
Isi Kandungan
ToggleSambutan Hari Raya Aidilfiri kali ini cukup berbeza sambutannya dengan normal baharu 2020 yang telah mak, ayah lalui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Jadi demi menjaga kepentingan bersama, hari raya yang bakal menjelma tidak lama juga disambut mengikut sop yang telah ditetapkan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil keputusan bahawa aktiviti ziarah aldilfitri hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja. Maksimum tetamu yang dibenarkan adalah 20 orang, tetapi bilangan tetamu mengikut saiz rumah. Jika sempit perlulah dikurangkan sedikit jumlah tetamunya.
Aktiviti Ziarah Hari Raya Hanya Pada Hari Raya Pertama
Aktiviti ziarah-menziarah pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan perkara tersebut dengan had maksimum 20 orang pada hari tersebut.
Ismail Sabri berkata perayaan tersebut merangkumi Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan juga Hari Gawai.
“Jumlah 20 orang itu perlu ambil kira berdasarkan saiz rumah.
“Mungkin setiap kali hanya benarkan lima orang (tetamu) dan boleh dilakukan selama empat kali tetapi maksimumnya tetap 20 orang satu hari,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Penganjuran Rumah Terbuka Dilarang
Tegasnya, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri juga tidak dibenarkan sama sekali.
“Dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), rumah terbuka adalah terlarang. Rumah terbuka adalah tidak dibenarkan.
“Sebagai contoh di Bahrain, sebuah keluarga mengadakan majlis berbuka puasa dan ia dihadiri 16 orang ahli keluarga.

“Akhirnya, 16 sekeluarga tersebut didapati positif COVID-19,” ujarnya.
Tatkala kunjung-mengunjung pada hari raya, orang ramai juga dinasihatkan supaya mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mengamalkan penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan dan menyediakan cecair pembasmi kuman.
Sumber: Astro Awani
MW: Sesungguhnya sambutan syawal kali ini cukup berbeza. Tetapi demi keselamatan dan kesihatan bersama, masing-masing harus akur dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Sebenar Tragedi Bayi Tertelan Cincin, Siapa Sangka Cekodok Boleh Selamatkan Keadaan!

Isi Kandungan
ToggleKes seorang bayi tertelan cincin, Nur Dahlia Aleesa berusia 9 bulan ketika di dalam buaian 2 Julai lalu di rumahnya di Telok Mas, Melaka menjadi viral, mengundang pelbagai komen dan kritikan. Tiga hari selepas bayinya dibenarkan keluar dari Hospital Melaka, Mingguan Wanita (MW) menemuramah Siti Khatijah Abu Bakar, 24 tahun, ibu kepada empat anak ini untuk berkongsi pengalaman tak terduga itu.
Selepas kejadian anaknya tertelan cincin, Siti Khadijah mengakui pelbagai perasaan menyerang diri dan dia seperti trauma apa tah lagi apabila membaca pelbagai komen dan kritikan yang ditujukan kepadanya oleh natizen sebaik sahaja kisah anaknya itu diviralkan di laman sosial. Akibatnya dia mengalami gangguan kesihatan. Sebagai ibu, sukar baginya menggambarkan apa yang ada di dalam hati ekoran tragedi itu.
Cerita Sebenar Bayi Tertelan Cincin
Berkongsi kisah sebenar tragedi itu yang dikongsi ibunya. Pada hari Ahad iaitu pada petang kejadian, mereka sekeluarga, kecuali suaminya sedang bersiap-siap untuk ke rumah terbuka bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Tan Sri Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka.
“Sebelum itu, Caca (nama panggilan manja Aleesa) tidur selepas menyusu. Ketika kami sedang bersiap-siap, Caca terbangun dan menangis. Kakaknya Nur Dhaniyah Qistina yang berusia 5 tahun, membantu saya menidurkan semula Caca. Dia menghayun buaian sambil menyanyi menidurkan adiknya itu.
“Selang beberapa minit tak terdengar lagi suara Caca menangis. Saya fikir Caca sudah terlena semula. Kemudian saya terdengar suara Caca batuk-batuk seperti tercekik sesuatu. Saya meluru ke buaian dan mengambil Caca untuk melihat apa yang terjadi. Saya menekan-nekan perut dan menggosok-gosok belakang Caca, tetapi tidak ada apa-apa yang keluar dari mulutnya.
“Saya bertanya Dhaniyah berkali-kali, kenapa dengan adiknya itu. Apa yang dia makan. Tiba-tiba Dhaniyah beritahu Caca makan cincin… Mendengar apa yang diberitahu itu, saya terus panik, dan lihat cincin di tangan Caca sudah tiada. Rasa tak tentu arah saya dibuatnya. Tetapi keadaan Caca seperti tidak ada masalah, cuma menangis sedikit ketika saya kerap mengangkat dan menggosok serta menekan perutnya. Walaupun tidak ada apa pun terkeluar dari mulut Caca, saya terus berusaha untuk mengeluarkan cincin tersebut.
“Dalam masa yang sama, saya cuba menolak kemungkinan Caca tertelan cincin dan meminta anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun, mencari cincin Caca di dalam buaian dan tempat-tempat lain, kalau cincin itu terjatuh di mana-mana. Bila dah merata mencari tak juga jumpa, saya tahu mungkin benar cincin itu ada di dalam perut Caca.
“Kemudian saya terus menelefon suami yang sedang membawa bas ke Kuantan akan apa yang berlaku. Saya benar-benar panik. Suami minta saya bertenang dan tidak menyalahkan saya,” cerita Siti Khadijah mengenai peristiwa itu.
Ibu muda itu memberitahu, cincin bersadur emas berharga RM30 itu dibeli sehari sebelum kejadian (hari Sabtu) di Kuala Terangganu sebelum mereka pulang ke Melaka.
Tetapi masa yang sama, Caca seperti tak ada apa-apa masalah pun. Saya angkat anak dari buaian dan dia cuma menangis sedikit sahaja. Masa yang sama, saya jadi kurang percaya yang anak tertelan cincin tetapi pada satu masa lagi saya mulai bimbang selepas saya lihat cincin di jarinya sudah tiada. Dalam panik itu, saya suruh anak sulung, Danish Erwan berusia 7 tahun untuk mencari cincin tersebut. Cari di buaian tak jumpa-jumpa. Saya cari bawah katil, cari celah kain kerana mahu pastikan yang Caca tak telan cincin itu.”
“Suami tenangkan saya, minta saya jangan panik dan jangan sedih-sedih. Suami tak salahkan saya atas kejadian ini kerana kami seperti tidak yakin yang Caca sudah menelan cincin tersebut.”
“Ketika pulang berhari raya di Terangganu, saya sempat singgah ke kedai barangan kemas bersama ipar saya sehari sebelum kami pulang ke Melaka. Saya berkenan dengan rekaan cincin itu. Saya fikir cincin itu pasti cantik untuk Caca. Harganya pun berpatutan. Suami tak tahu saya membeli cincin itu kerana dia di rumah menjaga anak-anak ketika itu. Memang tak sangka sama sekali, cincin itu mendatangkan musibah pada anak saya…” ujarnya dengan suara masih sebak.
Bayi Tertelan Cincin Diwadkan
Dalam rasa gundah dan risau itu kebetulan ipar Siti Khadijah sampai ke rumahnya untuk sama-sama ke rumah terbuka bekas Ketua Menteri itu. Dia menceritakan apa yang berlaku kepada Caca yang tertelan cincin. Kebetulan, iparnya itu bersama dengannya ketika membeli cincin tersebut.
Tetapi apabila melihat keadaan Caca seperti tiada apa yang berlaku, menyebabkan ipar meminta mencari lagi cincin itu di tempat-tempat lain. Habis satu rumah mereka mencari cincin itu semula tetapi hasilnya cincin itu tetap tidak ditemui.
“Disebabkan Caca nampak ok dan boleh tersenyum bila diagah oleh abang dan kakak-kakaknya, hati saya sedikit tenang. Kerana anak-anak sudah bersiap, kami pergi juga ke jamuan hari raya itu. Walaupun Caca berselera makan dan boleh makan apa sahaja yang diberikan oleh abang dan kakaknya serta terlonjak-lonjak gembira melihat orang ramai, tetapi hati saya tetap risau. Saya pergi hanya sekejap sahaja untuk lepaskan hajat anak-anak. Habis makan terus pulang. Selepas solat Asar, saya tidak berlengah terus membawa Caca ke hospital.
“Urusan di hospital berjalan lancar apabila saya memberitahu bahawa anak saya tertelan cincin. Masuk ke bahagian kecemasan, kes Caca ditanda sebagai “urgent”. Saya bertemu doktor dan X-Ray perlu dibuat sebanyak tiga bahagian tubuhnya untuk mengesan kedudukan cincin itu.
“Alhamdulillah, X-Ray kali pertama, terus ternampak cincin berkenaan di dalam usus. Caca terpaksa diwadkan untuk prosedur selanjutnya iaitu proses pembedahan bagi mengeluarkan cincin tersebut,” ujar Siti Khadijah yang makin risau apabila sah cincin itu berada di usus anaknya dan sebak membayangkan anak kecil itu terpaksa dibedah.
Menurut doktor, pembedahan perlu segera dibuat bagi mengelakkan cincin itu melukakan bahagian usus Caca tambahan bahagian atas cincin itu memang tajam. Setelah mendapat pengesahan tersebut, Siti Khadijah terus memberitahu keadaan Caca kepada suami yang masih di dalam tugas.
Tertekan Dikecam Netizen
“Disebabkan suami masih bertugas, saya menelefon mak yang tinggal di Masjid Tanah untuk membantu saya menjaga anak-anak lain di rumah sementara saya menjaga Caca di hospital. Saya pulang sebentar ke rumah untuk mengambil beberapa barang keperluan. Sampai semula ke hospital doktor datang bertemu saya menerangkan beberapa prosedur yang perlu dijalani Caca dalam proses mengeluarkan cincin tersebut.
“Bagaimana saya sangat bersyukur kerana Caca tidur lena selepas diberi makan nasi lemak pada malam itu, biarpun saya sendiri tidak boleh tidur mengenangkan anak saya itu terpaksa menjalani pembedahan. Tambahan pula saya terperasan ketika di rumah terbuka petang itu, Caca akan sendawa berkali-kali selepas diberi makan. Seperti terlalu banyak angin di dalam perutnya.
“Disebabkan mata tidak mahu terlelap risaukan Caca, saya membuka telefon bimbit untuk berkongsi apa yang doktor maklumkan dan membaca kisah Caca yang sudah menjadi viral. Ada pelbagai komen yang diberikan baik positif dan banyak juga yang negatif.
“Saya menangis apabila membaca kutukan yang dilemparkan kepada saya tanpa faham apa yang saya rasakan sebagai seorang ibu. Tidak ada seorang ibu pun mahu kejadian seperti ini terjadi,” ujar Siti Khadijah yang mengakui sangat tertekan dan berasa rendah diri apabila terlalu banyak komen negatif itu sehingga suami menenangkan dirinya dan meminta dia untuk tidak melihat ruangan sosial itu lagi.

Doa Orang Sekeliling
Rahmat Allah serta doa-doa orang sekeliling termasuk ada cadangan dia memberikan anaknya makan pisang, antara peluang yang dirasakan masih boleh dicuba oleh Siti Khadijah untuk menyelamatkan anaknya daripada dibedah. Dia membayangkan mungkin cadangan itu boleh digunakan sementara menanti pembedahan ke atas Caca.
“Jam 6 pagi itu, saya bangun dan solat. Ketika itu Caca masih tidur lena. Doktor datang dan beritahu tentang beberapa perkara dan masalah. Saya serahkan semuanya atas kebijaksaan doktor dan petugas hospital dalam usaha mengeluarkan cincin itu dari perut Caca.
“Selepas doktor pergi, saya membeli cekodok pisang daripada seorang peniaga yang datang menjual di wad itu. Apabila Caca bangun saya memberikan Caca makan sebiji cekodok bersama secawan milo. Setengah jam selepas makan, saya tengok mukanya mulai memerah. Dia seperti meneran. Caca menangis sedikit tetapi berusaha terus meneran.
“Beberapa ketika meneran, akhirnya dia buang air besar. Lampin pakai buangnya dipenuhi najis agak banyak sehingga terkeluar dari lampin dan cadar. Saya membawanya ke sinki. Sebaik membuka lampin itu, cincin terpelanting dalam sinki. Tak sedar saya menjerit begitu kuat memanggil jururawat.”
Menurut Siti Khadijah lagi, dia benar-benar berasa lega, dan gembira apabila cincin itu keluar bersama najis anaknya itu. Walaupun saiz cincin itu agak besar tetapi dia bersyukur berkat doa daripada semua, cincin itu dapat keluar tanpa mencederakan Nur Dahlia Aleesa.
Barangan Yang Ibu Ayah Patut Elak
Kata doktor, kes bayi tertelan bendasing banyak terjadi sebab kanak-kanak suka membawa tangan mereka ke mulut. Apabila tangan itu bercampur air liur menyebabkan cincin itu mudah terlucut dari jari dan masuk ke mulut dan potensi untuk tertelan amat besar.
Doktor turut memberitahu, gelang kaki berloceng bentuk love juga patut dielakkan pada kanak-kanak dan bayi kecil, kerana loceng itu mudah tercabut. Selain suka memasukkan tangan ke mulut, kanak-kanak kecil ini juga suka menarik kaki mereka ke mulut.
“Saya akan ingat nasihat doktor itu sampai bila-bila,” ujar Siti Khadijah dan memberitahu terdapat sedikit kesan merah di punggung anaknya. Kini kesan itu beransur hilang.
Kata Siti pengalaman ini cukup berharga dan menjadi pengajaran yang tidak akan dilupakannya. Cincin itu kini telah disimpan di tempat yang selamat agar kejadian itu tidak berulang lagi. Suaminya, Mohd Shuada Bakar juga menasihatinya lebih berhati-hati ketika memberikan anak-anak barang perhiasan diri.
“Alhamdulillah Allah melindungi anak kecil saya sehingga tiada pembedahan dilakukan. Terima kasih atas doa-doa anda semua,” katanya yang mengusahakan spa di rumah. Siti yang berkebolehan mengurut badan untuk wanita sahaja dan spa, setiap hujung minggu akan pulang ke rumah ibunya dan dia akan ke rumah pelanggan seperti ditempah. Seperti katanya, dia tidak menyangka kes bayi tertelan cincin yang melibatkan anaknya menjadi viral.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sikap Ambil Mudah Akhirnya Bawa PADAH

Isi Kandungan
ToggleSikap ambil mudah ni, kalau dibiarkan akhirnya akan bawa padah pada diri kita atau masyarakat. Ia seperti ‘barah’ yang akhirnya merebak dalam diri kita dan mendatangkan banyak masalah. Setiap kerja yang dilakukan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh hasilnya inya-Allah solid. Memang tiada yang sempurna kerana kita manusia serba kekurangan tapi sekurang-kurangnya kita sudah berusaha memberikan yang terbaik.
Dalam kehidupan ini, walaupun melakukan perkara yang kecil dan remeh, lakukan dengan ikhlas dan bersungguh. Pasti kita akan berasa puas, bersyukur dengan gembira. Jika gagal sekali pun kita tidak terkilan kerana sudah memberikan komitmen 100 peratus.
Sikap Sambil Lewa
Walaupun menyedari perkara ini tapi masih ramai di kalangan kita yang sangat suka mengambil mudah semua perkara. Sehingga akhirnya sikap ini membawa padah kepada diri, keluarga dan orang di sekeliling.
Contoh yang paling mudah, apabila kita mengabaikan aspek keselamatan seperti tidak memakai topi keledar apabila menunggang motosikal. Dek kerana jarak kedai berdekatan dengan rumah, kita ambil mudah dengan tidak memakai topi keledar. Alasan kita, alah dekat ja malasla nak pakai.
Sudahnya kita terlibat dengan kemalangan atau disaman polis. Lebih malang lagi, akibat kelalaian ini anak yang kita bawa bersama terpaksa dijahit kepalanya kerana terjatuh ketika kemalangan. Ini contoh yang sangat mudah, impaknya jelas.
Baca sini
https://www.mingguanwanita.my/kerana-mulut-mak-ayah-anak-boleh-rosak/
https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
Bahayakan Nyawa
Percayalah banyak kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kelalaian kita. Ada yang mengambil mudah soal penjagaan kenderaan, kereta tidak diservis mengikut jadual. Ramai juga yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
Sikap sebegini bukan sahaja menjerat diri malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain. Jangan kerana sikap ambil mudah ini, kita menjadi penyebab kecacatan dan kematian orang lain. Sanggupkah dihukum dengan rasa bersalah seumur hidup?
Justeru, marilah kita berubah perlahan-lahan. Mulakan dari rumah, lakukan pekerjaan dengan hati yang ikhlas. Kerjakan dengan bersungguh-sungguh, niatkan di dalam hati agar setiap perkara yang kita lakukan mendapat kebaikan. Berdoa kepada Allah agar dijauhkan musibah.

Kena Paksa Diri Berubah
Tidak dinafikan jika sudah menjadi tabiat memang sukar diubah. Tapi ia bukan alasan, kita mesti muhasabah diri dan berusaha berubah menjadi lebih baik. Pupuk sikap yang telus dan komited secara berperingkat.
Misalnya boleh mula disiplinkan diri membayar bil sebelum tarikh tempoh tamat, pakai tapi pinggang apabila memandu kereta dan memastikan kenderaan berkunci. Walaupun tindakan ini kecil namun impaknya besar kepada kehidupan kita dan masyarakat.
Apabila kita membayar bil tepat pada masanya, kita tidak dikenakan penalti atau denda. Bukankah ia menjimatkan dan tidak menyebabkan kita stres. Begitu juga memandu dengan mengenakan tali pinggang keledar, kita bukan sahaja tidak disaman malah tindakan ini dapat menyelamatkan nyawa kita.
Hidup ini saling berkait, apa yang kita buat mesti ada impaknya. Jom berubah! Jom berubah! Mulakan dengan diri sendiri kemudian barulah perlahan-lahan mendidik anak-anak, pasangan dan rakan terdekat untuk sama-sama berubah ke arah kebaikan. Semoga usaha yang murni ini mendapat keberkatan Allah SWT. Amin.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Aeril Zafrel Positif “Swab Test RTK Famili Negatif, Menanti Keputusan PCR. Doakan Negatif Juga”

Isi Kandungan
TogglePemilik nama sebenar Suhairil Sunari atau lebih popular dengan panggilan Aeril Zafrel, 33, memaklumkan dirinya positif Covid-19 menerusi keputusan ujian calitan yang diperolehi pada Rabu.
Memandangkan kes harian Covid-19 kini semakin meningkat sesiapa saja boleh dijangkiti virus jahat itu.
Perkongsian pelakon yang juga suami kepada Wawa Zainal dan bapa kepada tiga orang anak ini juga mengejutkan ramai pihak. Menerusi akaun Instagramnya, Aeril turut memberitahu pengurusnya juga sah positif Covid-19.
Aeril Zafrel Positif Covid-19, Berkemungkinan Dapat Jangkitan Daripada Pengurus
Aeril turut menjelaskan dia berkemungkinan mendapat jangkitan daripada pengurusnya yang mengalami demam beberapa hari lalu sebelum dia membawanya ke klinik.
“Pada hari Isnin, saya pergi ke rumah pengurus kerana dia demam. Saya ke sana sebab kebiasaannya saya yang akan jaga dia kalau dia sakit teruk sebelum ni.
“Hari Selasa saya bawa dia pergi klinik dan ambil swab test PCR sekali dengan saya. Keputusan keluar pada Rabu di mana saha dan pengurus disahkan positif,” ujar Aeril.
Segera Buat Ujian Calitan Ke Atas Isteri & Anak-Anak
Susulan keputusan ujian calitan dirinya kini positif, Aeril segera mendapatkan khidmat sebuah klinik untuk membuat ujian calitan ke atas isteri dan tiga anaknya, termasuk semua kakitangannya.
“Swab test RTK kesemua mereka negatif dan masih menanti keputusan PCR pula. Doakan negatif juga,” pinta Aeril.
Baca Disini Juga:
Selepas Aepul Anak Pula Positif “Maaf Baby Girl, Daddy Jaga Awak” Mujur Leez Negatif

Emma Maembong & Suami Positif Covid-19 Tiada Sebarang Simptom, Syukur Baby Negatif
Pada masa yang sama, Aeril juga kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sementara menunggu panggilan dan tindakan lanjut daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekarang saya kuarantin kendiri di bilik atas. Nak isi masa 10 hari ini dengan macam-macam aktiviti. Doakan yaa.
“Sekarang pengurus saya dah tak demam lagi, tapi tetap kuarantin kendiri,” tulis Aeril.
Semoga Dipermudahkan Segala Urusan
Sumber/Sumber Foto: Instagram Aeril Zafrel
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI