Ya Allah Cekal & Kuatnya Ibu Ini, Jaga Anak Kurang Upaya Cerebral Palsy & Autisme

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bukan mudah mengurus seorang anak kurang upaya yang menghidapi Cerebral Palsy, sukar segala pergerakan dan juga seorang lagi anak Autisme OKU.

Bagi ibu cekal dan hebat, Intan Maszura Nordin tiada kekesalan sekelumit pun dalam kamus hidupnya dikurniakan dua orang anak kurang upaya. Ketika ditemuramah, penulis dapat merasakan betapa cekal dan hebatnya Intan Maszura dan suami menguruskan anak-anaknya, Muhammad Hairie Haikal Muhammad Aziz, 12 (Hairie) dan Nurrul Aleaya Aqiela Muhammad Aziz, 14 (Aleaya).

Ibu ini juga tidak pernah lelah melayan kerenah anak-anaknya tanpa rasa jemu dan merungut. Intan Maszura menerangkan Hairie dilahirkan tidak cukup bulan iaitu ketika usia kandungannya 30 minggu dengan berat badan hanya 1.26kg. Dia dilahirkan pada 18 November 2008 di sebuah hospital di Kuala Terengganu.

“Selepas enam bulan dilahirkan barulah doktor dapat kesan yang bayi saya mengalami Cerebral Palsy. Ketika itu saya dan suami memang rasa sangat sedih, luruh rasa hati dan kami menangis mengenangkan nasib Hairie,” ungkap ibu kepada empat cahaya mata ini.

Hairie

Tidak Seperti Kanak-Kanak Normal

“Saya membawa anak saya ke Hospital Segamat apabila mendapati perkembangannya tidak seperti kanak-kanak lain. Doktor di Hospital Segamat mendapati anak saya mempunyai masalah saraf pada tulang pinggul sehingga menyebabkan kakinya bersilang. Hairie tak boleh berjalan dan hanya boleh meniarap.

“Hairie juga merupakan seorang anak kurang upaya yang menghidap penyakit saraf, sawan, asma dan mata.

“Pada bulan Disember 2017, Hairie menjalani pembedahan untuk membetulkan tulang pinggulnya namun beberapa bulan selepas itu, kakinya kembali bersilang. Hairie juga kerap ke hospital untuk rawatan fisioterapi yang perlu dilakukan seumur hidup. Kebiasaannya, Hairie akan ke hospital sebanyak empat kali dalam sebulan.

“Kos yang perlu kami tanggung bukan sahaja ulang-alik ke hospital setiap bulan tetapi juga susu dan pampersnya. Kami akan ke Hospital Segamat untuk rawatan dengan pakar mata dan kanak-kanak manakala ke Hospital Seremban untuk rehabilitasi dan pakar tulang,” ungkap Intan Maszura.

Walaupun Allah kurniakan Hairie tidak boleh berjalan namun Intan Maszura bersyukur kerana anaknya boleh bercakap seperti kanak-kanak normal

“Syukur Hairie boleh bercakap macam budak normal. Saya dan Hairie sememangnya saling berkomunikasi. Allah itu Maha Adil, Hairie walaupun tak boleh berjalan hanya boleh meniarap dan mengesot saya bersyukur dia boleh bertutur,” luah Intan Maszura.

Kakak Hairie

Kakak Hairie Autisme OKU

Selain dugaan yang menimpa anak bongsunya itu, Intan Maszura juga menyatakan anak ketiganya yang juga kakak Hairie mengalami Autisme OKU. Manakala kakak sulung dan abangnya yang kedua merupakan kanak-kanak normal.

“Aleaya pula perlu mendapatkan rawatan di hospital juga setiap bulan. Baru-baru ini doktor telah mengesahkan Aleeya mempunyai ketulan cyst dan perlu menjalani rawatan di hospital secara berkala untuk membantu mengecilkan saiz cyst tersebut,” sambungnya.

Pendapatan suami sememangnya tidak mencukupi, apatah lagi suami juga bekerja jauh dan membuatkan Intan Maszura perlu mengambil cabaran berat untuk menjaga anak-anaknya. Mujurlah ahli keluarga berada berdekatan dan saling membantu.

“Suami bekerja jauh, bila Hairie ada appointment di hospital baru suami akan pulang. Sebelum ini suami pernah kehilangan kerja kerana selalu bercuti. Jadi saya tak mahu suami hilang mata pencarian dan mahu dia fokus mencari rezeki.

“Selain pendapatan suami, keluarga kami mendapat bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan tetapi jumlah tersebut tidak dapat menampung kos rawatan dan penjagaan anak-anak. Saya seorang suri rumah manakala suami saya seorang pemandu lori.

“Kebiasaannya saya dan suami akan menghabiskan hampir RM2,000 sebulan untuk keperluan seperti pampers dan susu dan rawatan anak-anak. Saya memohon bantuan kepada sesiapa yang ikhlas ingin membantu dan menderma agar dapat meringankan beban kami sekeluarga. Semoga Allah swt membalas jasa kalian semua,” kata Intan Maszura yang sememangnya memerlukan wang untuk kelangsungan hidup dan rawatan anak-anaknya.

Dalam Poket Cuma Ada RM50

Intan Maszura yang kini menetap di Gemas, Negeri Sembilan akui dirinya perlu kuat untuk mengharungi cabaran yang mendatang.

“Sememangnya menjaga anak-anak OKU dan Autisme ini cabarannya sangatlah besar. Hanya Allah SWT yang tahu. Memang kadang-kadang kita akan rasa nak marah dan tertekan. Jadi perlukan emosi dan fizikal yang kuat untuk membesarkan mereka.

“Anak OKU ini emosi mereka tak macam budak normal. Jika tersentuh sikit emosi mereka (akan mengamuk). Namun saya bersyukur kerana suami, keluarga saya dan keluarga mentua banyak bagi sokongan. Suami yang bekerja jauh di Kluang, saya tak akan susahkan di ajika saya boleh kendalikan sendiri anak-anak. Sebab suami pun baru setahun bekerja di tempat baru ini. Sebelum ini dia kehilangan kerja kerana sering cuti (untuk bawa anak ke hospital).

“Dugaan yang paling saya tak boleh lupa apabila dalam poket saya cuma ada RM50 di mana itulah duit untuk beli keperluan pampers dan susu anak dan rawatan lain,” saya hanya mampu berdoa agar Allah murahkan rezeki kami sekeluarga ketika itu dan alhamdulillah ada pihak yang datang menghulurkan sumbangan.

“Selain itu Hairie kegemaran dia ayam KFC dia akan minta bila dia rasa nak makan. Cabarannya bila saya terpaksa pujuk dan beritahu dia akan beli ayam kegemarannya ketika ayahnya dapat gaji. Saya rasa sangat terharu bila tak dapat tunaikan apa yang dia nak,” kata Intan Maszura sebak.

Kepada anda yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menyumbang ke akaun Intan Maszura Nordin, Maybank 155078501263.

Published by
Norhayati Suboh