Golongan pondan atau mak nyah, sebenarnya mempunyai peluang untuk berubah dan kembali kepada fitrah. Meskipun sukar, bertaubatlah dan berusahalah melawan naluri ‘kewanitaan’ tersebut.
Siapa sangka lebih 30 tahun menjadi mak nyah, lelaki ini insaf dan tekad untuk berubah.Berikut perkongsian pengalaman hidup beliau, semoga menjadi pengajaran dan panduan golongan ini.
“Ya Allah.. kembalikanlah nafsuku sebagai lelaki. Aku bertaubat kepadaMu Ya Allah…”
Demikian rintihan hati seorang bekas mak nyah setiap kali selepas menunaikan solat.Menurut Jefferi Mohd Nor, 53, dia benar-benar menyesal kerana terjebak kancah seks songsang selepas menjadi pondan akibat terlalu mengikut nafsu serta taksub kepada naluri menjadi wanita, suatu masa dulu.
“Saya sudah dua kali menunaikan ibadah Umrah. Muhasabah diri dan menguatkan iman kerana saya sudah insaf.
“Buat masa ini, saya tidak ada naluri seksual terhadap wanita, tetapi tidak bermakna fungsi alat kelamin saya sudah mati.
“Sekarang saya tidak tahu bagaimana untuk mencari naluri lelaki itu. Ya Allah, kau matikanlah nafsu pondan aku ini,” ujar Jefferi yang dahulunya adalah seorang guru.
Mengimbas kembali sejarah dia terjebak menjadi pondan, Jefferi berkata, segala-galanya bermula selepas dia ‘dinodai’ seorang lelaki yang juga jirannya pada usia lima tahun.Akibat terangsang, dia menjadi ketagih seks songsang sejak kecil, lalu kemudian memiliki naluri menjadi wanita. Bagi kelihatan cantik, Jefferi membuat pembedahan plastik dan membuat implan silikon pada payudara.
Di penghujung usianya kini, Jefferi kembali ke pangkal jalan sebagai seorang lelaki, sejak dua tahun lalu bagaimanapun masih mencari kekuatan untuk menjadi lelaki sejati.
“Apa jalan untuk saya kembalikan nafsu lelaki ini, Saya dah puas cari jalan mengembalikan nafsu lelaki saya.Jika ada orang pandai mengubati saya, tolonglah,” kata Jefferi.
Tegasnya, dengan apa dialaminya itu membuktikan bahawa seseorang pondan sebenarnya boleh kembali normal selagi ada kemahuan.Dia membantah keras, jika ada tanggapan mengatakan perasaan pondan akan selamanya terkurung dalam naluri wanita.
“Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kehendak nafsu pondan itu sudah beransur hilang dalam diri saya. Kini, saya mahu kembali menjadi lelaki dan berhasrat mencari isteri yang normal,” katanya yang bersyukur kerana tidak sempat membuang alat kelaminnya.
Ketika itu dia mahu melarikan diri bersama ‘teman lelaki’ warga Amerika Syarikat ke London bagaimanapun hasratnya itu terhalang kerana ibunya.
“Syukur kerana ketika itu saya tidak mampu untuk meninggalkan mak, lalu saya membatalkan hasrat pembedahan itu,” ujar Jefferi.
Selama menjadi pondan, Jefferi mengakui dia sedar perbuatannya itu berdosa besar namun dia tetap mengikut kata hati sehinggalah jiwanya memberontak mempersoalkan erti kebahagiaan sejati.
“Saya tidak bahagia, bagaimana saya nak bertemu Allah nanti. Apatah lagi ibu saya kemudian meninggal dunia sembilan tahun lalu.
“Oleh itu saya tekad, pada Ogos dua tahun lalu saya membuang implan silikon payudara di Thailand dan meninggalkan lelaki yang saya anggap sebagai ‘suami’ selepas 30 tahun kami bersama. Biarpun tiga anak angkat saya terkejut, namun saya tekad,”
“Saya tidak mahu lagi terjebak seks songsang dengan menjadi pondan,” luah Jefferi.
Pada masa sama dia menasihati golongan mak nyah yang ingin bertaubat, supaya kembali kepada asas agama iaitu menunaikan solat lima waktu dan terus menjauhi golongan pondan.
“Saya memang tidak berkawan dengan golongan pondan lagi. Mana-mana pondan kalau nak baik, tolong elak berkawan pondan.Jika masih berkawan memang susah nak berubah kerana pondan ini sentiasa menyediakan habuan seks. Jadi susah kita nak berubah. Jika nak insaf, tinggalkanlah semuanya,” nasihat Jefferi.
Mengenai isu LGBT, Jefferi berkata, kerajaan tidak perlu melayan apa jua permintaan komuniti mak nyah kerana dalam Islam perkara yang haram tetap haram.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.Buat golongan pondan atau mak nyah masih ada peluang untuk kembali ke pangkal jalan selagi mempunyai tekad untuk berubah.Bertaubatlah.
Sumber: Sinar Harian