Zaman Dah Berubah, Cabaran Suami Isteri Dulu Dan Sekarang Dah Tak Sama…

Share

Zaman dah berubah dan kadangkala kita kena berubah ikut peredaran zaman. Menjalani kehidupan berumah tangga bukan semudah melafazkan ijab dan kabul. Kalau tak kuah, boleh terputus di tengah jalan. Malah, cabaran yang dihadapi oleh pasangan suami isteri muda zaman sekarang juga berbeza dengan suami isteri zaman dulu.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, yang juga penulis ruangan Nota Untuk Isteri Dalam dalam Majalah Mingguan Wanita berkenaan cabaran hidup pasangan dulu dan sekarang.

Berbeza

Setiap minggu boleh dikatakan ada sahaja jemputan Wallimahtulurus daripada saudara-mara atau rakan-rakan. Seboleh mungkin kita mahu hadir meraikan hari-hari bahagia semua pasangan yang memulakan fasa baru hidup masing-masing. Semasa menikmati hidangan pasti teringat suatu masa dahulu kita juga melalui hari istimewa itu. Bagi saya yang sudah melaluinya 25 tahun dahulu suasana sudah berbeza.

Dulu orang menjalankan kenduri kahwin cara berkhemah dan berkampung. Sekarang berdewan dan berkatering. Cara pasangan dahulu bertemu jodoh juga berbeza dengan pasangan hari ini.

Jodoh kita mungkin diatur keluarga tetapi sekarang mereka mencari sendiri. Zaman berubah dan pastinya berbeza dengan zaman kita dahulu. Namun sama ada untuk pasangan tua atau pasangan muda, misi perkahwinan itu tetap kekal sama. Mencari bahagia, menambah umat sebagai modal menuju ke syurga.

Terdapat perbezaan antara cabaran yang dilalu pasangan dahulu dan pasangan sekarang. Antara yang berbeza ketara kelihatan ialah kepimpinan keluarga, kewangan, pengurusan dalam rumah, dan komunikasi.

Zaman Berbeza, Apa Cabarannya?

Mari kita mulakan dengan cabaran pertama. Jika dahulu memang tidak ada keraguan bahawa suami memegang kata putus dalam semua keputusan. Kalau hitam kata suami maka hitamlah kata isteri. Kalau putih kata suami maka putihlah kata isteri. Sekarang tidak lagi sepenuhnya begitu. Walaupun bagus suami isteri duduk berbincang tetapi selalu berlaku suami kata hitam tetapi isteri kata kelabu.

Peningkatan tahap pendidikan wanita hari ini bermakna kualiti kepimpinan suami pasti teruji. Suami sekarang tidak sebebas dahulu apabila membuat keputusan. Sebuah kapal tidak boleh mempunyai dua orang ‘kapten’ yang berkuasa membuat keputusan. Cabaran suami hari ini ialah meningkatkan kualiti kepimpinan. Sementara isteri yang berpendidikan lebih tinggi daripada suami perlu lebih tawaduk menghormati keputusan suami.

Cabaran kedua ialah kewangan. Ini adalah punca utama yang menyebabkan semakin ramai pasangan bercerai pada usia perkahwinan yang sangat muda. Betul wang adalah ‘Raja Sebenar’ dalam kehidupan. Cabaran kehidupan pasti datang tidak kira kepada pasangan kaya atau miskin. Namun adalah lebih selesa meratap hiba dalam rumah selesa serba ada berbanding meraung-raung dalam rumah kecil yang daif serba-serbi.

Zaman Berubah…

Dahulu isu begini tidak begitu ketara. Suami adalah pencari nafkah keluarga. Sekarang tidak begitu. Isteri mungkin ada pendapatan dua atau tiga kali ganda berbanding pendapatan suami. Memang senang berceramah tentang tanggungjawab suami menyara keluarga tetapi apabila suami terpaksa bekerja 18 jam sehari, isteri manakah yang sanggup memahami?

Ini adalah contoh suami yang egonya tinggi yang kononnya tidak disukai wanita. Sebenarnya bagi lelaki ego begini, biar patah riuk tulangnya bekerja daripada rasa malu terima wang isteri. Bagaimana pula jika suami yang cepat rasa lega lantas selalu di depan mata? Bila lihat isteri sudah mampu menyara hidup sendiri serta tidak berkira membayar bil api dan air maka dia rasa dah tak perlu lebih usaha. Isteri mana pula yang boleh tahan begini, betul tak?

Pengurusan rumah tangga ini umpama menguruskan hal-ehwal dalam rumah. Ini termasuklah susun atur perabot, kebersihan rumah, pelupusan hasil buangan dapur, kebersihan bilik air dan sebagainya.

Hari ini kebanyakan pasangan, kedua-duanya bekerja. Oleh itu suami tidak boleh lagi berharap apabila dia balik ke rumah semuanya telah siap sedia di atas meja makan. Hujung minggu pasti kerja-kerja pembersihan rumah dan tandas perlu dilakukan. Betul, segalanya lebih mudah jika ada pembantu rumah. Tetapi pembantu rumah tidak datang hanya dengan CINTA. Ianya perlu dibayar dengan duit sebagaimana cabaran yang saya sebutkan sebelum ini.

Yang Terakhir…

Cabaran terakhir yang saya mahu kongsikan ialah komunikasi. Tidak ada keluarga yang boleh bahagia tanpa komunikasi yang baik antara suami dan isteri. Saya selalu diberitahu antara tips bertenang apabila berkrisis ialah isteri diam apabila suami bercakap. Jika begitu mudah caranya pasti banyak rumah tangga boleh diselamatkan.

Memang isteri diam bila suami bercakap tetapi jelingan mata, riak muka dan bahasa badan yang ditunjukkan oleh isteri ketika diam itu sudah cukup membuatkan suami merasa sentap ke hulu hati.

Itu yang menyebabkan ramai yang memanjat tangga mahkamah syariah untuk merasmikan ‘masjid yang bakal runtuh’ itu. Suka atau tidak, setiap pasangan muda perlu menguasai seni bercakap-cakap dan seni berdiam-diam untuk merendahkan suhu panas apabila berkrisis.

Perkara yang dianggap paling mudah inilah yang sebenarnya paling susah dilakukan oleh pasangan muda hari ini. Berkomunikasilah secara betul dengan suami. Mengadulah dengan Allah dan elakkan mencari sokongan viral dalam media sosial apabila tergigit lidah dalam rumah tangga.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nurul Azwa