Ibu dua orang anak ini sama sekali tak menyangka, ruang bilik meliputi ke bahagian dapur kediamannya dijilat api dalam sekelip mata.
Puncanya dari pemetik gas yang sudah rosak. Seperti yang dimaklumkan oleh adiknya, Noor Suhaiza Rashid kepada Mingguan Wanita, “pada pagi hari kejadian 27 Disember 2018, masa itu cuti sekolah.”
“Pagi itu, kakak sesudah memasak lalu mandi. Selang beberapa minit, anaknya berlari ke ruang tamu. Beritahu bilik dah terbakar.”
Diam Diam Anak Main Pemetik Api Rosak
Alangkah terkejut ibu tadi, bergegas dia berlari ke bilik. Dia lihat, keseluruhan tilam telah terbakar. Rupanya dalam diam, anak keduanya yang berumur 5 tahun menggunakan pemetik gas yang rosak di dalam bilik.”
Ads
“Tilam yang terbakar itu disebabkan percikan api tadi. Kakak cuba memadamkan api dalam bilik. Tapi api terus marak sehingga ke bahagian dapur.” tulisnya dan memaklumkan kakaknya segera menghubungi pihak bomba.
Rentetan daripada kebakaran itu telah memusnahkan bilik dan sebahagian daripada bahagian dapur. Rumah itu juga terputus bekalan elektrik akibat pencairan pemanasan melampau pada alat elektrik.
“Kipas, plug semua tak berfungsi. Sementara ini, kakak dan keluarga berlindung di bahagian depan rumah yang tak terbakar.”
“Malam pertama dan kedua, jiran pinjamkan bekalan elektrik sambung dari rumahnya. Sekarang ini mereka guna bekalan elektrik dengan pemasangan elektrik sementara untuk bahagian depan rumah.”
Ads
“Bimbangnya, waktu hujan nanti air masuk rumah dan terkena punca elektrik sementara yang dibuat. Kami juga bimbangkan syiling roboh.”
Mohon Bantu Kakak Kumpul Dana Baiki Dapur
Musibah yang menimpa kakak, membuatkan adik ini bersimpati dan merayu agar ada orang ramai yang sudi membantu meringankan beban kakaknya membaiki dapur yang musnah.
Ads
“Sekarang ini kami sedang berusaha mengumpul dana pembaikan rumah. Kakak ada juga terima bantuan, dalam bentuk makanan dan barangan.”
“Cuma untuk pembaikan dapur masih tak mencukupi. Kata pegawai forensik bomba yang membuat penilaian, anggaran kerugian kebakaran itu dalam RM30,000.” Ujar Suhaiza yang memaklumkan abang iparnya bekerja sebagai pemandu van dengan gaji sekitar RM1100 sahaja, manakala kakaknya seorang suri rumah.
“Allah saja yang dapat membalas jasa baik kalian.” akhirinya.
Anda yang mahu membantu boleh salurkan sumbangan ke :
Noor Suhana Bte Abd Rashid
No. Tel : 0162245381
No akaun : 154044711027 Maybank
Alamat rumah : Lot 3267/2 Batu 17 1/2 Kg Paya Datok, 78000 Alor Gajah, Melaka.
Antara Kerosakan Yang Dialami
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Khamis, 28 November 2019 lalu, Muhammad Fariesh Rezqallah Iman bin Abdul Razzaq terjatuh dari balkoni tingkat 3, Blok A, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu menyebabkan kanak-kanak berusia 9 tahun ini meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Tragedi yang berlaku pada awal cuti sekolah ini memang tidak akan dapat dilupakan oleh Siti Nur Fathiah Bt Hasshim, ibu kepada Muhammad Fariesh Rezqallah Iman atau lebih mesra dengan sapaan Iman ini selagi nyawanya dikandung badan.
Sewaktu ditemui, Siti Nur Fathiah, 31 tahun, masih lagi dalam berpantang selepas melahirkan anak keempatnya pada hari Ahad, 1 Disember 2019. Sepatutnya kehadiran bayi baru ini menggembirakan keluarga mereka. Tetapi siapa sangka, kegembiraan itu tidak kesampaian berikutan tragedi sedih yang berlaku.
