Dalam keadaan PKP sekarang ini, semua orang duduk rumah, tak boleh keluar sesuka hati. Memang timbul rasa bosan. Dah siap buat kerja-kerja rumah atau ada yang Work From Home (WFH), tiba masa nak rehat, mulalah tangan gatal nak buka online melihat produk-produk atau butik pakaian. Mengisi masa yang ada.

Boleh dikatakan musim PKP ini banyak betul barang yang dibeli secara online. Kadang-kadang barangyang rasa tidak perlu pun dibeli. Ini belum termasuk barang yang perlu. Mungkin boleh dikatakan tiap-tiap hari ada sahaja barangan yang sampai depan rumah.

Ubah Cara Belanja

Pernah dengan perkataan Atmospheric. Istilah ini digunakan dalam situaasi sekarang. Ia dikaitkan dengan bagaimana ‘suasana’ yang ada di sekeliling anda telah mengubah cara anda berbelanja. Ia juga telah mengubah ‘mood’ anda sehingga akhirnya ia mempengaruhi corak anda berbelanja.

Rangsangan ‘atmospheric’ ini sebenarnya mempengaruhi fisiologi manusia hingga adakalanya bertindak di luar kebiasaan. Contohnya, wangian adalah antara bentuk atmospheric yang paling kuat, hingga menyebabkan anda melihat semua barangan tadi secara positif, walaupun anda mungkin tidak berhajat membeli pun pada awalnya.

Pengaruh Online

Sebenarnya, jika dibandingkan dengan corak pembelian tradisional pengaruh ‘atmospheric’ tidak banyak berlaku dalam pembelian online. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak pembelian online ini banyak diperkatakan dan boleh membentuk suasana berbelanja.

Biasanya, website online ini akan mempengaruhi pembeli dengan ‘design’ website itu sendiri. Malah, ada juga ia dikaitkan dengan personaliti atau selebriti terkenal sehinggakan orang terlupa bahawa yang ingin dibeli ialah barangan bukannya ‘imej’ yang cuba dipaparkan di sebalik barangan tadi. Inilah yang dikatakan seni perniagaan.

IKLAN

Punca Ketagihan

Sebenarnya, ketagihan ini berlaku dalam banyak perkara. Ia tidak hanya dalam proses membeli, tetapi juga ketagihan ketika bermain game, bekerja dan apa sahaja aktiviti yang menyebabkan anda merasa tidak boleh menjarakkan diri dengannya.

Ketagihan ini sebenarnya dapat dilihat apabila seseorang merasa gelisah jika tidak mampu meneruskan aktivitinya. Dalam konteks membeli secara online ini, ia tidaklah dalam bentuk ketagihan. Tetapi ia lebih kepada kepercayaan di antara pembeli dan penjual.

Kepercayaan ini boleh berlaku sama ada keyakinan terhadap kualiti barang, banyak orang bercakap mengenainya, dan juga keyakinan dengan sistem yang digunakan tadi. Misalnya, orang cenderung membeli buku melalui Amazon kerana ia diyakini mampu mengirimkan buku berkualiti, dan lebih penting mustahil untuk syarikat besar seperti ini menipu pelanggan. Jadi, dalam konteks ini ia lebih kepada kepercayaan dan bukan sangat ketagihan.

Laman Sosial Sebagai Medium Jualan

Inilah yang dinamakan ‘contagious’. Dalam hidup manusia, dikatakan orang cenderung terpengaruh dengan emosi yang wujud dalam diri orang lain. Misalnya, jika orang lain bersedih, kita juga bersedih. Orang lain gembira, kita juga gembira.

IKLAN

Begitu jugalah pembelian online melalui laman sosial ini. Apabila banyak orang bercakap-cakap mengenai satu-satu barang, kita merasa barang tadi ada kualiti, atau ada imej tertentu dan orang mudah percaya dengan imej positif itu. Tidak seperti pembelian tradisional, pembelian online tidak boleh menyentuh atau melihat barang tadi. Yang dapat kita lihat hanyalah gambar dan komen-komen orang lain mengenai barang tadi.

Sebenarnya, pembelian secara online adalah mudah dan senang. Seseorang itu, tidak perlu beratur panjang, atau terperangkap dalam kesesakan jalanraya untuk ke pusat membeli belah. Malah, penjual juga mudah untuk mempromosi produk mereka. Malah, mesej mengenai satu-satu produk lebih cepat sampai kepada pelanggan.

Tidak dinafikan juga, wanita mungkin lebih dengan barangan seperti tudung, baju, beg tangan dan sebagainya, sedangkan orang lelaki pula mungkin membeli barangan yang sesuai dengan jiwa mereka, seperti aksesori kenderaan, peralatan sukan dan sebagainya.

Kawal Tabiat

Dalam situasi ini, tabiat berbelanja bukan sahaja secara online atau tidak, kita perlu melihat apa sebenarnya yang kita perlukan. Sekiranya, barangan itu satu keperluan dan membeli secara online lebih murah, mungkin tidak salah membelinya. Walau bagaimanapun, janganlah membeli hanya kerana terperangkap dengan imej visual yang terpapar dalam iklan secara online ini sehingga mampu memerangkap nafsu membeli.

IKLAN

Inilah yang mungkin hanya sekadar helah ‘atmospheric’ sahaja, sedangkan ia tidak ada kaitan pun dengan keperluan kita membeli barangan tadi.

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI