Sejak 7 hari lalu, puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39 cuma memiliki nama timang-timangan. Malam tadi, bersempena majlis maulid nabi, aqiqah dan tahnik puterinya itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami mengumumkan kepada hadirin pilihan nama anak sulung mereka adalah Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa.
Sebelum ini Ibu dan ayahnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 59 memanggil Siti Aafiyah dengan nama gelaran Fatimah Az-Zahra bersempena nama puteri rasulullah SAW. Malah panggilan manja, Comel Pipi Merah turut digelar ibunya yang juga penyanyi tersohor negara.
“Selepas saya hamil, kami mula mencari nama yang paling sesuai. Ilham nama ini diperoleh ketika di Tanah Suci Makkah. Di sana, doa pendek inilah yang sering suami saya nampak.
Doa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah, Allahumma inni asaluka al’afiyah (Ya Allah, aku meminta kepada kamu ‘afiyah).
Afiyah ini membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk menjadi sihat, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai wang , kita berada dalam afiyah, untuk hidup, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai anak-anak kita dilindungi, kita berada dalam afiyah. Dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita berada dalam ‘afiyah.
“Kemudian, suami saya tanya sama ada setuju atau tidak memberikan nama Aafiyah. Nama itu membawa segala-gala maksud yang baik-baik.
“Dalam masa yang sama saya memikirkan nama yang dicadangkan suami. Tak sangka, setiap hari dekat handphone doa-doa yang diupdate pada saya adalah doa yang memang menyebut tentang aafiyah.”
Daripada situlah tercetusnya, beliau dan suami memilih Siti Aafiyah Binti Khalid Mohd Jiwa sebagai nama yang diberikan kepada permata sulung mereka.
Akui Siti lagi sepanjang 7 hari ini, dia memanggil anaknya dengan nama Fatimah Az-Zahrah. Memandangkan nama Siti Aafiyah pun sudah melekat di hati, ada ketikanya dia memanggil puterinya itu dengan panggilan Aafiyah,
“Bila panggil Fatimah Az-zahrah pun dia senyum, panggil Siti Aafiyah pun dia senyum. Ternyata dia bayi yang suka senyum.” Ulas beliau lagi, beliau akan memanggil anaknya dengan nama penuh memandangkan nama itu adalah doa.
“Biar dia dapat maksud doanya dan saya yang memanggil pun dapat juga.” Datuk Seri Siti Nurhaliza juga lebih selesa jika membahasakan dirinya sebagai ibu. Agar lebih mesra dan lembut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat merakam perasaan indah sebaik bergelar ibu.
“Alhamdulillah, Allah perkenankan doa selama 11 tahun. Setiap detik, setiap waktu tak pernah saya lupa memohon pada Allah agar diberi pengalaman untuk menjadi seorang ibu, merasai pengorbanan seorang ibu.
“Syukur pada ibu yang melahirkan saya, ibu mentua yang telah melahirkan suami saya. Ini adalah anugerah yang sangat terindah dalam hidup saya.
“Pengalaman jadi ibu hamil dan melahirkan pengalaman yang sangat nikmat. Walaupun sewaktu melahirkan ada komplikasi, Allah mudahkan segalanya.”
Majlis tahnik dan aqiqah puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid ini disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli al-Bakri yang bertempat di kediaman pasangan suami isteri ini.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada para ulama yang dihormati dan sanjung, Dato Mufti Wilayah Persekutuan, guru-guru agama kami yang sentiasa menasihati dan membimbing keluarga kami. Begitu juga dengan sahabat, saudara mara tercinta sepanjang saya hamil sehingga saya melahirkan.
“Doakan yang terbaik untuk saya menjadi ibu, isteri, anak malah menantu yang baik untuk anak, suami dan seluruh keluarga.” Akhiri Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam ucapannya malam tadi.