Pertunangan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Bukan bila suka boleh ikat, bila tak suka kau lepas. Sedangkan dalam Islam ada sebut, jika seseorang itu tunang orang haram untuk orang lain masuk ‘line’.
Nampakkan? Betapa seriusnya soal pertunangan itu. Maka, itulah individu yang dalam pertunangan itu juga dilindungi haknya. Sekiranya terjadi satu-satu perkara, sehingga mengakibatkan putus tunang. Dan pihak yang satu lagi, tidak redha dengan pemutusan itu, maka dia berhak untuk menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.
Ganti rugi yang macam mana? Ini penjelasan Peguam Syarie, Fahmi Ramli.
Tuntut Hak Ganti Rugi Pertunangan di Mahkamah Syariah
Viral seorang artis terkenal yang putus pertunangannya juga dengan seorang artis. Siapa-siapa pun kalau bertunang tak mahu hal ini terjadi. Lebih perit pulak pertunangan yang diputuskan ini ada isu yang besar sehingga melibatkan pihak polis.
Saya tak mahu ulas tentang isu yang timbul antara artis tersebut. Biarkan pihak polis lakukan tugas mereka. Cuma, ada soalan daripada netizen, artis wanita yang putus tunang tu tak boleh tuntut apa-apa ke di Mahkamah Syariah? Insya allah saya akan ulaskan sedikit supaya menjadi panduan semua.
Boleh Ke Tuntut Ganti Rugi di Mahkamah Syariah?
– Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu.
Ads
Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan tuntutan Ganti Rugi Perkahwinan.
– Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan :
1) Pemberian pertunangan (jika ada) 2) Memulangkan nilainya 3) Membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.
– Jadi, dalam kes ni, pihak yang diputuskan pertunangan boleh membuat tuntutan ganti rugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan kearah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.
Ads
Boleh ke Tuntut Saman Malu?
– Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan ke arah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut.
– Jika tuntutan itu bersifat ganti rugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil).
– Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Ganti rugi Keaiban berjumlah RM200,000.00 yang dituntut oleh pihak Plaintif.
Apa Yang Wanita Putus Tunang Itu Boleh Tuntut di Mahkamah Syariah?
– Di dalam kes ini, dia boleh membuat tuntutan :
Ads
i) Belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah ii) Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik iii) Bayaran duit catering iv) Kad-kad jemputan v) Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll) vi) Pembelian katil pengantin vii) Tempahan langsir dan cadar viii) Deposit photographer
Ok, faham kan apa yang boleh dituntut untuk ganti rugi putus tunang. Pertunangan bukan hal yang boleh dibuat main-main. Ia dah melibatkan dengan perundangan serta hukum syarak.
Jadi, pihak yang memutuskan pertunangan perlu bertanggungjawab atas pemutusan pertunangan tersebut melainkan pihak satu lagi tu redha.
Moga kita semua dilindungi dengan rahmat Allah. Tapi kalau dah tiada jodoh, mungkin ada hikmah di sebalik insiden ni.
Ada hikmah juga bila tahu sesuatu sebelum berkahwin, kan? Follow dan Like Fahmi Ramli untuk terus mendapat info perundangan syariah.
Jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung ketika tawaf umrah pertama. Seorang jemaah haji Malaysia, Mohd Zahir Ismail meninggal dunia sebaik habis melakukan ibadah tawaf umrah.
“Pak cik orang yang baik. Dia orangnya lucu, selalu buat kelakar,” itu ungkapan Pauziah Othman, 58, apabila ditanya mengenai suami, Mohd Zahir Ismail yang meninggal dunia sebaik habis melakukan ibadah tawaf umrah.
Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung
Allahyarham meninggal dunia malam Rabu lalu selepas rebah di mataf, akibat serangan jantung di samping isteri yang sama-sama melakukan tawaf umrah pertama, sebaik tiba di Makkah dengan menaiki penerbangan KT66 pada malam sama.
Menceritakan lagi detik arwah sebelum rebah, Pauziah yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, ketika itu, dia dan arwah baru habis melaksanakan ibadah tawaf dan bergerak ke arah tempat untuk menunaikan solat sunat tawaf.
