itu. Jadi aku buat semula kepada orang lain. Dan hari ini, Allah balas satu demi satu dengan cukup tersusun dan bergaya. Alhamdulillah.”
Mak ayah yang telah lama bergelar ibu tunggal atau bapa tunggal bebas untuk memilih jodoh masing-masing bila tiba saat yang mereka rasa sesuai.
Mungkin ada yang telah terbuka hati mereka untuk kembali bergelar suami atau isteri setelah hati mereka terubat daripada duka perpisahan. Tak kira perpisahan itu akibat perceraian atau pasangan meninggal dunia. Ditambah pula bila berasakan tugas mendidik anak-anak sudah ditunaikan.
Ramai ibu atau bapa tunggal yang sanggup mengenepikan perasaan sendiri kerana ingin fokus membesarkan anak-anak. Bila masanya, apabila dirasakan anak-anak sudah mampu berdikari, mereka bukakan pintu hati mereka untuk menerima pasangan baru dalam hidup mereka.
Anak Tak Patut Halang Hasrat Mak Ayah
Tak dinafikan, anak-anak tak sepatutnya masuk campur dalam urusan mak ayah bila mereka berhasrat untuk berkahwin lagi. Apatah lagi jika anak-anak sudah besar dan punya keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi mak dan ayah itu dah lama single. Tak salah kan kalau mereka nak kahwin lagi kan?
Jangan salah faham. Ada anak yang marah bila ibu atau bapa mereka luahkan hasrat nak kahwin. Kata mereka, dah tua pun tak sedar diri. Uih, jangan begitu. Kasihan mak ayah tu. Sebenarnya semakin usia meningkat, mereka berkahwin bukan sebab nafsu. Tapi lebih kepada ingin peneman untuk menjalani hari-hari tua bersama. Sekurangnya ada kawan nak ke surau, nak ajak ke klinik.
Mungkin anak berasakan mereka ada, kenapa perlu orang lain? Kena faham, peranan anak tak sama dengan pasangan hidup. Lebih-lebih lagi kalau anak dah ada kehidupan sendiri. Beza tau.
Minta Persetujuan Anak
Ya, memang betul anak tak ada hak nak larang. Tapi seeloknya, ibu atau bapa itu berbincanglah dengan anak-anak elok-elok. Kenalkan calon pilihan masing-masing. Kena ingat ye, bila berkahwin, anak-anak juga akan terlibat secara langsung. Sebab itu, penting untuk cari jodoh yang anak-anak boleh terima kerana mereka juga akan berdepan dengan mak atau ayah baru mereka kelak.
Lebih-lebih lagi kalau anak-anak masih tinggal sebumbung bersama mak atau ayah, atau masih di bawah tanggungan. Menerima calon ayah atau mak tiri bukan perkara mudah walau pun zaman sekarang ramai mak atau ayah tiri yang sangat baik, mengalahkan ayah dan mak kandung layanannya pada anak tiri!
Apatah lagi kalau calon pasangan itu ada anak-anak juga. Kena fikir lebih luas. Seeloknya, hubungkan dahulu silaturahim antara anak-anak dengan anak-anak calon pasangan. Bila mereka selesa dan dapat terima antara satu sama lain, insya-Allah harmoni kedua keluarga besar kelak. Silap hari bulan, anak-anak sendiri yang uruskan perkahwinan mak ayah dengan penuh meriah. Tak nak ke?
Ada Sebab Kalau Anak Halang Mak Ayah
Mak ayah kena positif kalau anak-anak halang dan tak terima calon pilihan mereka. Mesti ada sebabnya. Kadangkala orang sedang dilamun cinta memang tak nampak apa kurang pun pada calon pasangannya. Semua indah belaka. Maklumlah, tengah angau!
Di pihak anak-anak, mereka melihat dari sudut lain. Mereka fikirkan risiko dan sebarang kemungkinan. Apakah benar calon itu sayang atau ada maksud tersirat pada mak ayah? Misalnya sebab harta. Itu bahaya!
Bincang Elok-Elok
Apa pun juga, bawa bincang dengan anak-anak kerana ini perkara serius dan boleh merubah kehidupan. Tentu mak ayah tak nak hubungan dengan anak-anak pula renggang lepas kahwin. Bagaimana isteri atau suami kelak tak suka pada anak-anak? Naya pula nanti!
Di pihak anak-anak pula, kena berlapang dada dalam soal ini. Kena fikirkan kepentingan si ibu atau bapa itu. Andai benar calon pasangan itu benar-benar jujur menerima dan boleh jaga mereka dengan elok, apa salahnya terima dengan hati terbuka. Anak boleh nasihatkan mak ayah, tapi jangan sampai halang mereka untuk cari kebahagiaan di hujung usia pula. Tak gitu?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...