Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga orang anak ini bersyukur kerana dengan pengalaman tersebut membentuk dirinya sebagai seorang wanita yang tidak lupa asal usul dan sentiasa mahu berkongsi rezeki.
“Sejak kecil saya dah biasa hidup susah. Rumah keluarga kami kecil saja cuma ada dua bilik, kami pula lapan orang termasuk nenek. Saya dibesarkan oleh arwah nenek sejak umur 5 tahun,” kongsi Yana membuka bicara.
Walau dihimpit kesusahan dalam hidup di mana hanya bergantung pada pencen ayah sebanyak RM800 namun Yana tidak berasa mereka hidup serba kekurangan. Ini kerana nilai tersebut cukup untuk mereka sekeluarga.
“Sewaktu zaman kanak-kanak saya akan tolong nenek buat kuih bahulu bila nak sambut raya. Masa bulan puasa pula, mak saya akan buat kuih muih waktu petang dan saya akan tolong jual. Dari kecil saya dah jual kuih untuk bantu keluarga. Raya tak semestinya ada baju baharu, tapi kami tetap rasa gembira,” kongsi Yana yang nekad bekerja keras dan belajar hingga menara gading untuk ubah ekonomi keluarga.
Bersyukur dengan kehidupan hari ini yang diberikan oleh Allah rezeki yang murah, setiap kali tibanya Ramadan dan Syawal Yana tidak lupa menyantuni mereka yang memerlukan.
Yana akui dirinya dan suami Fadzil Zahari tidak terlalu menekankan tradisi memberi duit raya, namun mereka pastikan keperluan hari raya keluarga dijaga sebaik mungkin.
“Kami tak amalkan bagi duit raya pada semua orang. Tapi kelengkapan raya kami sekeluarga, suami saya yang uruskan. Kalau giliran beraya di Johor, saya akan beri duit pada mak ayah lebih awal. Keluarga saya besar, untuk beli ayam saja lebih 15 ekor untuk satu hari,” ceritanya.
Yana juga pernah memberi RM3,000 kepada bapanya untuk menukar duit raya RM1 sebagai stok untuk duit raya.
“Dulu masa anak saudara tak ramai, mereka dapat lebih. Tapi sekarang, saya galakkan menabung. Kalau simpan RM100, saya tambah RM10,” ujarnya.
Bila tibanya hari raya Yana suka melihat ahli keluarga bergembira.
“Bukan semua mampu berbelanja lebih bila tiba raya jadi saya akan peruntukan hampir RM5,000 untuk sanak saudara saya beli baju raya.
“Saya suka sangat beli baju raya sedondon. Setiap tahun saya akan belanja adik beradik, anak buah serta abang ipar beli baju raya,” luah Yana.
Pada kebiasaanya lebih 30 pasang saya akan belanja mereka, semuanya demi memastikan mereka gembira di pagi Syawal. Baginya, itulah hadiah kecil yang memberi makna besar.
Akui Yana setiap tahun dirinya tidak akan lepaskan peluang membuat amal kebajikan, Yana akan melawat rumah anak yatim dan ibu tunggal.
Namun satu pertemuan yang sukar dilupakan apabila bertemu dengan seorang nenek tua yang tinggal di rumah persatuan ibu tunggal.
“Nenek tu jaga cucu-cucu yang yatim piatu di rumah tersebut. Katanya bila rumah itu penuh, kadang-kadang nenek itu akan menumpang rumah kawan dan tak ada tempat tinggal tetap.
“Bila tak ada makanan, dia ke rumah persatuan. Saya ingatkan ibu tunggal semua muda tapi sebenarnya yang tua pun ada,” kongsinya.
Pengalaman itu membuatkan Yana menukar cara bersedekah, kini dirinya akan memberi sumbangan raya lebih kepada ibu tunggal yang berusia.
“Bagi saya golongan tua ni mereka lebih memerlukan, walaupun mereka senyap. Mereka tanggung beban yang kita tak nampak,” sambungnya.
Yana turut memberitahu dirinya juga menanggung anak saudaranya yang yatim iaitu anak arwah adiknya.
Yana juga berkesempatan terlibat dalam program Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita baru-baru ini. Yana bersama team PTPTN dan Mingguan Wanita telah ke Pulau Pinang menyantuni keluarga asnaf Puan Jaslina dan suami Encik Zulkifli Hamid yang merupakan seorang nelayan mempunyai 11 orang anak.
Turut hadir, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN serta Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
PTPTN telah memberi keceriaan dengan memberi bantuan kelengkapan rumah, membeli kelengkapan baju raya serta sumbangan duit raya melalui akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM100 setiap seorang buat anak-anak Encik Zulkifli dan Puan Jaslina.
Yana kelihatan sayu namun berasa sangat gembira apabila program ini mampu menggembirakan keluarga yang sangat memerlukan.
Ternyata kehadiran Sempurnakan Raya PTPTN X Mingguan Wanita tahun ini membawa sinar baru dengan menyempurnakan Aidilfitri mereka dengan erti kasih, harapan dan kekuatan sebuah keluarga. Aidilfitri yang disambut bukan sekadar baju baharu tetapi juga dengan harapan yang menggunung tinggi untuk merubah kehidupan.
Menyentuh tentang hari raya, tahun ini Yana sekeluarga akan pulang ke Jitra, Kedah.
“Tahun ini giliran beraya di rumah mertua. Biasanya kami akan berpakaian sedondon, saya dan anak perempuan. Tahun ini saya sediakan empat set baju raya baru.
“Memandangkan mak mertua kurang sihat jadi saya akan menolong memasak di dapur. Selepas beraya di Jitra kami akan pulang ke Johor pula,” terang Yana.