“Saya terasa kehilangan sangat. Saya mahukan keempat-empat anak saya di hadapan mata.”
Gambar-gambar Muhammad Fariesh Rezqallah Iman dan adik-adiknya akan kekal disimpan rapi oleh keluarganya.
Pilu
Hati Siti Nur Fathiah pilu apabila mengenang kembali kejadian yang telah berlaku. Sambil bercerita, air mata Siti Nur Fathiah mengalir tanpa henti-henti.
“Sebelum kejadian berlaku, saya ada memanggil anak saya. Saya suruh dia turun ke bawah untuk membayar duit kuih yang saya beli. Setelah membayar duit kuih itu, dia naik semula dan membawa baki duit lebih dan beri pada saya di rumah.
“Selepas itu, dia memberitahu neneknya yang dia hendak main. Tidak sampai lima minit, saya terdengar kawan-kawannya memanggil. Cik Olin! Cik Olin! (panggilan jiran-jiran terhadap Siti Nur Fathiah), Iman jatuh!”
Betapa terkejutnya Siti Nur Fathiah dengan perkhabaran tersebut. Walau dalam keadaan hamil dan menunggu masa sahaja untuk melahirkan anak, ibu ini berlari dengan lajunya menuruni anak-anak tangga dari tingkat tiga rumahnya menuju ke tempat kejadian.
“Saya terus tidak pandang apa. Saya turun bawah, tengok dia dah terkulai. Saya pergi kepada anak saya. Saya panggil dia. Saya cakap, Iman bangun! Iman bangun! Dia hanya mampu kata, Aaa Uuu. Masa itu dia dah tidak sedar. Kepalanya terkulai.
“Saya terus dukung dia dan bawa ke klinik 1 Malaysia (yang terletak bersebelahan tempat kejadian).Selepas itu Klinik 1 Malaysia buat rawatan kepada anak saya. Apabila ambulan datang, anak terus dihantar ke PPUM.
“ Dia terus dimasukkan ke zon kritikal dan kemudiannya dari pukul 5 petang hingga keesokan harinya dia berada di ICU.
“ Semasa di ICU doktor pakar memberitahu kepala anak saya sudah tidak berfungsi lagi. Dia tunggu masa sahaja. Dalaman dia semuanya sudah pecah. Memang benar apa yang dikatakan oleh doktor itu. Keesokan harinya Iman meninggal dunia.”
Rindu Suara Anak
Selepas post mortem dilakukan, jenazah telah dituntut dan kemudiannya telah dikebumikan. Doktor mengesahkan anaknya itu meninggal dunia disebabkan jatuh dari bangunan.
Bercerita mengenai diri anaknya itu, jelas Siti Nur Fathiah, anaknya mengalami masalah disleksia. Walau lambat dalam pelajaran namun guru-guru di sekolah suka kepada anaknya itu.
“Dia peramah di sekolah. Saya rindu pada suara Iman. Saya rindu cara dia bermain kereta dengan adik-adiknya.”
Selepas kejadian yang berlaku pada anak sulungnya, Siti Nur Fathiah kini sentiasa memantau anak-anaknya yang lain agar hanya bermain di dalam rumah sahaja. Dia tidak mahu kejadian sama berulang kepada anak-anaknya yang lain.
Rokiah (kiri) dan Siti Nur Fathiah (kanan) tidak boleh terima kenyataan Iman telah tiada.
Banyak Perubahan Berlaku Dalam Seminggu Sebelum Kematian
Rokiah binti Hamzah, 72 tahun, yang turut ada pada pertemuan ini menceritakan cucunya seorang yang tidak banyak cakap. Rokiah amat terasa kehilangan cucunya ini kerana dia turut sama menjaga dan membesarkan cucunya sejak kecil.
“Dia ini lembut orangnya. Agak payah dia hendak bercerita pada kami. Kalau dia balik menangis dan kami tanya pada dia siapa buat, dia tidak akan beritahu.