Ketika Tawaf Umrah Pertama
“Arwah berjalan di belakang sambil memegang saya. Dia ada mengadu beberapa-kali dia ada mengatakan terlalu penat dan saya katakan sabar… kita buat perlahan-lahan. Hinggalah habis dan kami sedang berjalan untuk melaksanakan solat sunat tawaf,” katanya.
Pauziah sudah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham sejak 1996, tapi tidak dikurniakan cahaya mata.
“Saya terdengar ungkapan Allahuakbar sebelum rebah. Dia jatuh terlentang. Mak cik pun ikut jatuh sebab tangan arwah masih berpaut pada tangan mak cik. Walaupun orang ramai, tiada orang pijak sebab mak cik lindung dia masa itu,” katanya lagi kepada Petugas Media TH, di hotel penginapannya.
Allahyarham dan Pauziah melaksanakan ibadat tawaf bersama kumpulannya dan ketika kejadian, ramai jemaah Malaysia turut berada di tempat kejadian.
“Ketika itu, mata Allahyarham masih terbuka dan kemudiannya perlahan-lahan tertutup. Tak lama kemudian beberapa askar datang membantu dan kemudiannya Allahyarham dinaikkan ke atas buggy untuk dibawa ke klinik masjid,” cerita Pauziah dengan tenang, sambil berkali-kali meminta maaf kepada petugas media kerana tidak ada apa hendak diceritakan.
Berita kematian Allahyarham diketahui di klinik masjid apabila doktor yang merawat Allahyarham memanggil masuk lalu memberitahu bahawa dia sudah tiada.
“Agak terkejut juga sebab dia pergi secara tiba-tiba,” katanya lagi yang sama-sama mendaftar haji pada 2009.
Allahyarham adalah anak kedua daripada tiga beradik, menjaga ibunya yang sudah uzur tidak mampu bangun sendiri.
Dalam pada itu, Pauziah berkata, arwah suaminya seorang yang taat kepada ibunya, Zariah Musafa, 86.
“Arwah sering bergurau dengan ibunya. Malah, dia akan membersihkan ibunya terlebih dahulu sebelum ibunya memulakan solat,” katanya.
Tambah Pauziah, Allahyarham tiada sebarang rekod penyakit dan tidak merungut ketika menjaga ibunya dan dia sangat rapat dengan ibunya.
Berita kematiannya sudah sampai ke pengetahuan ibu melalui cucunya.
Jenazahnya disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidilharam, kelmarin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.
Allahyarham yang meninggal ketika melakukan tawaf dikafankan menggunakan kain ihram yang digunakan dan mukanya tidak ditutup.
Pauziah memberitahu bahawa beliau dapat mengiringi arwah sepanjang perjalanan dan menatap Allahyarham sehingga ke pintu masuk Tanah Perkuburan Syaraiee.
Siapa sangka perkongsian video-video masakan yang dimuat naik ke laman youTube berjaya menambat hati ramai, malah kini mampu memberi pendapatan tambahan. Walaupun hanya menggunakan perkakasan dan peralatan masakan yang asas. Bahkan telefon pintar yang digunakan untuk merakam video masakan tersebut juga di beli secara hutang. Bukan mudah untuk berjaya, yang penting berusaha.
Itulah kisah di sebalik kejayaan Pavithra dan suami, M Sugu, 29, yang viral di media sosial beberapa hari kebelakangan ini selepas video-video masakan yang dikongsikan menerusi saluran Youtube mereka mendapat perhatian penonton.
Jadi Youtuber Masakan Bulan Januari
Selain kepelbagaian menu yang disediakan termasuk masakan India, penggunaan bahasa Melayu oleh Pavithra dalam semua video nyata berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur untuk terus melanggan saluran pasangan suami isteri itu yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana secara tiba-tiba begitu ramai pengguna melanggan saluran Youtube kami sedangkan kami sangat baru, masih banyak kekurangan dalam kandungan video yang perlu kami perbaiki,” kata S Pavithra, 28.
Pavithra berkata, dia dan suami mula berjinak-jinak sebagai Youtuber sejak Januari lalu selepas mendapat saranan daripada rakan baik yang juga seorang YouTuber untuk menghasilkan serta memuat naik video masakan di laman berkenaan.
Menu pertama yang dikongsi mereka adalah ikan talapia bakar dan Pavithra berkata, dia dan suami menunjukkan tutorial memasak menggunakan Bahasa Melayu.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, mereka sendiri terkejut apabila jumlah pelanggan saluran mereka meningkat sehingga 10,000 dalam tempoh sebulan saluran berkenaan diwujudkan.
Perolehi Pendapatan Sampingan Youtube
Susulan itu, pasangan ini menerima emel daripada YouTube untuk menjadi Rakan Youtube sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut dolar Amerika Syarikat (AS).
“Saya dan suami memang gemar memasak jadi kami tiada idea yang lebih baik untuk dijadikan kandungan utama saluran YouTube kami selain berkongsi resipi dan tutorial masakan.
“Pada peringkat awal, rakan baik saya turut mempromosikan saluran kami di salurannya jadi mungkin juga itu antara faktor video kami ditonton lebih ramai pelayar sehingga jumlah pelanggan juga naik mendadak.
“Walaupun saya berbangsa India, saya ambil inisiatif untuk hasilkan video dalam bahasa Melayu berbanding Tamil supaya ia dapat difahami lebih ramai penonton di negara ini,” katanya.
Bukan Orang Senang
Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, jika orang lain mempunyai perkakasan dapur yang canggih, tidak pula bagi mereka yang hanya mempunyai perkakasan asas di dapur. Berbekalkan dua periuk termasuk periuk untuk memasak nasi selain kuali dan sudip, kandungan video dihasilkan menggunakan telefon pintar yang dibeli secara hutang untuk tujuan perkongsian video terbabit.
Rakaman juga menurutnya dibuat selepas suami pulang dari kerja atau pada hari cuti.
“Sejujurnya, kami bukanlah orang senang. Saya hanya suri rumah sepenuh masa manakala suami pekerja ladang kelapa sawit dan kami tinggal di kuarters yang disediakan majikan suami.
“Sebab itu, perkakasan yang digunakan untuk kandungan video hanyalah periuk, kuali dan sudip biasa, barang sedia ada di rumah yang kami gunakan setiap hari, tiada pun peralatan canggih.
“Kami juga tiada tripod (kaki tiga) jadi untuk menstabilkan telefon ketika rakaman, kami hanya letakkan telefon di atas cawan di tempat yang kukuh.
“Memandangkan suami agak pemalu, saya lebih banyak bercakap khususnya ketika kenalkan bahan-bahan dan cara-cara namun proses suntingan klip video dilakukan bersama selepas makan,” katanya.
Dapat Hadiah Peralatan Dapur
Dalam pada itu, Pavithra turut menzahirkan terima kasih kepada pelanggan salurannya yang menghadiahkan mereka dengan pelbagai peralatan dapur.
“Saya menerima pelbagai perkakasan seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan) dan ketuhar yang tidak pernah saya gunakan apa lagi miliki seumur hidup saya.
“Tidak kurang juga pengikut yang menghantar bahan mentah serta rempah ratus untuk saya gunakan dalam penghasilan video.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada keluarga, jiran, rakan dan pelanggan yang sentiasa memberikan idea mengenai menu masakan seterusnya untuk saya hasilkan dalam video,” katanya.
Ketika ini, jumlah pelanggan saluran Sugu Pavithra di laman Youtube sudah mencecah 275,000 orang.
MW: Tahniah buat pasangan suami isteri ini. Siapa sangka perkongsian video di youtube menjadi punca pendapatan tambahan buat keluarga kecil ini. Semoga terus maju jaya, kekal merendah diri dan bersikap jujur dalam menghasilkan ‘content’ video yang menarik.
Takutnya bila cerita bab pedofilia ini. Lagi-lagi mak ayah yang ada anak perempuan. Sebab wajah pedofilia kita memang susah nak kenal. Pedofilia tak ada ‘muka’ tapi lelaki ini, BroOhsem Akhtar Syamir bantu mak ayah cam ciri-ciri si pedo, lagi-lagi di media sosial (socmed).
Fahamkan Pedofilia Itu Apa
Apakah itu Pedofilia? Ibu-bapa wajib baca dan belajar cara melindungi anak-anak kita.
What is Pedophilia? A must read article for parents and learn how to protect our children.
Pedofilia ini adalah satu gangguan mental di mana seseorang itu mempunyai tarikan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. Sama ada lelaki atau kanak-kanak perempuan.
Siapa Pedofilia : Kenali Ciri Mereka
Secara telitinya, seorang penghidap Pedofilia mempunyai corak keghairahan seksual dan minat yang berterusan melalui pemikiran seksual. Mereka sering berfantasi dan kanak-kanak boleh menaikkan nafsu mereka. Penghidap Pedofilia selalunya gagal membezakan daya tarikan kanak-kanak belum baligh dan yang sudah baligh. Ia juga sering dikaitkan dengan penderaan seks kanak-kanak.
Penghidap Pedofilia ini tidak terhad kepada lelaki sahaja. Wanita juga ada yang mempunyai masalah mental yang sama tetapi tidak seramai lelaki.
Buat masa ini, tiada penawar untuk Pedofilia, tetapi terdapat terapi yang boleh mengurangkan kebarangkalian seseorang pedofilia itu melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak.
Penghidap Pedofilia seringkali memuaskan nafsunya dengan pornografi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
Namun, pada masa kini, mereka juga boleh menjadikan gambar serta video yang dimuat naik oleh ibu-bapa sendiri sebagai bahan pemuas nafsu mereka.
Sebagai contoh, tular baru-baru ini apabila seorang pedofilia yamg menyamar sebagai wanita di Telegram, Whatsapp dan Facebook menawarkan diri untuk bercerita dan berkongsi masalah keputihan kanak-kanak di awal usia bawah 5 tahun.
Nampak pelik bukan? Namun, terlalu ramai ibu-bapa yang lurus bendul terpedaya dan dengan rela hati memberi gambar kemaluan anak kepadanya. Akhirnya, gambar-gambar itu dijadikan pemuas nafsu mereka dan ada kebarangkalian dijual ke laman web pornografi.
Si Pedo Minat Kanak-kanak Pakai Legging
Ada juga kes di mana penghidap Pedofilia meminati kanak-kanak yang memakai legging. Ini dinamakan fetish. Fetish bermaksud, suatu bentuk nafsu seksual di mana kepuasan dikaitkan dengan minat yang tidak normal untuk objek tertentu, barang, pakaian, bahagian tubuh dan lain-lain.
Si penghidap Pedofilia ini akan “request friend” kepada ramai wanita yang mempunyai anak kecil terutamanya yang ada gambar anak memakai legging. Pesakit mental ini kemudiannya akan komen serta tag diri sendiri tepat di bahagian “bawah badan” gambar tersebut untuk dirujuk semula bagi memuaskan nafsunya.
Di Youtube pula sedang kecoh dengan pedofilia muncul di video kanak-kanak penari Balet yang sudah semestinya memakai seluar yang ketat. Mereka dengan beraninya tag masa bila video untuk ternampak bahagian sulit kanak-kanak tersebut di komen untuk memudahkan penghidap pedofilia lain skip ke bahagian yang “utama” sahaja di video tersebut.
Situasi di atas dikaitkan penghidap Pedofilia yang menyendiri dan tidak melibatkan sentuhan fizikal kerana ianya berlaku di alam maya.
Malaysia pernah dikejutkan dengan kes Pedofilia yang besar pada tahun 2018 di mana seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa atas 16 pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan berusia antara 8 hingga 12 tahun di Kuala Terengganu dan Marang.
“… yang juga penganggur, didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan termasuk pornografi, menyentuh buah dada dan kemaluan serta melakukan seks oral terhadap tertuduh.”
Dari sini, kita boleh lihat ada dua jenis penghidap Pedofilia yang utama iaitu yang bersendiri dan yang terus tidak boleh mengawal nafsunya dan melakulan penderaan seksual terhadap kanak-kanak secara fizikal terus.
Mak Ayah Lindungi Anak Dengan Cara Ini
Apa yang kita boleh buat sebagai ibu-bapa untuk melindungi anak-anak?
