Dua tiga hari ini kecoh dengan berita kematian warga emas selepas menikmati hidangan laksa. Sampai ada mak-mak pakat-pakat nak pantang makan laksa. Kenapa pula laksa dipersalahkan?
Dalam posting facebook Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setah, Kedah, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor menjelaskan perkaitan laksa dan kematian.
“Dua orang mati selepas makan LAKSA. Apa kaitan antara laksa dan kematian? Inilah yang pernah saya tulis mengenai kaitan di antara punca dan akibat (“causal relationship”)
.”“Bila berlaku kes kematian akibat makan laksa, adakah semua orang kena PANTANG MAKAN LAKSA? Jawapannya TIDAK sebab punca kematian bukan laksa tetapi pencemar yang ada di dalam laksa.”
Pencemar ini telah menyebabkan keracunan makanan. Keracunan makananlah yang menjadi punca kematian.
“Di antara pencemar yang boleh menyebabkan kematian adalah bakteria, virus, toksin, sebatian kimia (racun serangga dan lain lain) dan logam berat.”
Kesimpulannya, punca masalah adalah PENCEMAR dan akibatnya KEMATIAN. Laksa tidak bersalah jika ianya tidak tercemar. Orang lain tidak perlu pantang makan laksa.
Dalam posting yang lain pula beliau menjelaskan agar penyakit bawaan makanan ini jangan diambil ringan. Sebab makanan keperluan harian manusia.
“Manusia mengendalikan makanan dan minuman sepanjang masa, bakteria sangat mudah dipindahkan daripada seorang kepada orang lain, dari satu lokasi ke lokasi lain.”
“Jika bakteria itu daripada jenis yang ganas dan cepat merebak maka kesannya sangat cepat.”
“Sukar untuk mengesan pembawa sebab mereka tidak ada gejala tetapi mereka melepaskan bakteria di dalam najis dan air kencing.”
Sementara kes keracunan makanan masih lagi dikesan dan berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan, maka kalau boleh :
√ Jangan makan di luar.
√ Inilah masanya kita pakat masak di rumah dan makan di rumah.
√ Beli bahan-bahan mentah secukupnya.
√ Pastikan membasuh makanan sebaik-baiknya dengan air yang dirawat.
√ Elakkan makanan separuh masak.
√ Simpan makanan mentah pada suhu 0-4 darjah selsius.
√ Jangan campur makanan yang sudah masak dan mentah.
√ Nyahbeku makanan mentah dengan sempurna.
√ Masak makanan dengan sempurna.
√ Masak air hingga mendidih.
√ Jika ada gejala keracunan makanan cepat-cepat jumpa doktor.
√ Minum air dalam botol lebih selamat.
√ Akhir sekali pastikan diri sendiri itu bersih dan bukan pengotor.
Sumber/Foto : Rushdan Noor