Isi Kandungan
ToggleRamai tak percaya wanita ini nenek yang sudah memiliki empat orang cucu. lagi-lagi dengan penampilan rudged dan lasaknya dalam sukan permotoran. Drift itu dunianya. Berlumba dengan sesiapa saja di litar sudah menjadi darah daging nenek vogue ini.
Dialah Zaidah Mohd Ishak yang mula jatuh cinta dengan sukan lumba kereta sejak setahun lalu. Nama galmornya di litar, Zaidah ZZMI YB.
“Memang ramai yang tak percaya saya sudah bergelar nenek. Saya mempunyai lima orang anak dan tiga daripadanya sudah berkahwin. Saya bangga bila orang tahu saya sudah ada cucu.
“Saya ingin buktikan umur juga bukan penghalang untuk kita melakukan sesuatu yang kita sukai walau pun ia mencabar.”
Bukan calang-calang orang mampu menceburi dunia permotoran, lebih-lebih lagi wanita kerana majoriti dipelopori oleh kaum Adam.
Suami Belikan Kereta Lumba
Wanita cantik bertubuh langsing ini mengakui, berlumba kereta di litar merupakan hobi keluarga. Penglibatannya di dalam bidang ini juga dorongan suami tersayang, Yohan
Suaminya telah membelikan sebuah kereta khas untuknya berlumba. Kenderaan itu dinamakan ‘The Red Campret’.
“Saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti lumba kereta ini pada Disember 2016. Awal dulu suami yang aktif dalam sukan ini bersama anak lelaki, Rafiq. Tak lama kemudian, dia ajak pula saya ceburi.
“Bila suami pun sanggup belikan kereta untuk saya berlumba, saya pun beranikan diri mencuba. Ini satu pengalaman dan cabaran baru dalam hidup saya.”
Bagi Zaidah, berada di atas litar memberi satu kepuasan yang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata.
“Kalah memang perkara kedua. Yang penting, seronok masa memandu dekat litar.”
Jangan beri keluarga ini mendengar apa-apa kejohanan berkaitan permotoran, pasti mereka takkan melepaskan peluang turut serta.
Antara yang pernah mereka tawan adalah Elite Speed Way, MIMC Melaka dan Litar Datuk Sagor, perak.
Kursus Pemanduan Dua Hari
Memanglah tak dinafikan Zaidah cekap memandi di jalan raya. tapi situasinya tak sama dengan memandu di dalam litar. Ada aspek keselamatan yang perlu dijaga.
“Suami sarankan saya mengikuti kursus pemanduan selama dua hari di SSAD. Di SSAD. Di sana saya belajar teknik dan pemanduan yang betul dan selamat.
“Saya belajar memandu go kart, teori dan menjalani latihan simulator, di bawah jurulatih Rashid Ramlan.
“Paling penting persiapkan diri sepenuhnya sebelum berada di litar perlumbaan. Saya lalui juga ujian kesihatan untuk kesan saya sihat sepenuhnya dan bebas daripada penyakit.”
Nak jadi pelumba kereta lagi-lagi dalam usianya itu, paling penting perlu ada sifat berani dan jiwa kena kental.
Disebabkan minat yang mendalam, wanita ini memiliki 5 buah kereta khas untuk berlumba.
Terlibat Filem Hantu Wangan
Biarpun masih baru, kehadirannya di litar tak boleh dipandang sebelah mata.
“Sebelum ini, semua ‘time attack game’ saya akan masuk, di bawah kategori wanita. Yang terkini, 20hb Ogos lalu, saya telah menyertai satu kejohanan.
“Iaitu Forca Generation X Time Attack Championship 2017 RD4, dalam kategori terbuka dan telah memenangi tempat ketiga daripada 26 pelumba.
Itu pencapaian hebatnya kerana daripada ramai-ramai peserta, Zaidah seorang peserta wanita.
“Saya mencatat masa 52.11 saat berbanding naib juara 52.03 saat dan juara 51.58 saat, dalam pusingan dua. Ketika itu saya memandu Evo 6.”
Kemenangan itu satu suntikan semangat dan motivasi untuknya terus berlumba.
