5 Cara Elak Gajet Jadi 'Babysitter' Anak, Mak Ayah Kena Kuat Semangat Untuk Mulakan

Semalam, ketika Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) maklumkan dalam ucapannya ada keluarga yang sampai nak panggil makan pun terpaksa gunakan gajet. Nampaknya semacam sukar nak mulakan ‘masa tanpa gajet’ dalam keluarga?

Aduhai.. kenyataan itu amat menyeramkan. Betapa kroniknya ketagihan gajet rakyat Malaysia ketika ini. Tapi semua itu tak mustahil. Sebab itu, bila KPWKM dilancarkan kempen ‘Masa Tanpa Gajet’ Mingguan Wanita sokong sepenuhnya.

Jangan terkejut bila kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke Lima (KPM-5, 2014) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) mendapati medium komunikasi remaja dengan ibu bapanya adalah melalui telefon (73%), pesanan ringkas (54.6%) dan media sosial (15.6%).

Dah macam negara robot! Malah sepanjang mengelola artikel di website Mingguan Wanita banyak sekali permasalahan rumah tangga mahupun anak-anak berpunca daripada gajet. Alangkah indahnya masa tanpa gajet. Mak ayah dan anak-anak boleh berbual dari hati ke hati tanpa gangguan smartphone atau apa saja seumpamanya.

Bagaimana mahu memulakan ‘Masa Tanpa Gajet’. Tip yang akan disarankan ini boleh mak ayah praktikkan ketika menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.

Gajet Bukan ‘Babysitter’ Anak-anak, Amal 5 Tip Isi Masa Tanpa Gajet

1. Mulakan Dengan Kotak ‘No Gadget Hour’

Walau di rumah, mak ayah boleh cuba cara ini. Sediakan sebuah kotak khas. Tuliskan besar-besar ‘No Gadget Hour’ atau ‘Masa Tanpa Gajet. Fungsinya untuk menyimpan segala macam gajet terutama smartphone, tab dan sebagainya pada masa yang anda tetapkan. Baik mak ayah atau sesiapa saja dalam rumah kenalah bekerjasama masukkan peralatan elektronik anda dalam kotak khas itu.

2. Tetapkan Masa Terbaik Untuk Mulakan Misi Kotak ‘No Gadget Hour’

Selepas sediakan kotak, tetapkan pula masa untuk mulakan misi kotak ‘masa tanpa gajet’. Jika sukar mahu dilaksanakan secara harian. Boleh mulakan setiap Sabtu dan Ahad atau ketika hari cuti. Logiknya, masa inilah keluarga dapat berkumpul bersama. Jangan jadikan gajet menghalang masa berkualiti yang ada.

Bila dah pilih hari, cari masa yang sesuai. Misalnya 1 jam tanpa gajet. Pilih sama ada waktu pagi atau petang. Masa ini nanti anda akan isi dengan aktiviti yang menyeronokkan dengan suami, isteri dan anak-anak.

Ads

Bila dah berjaya melepasi tempoh sejam, anda boleh lanjutkan ke 2 jam dan seterusnya. Ikut keselesaan keluarga anda.

5 Cara Elak Gajet Jadi ‘Babysitter’ Anak, Mak Ayah Kena Kuat Semangat Untuk Mulakan

3. Apa Nak Isi 1 Jam Tanpa Gajet Tu

Macam-macam mak ayah. Kalau ada anak kecil, mulakan dengan cabaran mewarna dengan berikan pertandingan dan hadiah, berkreatif dengan bahan-bahan yang ada di dapur atau libatkan anak-anak memasak sesuatu yang istimewa bersama anda.

Masa inilah anda boleh tanyakan hal-hal personal anak tapi jangan sampai menyindir, melukakan hati mereka kerana idea itu akan buatkan anak lebih berkecil hati dan menjauh.

4. Bawa Ke Taman Pun Membantu

Ramai juga mak ayah yang buat aktiviti ini. Nak lebih menarik, benarkan anak-anak beraktiviti ketika di taman permainan. Misalnya menaiki basikal, bermain belon gergasi, menunggang motosikal elektrik. Sesetengah tempat memang menyediakan kemudahan begini.

Ads

5. Tak Salahkan Belanja Anak Tengok Wayang

Kalau dulu, mak ayah tengok wayang berdua. Bila anak-anak dah mulai faham bawalah mereka menonton wayang. Sesuaikan ikut usia. Jika masih kanak-kanak bawalah tengok cerita animasi.

Bila dah remaja belanja pula tengok cerita yang lebih berat mesejnya. Anak-anak akan lebih seronok dan rasa mereka dihargai. Tapi ingat, masa ini gajet masing-masing perlu ada di dalam kotak.

Kalau tidak tak bermakna semua saranan yang diberikan di atas itu. Sebabnya jika gajet masih di tangan, bermakna masih juga tiada komunikasi. Tiada connection, tiada mata bertentang mata apatah lagi turun ke hati.

Apa yang cuba disampaikan ini adalah ahli keluarga kenalah berkomunikasi. Sebab itulah cara mengeratkan jurang kasih dalam keluarga. Dan masa tanpa gajet antara solusinya.

Ads

Saya Sayang Keluarga Saya

Ia adalah tema untuk sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) 2017. Bila gajet ini terlalu menguasai satu-satu isi rumah, banyak kebimbangan mula dirasakan.

Kerana gajet bukannya ‘babysitter’ anak-anak kita. Ibu bapalah yang seharusnya mencorak pemikiran anak-anak.

Sebab itu, mak ayah jangan sesekali memanjakan anak-anak mereka dengan gajet sejak dari kecil.

Benar, gajet ada kebaikannya baik dalam urusan pembelajaran, komunikasi, jual beli namun teknologi tanpa pengawasan memberi kesan negatif pada permata hati kita.

Sebab itulah, mak ayah perlu ada masa berkualiti dengan anak-anak. Jangan sesekali mengutamakan gajet semasa bersama keluarga.

Mak ayah juga digalakkan menetapkan penggunaan gajet apabila berada di rumah, makan atau beriadah. Atas dasar inilah ‘Saya Sayang Keluarga Saya’ perlu ditanam dalam setiap hati isi rumah demi kesejahteraan negara.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI