‘Ya Allah, ingat cucu aku dah mati.’ Terlalu panik, tok hanya fikir selamatkan diri. Begitulah situasi yang dialami seorang nenek yang terlibat dalam tragedi banjir di Baling, Kedah, dua hari lalu.
Dalam usia 75 tahun, dia hanya mampu fikirkan untuk selamatkan diri dalam situasi genting sebegitu. Dia juga bayangkan cucunya yang hilang dari pandangan sudah tiada.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma Harun yang turun padang ke Baling bagi membantu mangsa banjir di sana.
“Ya Allah, aku ingat cucu aku dah mati…”
Allahuakbar, laju air mata Puan Aminah Ahmad mengalir ke pipi sambil peluk erat cucu yang disangka dah hanyut semasa banjir dua hari lepas.
Ingat Cucu Aku Dah Mati
Puan Aminah, atau lebih suka bahasakan dirinya sebagai ‘Tok’, baru lepas solat Asar, kemudian beliau bancuhkan air untuk cucunya yang terlantar atas katil akibat demam. Keluar saja dari bilik cucu itu, rupanya air sudah mula masuk ke dalam rumah.
Dalam masa kurang dari 5 minit air paras buku lali sudah naik ke pinggang, Allahuakbar! Puan Aminah ceritakan dia amat panik waktu tu, lagipun beliau dah berusia 75 tahun, lalu hanya mampu fikir untuk selamatkan diri. Kalimah ‘Allah’ tak putus keluar dari bibir beliau.
Puan Aminah terpaksa berpaut di tiang luar rumah dalam keadaan kudratnya yang sangat terbatas. Bila anaknya tiba, perkara pertama beliau minta ialah sehelai kain untuk menutup aurat di bahagian kepala dengan sempurna. Subhanallah.
Sangat menyayat hati waktu tim sedang santuni beliau, tiba-tiba cucu yang disangka telah mati hanyut itu pegang bahu beliau dengan lembut dari belakang sambil sebut perlahan dengan nada sebak, ‘Tok’.
Ads
Sesaat Puan Aminah toleh ke belakang, terus beliau rangkul cucunya itu dalam pelukan erat sambil menangis teresak kedua-duanya.
Siapa sangka, masing-masing rasa bagai sudah bertemu pengakhiran, rupanya Allah Ya Jami’ satukan mereka semula hari ini. Subhanallah, Allahuakbar.
“Tok dah sediakan semua kelengkapan untuk mati, tok dah tua.”
Sungguh…terkedu dengan persiapan yang beliau lakukan untuk hadapi hari kematian, lengkap dengan kain kafan yang sudah disimpan kemas dalam almari, serta duit untuk pengurusan jenazahnya.
Tok Aminah ceritakan, “Sebenarnya sejak 3 hari sebelum bah (banjir) tu jadi, Tok rasa membuak sangat dada dengan rasa rindu nak jumpa Nabi Muhammad.
Ads
Banyak kali tok fikir rasa nak sangat jumpa baginda, nak minum air telaga baginda…bila dengar orang selawat Tok akan menangis.
Tok Hanya Fikir
Tapi Allah datangkan air bah ni, tok anggap mungkin dengan cara ni Dia nak bagi Tok jumpa Nabi.”
Beliau merupakan seorang yang sangat zuhud walaupun diberi ujian yang dahsyat. Selalu bersangka baik dengan Allah, saya percaya sebab itulah hidupnya bahagia.
Semasa banjir memasuki rumahnya, bukan sedikit kehilangan yang terpaksa ditanggung, bahkan anak menakannya (anak saudara) juga hampir kehilangan nyawa bila air deras datang, wanita tersebut tak dapat selamatkan diri, tapi terpaksa berpaut pada tiang rumah.
Saat air semakin meninggi, beliau dihanyutkan ke pokok rambutan belakang rumah untuk berpaut. Baru saja nak berehat di pokok tersebut rupanya ada ular kapak sedang melingkar di dahan.
Selamatkan Diri
Akibat terkejut sekali lagi beliau dihanyutkan sehingga dapat berpijak di atas bumbung sebuah kereta yang tenggelam lalu selamatkan diri di atas bumbung sebuah rumah sehingga malam. Allahuakbar.
Namun alhamdulillah anak menakan Tok Aminah berjaya diselamatkan apabila bantuan datang dengan tali untuk turunkan beliau.
Ads
Tim ada maklumkan kepada Tok Aminah bahawa NGO Sahabat Amal Care adalah di bawah naungan Ustazah Asma’ Harun, kemudian dia teruja sambil ceritakan bahawa dia selalu mendengar ceramah saya lepas solat zohor pukul 2 petang di telefon.
Beliau juga katakan surah Al-Kahfi ialah surah yang sangat beliau cintai kerana selalu dengar kupasan berkenaan surah tersebut di page Ustazah Asma’ Harun. Subhanallah.
Jujurnya beliau seorang yang sangat menginspirasikan, akhlak terhadap Allah yang sangat dipelihara. Semoga Tok Aminah sentiasa dalam peliharaan Allah SWT dan diberi ganjaran syurga serta dibangkitkan bersama Nabi Muhammad SAW.
Sebelum berpisah, tim sempat mendoakan Tok Aminah dan memberikan sumbangan serta barang bantuan bagi keperluan beliau sekeluarga. Terima kasih kepada sahabat dermawan semua kerana menjadi asbab memudahkan urusan mereka yang terkesan dengan bencana.
جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا
Asma’ binti Harun
Pengasas & Penaung NGO Sahabat Amal Care
………………………………………………………….
TABUNG KECEMASAN MANGSA BANJIR: https://toyyibpay.com/SahabatAmalCare
(Ansi System)
atau
PERTUBUHAN SAHABAT AMAL PRIHATIN NEGERI SEMBILAN
MAYBANK
555126543538 #UAHSahabatDuniaAkhirat #SahabatAmalCare
Mingguan Wanita : Berpantang maut sebelum ajal, alhamdulillah Allah satukan kembali Tok Aminah dan cucunya.
Sekarang ni kalau nak potong ayam yang dah beli pun ada yang kena caj kan. Jadinya, mak-mak tak perlu bazirkan duit, walaupun berapalah sangat kan. Potong sendiri kat rumah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sesungguhnya amat sukar menelan sebuah kenyataan yang cukup pahit. Bayangkan dahulunya dia seorang gadis yang normal serta lincah, tetapi dalam sekelip mata, nikmat berjalan direntap sekelip mata. Sudah tentu bukan mudah untuk menerima kekurangan ini.
Kemalangan
Satu kemalangan jalan raya telah merubah kehidupan Saerah bt, Abd Wahab, 40, sepenuhnya.
“Saya dilahirkan normal, membesar dengan sihat dan bersekolah hingga ke tingkatan enam. Pada 2 Ogos 1998 ketika saya berumur 20 tahun, bermulalah kehidupan saya sebagai OKU. Saya terlibat dalam kemalangan antara kereta dengan lori.
“Pada masa itu saya bercuti di rumah kakak selepas tamat tingkatan 6. Selain saya, kakak, abang ipar dan anak saudara juga tutur terlibat dalam kemalangan itu. Paling menyedihkan apabila anak saudara saya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala kakak saya dan abang ipar cedera.
“Saya pula mengalami kecederaan tulang belakang (spinal cord injury L1). sejak itu saya tidak mampu berjalan seperti biasa. Kini saya terpaksa bergantung dan bergerak menggunakan kerusi roda sekarang,” ungkap Saerah, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal mengenangkan kisah silamnya.
Tidak dinafikan bukan mudah untuk ibu beranak satu ini bangkit semula meneruskan kehidupannya serta melupakan segala impian dan cita-cita yang selama ini tertanam dalam jiwa. Benarlah kasih sayang ibu tiada sekatan, arwah ibulah, Sham Abu, menjadi tempat Saerah berkongsi suka dan duka.
Ibunya juga yang menjadi pendorong utama, memberi semangat setiap waktu. Jasa arwah ibu sentiasa berada di dalam hati. Jelasnya, semangat dirinya untuk sembuh kuat apabila arwah ibu memberi nasihat dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dalam menjaganya ketika sakit. Kini, kerinduan kepada arwah tidak berpenghujung apabila ibu Saerah di jemput Ilahi pada tahun 2016 yang lalu.
Selain ibu, ayahnya, Abd Wahab Jusoh, juga banyak berkorban waktu dan memberi sokongan untuk Saerah kembali pulih. Ayahnya cuba ikhtiar pelbagai cara tanpa jemu untuk membawa wanita berasal dari Perlis ini untuk menerima rawatan perubatan.
Bersyukur Dapat Bekerja
Selepas kemalangan, Saerah dilanda perasaan bimbang jika tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah rintihannya didengari dan dia dapat melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP), Selangor, dengan mengambil jurusan Teknologi Maklumat (Komputer).
“Semasa di PLPP, saya dan rakan-rakan terpilih untuk menerima bantuan dari Yayasan Kebajikan Negara dan OUM untuk melanjutkan pelajaran. Sekali lagi saya sangat bersyukur akhirnya dapat menamatkan pengajian saya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia.
“Pejam celik pejam celik, kini sudah 11 tahun saya bekerja dalam sektor kerajaan. Sokongan suami dan keluarga menjadi pendorong utama untuk saya terus berjaya dan bersemangat dalam menjalani hidup ini. Anak adalah penyeri hidup kami sekarang. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang.
“Apa yang pasti, apabila bergelar OKU, kita seharusnya kuat semangat, tabah menghadapi dugaan hidup dan berfikiran positif untuk Berjaya dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” kata Saerah yang kini mengalas tugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Bahagian Sumber Manusia (BSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya.
Saerah turut berkongsi, kebanyakan tugasan hariannya melibatkan bidang pentadbiran unit termasuklah membuat surat atau memo dan edaran rasmi di bahagian.
Diterima Baik
Di samping itu, biar pun bergelar OKU, dirinya tidak pernah merasakan dirinya tersisih daripada rakan sekerja. Rakan-rakannya sangat memahami dan memberi kerjasama dengan baik. Mereka juga banyak membantunya dalam memudahkan tugasan harian.
Begitu juga dengan tanggapan masyarakat terhadap golongan OKU, rata-ratanya sekarang masyarakat lebih memahami OKU, keperluan OKU dan kemudahan yang perlu diberi perhatian. Penglibatan OKU dalam masyarakat sekarang lebih banyak kerana diberi peluang dan kemudahan.
Siapa sangka dengan keadaan sebegini, Saerah bukanlah calang-calang orangnya. Suatu ketika dahulu, dia aktif bersukan dan pernah mewakili Malaysia. Pada tahun 2006, Saerah mewakili Malaysia dalam sukan lawan pedang di Thailand. Manakala pada tahun 2011, wanita ini telah mewakili Malaysia dalam sukan ASEAN PARAGAMES, SOLO Indonesia menerusi acara ping pong.
Manusia dan cita-cita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan Saerah, untuk kariernya, dia berazam untuk kenaikan pangkat yang lebih tinggi dari sekarang. Manakala apabila melibatkan kehidupannya, dia berharap sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan bahagia di samping suami, Mohd Ridzwan Che Harun, dan anak tercinta, Nur Zara Batrisya binti Mohd Ridzwan, umur 7 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berat mata memandang, lagi berat mahu yang memikul. Terlalu besar ujian ibu ini apabila anak keduanya yang berusia setahun meninggal dunia di hari pertama anaknya di hantar ke rumah pengasuh.
Pihak MW merakamkan ucapan takziah buat keluarga Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim. Buat ibunya Safiah, semoga anda kuat menerima ujian ini.
“Tidak sangka hari pertama arwah dihantar ke rumah pengasuh menjadi hari terakhir saya dan suami melihatnya bernyawa,” kata seorang wanita yang dikenali sebagai Safiah, 29, ibu kepada Muhammad Aydan Firas Muhammad Faris Azim.
Kanak-kanak berusia setahun itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Setapak selepas dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Taman Melati, di sini, semalam.
Menceritakan semula kejadian, Safiah berkata, dia dihubungi pengasuh pada jam 12 tengah hari memaklumkan anaknya kebiruan dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, cemas mendengar perkhabaran itu, dia bergegas dari tempat kerja ke rumah pengasuh sebelum dimaklumkan anaknya sudah dihantar ke klinik dan dirujuk ke sebuah hospital swasta.
Sudah Meninggal Dunia
“Sebaik tiba di hospital, doktor yang memberi rawatan kecemasan mengesahkan Muhammad Aydan sudah meninggal dunia. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah namun punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga laporan lengkap selesai,” katanya ketika ditemui di Masjid Bulatan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.
Jenazah Muhammad Aydan disolatkan kira-kira 30 ahli keluarga dan rakan rapat ibu bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudah Sakinah, Batu Muda, Kuala Lumpur.
Safiah berkata, anak keduanya itu sebelum ini dijaga keluarganya namun dia dan suami berhasrat menghantar ke rumah pengasuh supaya arwah dapat bergaul dengan kanak-kanak lain.
Reda Dengan Pemergian
Katanya, dia dan suami reda dengan pemergian anak lelakinya tetapi berharap keadilan terhadap punca kematian dapat dicari namun bukan bermakna mahu menyalahkan sesiapa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan. Katanya, punca kematian akan dimaklumkan sebaik polis menerima laporan lengkap forensik.
Sumber: Harian Metro
MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua. Harapnya anak-anak kita sentiasa dilindungi Allah. Sesungguhnya mana-mana ibu ingin lakukan yang terbaik untuk anak yang dikandungnya selama sembilan bulan, namun apakan daya. Takdir penentu segala.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sempena kedatangan lebaran tidak lama lagi, rupanya Stacy, penyanyi yang terkenal membawakan lagu-lagu rancak bukan sahaja pandai menyanyi malah cukup rajin buat kuih raya dan jahit baju sendiri termasuk untuk suami Akim Ahmad dan dua anaknya Bella Deluna, 6, dan Eshaal, setahun.
Usaha Stacy ni wajar dipuji.Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 28, berkata dia belajar menjahit menerusi YouTube dan buku jahitan sejak April lalu.Kira-kira dua bulan yang lalu.
“Ini semua atas permintaan Akim, selepas saya menjahit sendiri baju anak pada Pesta Kaamatan yang disambut April lalu.
“Sejak itu, dia minta saya buat lagi untuk baju raya. Jadi, dia belikan saya mesin jahit lengkap dengan mesin jahit tepi.
“Nak tak nak, saya kena buat. Apatah lagi, dia sudah beli kain. Saya ingat sepasang, tetapi dua (pasang). Kalau sudah pakar, tidak mengapa. Sekarang jahitan pun belum kemas dan ada yang kena buka semula,” katanya.
Harap Sempat Siap Pagi Raya
Stacy yang muncul dengan single Raja berkata, dia mula menjahit sejak awal bulan ini dan berharap baju mereka sempat disiapkan sebelum pagi raya.
“Akim jenis teliti. Setiap kali saya jahit, dia akan periksa sama ada okey atau tidak. Kalau ada jahitan tidak kemas, dia suruh buka dan jahit semula. Pendek kata, menjahit bukan mudah dan memerlukan tahap kesabaran tinggi.
“Pada mulanya, ia jadi minat baru. Tetapi, selepas melalui proses ini, saya terus jadi malas. Saya selalu berseloroh dengan Akim mengenai perkara ini, tapi dia cakap kena juga berusaha sebab saya sudah mula dari awal,” katanya yang menjahit baju kurung biasa dan baju Melayu teluk belanga.
3 Jenis Kuih Raya
Selain menjahit, sepanjang Ramadan ini Stacy turut membuat kuih raya antaranya Biskut Makmur, Tat Nenas dan Semperit.
“Memandangkan Ramadan ini saya tidak sibuk dengan kerjaya, jadi saya ambil peluang untuk buat sesuatu yang baru.
“Bukan saja menjahit, tapi juga buat kuih. Ia lebih kepada suka-suka. Semuanya belajar sendiri. Apa yang kelakar, ada kuih yang sudah siap dan habis dimakan. Jadi, kena buat lagi,” katanya.
Mak-mak boleh tiru cara Stacy ni, biarpun baru belajar dan tak berapa mahir, tetap usaha dan bersemangat buat kuih raya dan jahit baju sendiri. Biarpun kuih tak sedap mana, rekaan baju pun simple je, tapi yang penting puas hati bila kita buat sendiri. Malah ia salah satu cara juga jimatkan perbelanjaan musim raya ni.
Kanak-kanak tercekik gula-gula kritikal, ibu bapa pilu."Fahmi sedang berjuang untuk hidup. Seorang kanak-kanak lelaki yang tercekik gula-gula Gummy, dilaporkan dalam keadaan kritikal. Air matanya...