Zaidah juga pernah terlibat di dalam penggambaran filem ‘Hantu Wangan’ arahan Ahmad Idham, lakonan Achey.
Berlumba Berlumba Juga, Ke Dapur Tak Pernah Di Lupa
Kontraktor ini juga tak melupakan tanggungjawab terhadap keluarga. Zaidah tetap melakukan sendiri tugas di rumah walau pun ada pembantu rumah.
“Setiap hari saya akan masak untuk keluarga dan menguruskan persekolahan dua orang anak dan seorang cucu.
“Hujung minggu, saya, suami dan anak sulung, Rafiq akan menyertai mana-mana perlumbaan kereta.
“Kalau menantu lelaki saya, Mohd Razman ada kelapangan dia akan ikut. Seronok bila dapat melakukan hobi bersama keluarga. Inilah cara kami meluangkan masa bersama.
Ketika ini, Zaidah dan suami banyak menyertai kelab-kelab kereta seperti kelab GTR. Di situ mereka banyak berjumpa dengan rakan-rakan baru daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ia juga salah satu cabang untuk mereka membina ‘networking’ di dalam dunia perniagaan.
Zaidah juga ahli Malaysian Women Motorsport (MWM Society). Dan berhajat untuk memasuki MSF dan S1K pada masa hadapan.
Pesan Zaidah
Wanita perlu libatkan diri dengan kegiatan yang mereka suka. Tak bermakna sudah bergelar ibu dan nenek, kena duduk rumah saja. Kita kena kekal aktif.
Tapi sebelum itu, kena belajar teknik pemanduan yang betul dahulu. Hebat di jalan raya tak bermakna kita juga hebat di litar.
Anda juga perlu bersedia untuk mengeluarkan bajet bagi mengendalikan kereta lumba yang saya akui bukan murah.
“Untuk kereta lumba, saya gunakan khidmat H3 Auto & Infinity Speedwork.” Akhiri Zaidah yang turut mengalu-alukan pihak tertentu yang ingin menjadi penaja.
Foto: Nurul Akmar Azimi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Berpantang Betul Sebabkan Ibu Ini Meroyan Hampir Nak Tikam Anak, Kemurungan Akhirnya Hilang Dengan 9 Cara
Isi Kandungan
ToggleSekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashid tak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Saya Capai Pisau Dan Hampir Tikam Anak-anak
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Kisah Meroyan Ini Bermula
Februari 2015
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Februari 2016
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Kawan Saya Kesan Tulisan Di Facebok Seperti Adanya Simptom Meroyan
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Ini Yang Paling Teruk Saya Nak Lakukan Masa Meroyan,
Kurung Diri Dalam Bilik
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Bila Sendirian Atau Dengar Bising Suara Anak-anak Akan Berhalusinasi
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Menangis Dan Rasa Diri Tak Berguna, Tapi Tak Buat Apa-apa
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Fikirkan Nak Bunuh Diri
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Rasa Penat, Badan Sakit, Pergerakan Terbatas
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
9 Usaha Mastura Hilangkan Meroyan Dan Rawat Diri
Pertama : Sibukkan Diri, Tapi Hati Tak Juga Gembira
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Kedua : Menulis Di Facebook
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Ketiga : Mak Minta Minum Air Ubat Dari Herba
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Keempat : Baca Buku Motivasi
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Kelima : Segera Dapatkan Sokongan
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Keenam : Demi Nak Sihat, Tak Hirau Apa Kata Negatif Orang
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Ketujuh : Mula Berkongsi Perawatan Meroyan Dengan Natural Remedy
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.
Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Kelapan : Baca Doa Hilangkan Sedih Dan Resah
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحُزْنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Kesembilan : Sentiasa Amalkan Zikir Pagi
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِيْ وَدُنْيَايَ وَأَهْلِيْ وَمَالِيْ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِى وَآمِنْ رَوْعَاتِى. اَللَّهُمَّ احْفَظْنِيْ مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِيْ، وَعَنْ يَمِيْنِيْ وَعَنْ شِمَالِيْ، وَمِنْ فَوْقِيْ، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِيْ
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)
Perilaku Ibu Meroyan Kerap Berubah Watak, Dari Bidadari Syurga Ke Raksasa
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.
Wahai Suami! Perhatikan Perubahan Isteri Jika..
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
لرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِم (سورة النساء: 34)
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Nasihat Ibu Rose Tentang Meroyan
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.
- Cari orang yang boleh membantu untuk sedarkan anda. Bantuan daripada doktor atau pakar yang boleh
- berbincang untuk tindakan selanjutnya.Dekatkan diri dengan orang-orang yang positif dan empati, ada perasaan timbang rasa dan ada ilmu.
- Letakkan diri dalam vibrasi yang tinggi. Ini kerana semasa meroyan, vibrasi (tenaga) seseorang dalam keadaan rendah. Bila rendah ia akan menarik gangguan atau attach dengan yang bervibrasi rendah seperti jin. Masa itulah kita rasa teruk dan sebagainya.
- Solat dan amalkan zikir.
- Macam Ibu, apa yang Ibu lakukan adalah usahakan tolong orang lain. Misalnya berikan kata-kata semangat. Dari situ vobrasi akan naik. Dan makhluk ini takkan dapat attack pemikiran yang lebih kuat.
- Para suami kena peka dan prihatin dengan perubahan isteri. Kerana mungkin isteri sedang alami postnatal depression. (lihat simptom yang dikongsikan Puan Mastura)
Sumber/Foto : Mastura Rashid, Sesi Live Ibu Rose ‘An Evening With Ibu Rose’
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Akulah Isteri Hamil Dimadukan Suami Atas Desakan Mentua, Yang Teringin Timang Cucu
Isi Kandungan
ToggleSelepas alami keguguran, wanita ini sukar untuk hamil. Dia menjadi isteri yang paling sibuk membantu ekonomi keluarga memandangkan ketika itu suaminya sedang menyambung pengajian. Pengorbanannya tak sedikitpun diketahui keluarga mentua.
Dia dituduh isteri yang penting diri. Gila kerja sampai enggan mengandung. Dalam diam, mentua memaksa suami berkahwin lain. Ya, dia tidak pernah tahu sehinggalah berita itu sampai ke pengetahuannya. Dan di hari dia bertemu madunya, saat itulah dia tahu yang dirinya hamil setelah sekian lama menanti untuk kali kedua.
Kisah wanita ini benar-benar berlaku diceritakan semula dalam bentuk naratif oleh Cik Puan Ammy. Moga cerita sebegini menjadi pengajaran bukan saja untuk pasangan suami isteri, malah mentua yang tak seharusnya TERLALU campur tangan dalam urusan rumah tangga anak-anak.
Maafkan Abang Karina
Hari ini aku mendapat kekuatan bila satu-satunya yang aku hajati ditunaikan Dia. Doa yang bertahun-tahun ku pohon minta diangkat akhirnya dimakbulkan olehNya. Hampir 15 tahun aku menangis, merintih dan akhirnya aku pasrah. Bila aku yakin akhirnya aku redha.
Aku menikahi dia, yakni suami ku sewaktu aku tamat belajar tingkatan 5. Mungkin kalian merasakan aku terlalu muda untuk menempuhi gerbang perkahwinan pada usia begitu. Mungkin waktu itu kalian sedang bergembira melalui saat-saat remaja yang bebas terbang umpama burung.
Aku bahagia bersuamikan seorang pemandu teksi. Dia baik dan bertanggung jawab. Dia menyayangiku sepenuh hatinya. Mencintai aku pada setiap kelebihan dan kekurangan aku. Dia rajin dan gigih bekerja untuk memenuhi kehendak aku dan aku bersyukur kerana aku tidak dikurniakan nafsu yang berkehendakkan yang melampaui batas. Cukup la sekadar apa yang mampu.
Biasa lah dalam rumah tangga, langit tidak selalunya cerah. Rumah tangga kami diuji. Suami tersayang jatuh sakit dan aku terpaksa membantu dia dalam mencari rezeki sendirian bagi menampung perbelanjaan keluarga walaupun pada waktu itu hanya ada aku dan dia.
Maklumlah kos hidup di bandaraya tidak seperti hidup di kampung. Walaupun aku hanya bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel mewah di bandaraya tapi aku bangga kerana aku mampu menghulurkan sedikit daripada gajiku kepada orang tua di kampung. Sebulan lebih dia sakit, tidak mampu membawa teksi akhirnya dia diminta supaya berhenti kerja.
“Takpalah, mungkin bukan rezeki kita.”
Berkali Suami Cari Kerja, Tak Juga Lekat
Dia mula bersuara. Setelah sembuh, dia cuba untk bekerja semula, malangnya teksinya yang dulu telah diambil oleh pekerja lain. Suamiku mula keluar mncari pekerjaan lain. Namun sia-sia. Hanya berbekalkan sijil PMR mana mungkin ada syarikat atau majikan yang ingin menawarkan pekerjaan padanya. Tiap kali dia pulang dalam keadaan yang hampa, aku akan cuba untuk senyum walaupun pahit.
“Tak apa.. cuba lagi.“
Satu tahun tanpa pekerjaan, kereta kami ditarik kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Saluran ku kepada orang tua di kampung juga kadangkala terputus. Tapi ayah dan ibu tak pernah merungut. Mereka faham dengan situasi kami.
Hanya mertua sahaja yang bising. Mereka menuduh aku cuba untuk control poket anaknya. Mungkin silap aku juga kerana tidak pernah menceritakan kepada mereka keadaan sebenar keluarga kami. Aku tidak suka menjatuhkan air muka suami dengan mengatakan yang dia telah menganggur hampir setahun lebih.
Aku juga malu jika mak dan ayah di kampung tahu yang aku menanggung keluargaku selama ini. Biarlah dia sendiri yang membuka cerita, apa yang patut aku simpan biarlah terpendam di sudut hati yang paling dalam. Pahit jerih kehidupan rumah tangga tak elok dijaja.
Tiba tiba, aku hamil. Aku tidak pasti samada itu adalah satu berita gembira atau duka dalam hidupku di kala ini. Air muka suami berubah bila aku menunjukkan UPT kepadanya. Ada senyum hambar dilirik mukanya. Aku tahu dia kecewa kerana zuriatnya tumbuh ketika kami susah. Dia usap perutku dan mencium dahiku.
“Maafkan abang Karina”
Abang, Sambunglah Belajar..
Hanya sepotong ayat yang keluar daripada bibirnya. Aku meneruskan juga langkahku demi sesuap nasi. Dalam keadaan mabuk-mabuk kerana alahan yang teruk aku tetap bekerja. Turun naik teksi dan kadangkala terpaksa menapak jika tiada duit yang mencukupi untuk membayar tambang teksi.
Dalam keadaan begini aku kadangkala terpaksa mengikat perut dengan memakan sepotong roti dan sebotol mineral water. Aku tidak pernah mengeluh atau merungut kerana aku tahu dia tidak pernah berhenti berusaha, kerana kadangkala dia menghulurkan note seratus dua untuk mengisi tong beras dan lauk di dapur.
“Ada rezeki sikit. Tolong kawan cuci kereta.”
Dia mencelah sebelum sempat aku bertanya.
“Abang.. apa kata kalau abang sambung belajar. Abang bukan tak pandai. Cuma desakan keluarga abang tak dapat sambung belajar. Usia abang pun baru 25 tahun. Muda lagi.”
Terkebil-kebil dia memandangku. Aku ikhlas. Sampai bila nak hidup macam ni. Akhirnya dia setuju setelah hampir 6 bulan aku memujuknya. Dia mengikuti kelas malam dan waktu siang pula dia membantu kawannya mencuci kereta. Hampir 2 tahun kami tidak pulang ke kampung selain pada Hari Raya Puasa.
“Susah nak cuti mak.”
Aku Keguguran Ketika Kandungan 5 Bulan
Alasan yang mampu ku beri. Alhamdulillah mak dan ayah faham. Mentua seperti biasa menuduh kami lupa diri. Nasib tidak menyebelahi kami. Zuriat yang baru tumbuh akhirnya gugur jua sewaktu usia kandungan mencecah 5 bulan.
Aku tak pasti apa sebabnya. Mungkin ‘dia’ tahu bahawa kami suami isteri masih tidak mampu. Orang tua ku dan mentua datang menziarahi kami. Aku tahu ayah sedih melihat kekurangan kami suami isteri. Ibu tak henti-henti menangis sayu.
