Jelas Hanna Baa, barangkali Allah sengaja memberi dia petunjuk setelah lama suaminya berhubungan dengan Yaya. Sebelum menunaikan umrah tahun lalu dia mengetahui hal sebenar. Segalanya berlaku secara kebetulan.
Dia ada meluahkan kemarahannya pada Yaya pada ketika itu, dan memang Yaya ada minta maaf dan berjanji akan mengundur diri. Yaya juga akui tidak mahu merosakkan kebahagiaan mereka berdua, apatah lagi tiga anak Hanna Baa yang masih kecil hasil perkongsian hidup dengan suaminya selama 11 tahun.
“Saya memang terkejut, bayangkan selama ini kami berkawan baik. Rupanya setelah setahun mereka bercinta, baru saya ketahui hal sebenar. Pada bulan November saya dapat hidu perkara ini, iaitu sebulan sebelum saya tunaikan umrah tahun lepas.
“Memang setelah tahu hal sebenar, saya ada hubungi Yaya dan marah-marah dia. Saya beritahu yang saya memang tak sangka dia buat saya macam ni. Selama ini saya baik dengan Yaya. Tapi mengapa begini Yaya lakukan pada saya.
“Ketika itu dia memang tak mengaku walaupun sebenarnya saya sudah ada bukti. Saya bagi amaran agar dia jauhkan diri daripada suami saya. Dia berjanji tetapi tak sangka akhirnya mereka berhubungan balik. Mungkin sebab sudah lama bercinta, mereka tak boleh berpisah,” katanya satu-persatu.
Menurut Hanna dia nekad melakukan perkara ini kerana merasakan tertipu dan dikhianati. Buat masa ini dia serahkan pada Allah dan dalam masa yang sama mengambil tindakan undang-undang untuk “saman” Yaya.
“Saya mahu buktikan saya di pihak yang benar. Apa yang saya lakukan bukan untuk kepentingan saya sendiri tetapi untuk anak-anak saya,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.