1. Jangan menjadi lurus bendul dan terpedaya dengan pujuk rayu orang yang tidak dikenali.
2. Jangan layan bualan orang yang tidak dikenali walaupun dia seorang wanita kerana jantina di internet ini tidak dapat dipastikan secara 100%. Semua lelaki yang menggunakan gambar profil wanita boleh menjadi wanita.
3. Jangan berkongsi hal peribadi dan sulit anak-anak. Jika ada masalah, terus rujuk Doktor dan bukannya “kawan” di media sosial.
4. Berhati-hati apabila memuat naik gambar atau video anak-anak. Pastikan aurat dan aib anak-anak dijaga. Secara mudahnya, jagalah aurat anak sebagaimana anda menjaga aurat anda sebagai seorang wanita Muslim.
5. Buang mentaliti “bayi tidak apa”. Jangan sekali-kali memuat naik gambar bayi dengan lampin sahaja. Ini antara kegemaran penghidap pedofilia. Mereka akan berfantasi mengenai kulit bayi yang lembut dan lain-lain.
6. Peka dan buka mata mengenai Pedofilia ini. Jika kita peka, kita boleh sedar bila ada sesuatu yang tidak kena. Sebagai contoh, di media sosial, ada orang tawarkan untuk cakap perkara sulit atau ternampak seorang yang sudah dewasa bercakap mengenai betapa cantiknya anak memakai legging. Sepatutnya perkara ini terus mendatangkan syak.
7. Jika terjumpa orang sebegini di media sosial, terus laporkan dan block. Kongsikan juga dengan kawan-kawan supaya anak mereka tidak dijadikan mangsa.
8. Jaga aurat dan aib anak-anak walaupun dengan saudara mara. Ini selalu terjadi apabila berkumpul terutamanya semasa perayaan. Si ibu secara terang-terangan menukar lampin anak di hadapan orang lain. Aurat dan aib anak dipamerkan dan kita tidak boleh tolak kebarangkalian ada mata jahat yang memerhati dan berfantasi mengenai anak kita.
9. Peka dengan perubahan pada anak-anak. Penghidap pedofilia ini boleh berada di mana-mana. Berdekatan sekolah dan di rumah pengasuh atau jiran serta saudara-mara sendiri. Perlu berkomunikasi dengan baik bersama anak supaya mereka sedia berkongsi apabila ada masalah.
Langkah Akhir Ini Juga Sama Pentingnya
Kita tidak mampu untuk merubah penghidap pedofilia ini. Tetapi kita mampu mengawal dan melindungi anak-anak kita. Jangan pula takut untuk berkongsi di media sosial, cuma perlu tahu batas yang sesuai.
Dan akhirnya, belajarlah cara berkomunikasi dengan anak dan didik anak dengan cara mereka boleh berkomunikasi dengan betul.
Saya sarankan anda yang membaca artikel ini belajarlah dari Dr. Taufiq Razif, seorang pakar dalam ilmu keibubapaan. Beliau dan Puan Wawa Shauqi baru sahaja menerbitkan EBook Kit Didik Anak Hebat Komunikasi. Lebih 80 mukasurat yang menerangkan secara terperinci mengenai perbualan, bahasa tubuh, cara berkomunikasi, merapatkan hubungan, cara menangani masalah dan konflik serta cara bersosial anak lelaki dan perempuan.
Semoga kita sebagai ibu-bapa sedar akan masalah Pedofilia ini dan mula melindungi dan mempunyai ilmu untuk lebih bijak berkomunikasi dengan anak-anak.
Perlu ingat, jika anak anda tidak suka berkongsi cerita dengan anda ibu-bapa, ini bermakna anda telah gagal berkomunikasi dengan anak dan ianya bakal mendatangkan masalah di masa hadapan.
Semoga artikel panjang yang ditulis sendiri oleh saya ini dapat memberi ilmu dan mendatangkan manfaat buat semua orang.
Sila semak friend list anda mulai hari ini. Jika terdapat perkara yang meragukan, sila unfriend atau block terus.
Kongsilah penulisan ini supaya lebih ramai orang membuka mata mengenai masalah Pedofilia dan bahaya penghidap Pedofilia terhadap anak-anak kita.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa dan berkongsi di Supergroup Telegram BroOhsem Fans di http://t.me/broohsemfans
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!