Berbeza dengan mentuaku. Tidak sudah-sudah menyalahkan aku. Mereka kata aku sengaja tidak menjaga kandungan kerana irihati suami sambung belajar.
“Ya Tuhan.. untuk apa aku irihati sedangkan aku yang menyuruh dia sambung belajar.” Mentua kata aku cemburu dengan pelajar-pelajar perempuan yang sebaya dengan aku.
Kerana itu aku sengaja gugurkan kandungan supaya suami sentiasa menempel dengan aku. Sedihnya aku. Aku sabar demi suami. Mereka juga kata aku jenis yg pentingkan diri sendiri kerana aku tidak beritahu pada mereka anak mereka menderita sakit.
Untuk apa aku beritahu sedangkan mereka juga susah. Mereka datang menziarahi aku pun dengan menaiki bas. Mereka orang susah. Mereka kata aku sengaja tidak beritahu kepada mereka yang anak mereka telah sambung belajar kerana aku nak hidup senang sendirian. Mereka menuduh aku sengaja ingin pisahkan aku dengan anak mereka.
“Haaa.. kau rasa lah balasan tuhan. Tuhan ambil anak kau.”
Suami hanya membisu sahaja bila ibu dan bapanya menghambur pelbagai fitnah kepadaku.
“Tak apa. Mungkin dia tak nak jadi anak derhaka.”
Bisik hati ku memujuk diri kerana suamiku sendiri banyak mengajar supaya aku tidak lupa jasa ibu dan bapa.
“Jika ada gaji lebih tak salah salurkan kepada orang tua.”
Dalam Pantang, Ku Teruskan Juga Bekerja
Aku pegang kata-katanya. Seminggu berpantang aku kembali bekerja. Aku bimbang jika cuti lama-lama akan dibuang kerja. Siapa nak menampung perbelanjaan kluarga dan suami yang masih belajar. Aku serik bila melihat suamiku hilang pekerjaan gara-gara cuti sakit yang agak lama.
Kawan-kawan di tempat kerja simpati melihat keadaan aku maka disuruhnya aku berehat dan jangan banyak bergerak. Suami aku juga melarang aku kembali bertugas sehingga aku tamat tempoh berpantang.
Aku berkeras, jika aku tidak bekerja mana datangnya sumber wang untuk menampung belanja dapur, bil-bil dan sewa rumah. Suami terpaksa akur kerana selama dia belajar aku yang menanggung semua perbelanjaan. Bukan aku mengungkit tetapi sekadar ingin dia tahu, apa yang aku korbankan demi dia dan keluarga.
Nur Ain.. Ya nama anakku yang pertama. Walaupun arwah hanya sekujur tubuh kecil, namun tetap ku namakan jua sebagai tanda dia pernah wujud dalam hidup kami. Terasa amat berdosa kerana tidak mampu menjaganya sehingga dia terkulai di bilik air. Sayang.. maafkan umi nak. In sha Allah kita akan bertemu di sana nanti.
Setahun berlalu. Akhirnya suamiku tamat belajar. Sijil SPM berjaya diperolehi dengan cemerlang dan bercadang melanjutkan pelajaran ke IPT. Memandangkan gaji dan pangkatku telah naik, aku telah membeli sebuah kereta kancil secara tunai untuk kemudahan suami berulang alik ke universiti.
Suami mengambil jurusan perniagaan memandangkan dia minat berniaga. Aku gembira dan bersyukur kerana keluarga aku mula berubah daripada duduk rumah setinggan, kami berpindah ke rumah teres yang lengkap walaupun tidak mewah.
Namun rezeki untuk memperolehi cahaya mata masih lagi hambar. Mengkin disebabkan dahulu aku tidak berpantang dengan betul. Sekali lagi aku dihambur dengan fitnah oleh mentuaku. Katanya aku nak jaga badan sebab dah naik pangkat.
Mereka juga salahkan aku kerana tidak berpantang. Terlalu kejarkan duit sampai tak jaga diri waktu berpantang. Ya Allah aku tidak tahu bagaimana harus aku terangkan andainya aku manja kan diri ketika berpantang apa kah anaknya kini berjaya menggenggam segulung ijazah?
