Kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak semalam, ditemui meninggal dunia di sebuah sungai, berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Laungan ‘Allahuakbar’ dan tangisan hiba memecah kesunyian malam di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, susulan penemuan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Tubuh Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui penduduk danggarkan lebih 200 meter daripada lokasi yang dilaporkan hilang sekitar pukul 10 malam tadi. Suasana hiba menyelubungi penduduk di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini sebaik sahaja jasad kanak-kanak autistik yang dilaporkan hilang sejak semalam, ditemui.
Lebih memilukan apabila bapa Zayn Rayyan dilihat sukar menerima berita penemuan menyedihkan itu dan pengsan beberapa kali.
Penduduk di kawasan kejiranan tersebut masih lagi menunggu proses membawa keluar mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui di sebatang sungai berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Memetik Kosmo Online, penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman yang melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut.
Terdahulu ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.
Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.
“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.
“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.
“Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” katanya.
Faizol Najib merupakan individu yang menemui kanak-kanak autisme, yang hilang sejak semalam.
Menurutnya, dia tidak menyangka akan menemui kanak-kanak istimewa itu dalam keadaan tidak lagi bernyawa dan hanya mengikut gerak hati untuk mencari di kawasan anak sungai dekat Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, walaupun kawasan itu sudah digeledah Unit Anjing Pengesan (K9), semalam.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Katanya, dia sebelum itu sepatutnya bersama empat lagi penduduk setempat untuk melakukan pencarian rumah ke rumah bersama pasukan polis.
“Sayu hati saya apabila disahkan kanak-kanak yang ditemui itu adalah Zayn Rayyan, saya lihat dia lengkap berpakaian dengan lencana sekolah seperti ditularkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid yang berada di lokasi kejadian mengesahkan penemuan tersebut dan akan memaklumkan fakta kejadian.