Berapa ramai bekas suami dalam dunia ni yang masih ambil peduli perihal keperluan anak-anak selepas bercerai dengan bekas isteri. Masih hulur duit belanja, masih hantar anak-anak ke klinik kalau anak-anak di bawah jagaan bekas isterinya demam.
Lelaki ini, Ariff Ismail juga seorang duda bergelar bapa, tak lepas tanggungjawab ambil tahu perihal anak. Biarpun dia dan bekas isteri dah tak boleh hidup sebumbung.
Masa Bercinta Wangi, Bila Bercerai Busuk
Ajal maut jodoh pertemuan semua atas aturan tuhan. Tak ada lambat atau cepat. Sama juga dengan soal kahwin.
Ada yang bercinta bertahun-tahun tapi baru kahwin setahun dua, cerai. Laut ada pasang ada surut. Langit ada cerah ada gelap.
Alif Aziz & Bella Astilah pun bercerai bro, bukan mereka pinta itu namanya jodoh pertemuan dan perpisahan.
Persoalan yang selalu bila bercerai, mesti akan ada sesetengah pasangan yang jadi musuh. Langsung lupa kisah cinta silam.
Lupa bau kentut pasangan.
Lupa 1000 kebaikan dek kerana 1 kesalahan.
Mula unfollow IG/FB masing-masing, kutuk mengutuk menuding jari antara satu sama lain. Tak bertegur sapa.
Siapa yang jadi mangsa esok?
Anak-anak la mangsa kalau ada zuriat. Sedangkan anak-anak tak terlibat langsung dalam masalah kita dan pasangan.
Jangan rampas hak kasih sayang anak terhadap ibu ataupun bapa hanya kerana penceraian. Jangan biarkan anak membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.
IKLAN
Benda Boleh Bawa Bincang, Buat Apa Nak ’See U In Court’
Bercerita berkenaan pengalaman saya sendiri, perkahwinan yang dibina tenggelam di tengah jalan selepas melayar bahtera selama 2 tahun.
Salah siapa? Itu bukan apa yang perlu dipertikaikan. Setiap dari kita ada kelemahan sendiri.
Namun itu bukan alasan untuk naik turun mahkamah, terpekik terlolong soal tuntutan hak penjagaan anak.
Benda boleh bawak bincang buat apa nak “See u in court.”
Tak ada siapa yang nak bina gerbang perkahwinan untuk diakhiri dengan penceraian.
IKLAN
6 Tip Jaga Anak Bersama Selepas Bercerai
1. Ketepikan Soal Emosi
Bila penceraian terjadi, Emosi mula mengawal diri kita. Sepatutnya kita yang kena kawal emosi dengan lebih memikirkan soal penjagaan anak, kononnya mana yang anak-anak nak ikut itulah ibu atau bapa yang terbaik.
Kalau kita mula layan emosi, ini akan mengakibatkan pergaduhan atau perbalahan bersama bekas pasangan.
2. Musyawarah/Berbincang
Dalam Islam kita digalakkan untuk bermusyawarah dalam setiap perkara yang kita hendak lakukan.
Soal penjagaan anak elok bincang bersama tanpa ada campur tangan pihak ketiga. Nescaya akan ada campur tangan orang lain kalau kita melibatkan orang lain dalam masalah kita.
3. Ambil Tahu Hal Anak
Jangan lepas tangan bila kita gagal dalam hak penjagaan anak. Sentiasa ambil berat soal anak.
IKLAN
Zaman dah canggih bro, boleh call, video call anak-anak supaya mereka sentiasa rasa kita ada dan ambil berat tentang mereka.
4. Bahagi Masa Bersama ( Give & Take )
Ini perkara paling penting, jangan langsung tak ada masa bersama anak. Kalau anak bersama bekas pasangan kita, luangkan masa kita untuk keluar bersama anak. Usahakan.
Buatlah aktiviti bersama anak. Jangan biarkan anak hanya bersama bekas isteri/suami yang mendapat hak penjagaan mereka.
5. Rancang Masa Depan Anak
Bila bercerai jangan biar pasangan yang dapat hak penjagaan sahaja yang merancang masa depan mereka. Rancang bersama apa yang terbaik untuk pendidikan anak dan sebagainya.
Anak tu tak lahir ke dunia dengan hanya sumbangan satu pihak saja. Pastikan pelajaran dan proses pembesaran anak berjalan dengan lancar. Masa nak buat anak dulu pandai sama-sama.
Ini sekadar perkongsian dari pengalaman saya. Saya sendiri masih berhubung dengan bekas isteri berkenaan anak.
Tiada jodoh bukan bermakna jadi musuh. Itu bodoh nama nya. Yang bercerai kita, bukan anak. Yang tidak serasi kita, bukannya anak.
Sama-sama bertolak ansur dan saling berkomunikasi supaya anak membesar dalam kasih sayang ibu dan bapa. Bercerai masih boleh berkawan untuk masa hadapan anak.
Jahidah positif covid-19. “Adik risau tahap kesihatan kakak, sebab belum divaksin.” Sebelum ini berikutan Jahidah masih koma, doktor tidak menggalakkan Jahidah untuk mengambil vaksin.
Apatah lagi dengan tahap kesihatan Jahidah yang tidak menentu membuatkan ahli keluarga terutamanya adiknya, Fauziah bimbang dengan keadaan Jahidah yang kini dijangkiti Covid-19.
Jahidah Positif Covid-19
Wanita mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini koma dipukul suami Jahidah Nordin, 43, disahkan positif Covid-19 ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan.
Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, pihak hospital memaklumkan Jahidah dijangkiti Covid-19 petang semalam berikutan terdapat kes pesakit lain positif di wad sama sebelum ini. “Menurut pihak hospital, kakak Jahidah positif (Covid- 19) tahap dua dan telah dipindahkan ke Wad Covid-19 petang semalam.
“Sebelum ini, memang ada kes pesakit katil sebelah kakak pun positif Covid-19, tapi saya tidak pasti berapa ramai yang positif dalam wad itu,” katanya.
Adik Risau Tahap Kesihatan Kakak
Menurut Fauziah, dia risau memikirkan tahap kesihatan kakaknya tambahan pula dia belum pernah divaksin atas nasihat doktor.
“Dengan keadaan kakak Jahidah macam itu, demam tinggi dengan ‘bedsore’ (kudis) baharu naik di belakang badan lagi, dia bukan macam orang normal lain tidak boleh bercakap atau merengek kalau sakit.
“Tahun lepas memang doktor tidak berani beri suntikan vaksin Covid-19 pada kakak kerana keadaannya koma,” katanya.
Menurut Fauziah, memandangkan Jahidah belum divaksin pihak hospital akan membuat pemantauan selama 10 hari.
Pada 21 Januari lalu, Kosmo! melaporkan Jahidah dikejarkan ke HTJ dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik.
Jelas Fauziah, dia juga melahirkan kekecewaan apabila berlaku kes Covid-19 dalam wad hospital sedangkan pelawat perlu membuat pemeriksaan pengesahan ujian Covid-19.
Mingguan Wanita : Semoga Jahidah cepat sembuh dari virus Covid-19 dan dipermudahkan urusan.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
“Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin.” Lelaki redha jaga isteri lumpuh, empat anak OKU.
Sesungguhnya berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul. Namun itulah takdir yang perlu diterima lelaki ini apabila isteri yang disayangi lumpuh dan kini hanya bergantung harap padanya seorang.
Amanah Ini Akan DiPikul Sebaik Mungkin
“Saya reda dan amanah ini akan dipikul dengan sebaik mungkin,” kata seorang lelaki yang tetap tabah menjaga isteri dan empat anak lelaki orang kurang upaya (OKU).
Jumahir Masun, 52, berkata empat daripada lima anaknya berusia 16 hingga 25 tahun tidak boleh berjalan sejak berusia satu tahun.
“Anak-anak saya tidak membesar seperti kanak-kanak lain, dulu saya dapat berkongsi tugas mencabar ini dengan isteri, Rohayati Abdullah, 50.
Lelaki Redha Jaga Isteri Lumpuh
“Namun, kini tugas itu digalas sendirian selepas isteri tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun lalu,” katanya di Felda Kertih 6, Dungun, Terengganu.
Menurutnya, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya terlantar di atas katil sepanjang masa.
Katanya, sementara Ahmad Ariffin, 23, Ahmad Zainuddin, 17, dan Ahmad Budiman, 16, pula mengalami masalah sendi tangan serta kaki menyebabkan mereka tidak boleh duduk dengan betul.
Uruskan Empat Anak OKU
“Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital untuk rawatan dan terapi tetapi atas sebab masalah pengangkutan kerana tiada kereta menyebabkan mereka tidak dibawa lagi ke hospital.
“Keempat-empat anak dan isteri terpaksa memakai lampin pakai buang dan itu membuatkan saya terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung kos berkenaan,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia bekerja mengambil upah mengait kelapa sawit dan kini terpaksa berhenti kerja sejak isterinya lumpuh.
“Isteri dan anak-anak memang memerlukan penjagaan dan perhatian sepenuhnya termasuk menguruskan diri mereka.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan dalam hati ini saya menangis memikirkan keadaan saya dan mereka,” katanya.
Jumahir berkata, dia tetap bersyukur apabila setiap anaknya diberi bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan itu saya perlu berjimat-cermat untuk perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.
“Duit bantuan itu juga digunakan untuk anak ketiga, Nor Hanisa, 20, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperolehinya perlu digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku-buku pelajaran,” katanya.
Jiran Turut Bersimpati
Katanya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dengan menghulurkan makanan.
“Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib dan tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya umur saya tidak panjang, “katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mak ayah yang ingin menghulurkan bantuan buat keluarga ini, boleh menghubungi Jumahir di talian 0145401915. Semoga keluarga ini terus tabah dan kuat menharungi dugaan yang berat ini.
Bella & Caprice akhirnya berdamai. Menerusi ruangan komen, majoriti netizen menyambut baik perkara tersebut dan berharap tiada lagi perbalahan antara Bella Astillah dan Caprice.Malah...