Sampai ke hari ini, kita masih terkesan dengan kisah 6 penyelam bomba yang syahid dalam misi mencari remaja lemas di lombong Taman Putra Perdana. Membuka mata orang ramai betapa mencabarnya kerjaya wira tak didendang ini.
Membaca luahan hati penuh sayu seorang isteri pegawai bomba, Qushraini Qush ini terkesan sampai ke dasar hati. Betapa saban hari, isteri perlu tabah dan akur dengan pilihan kerjaya suami.
Walau dalam keadaan nasi mahu dijamah ke dalam mulut, apabila loceng kecemasan dibunyikan, mereka terus berkejar.. berlari ke trak bomba menuju ke lokasi kejadian.
Bertarung nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain. Bergelut dalam api marak, menahan bahang kepanasan asal tiada jiwa yang terkorban dalam kebakaran.
Namun, sayunya hati apabila ada manusia-manusia dangkal yang mempertikaikan, yang tidak memahami susah payah orang lain.
“Saya seorang isteri bomba. Setiap kali suami bertugas pada siang hari, saya akan sedia makanan untuk beliau.”
“Dan hantar ke balai.”
“Pernah beberapa kali melihat sedang mereka baru nak menyuap makanan ke dalam mulut. Tiba-tiba loceng kecemasan berbunyi.”
“Terus berlari meninggalkan makanan yang masih belum sempat masuk ke mulut. Demi untuk menyelamatkan orang lain.”
Bayangkan, anggota bomba ini sanggup meninggalkan makanan. Walau saat itu mereka dalam keadaan lapar.
“Pernah sekali, Allah mungkin ingin menunjukkan pada saya dan anak. Ketika itu, anak berumur 3 tahun. Kami lalui di satu kawasan kebakaran.”
“Saya dan anak melihat depan mata, suami bergelut untuk memadam kebakaran kedai yang banyak tong gas di dalamnya.”
Anaknya yang ketika itu melihat kejadian itu menjerit, “Ummi! Ayah ummi.. nanti ayah kena api macam mana?”
Air mata isteri ini tiba-tiba berguguran, di dalam kesesakan orang ramai yang melihat kebakaran itu. Namun, ada suara-suara sumbang yang tidak enak di pendengarannya.
“Apalah bomba lambat. Dah nak hangus baru sampai.”
Alangkah sedihnya isteri ini sewaktu mendengar kata-kata itu.
“Sedangkan yang sedang bertarung nyawa itu, suami saya. Kamu hanya melihat sahaja. Tak tahu betapa susah mereka cuba sebaik mungkin.”
“Untuk memadamkan kebakaran itu. Sebab itu, kita jangan tahu bersungut. Pelbagai rintangan perlu mereka harungi
.”“Demi menyelamatkan kita semua.”
Balas Qushraini, “Aminn.. akak hanya meluahkan apa yang akak rasa dan akak alami. Sejak kes 6 sekawan tu lagi akak rasa sedih sangat. Moga kita semua dalam limdungan Allah SWT.”
Sumber/Foto : Qushraini Qush, kami sayang hero kami