“Makcik bela dia sejak dia berumur tiga bulan sehinggalah akhir hayatnya. Dia memang manja dengan makcik. Makcik mandikan dia, pakaikan baju dan hantar dia naik van (untuk ke sekolah) setiap hari. Apabila dia balik sekolah mesti dia cari nenek dahulu.
“Dalam seminggu sebelum pemergiannya, ada perubahan berlaku pada arwah. Dia ajak Atuknya pergi gunting rambut pada hari Isnin itu. Dia beriya-iya mengajak Atuknya untuk menggunting rambut. Katanya rambut dia sudah panjang.
“Saya ingat lagi, pada suatu hari itu, tidak silap saya hari Rabu, dia tanya pada saya. Nenek, esok hari apa nenek? Saya cakap pada dia, kau ini nak masuk sekolah darjah 3 pun tidak ingat hari lagi. Tiap-tiap kali tanya nenek. Dia terus mengira menggunakan jarinya.
“Dia tanya saya lagi. Esok Jumaat kan Nenek? Abang hendak pergi sembahyang.Pergilah. Saya kata selalu kan kau pergi. Dia kata, Takdelah, abang bagitau nenek je. Saya kata selalu tak bagitau, terus je pergi.
“Tiba-tiba, sambil dia berehat duduk bergoyang kaki itu, dia cakap, bulan 12 abang mati. Makcik terkejut bila dia cakap begitu. Makcik kata tak baik cakap begitu. Kemudian dia jawab, takdelah, Abang gurau-gurau aje. Selepas itu dia diam.”
Tidak Boleh Terima Kenyataan
Cerita Rokiah lagi, cucunya itu bukan jenis makan banyak. Tetapi pada malam itu juga dia makan banyak.
“Malam itu dia makan terlampau banyak. Saya tengok kalau nasi dia makan itu kalau untuk orang tua memang kenyanglah. Saya suap dia makan. Duduk tidak sampai setengah jam. Dia minta makan maggi. Selepas habis makan maggi, dia minta hendak meratah milo. Tetapi dia tukar fikiran hendak makan koko crunch. Saya buat semangkuk bagi dia makan.
“Selepas itu dia tidur. Pukul 1 pagi dia bangun dan tengok tv. Sampai pukul 6 pagi dia tengok. Lepas itu dia tidur. Pukul 10 pagi dia bangun, dia beritahu dia hendak makan nasi lemak. Saya suruh dia minta duit pada Atuk dia. Atuk dia bagi, dia turun pergi beli. Selepas itu dia makan nasi lemak itu.
“Tidak berapa lama kemudian, kawannya datang ajak main. Dia bagitau saya, Nenek, kawan abang panggil ajak main. Saya kata pergilah. Tetapi jangan pergi jauh-jauh. Main di depan rumah sahaja. Dia pergi main.
“Dalam pukul 12 lebih mummy dia panggil suruh dia pergi kedai. Selepas selesai pergi kedai, dia naik semula. Dia berdiri depan pintu. Kemudian dia beritahu, abang hendak pergi main lagi nenek.
“Saya kata pada dia, pergilah tetapi jangan pergi jauh-jauh. Dekat sini saja sebab nenek tidak larat hendak cari.Biasanya kalau dia lambat balik saya memang cari. Hujan ke apa pun, saya pergi cari sampai jumpa. Tidak lama kemudian, selepas sahaja habis azan zuhur, ada budak bagitau. Nenek, Fariesh jatuh.”
Terkejut Rokiah mendengarkan perkhabaran tersebut. Pada mulanya dia ingat cucunya itu hanya jatuh tangga.
“Saya ingat jatuh tangga. Saya tengok di tangga tidak ada. Pada masa yang sama saya dengar orang sudah bising di bawah. Saya tengok apa yang bising-bising itu. Bila saya lihat sahaja di bawah, saya tengok dia sudah terbengkok atas pangku emaknya.”
Kaku seketika Rokiah apabila melihat apa yang berlaku di hadapan matanya itu. Sedihnya sudah tidak terkata,
“Saya tidak boleh buat apa. Saya tidak boleh hendak peluk. Saya rasa seperti lumpuh. Saya hanya boleh menangis. Saya tidak boleh terima kematian dia.”
Sehingga kini setiap kali Rokiah melihat tempat kejadian berlaku, hatinya tidak boleh menerima kenyataan bahawa cucu kesayangannya itu sudah tidak ada di dunia.
Ringankan Beban
Jika ada yang ingin meringankan beban keluarga ini bolehlah menghulurkan derma kepada akaun CIMB 7627093519 Siti Nur Fathiah.
Foto: Azfarina Sulaiman dan koleksi peribadi Siti Nur Fathiah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tarikh 11 November sering dinantikan bagi ‘kaki shopping’ bagi pembelian secara online yang menawarkan diskaun dan harga yang menarik. Namun mungkin ramai yang tak tahu bahawa tarikh 11/11 ini juga yang mempunyai signifikasi yang tersendiri di beberapa buah negara.
Single’s Day Di China
Salah satunya, tanggal 11 November merupakan tarikh khas untuk meraikan mereka yang single dan tidak mempunyai pasangan di China.
Dikenali juga dengan nama Guanggun Jie, Single Day pada awalnya diraikan di negara China untuk menghiburkan hati anak-anak muda di China yang tidak mempunyai kekasih. Tarikh 11/11 dipilih kerana angka ‘1’ diibaratkan sebagai individu yang bersendirian.
Pada awalnya juga, Single Day hanya diraikan oleh kaum lelaki di China tetapi kini ia juga disambut oleh kaum wanita. Malah, beberapa universiti di negara China juga mempunyai sambutan khas untuk meraikan 11/11 ini dan ia telah disambut meriah dikebanyakkan negara seluruh dunia.
Papero Day Di Korea
Namun, berbeza dengan negara Korea, tarikh 11/11 dikenali sebagai Pepero Day, dimana mereka akan bertukar stik Pepero yang dihias dengan teddy bear atau bunga, dengan harapan agar mereka akan tinggi dan kurus, sama seperti angka 1.
Di Belgium, 11/11 adalah hari untuk memperingati Perang Dunia I, dan di Indonesia pula adalah Hari Belanja Online Nasional.
MW: Di kebanyakan negara, 11/11 lebih kepada hari berbelanja secara online yang menawarkan produk pada diskaun tinggi dengan harga yang rendah.
Bersua wajah dengan personaliti kali ini hati penulis cukup sayu. Berbisik sendirian bagaimana insan ini berjaya menakluk Gunung Everest dengan keterbatasan keupayaan yang dimiliknya.
Sememangnya semangat yang ada pada Azzrulkhan Hasrullah Matsah, 27 atau lebih mesra dipanggil Adam Khan merupakan graduan yang memiliki Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini boleh dijadikan sumber inspirasi. Adam Khan juga turut membuktikan kekurangan fizikal tidak menghalang kita mencapai impian.
Perjalanan hidup insan OKU ini yang kehilangan kakinya sejak kecil akibat demam panas bukanlah sesuatu yang mudah. Adam membesar dalam persekitaran yang sukar di Sarawak dengan pandangan serong dan persepsi negatif orang ramai terhadap ketidak upayaannya.
“Saya menghidap polio sejak kecil, mula-mula saya kena demam panas sewaktu masih bayi ketika itu berusia lapan bulan. Penyakit polio atau penyakit saraf menyebabkan kelumpuhan kekal sejak saya bayi lagi. Saya tidak mampu berjalan dan berlari seperti orang lain. Kehidupan saya tidak sama seperti mereka yang normal,” ungkap Adam Khan yang cukup peramah.
Teroka Dunia Yang Lebih Luas
Anak keempat daripada sembilan beradik berasal dari Kuching, Sarawak pada hari ini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam, Centre of Living Independently Program and Services. Menurutnya, peluang melanjutkan pelajaran di UIA telah membuka peluang untuk dirinya meneroka dunia yang lebih luas.
Dari pendakian pertama mendaki Bukit Broga, minatnya mula bercambah dalam aktiviti pendakian. Beberapa puncak gunung dan bukit berjaya ditawan termasuklah puncak Kinabalu. Tahun lalu dirinya telah mencipta rekod apabila sudah berjaya menakluk Gunung Everest.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan membanggakan iaitu merangkak dan mengesot untuk menawan Everest,” ujarnya.
Mengimbas kembali sebelum menerima tawaran, Adam Khan menerima panggilan telefon yang menawarkan pendakian ke kem induk Everest. Tawaran tersebut tidak dapat ditolak begitu sahaja.
“Selepas menerima panggilan Bang Qobin dari Kelab Tujuh Benua untuk menjalankan misi cabaran ke Everest saya berasa cukup teruja dan menerima ajakannya dengan hati terbuka,” sambung Adam Khan.
Walaupun tidak sampai ke puncak Everest, namun kejayaannya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) wajar diberi pujian kerana semangat juang yang ada pada dirinya sedikit pun tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai satu alasan untuk melakukan apa saja yang dia mahukan.
Minta Kawan Ajak Bawa Mendaki
Lupakan tentang kekurangan yang ada pada diri, Adam Khan yang memiliki semangat waja, mula terlintas untuk aktif melakukan aktiviti mendaki selepas melihat seorang rakan memuat naik di laman sosial.
“Semuanya bermula apabila saya terlihat posting seorang kawan di Facebook, gambar selfie di puncak dan dari situ saya rasa ingin tahu tentang aktiviti mendaki. Saya cuba menghubungi dan meminta sesiapa saja yang boleh membawa saya mendaki untuk melihat sejauh mana kemampuan diri saya,” ujar Adam.
Banyak puncak gunung atau bukit yang telah ditawan dan antaranya adalah seperti Bukit Gasing, Saga, Kutu, Gunung Kinabalu dan banyak lagi. Penulis berasakan diri seolah-olah kecil berbanding dengan kemampuan Adam Khan yang telah menawan segala jenis bukit dan gunung yang pernah ditawan.
“Saya melakukan persediaan fizikal dan mental. Fizikal dengan mendaki bukit sebanyak mungkin dalam seminggu dan kerap ke gimnasium. Selain itu, aktiviti berenang dan menyelam juga membantu mencergaskan badan saya.
“Dari segi mental pula, saya mendengar penerangan dan nasihat daripada pakar serta membuat rujukan dan membaca tentang hal-hal yang berkaitan pendakian Gunung Everest,” jawabnya lagi.
Nama Tertulis Di Malaysia Book Of Record
Kejayaannya itu membuatkan namanya tertulis dalam Malaysia Book of Record sebagai pendaki OKU pertama merangkak ke puncak Kinabalu dan pendaki OKU pertama merangkak ke Kem Induk Everest.
Sudah tentu Adam Khan dan keluarganya berasa bangga serta gembira dengan pencapaian yang telah dia lakukan.
“Kaum keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan yang padu buat saya. Tanpa mereka, mungkin juga saya tidak berjaya sehingga ke tahap ini,” cerita Adam yang turut menambah isteri, keluarga dan keluarga mentua memberikan sokongan padu dalam kejayaan yang diraih pada hari ini.
Lebih membanggakan lagi, kisah pendakiannya ke Everest telah pun dibukukan. Ia adalah buku sulungnya yang diterbitkan oleh Pojok Karangkraf.
“Buku ini menceritakan keseluruhan kisah hidup saya dari kecil sehingga menjadi pendaki OKU pertama ke kem induk Everest. Menerusi buku ini juga saya kongsikan halangan dan cabaran yang dilalui sepanjang pendakian. Buku saya berjudul Kembara Merangkak Puncak,” akhirnya yang akui banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada pengalamannya untuk dijadikan inspirasi kepada mereka yang senasib dengan dirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!