Mentua Ku Desak Lahirkan Cucu Untuknya
Ya 5 tahun berlalu. Tanpa aku sedar. Suami berjaya mendapat kerja di sebuah syarikat perumahan sebagai pengurus jualan. Gajinya melebihi gaji ku. Aku bersyukur kepadaMu tuhan. Hidup kami kembali seperti mula-mula kawin dahulu. Bahagia dan tenang walaupun rindu ku pada Nur Ain semakin kuat.
Aku berusaha untuk mendapatkan pengganti Nur Ain. Namun gagal. Memandangkan suamiku anak tunggal lelaki, mentua semakin mendesak supaya kami memperolehi cahaya mata secepat mungkin. Namun hampa. Segala kisah lama sering diungkit sekiranya kami pulang ke kampung. Semua kesalahan diletak ke bahu aku walaupun suami cuba pertahankan aku.
“Haaa…cepat-cepat lah kau suruh Zulaikha beranak seorang lagi kalau bini kau tak nak beranak.”
Zulaikha? Siapa Zulaikha? Aku lihat wajah mentua berubah seperti rasa bersalah kerana terlepas cakap. Aku merenung suamiku yang turut terdiam kaku. Aku capai kunci kereta dengan perlahan aku melangkah.
Suamiku cuba memperlahankan langkahku yang memang sudah lemah. Dia mencapai kunci kereta di tangan ku dan mengajak ku untuk berbincang. Aku akur, aku memang teringin sangat untuk tahu dan mendengar cerita yang hampir 15 tahun dirahsiakan.
Bagai batu besar terhempas di kepalaku bila suamiku mengaku yang dia telahpun menikahi seorang gadis di tempat kerjanya hampir 4 tahun yang lalu. Suamiku mengatakan dia kasihan dan simpati kepada aku kerana didesak oleh orang tuanya untuk memperolehi zuriat sedangkan dia tahu aku telah berusaha namun rezeki tidak menyebelahi aku.
Dia penat melihat aku yang ke hulu ke hilir pantang dengar di mana tempat untuk berurut atau berubat asalkan dapat mengandung. Dia lelah melihat aku muntah-muntah jika tidak mampu menelan segala ubat yang diberikan oleh pakar berubatan atau bidan kampung.
“Abang sayangkan Karina. Kerana itu abang mengikut kehendak orang tua abang untuk menikah seorang lagi asalkan mereka tidak menyebut tentang zuriat di hadapan Karina. Cukuplah 15 tahun ini Karina terseksa.. Abang nak Karina tenang sayang..”
Dia mengucup dahiku dan memeluk aku seerat-eratnya dapat aku rasakan ada air jernih membasahi bahuku.
“Percaya la Karina cinta kasih abang kepada Zulaikha tidak sehebat cinta dan kasih abang kepada Karina.”
Sambungnya lagi sambil tersedu sedan. Buat kali kedua aku melihat air matanya mengalir semenjak dia meninggalkan aku selama dua hari kerana ada urusan di luar negeri 3 tahun yang lepas. Baru lah kini aku mengerti kenapa dia menangis waktu itu.
Dia, Suami Yang Tak Pernah Mengabaikan Ku Di Malam Hari
Aku sedar selama 3 tahun dia beristeri dua, dia tidak pernah meninggalkan aku di kala aku suka dan berduka. Tiap-tiap malam dia sentiasa ada di sisi walaupun kadangkala dia lewat pulang bekerja. Hari-hari sejarah dalam hidupku tidak pernah dia lupa.
Nafkah zahir dan batinku tidak pernah terabai kadangkala melebihi. Syukur padamu Tuhan. Pelukannya tidak pernah dingin terhadapku malah semakin hari semakin erat tidak kira dia penat atau lelah setelah berperang di pejabat dengan pelbagai kerenah pelanggan dan kertas kerja.
Masalah di pejabat tidak pernah dibawa pulang ke rumah dan hari-hari yang kami lalui ibarat pengantin baru. Tidak pernah dia mengasari aku apalagi untuk menyakiti aku. Walaupun hidup kami berubah daripada rumah sewa kini mampu membeli sebuah banglo kecil, daripada kancil kini telah bertambah dengan sebuah lagi jenama Honda namun aku hairan kenapa hati kecil ini masih terlalu ingin bertemu dengan Zulaikha. Aku sampaikan niat hati pada suami. Dengan berat dia mengizinkan.
Jam 2 petang, dari jauh aku lihat Zulaikha turun daripada teksi dengan memimpin anak kecil berusia dalam lingkungan 2 tahun. Comel dan manja. Anak itu berlari memeluk suamiku sambil menjerit
“Abah..”
Erat sekali anak kecil itu memeluk dan mencium pipi suamiku bertubi-tubi.
“Ya Allah.. apa yang dah aku lakukan. Gayanya seperti rindu benar anak itu kepada ayahnya yakni suamiku ini.”
Pertemuan Ku Dengan Madu
Bisik hatiku. Zulaikha menyalami aku. Dia tidak cantik. Kalaulah nak dibandingkan dengan aku jauh bezanya berkulit gelap dan di pipi kanannya ada sedikit kesan parut seperti terbakar. Maha Suci Allah betapa mulianya suamiku menikahi bukan kerana paras rupa, bukan kerana nafsu dan bukan kerana harta.
“ Zu anak yatim piatu kak. Tinggal dengan nenek yang dah uzur .”
Aku terdiam bila Zulaikha menjawab soalanku dengan tenang. Dia hanya menyewa di apartment kecil di pinggir kotaraya. Suami ku hanya akan pulang ke rumahnya bila habis waktu pejabat dan akan segera pulang ke rumahku bila tibanya waktu maghrib. Begitulah rutin harian rumah tangga suamiku bersama Zulaikha selama 3 tahun ini.
Aku terdiam. Perlukan aku merasa cemburu kepada wanita ini. Haruskan aku menghambur kata-kata kesat kepadanya sedangkan hidupku terlalu sempurna berbanding dia. Betul kata orang sifat ingin tahu wanita melebihi segalanya.
Aku mengikutnya pulang ke rumah dengan alasan aku ingin melawat neneknya. Setiba di pintu rumahnya air mataku menitis. Rumah yang hanya dua bilik itu kelihatan kemas walaupun agak sempit. Teringat aku pada mula-mula aku bernikah dengan suamiku. Jauh di satu sudut terbaring nenek tua yang agak uzur.
“Zu selalu minta cuti sebab nenek selalu sakit kak. Zu tak mampu nak upah orang jaga nenek. Mula-mula abang bising sebab Zu selalu minta cuti. Bila Zu bawa abang datang jenguk sendiri nenek Zu. Hatinya menjadi simpati pada Zu kak.
Kata abang, “Cukuplah dia tengok isteri dia berkorban demi menjaga periuk nasi sampai abaikan kesihatan dan kehilangan anak dalam kandungan. Abang tak mahu Zu korbankan nenek semata-mata kerana kerjaya kak. Lalu dilamarnya Zu jadi isteri kedua asalkan Zu tidak meminta hak akak iaitu tidak melahirkan lebih daripada seorang zuriat sehingga anak keduanya lahir daripada rahim akak.”
Dunia Ku Berpusing.. GELAP!
Hak aku? Bukankah kau telah merampas hak aku.. Suami aku… Satu-satunya suami yang aku ada, yang aku kasihi. Astagfirullahalazim.. apa ni? Kata-kata syaitan mana yang mula menghasut. Aku layu terkulai diriba suamiku. Dunia berpusing laju. Semuanya gelap.
“Sayang.. Maafkan abang Karina.…”
Aku sedar daripada pengsan. Kini terbaring di katil hospital.
“Puan.. Jangan buat kerja berat-berat ya. Tahniah puan hamil 9 minggu. Jaga makan dan minum, jaga kesihatan.”
Ada riak kegembiraan di wajah suamiku dan Zulaikha.
“Nur Ain.. mari sini dekat ummi sayang. Tak lama lagi Ain nak dapat adik baru.”
Zulaikha memimpin anaknya menghampiri ku.
“ Ain?”
Indah sungguh perancanganmu Ya Allah. Dalam diam Kau makbulkan doaku untuk pengganti Nur Ain. Aku mula menerima Zulaikha dengan hati terbuka. Redha dan tenang.
* top image merupakan penulis Cik Puan Ammy
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Nabil Nak Balik Rumah..’ Tapi Kena Ada RM4500 Untuk Beli Tabung Oksigen Yang Bantunya Bernafas
Isi Kandungan
ToggleAdik Nabil atau nama sebenarnya, Muhammad Nabil Bin Mohd Firdaus, 7 tahun disahkan cerebral palsy sejak dari lahir. Dia juga mengalami Laryngomalacia, GERD gred 4 dan Hyperactive airway disease. Penyakit itu membuatkan dia memerlukan tabung oksigen untuk bernafas dengan sempurna.
Sampai ke hari ini dah dua bulan adik Nabil menjadi penghuni semula wad 5B Hospital sultan Bahiyah Alor Setar, Kedah. Selama 24 jam dia memerlukan bantuan oksigen.
Di hospital tentulah ada kelengkapan itu. Bila dia keluar kelak, bantuan oksigen tak lagi diberikan oleh pihak hospital. Ini bermakna ibunya, Nor Hasniza Binti Abd Ghani perlu menyediakan sendiri.
“Buat masa ini ada hamba Allah yang dah sedia untuk membayarkan sewa tabung oksigen untuk Nabil. Dalam sebulan kos sewanya sebanyak RM350.” Tutur ibu tunggal ini ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Berhasrat Beli Tabung Oksigen Konsentrator
Bagaimana pun besar harapannya sebagai ibu mahu melihat anaknya menggunakan mesin oksigen yang dinamakan ‘Oksigen Konsentrator’.
Mesin itu bernilai RM5000, namun wakil NGO, Puan Rohaidatul Asma dapat deal harga pembekal iaitu RM4500.
Apa yang bakal memudahkan keluarga kecil ini, tabung konsentrator tak perlu di’refill’ dan kos bulanan menjimatkan. memandangkan ia menggunakan kuasa elektrik.
Berbeza dengan tabung oksigen sewa setiap 5 jam ia perlu direfill dan setiap kali refill oksigen mencecah RM50.
Pembelian mesin oksigen ini jugalah yang doktor cadangkan untuk adik Nabil. Dia perlu memiliki satu mesin oksigen kalau ingin pulang ke rumah. Tanpa mesin itu, adik Nabil tak mampu bernafas secara normal seperti kita.
Sepanjang berada di wad Doktor cuba perlahankan oksigen dr 10 hingga 1 liter tapi paru-paru adik nabil masih tidak dapat bertahan dan terus menurun ke paras tidak normal.
Dia Anak OKU Terlantar
“Paru-paru Nabil tak elok untuk kedua-duanya. Dan tak berkembang. Dia anak OKU yang terlantar. Tak banyak bergerak dan kurang bercakap.
“Sepanjang diwad saya menjaganya macam biasa. Cuma buat masa ini Nabil berhadapan masalah tiub susu bocor.
“Tiub susu itu tebuk di perutnya. Masukkan susu dari situ. Bila bocor, itulah yang buatkan Nabil masih ditahan di wad.
“Doktor nak tunggu dia tertutup barulah dia boleh balik. Sebab itu dia kena puasa nak bagi lubang tertutup semula.
“Sebab itu badannya dah menyusut tinggal 17 kilo. Dah dua hari dia puasa. Selagi belum tertutup, selagi itulah dia kena puasa.” Sayu hati itu yang bimbangkan anak yang kini juga berhadapan saluran pernafasan sempit.
TABUNG KECEMASAN ADIK NABIL
Pembaca yang mahu membantu ibu adik Nabil membeli tabung oksigen konsentrator boleh menghulurkan sumbangan anda ke akaun:
CIMB
7620 0001 63 ROHAIDATUL ASMA
Maybank
1521 2538 5938 NOR HASNIZA
Atau Hubungi
019 5755367 IEDA (Wakil NGO yang mengendalikan kes adik Nabil)
017 4147318 PUAN NIZA (Ibu)
Alamat : F 794, Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam 06910 Yan Kedah Darul Aman
Sumber/Foto : Nor Hasniza , Rohaidatul Asma
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI