Nak anak berjaya, mak ayah turut main peranan besar. Mengapakah penting untuk kita menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak? Jawapannya, kerana kita adalah persekitaran yang terhampir dan paling dipercayai oleh anak-anak kita.
Apa sahaja tingkah laku dan pemikiran yang kita tunjukkan akan meresap ke dalam kehidupannya. Dia juga akan mempunyai pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama atau hampir sama. Jadi sudah tentu kita nak anak-anak kita menjadi anak-anak yang baik dan memberi manfaat kepada semua orang.
Oleh yang demikian, kita terlebih dahulu harus memiliki pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama sebagaimana yang kita harapkan kepada anak-anak kita. Ini kerana apa yang kita fikir dan rasa akan amat mempengaruhi apa yang kita bakal lakukan.
Diterjemahkan Dalam Bentuk Tindakan
Pendek kata, setiap hasrat yang kita impikan untuk anak-anak harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan kita terlebih dahulu kerana persekitaran yang kita bina melalui tindakan kita dan keluarga itulah yang lebih hebat mempengaruhi tindakan anak-anak kita.
Contohnya, jika kita ingin melihat anak-anak rajin solat berjemaah, sudah pasti ia tidak hanya boleh melekat dalam dirinya dengan arahan dan kata-kata kita sahaja tanpa melihat dan merasai keseronokan solat berjemaah iaitu dengan pengalaman solat berjemaah yang dirasakan di rumah di samping ibu bapanya dan juga di masjid atau surau bersama jemaah yang lebih besar. Justeru, perkara itu haruslah dimulakan dan dicetuskan oleh kita terlebih dahulu selaku persekitaran anak-anak yang paling hampir.
Nak Kena Jaga Cara Percakapan
Begitu juga jika kita inginkan anak-anak menjadi baik tutur bicaranya. Harus juga dimulakan daripada kita ibu bapanya. Cara kita bercakap dan cara kita memberikan reaksi terhadap sesuatu perkara semuanya itu dilihat dan masuk ke dalam minda bawah sedar mereka untuk diprogramkan.
Ads
Program ini akan dilancarkan secara semula jadi apabila wujud senario yang sama atau hampir sama dalam kehidupan mereka. Contohnya, jika anak-anak melihat, ibu sentiasa memberikan reaksi yang positif terhadap setiap isu yang dibangkitkan oleh ayah. Maka apabila dalam kehidupan anak, ada orang yang membangkitkan isu, dia juga akan memberikan reaksi yang positif juga sebagaimana yang telah dirakam daripada tindakan ibunya. Sudah pasti begitu juga sebaliknya.
Selain daripada itu, kita harus melihat kecenderungan anak-anak untuk memberikan dorongan dan menyediakan platform yang terbaik buat diri mereka. Hasrat yang kita impikan untuk mereka haruslah sesuai dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki.
Kecenderungan mereka harus diraikan agar mereka rasa dihargai dan terpandu. Anak-anak yang masih kecil mungkin tidak dapat menyatakan apa yang mereka suka lakukan dan minat mereka secara jelas, namun selaku ibu bapa kita harus mengamati dan dapat memberikan mereka beberapa cadangan agar mereka dapat melihat kebolehan dan potensi yang ada pada diri mereka.
Ads
Nak Gilap Bakat Anak
Di sinilah peranan kita untuk memberikan dorongan dan menggilap bakat mereka yang terpendam agar ia boleh ditonjolkan dan melatih anak untuk lebih berkeyakinan. Kadang-kadang mereka meminati sesuatu, namun tidak tahu bagaimana harus menonjolkannya dan ke mana harus di bawa minat itu.
Contohnya, anak-anak cekap menghafaz sesuatu, daripada kelebihan itu, kita boleh mendorongnya untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran dengan menghantarnya ke kelas-kelas hafazan al-Quran, mengalakkannya mendengar CD al-Quran dan melibatkan diri untuk menjadi pentasmik (mendengar hafazan) anak.
Masa Untuk Anak
Begitu juga dengan kebolehan yang lain. Saya pasti dengan sedikit masa yang kita peruntukan untuk bersama mereka kita dapat pastikan minat dan kecenderungan anak-anak kita, insya-Allah.
Akhirnya, ia amat penting untuk kita tidak hanya berharap kerana kita akan kecewa. Kita harus melakukan tindakan agar perancangan mencapai hasrat itu dapat dirasakan. Jika tidak berjaya sekali pun, usaha dan pengalaman yang mereka lalui sepanjang tempoh tersebut sudah pasti menjadi mutiara-mutiara indah yang membentuk jati diri mereka. Wallahuallam.
Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memang seronok bila berpeluang hamil dan memiliki anak kembar ni. Tak kira lah kembar seiras ke tak seiras ke, rasa comel je kan.Ramai pasangan suami isteri sebenarnya yang impikan rezeki untuk mempunyai anak kembar, namun tidak tahu bagaimana cara merancang serta mencuba peluang untuk memilikinya.
Pakar Sakit Puan, Dr Hamid Arshat, kongsikan 8 tip buat pasangan suami isteri yang inginkan anak kembar sebagai panduan.
Berikut antara perkongsian beliau;
BOLEHKAH RANCANG DAPAT ANAK KEMBAR?
SERONOK DAPAT ANAK KEMBAR
Tahniah kepada Puteri yang sedang hamil kembar 10 minggu. Kelihatan kembar ini jenis dichorionic/ dizygotic atau non identical. Ertinya ia berasal dari dua telor/ovum yang telah disenyawakan oleh benih suami secara berasingan.Jenis kembar ini lebih selamat kerana masing-masing janin punya uri sendiri.
Kembar identical atau mono zygotic berasal dari satu telor dan selepas bercantum dengan benih lelaki , embryo yang dihasilkan pecah dua. Kembar ini berkongsi uri dan lebih berisiko gugur, satu janin mati dan lain-lain masalah.
Wanita Berpeluang Hamil Anak Kembar;
1.Orang Asia 1 – 2 %
Pada keseluruhan peluang hamil kembar secara spontan ialah antara 1 hingga 4 %.
Orang Afrika punya kadar kembar tertinggi 4 %
Orang Putih Amerika dan Eropah kadarnya 3 %.
Orang Asia termasuk orang Malaysia terendah 1 – 2 % sahaja.
2.Keturunan Kembar Sebelah Ibu
Dalam keluarga ada kembar khusus dari keluarga ibu, peluang hamil kembar meningkat 4 kali ganda.
3. Hamil Umur 40 Tahun Keatas
Mereka yang telah melahirkan 4 anak atau lebih, peluang melahirkan kembar lebih tinggi. Begitu juga mereka yang hamil pada umur 40 tahun keatas.
4. Wanita Amalkan Supplement Vitamins & Folic Asid
Mereka yang tahap kesihatan terbaik dan makan yang berzat serta berkhasiat. Mengamalkan makan supplement vitamins dan folic asid lebih berpeluang hamil kembar.
5. Makan Produk Tenusu
Ada yang mengatakan mereka yang sering minum susu dan makan produk tenusu lebih berpeluang hamil kembar. Mungkin ‘insulin like growth factor’ (IGF) yang dikeluarkan oleh hati lembu jadi penyebab hamil kembar.
6.Makan Keladi Dan Ubi
Orang-orang Asli Africa yang makanan mereka terdiri keladi dan ubi didapati punya peluang melahirkan kembar 4 kali ganda dari orang lain.
7. Hormon Subur
Hormon subur sama ada pil atau suntikan meningkatkan peluang melahirkan kembar.
Wanita yang makan pil subur clomid punya peluang hamil kembar antara 5 – 10%. Manakala mereka yang disuntik hormon gonadotrophin punya peluang kembar dalam lingkungan 30%. Malangnya kadang-kadang berlaku kembar 4 atau lebih dan punya risiko gugur tinggi.
8. Rawatan IUI & IVF
Mereka yang menjalani rawatan suntik benih suami (IUI) dan mereka yang menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF) juga berpeluang lebih untuk hamil kembar.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan juga buat pasangan lain yang inginkan anak kembar.
Benar ajal dan maut ditangan tuhan, ketentuan takdir yang telah tertulis tiada siapa yang dapat menidakkan.Namun perlu ingat dan sentiasa sematkan didalam hati, sewaktu hamil,jangan sesekali mengeluh mahupun merungut dengan keadaan kehamilan kerana kata-kata itu merupakan satu doa.Tanpa disedari mungkin setiap rungutan dan keluhan yang dilafazkan “diperkenankan” oleh Yang Maha Esa.
Semoga perkongsian pengalaman ‘kehilangan’ anak kedua oleh ibu muda ini, memberi peringatan buat kita.
Berikut antara catatan perkongsian dari Anis Atokman;
My Second Baby…(Muhammad Bin Ahmad Madzhar)
Setiap kali kaknis jumpa orang…ramai yang tanya kenapa kaknis pregnant kat aira kaknis tak bagitau or war-warkan…kaknis nak buat surprise kan?? kaknis pregnant memang jenis takde masalah or alah apa-apa kot sebab tengok kaknis relax ja tak dak update apa-apa..macam tak dak apa-apa tau-tau kuar jaaa seketoi Aira..
Kaknis tak announce masa kehamilan ‘Aira Mikayla’ (3rd pregnancy) bukan sebab nak buat surprise ka pa….tapi kehamilan kedua kaknis buat kaknis sedar dan muhasabah diri.
2 Tahun Tunggu Kehamilan Kedua
Hampir 2 tahun usaha dan menunggu kehamilan ke-2…finally Allah dengar & perkenankan doa kaknis. Alhamdulillah bulan Ogos tahun lepas positive prgnant,suami pon happy ya amat sampai teqeyak bila tau kaknis pregnant…So bermulalah aktiviti buku merah ulang alik check up.
Sepanjang kehamilan tu ada juga kaknis update kat fb tapi maybe ada yang perasan & ada yang tak perasan sebab posting kaknis tak jelas just hint saja tapi update something yang bunyi dia like “mengeluh & merungut” sebab tak sihat, sakit-sakit badan,alah apa semua disebabkan pembawakan.
Kerap Merungut Sewaktu Hamil
Kehamilan kedua kaknis due dijangka pada bulan puasa lepas.Masa tu kaknis suka cakap kat suami & mak “alooo….Tak syok la kena pantang time puasa..tak boleh pakai baju raya la,tak boleh makan benda sedap-sedap…” memang ayat tu selalu keluar dari mulut kaknis.
Sakit sikit merungut “tak sukanya badan sakit-sakit macam ni”. Bila muntah-muntah pun merungut “tak syoknya muntah-muntah macam ni,leceh laaa…” time nak kena check up pun merungut “cemuihnya everyweek/month nak kena pi sua muka kat misi & doktor”….kira pendek kata apa saja perubahan fizikal or mental masa preggy kaknis keja merungut ja..pemakanan & aktiviti pon tak berapa jaga…
Minggu ke minggu berganti-ganti check up kat kk & swasta..bulan pertama Alhamdulillah kelibat Muhammad dah mula nampak…masa tu syok tak tau nak habaq kalau boleh nak suruh dia besaq cepat-cepat…ya lah kakak pun dah 3 tahun..rindu nak bau baby lagi…dalam happy tu pun sepanjang proses nak pi check up tu pun tak habis-habis mulut dok merungut ” ramai orang la..tak larat tunggu turn la..macam-macam la”…merungut tak habis-habis sebab masa ni alah dah mula mai…muntah tak kira masa & tempat…fizikal dah mula berubah..
Masuk bulan ke-2 check up..doktor tunjuk degupan jantung Muhammad…Alhamdulillah Muhammad sedang membesar…setiap kali scan mesti simpan kertas scan tu walaupun rupa Muhammad still lagi tak nampak dengan jelas…kaknis bahagia tak sangka la setiap kali boleh scan tapi rungutan kat mulut tetap tak berhenti sebab masa ni alah dah makin menjadi-jadi..
Degupan Jantung Baby Terhenti
Kehamilan hampir mengenjak msuk bulan ke3…time ni kaknis dah mula perasan perubahan fizikal yang kaknis rasa macam sepatutnya ibu-ibu mengandung rasa dah mula tak ada…muntah-muntah pun dah stop tiba-tiba…makan pun dah lalu seperti biasa…Masa ni kaknis try to think positive may be alah dah habis kot.tapi ni 2nd pregnant kaknis mean dah ada pengalaman masa 1st pregnant so serba sikit hat negative mai jugak…
Then, malam tu mula sakit-sakit pinggang kaleh kok nu tak kena kok ni tak kena…tak senang duduk esok tu pi klinik check up…2 kali doktor scan…1st scan macam biasa masa tu kaknis nampak muka doktor macam ada something tak kena,kaknis dah mula berdebar tapi still positifkan diri.Doktor cakap tak nampak kelibat ‘Muhammad’..Then doktor nak check sekali lagi kali ni scan direct ke dalam…masa ni mata kaknis dah mula berkaca maybe instinct ibu dah boleh rasa…after scan doktor cakap ‘Muhammad’ mengecut & tak membesar.. heart beat dah stop….
Masa ni Allah saja yang tau perasaan kecewa kaknis…masa dalam bilik doktor still hidden perasaan tu,masa brjalan pi kat kereta air mata dah bertakung dok cover lagi,masuk-masuk ja dalam kereta kaknis & suami memang tak putus air mata…sampai ja rumah kaknis duduk sambil belek buku merah Muhammad dengan air mata bersimbah…
Allah Dengar ‘Rungutan’
Masa ni baru kaknis sedar rupanya sekali lagi Allah dengar ‘rungutan’ kaknis dan Allah perkenankan agar kaknis dah ‘tak muntah-muntah lagi, tak sakit-sakit badan lagi,tak perlu ulang alik & tunggu turn check up dah,boleh pakai baju raya & makan sedap-sedap time raya nnt’..Masa ni kaknis sedar sebelum kaknis kecewa dengan pemergian muhammad may be muhammad lebih awal kecewa dengan ‘rungutan’ kaknis sepanjang kehadiran dia dalam rahim kaknis mungkin sebab tu la dia pi….time dia tak dak kita sungguh-sungguh nak & mintak,bila dia ada kita merungut pulak..Allahu….
Masa ni kaknis sungguh-sungguh mintak ampun & doa kat Allah supaya masih ada zuriat lagi buat kaknis dan suami…
Mengandung Kali Ketiga
Dan ternyata Allah itu Maha Pengampun…bulan 12 kaknis positif pregnant lagi untuk kali yang ke3..syukur masih diberi peluang…masa ni kaknis jaga hati,percakapan & perbuatan kaknis…setiap yang happen sepanjang kehamilan kaknis says syukur sebab kaknis tak mahu Allah tarik skali lagi.
Kaknis tau semua tu happen tanda anak kaknis tengah sihat & sedang membesar didalam & semua tu jugak sebenarnya satu nikmat. Sebab time preggy saja kita boleh merasai semua tu..After 9 bulan sure kita akan rindu balik semua moment-moment tu…masa ni jugak kaknis ambil keputusan untuk tak announce dalam FB sebab dalam masa yang sama nak jugak jaga hati rakan-rakan dalam ni yang belum ada zuriat…tuggu dah selamat bersalin ja baru kaknis nak share…& now syukur hari ni umur Aira Mikayla dah genap 2 bulan 1 hari.
Main teka-teki dengan anak-anak. Ramai tak agaknya mak ayah yang sudi layan bila anak ajak main teka-teki? Ehem. Ada yang buat tak tahu je kan sampai anak frust sendiri. Sebabnya mereka rasa itu tak penting atau anak-anak hanya mengada je. Tapi kalau dah tahu apa kebaikannya, mesti lepas ni mak ayah dah tak pandang remeh hal ini.
Main Teka-Teki Dengan Mak Ayah
Saya percaya ramai antara kita yang kerap diajukan dengan soalan teka-teki oleh anak-anak. Pelbagai jenis teka-teki, ada kalanya kita mampu menjawab malah ada juga yang di luar kotak pemikiran dan sukar untuk dijawab.
Anak-anak akan mula berteka-teki apabila dia mula ke sekolah dan bercampur dengan rakan-rakan. Bagi mereka permainan ini amat menghiburkan. Oleh kerana itu, dia ingin berkongsi kegembiraan tersebut bersama dengan kita.
Lahirkan Emosi Positif Anak
Rakan penjaga yang dihormati, hakikatnya, teka-teki merupakan salah satu jenis permainan yang sihat kerana kebiasaannya jawapan yang lahir daripada teka-teki tersebut adalah sesuatu yang kelakar dan menggemburkan gelak tawa. Apabila anak-anak gelak dan gembira, keperluan emosi mereka terisi dengan baik seterusnya membantu perkembangan minda yang sihat.
Anak-anak yang kelakar dan menghiburkan lazimnya memiliki kecerdasan yang tinggi, kemahiran bersosial yang baik, kreatif, tinggi harga diri, empati dan bijak menyelesaikan masalah.
Ini kerana, emosi adalah segmen yang terbesar dalam diri anak-anak pada ketika dia sedang membesar. Malah segmen ini sentiasa memberikan pengaruh kepada perkembangan segmen lain yang wujud dalam diri mereka.
Apabila anak-anak gembira, perkembangan segmen lain dalam diri mereka juga akan baik dan lancar seterusnya menghasilkan perkara-perkara yang positif. Begitulah hakikatnya kejadian awal manusia yang dikatakan fitrah. Penuh dengan sifat positif dan kebaikan. Keadaan ini harus dikekalkan di sepanjang hayat anak dengan memberikan hak kepada keperluan emosinya agar sentiasa seimbang dan mempengaruhi perkembangan dirinya yang lain.
Selain daripada itu, gelak tawa anak-anak dengan kedua ibu bapa mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara mereka. Tambahan pula bagi anak-anak yang masih berada di dalam fasa awal kehidupan mereka dan di dalam fasa transisi di antara fasa satu dan dua kehidupan iaitu 7-8 tahun.
Emosi Seimbang
Mereka ini seharusnya dilayan dengan baik agar emosi mereka sentiasa seimbang. Dalam pada itu, pada umur inilah anak-anak ini sedang membina persepsi terhadap kehidupan dan diri mereka. Bagi memastikan hanya yang positif sahaja yang berada di dalam persepsi tersebut maka emosi mereka haruslah dijaga dengan baik.
Bayangkan sahaja rakan penjaga, apabila anak kita sedang bersemangat ingin mengajukan soalan teka-teki, kita hanya memandang ke suatu sudut seolah-olah tidak mendengar soalan yang diajukan. Betapa hancurnya hati anak pada ketika ini apatah lagi yang melakukan perkara tersebut adalah orang kepercayaannya!
Jangan Anggap Remeh Main Teka-Teki Ni
Walaupun mungkin kita mentakrifkan perkara tersebut adalah perkara yang remeh yang tidak termasuk dalam prioriti tugasan kita, namun tindakan yang ditunjukkan itu amat memberikan kesan kepada perkembangan diri anak-anak kita. Malah yang lebih ditakuti adalah apabila anak memberikan persepsi yang negatif terhadap diri dan kehidupannya berdasarkan respons yang kita tunjukkan kepada mereka.
Begitulah kesan yang ingin kita elakkan. Malah jika kita memberikan ruang untuk anak-anak melontarkan teka-tekinya, memandangnya dengan pandangan yang teruja dan cuba memberikan jawapan. Sudah pasti, dengan izin Allah, anak-anak akan merasa dihargai dan terhibur.
Anak Sedang Jana Pemikiran Positif
Biar pun soalan tersebut tidak logik atau jawapan yang diberikan anak tidak masuk akal. Yang perlu kita fahami adalah mereka sedang menjana pemikiran positif, kreatif dan inovatif pada ketika ini. Justeru dengan tindakan kecil kita memberikan jawapan dan mendengar soalan yang diajukan sudah cukup memberikan mereka sebuah keyakinan terhadap diri dan membantu perkembangan positif mindanya.
Rakan penjaga yang dihormati, dalam bergelak ketawa dengan anak-anak ada beberapa perkara yang harus kita perhatikan. Salah satu daripadanya adalah perkara apa yang membuatkan dia gelak.
Jika perkara tersebut adalah perkara yang tidak sepatutnya dijadikan bahan ketawa seperti fizikal kawan-kawan dan sebagainya maka tegurlah anak kita, agar mereka tahu perkara tersebut tidak harus dijadikan bahan ketawa. Selain itu, berikan mereka jawapan yang tidak dijangkakan kemudian berikan sebab untuk menggalakkan mereka berfikir. Wallahuallam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa mentua kepada personaliti media sosial Prince Syed ditahan polis selepas insiden serangan di Klang. Pempengaruh itu tampil menjelaskan isu pembedahan bariatrik isterinya, Fatin Syazwani.