Yakin Ke Baju Tu Dah Cukup Bersih Dicuci? Ini 5 Perkara Asas, 7 Lagi Ekstra Yang WAJIB Kita Ambil Tahu

Share

Adakah selama ini kita yakin dan pasti baju yang dicuci benar-benar bersih? Kebersihan berkaitan rapat dengan sahnya ibadah yang kita akan lakukan. Sama ada cucian di rumah sendiri mahupun cucian pada mesin dobi, kaedahnya tetap sama, basuhlah baju sehingga bersih.Jangan sesekali ambil mudah dengan perkara ini.

Berikut merupakan penjelasan dan perkongsian ilmu oleh Dr.Mohd Hapiz Mahaiyadin, yang juga merupakan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari mengenai isu kebersihan pakaian.

Basuhlah Baju Sehingga Bersih, Sendiri Atau Mesin Dobi

“Timbul pula isu kebersihan pakaian menggunakan dobi “self service” yang dikongsi oleh semua pengguna, muslim atau bukan muslim. Banyak pandangan diberikan walhal perkhidmatan dobi telah lama wujud.

Terkini servis dobi secara sendiri, yang merupakan suatu inovasi perkhidmatan yang lebih pantas dan jimat, terutama bagi golongan bujang yang tiada mesin basuh ataupun yang sibuk sehingga tiada masa untuk membasuh.

Ada beberapa perkara asas perlu difahami mengenai kebersihan pakaian iaitu :

1. Kebersihan diri, pakaian dan tempat daripada najis aini dan hukmi adalah pra syarat (syarat sah) solat. Indikator kebersihan yang valid ialah tiada lagi kesan rupa, warna dan rasa najis pada tiga subjek tersebut, pada pancaindera pengguna berdasarkan keyakinannya.

Definisi pakaian bersih ikut syarak ialah yang bebas daripada najis yang menghalang sah solat. Ikut adat, ialah yang kelihatan bersih untuk dipakai menutup aurat hadapan umum.

2. Instrumen pembersihan ialah air mutlak samada dengan cara air dijirus pada pakaian atau pakaian dimasukkan dalam air. Tidak kisah mana satu pun, yang penting 3 kesan najis berjaya dihilangkan.

Fuqaha membincangkan tentang hukum air basuhan (al-ghusaalah) pakaian bernajis yang mengalir (baca : merebak) pada pakaian lain, akan jadi bernajis (mutanajjis) kerana terjadinya ملاقاة (bertemu/bercampur/seneghih) air bersih dengan air bernajis. Tiada khilaf pun dalam hal ini.

3. Kuantiti air untuk basuhan pakaian tidak semestinya sampai 2 kolah (270 liter). 1 liter pun cukup jika kesan najis hilang. Kapasiti sebuah mesin basuh 10 kg (kat rumah saya) boleh memuat 40 liter air satu kitaran.

4. Dalam hal مجاورة dan ملاقاة air bersih/mutanajjis inilah dikaitkan isu kebersihan pakaian guna mesin basuh (di rumah atau kedai dobi).

5. Najis merujuk kepada darah, air kencing, tahi, arak (ikut mazhab syafie dll), daging babi/anjing/haiwan tidak disembelih. Adapun peluh, kurap, hingus, tahi hidung, panau, hingus, air liur dan bendalir yang keluar pada rongga manusia selain qubul dan dubur bukanlah najis tetapi mustaqzarat (kotoran yang dianggap jijik).

Maka dalam hal dobi ini,tiada masalah JIKA :

1. Buangkan dahulu kesan najis dari pakaian kemudian baru basuh seperti biasa.

2. Jika terlupa buang, tidak mengapa jika air basuhan itu diulang tukar beberapa kali sehingga semua pakaian dalam mesin basuh itu diyakini bersih sepenuhnya sebelum dimasukkan pewangi dan dikeringkan.

3. Jika selepas basuh, masih terdapat kesan najis, basuhlah semula sehingga bersih jika pakaian itu hendak digunakan untuk solat. Jika untuk pakai sahaja, tiada masalah kerana ia sudah bersih pada adat.

4. Biasakan diri mengasingkan basuhan pakaian khas untuk ibadah dengan yang untuk kerja.

5. Adapun status kebersihan mesin dobi selepas digunakan orang bukan Islam, cukuplah berpegang kepada zahir keadaannya iaitu bersih. Peluh dan bau masam pada bajunya bukanlah najis. Kalau pun dia memakan daging babi atau minum arak, anggaplah hal itu kesan minimum yang tersembunyi. الأصل في الإنسان طاهر. Semua manusia adalah bersih kecuali terpampang najis pada anggotanya. Adapun kenajisan orang kafir hanyalah pada iktikadnya, bukan fizikal.

6. Kedai dobi khusus untuk muslim adalah suatu inisiatif warak bagi sesiapa yg berihtiyat tetapi boleh menjadi takalluf atau masyaqqah kepada orang awam. Terdapat banyak hadis dan athar sahabat menunjukkan mereka tidak terlalu menditil dalam menggunakan produk berkaitan orang kafir (hal ini saya akan bahaskan dalam tajuk umum balwa).

7. Perkongsian orang Islam dalam servis barangan dan kepenggunaannya dengan orang bukan Islam pada hari ini tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Hal ini telah menjadi umum balwa yang mana ia salah satu sebab masyaqqah. Kaedah fiqh menyebut المشقة تجلب التيسير.
نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائرر
* Dalil terperinci, boleh dirujuk sendiri dalam bab taharah, kaedah masyaqqah dan isu umum balwa.

Sumber:Dr.Mohd Hapiz Mahaiyadin  (Hapiz Kodiang)

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab