Yana Samsudin Selesa Bila Gigi Putih Berseri

Share

Trend memasang veneer gigi (memasang lapisan putih) menjadi tular dengan cepat terutamanya di Asia termasuklah Malaysia. Dengan kemunculan selebriti yang berjaya mengubah penampilan wajah mereka menjadi lebih sempurna dengan hanya memasang veneer.

Disebabkan itu ramai lelaki dan wanita berkerjaya yang ingin tampil lebih menawan, bahkan suri rumah dan anak-anak yang masih sekolah turut menanam minat untuk memasang veneer. Malah seiring dengan trend ini, wujud ketaksuban memasang veneer tanpa mengambil kira dan mengambil tahu keselamatan, kesihatan gigi dan juga risiko jangka panjangnya.

Menerusi program Bual Bicara Mingguan Wanita yang bersiaran di Astro Prima 105 & Prima Hd 121 sebentar tadi, isu mengenai Kosmetik Gigi diketengahkan dan hal ini juga turut dibincangkan bersama selebriti yang pernah dikaitkan melakukan kosmetik gigi iaitu Yana Samsudin.

Akui Yana dia meratakan serta memutihkan gigi sejak enam tahun lalu.

“Pada waktu itu kosmetik gigi tidak popular. Saya lakukan veneer kerana mahu gigi kelihatan bersih dan bersinar. Pada awalnya saya berhajat untuk pakai pendakap gigi tapi dek kerana lihat adik kenakan pendakap gigi dan dia rasa sakit saya tidak berani buat.

“Sewaktu awal-awal buat rawatan saya buat yang murah memang gigi jadi rata tapi nampak jongang. Lepas itu saya terpaksa ke tiga atau empat klinik gigi barulah dapat hasil yang memuaskan dan terbaik.

“Saya baru saja buka veneer empat hari lalu dan akan pasang semula. Bila buka rasa gusi original macam kecil sangat. Masa pakai gusi rasa ke depan sebabnya saya ada masalah gigi ke dalam,” ungkap Yana.

Yana juga berkongsi tip dia menjaga gigi si comelnya.

Foto: Sumber Instagram Yana Samsudin

Tip Jaga Gigi Kanak-Kanak  

*Anaknya berusia tiga tahun dan Yana amat menekankan penjagaan dan kebersihan diri pada anaknya.

*Belikan berus gigi yang berbentuk kartun untuk anaknya.

*Bagi anak semangat takutkan dia gusi menjadi hitam bila tidak gosok gigi.

*Selepas minum susu berikan anak minum air suam.

Bagi anda yang mahu mengikuti lebih lanjut kisah-kisah tentang kosmetik gigi saksikan Mingguan Wanita Talkshow hanya di Astro Prima 105 & Prima Hd 121 pada jam 5 petang ini.

 

Published by
Norhayati Suboh