Wow, 80 Peratus Rumah Wanita Ini Dipenuhi Dekorasi Hello Kitty!

Share

Ralit melihat kepingan gambar dekorasi Hello Kitty di rumah wanita ini. Serius, tak sangka rupanya memang wujud rupanya peminat tegar karakter kucing comel yang berasal dari Sanrio, Jepun ini.

Masa kan tidak, hampir 80 peratus dekorasi rumah wanita ini dipenuhi dengan karakter Hello Kitty. Setiap inci sudut dan ruang rumah ini dilengkapi dengan barangan Hello Kitty, baik di dapur, ruang tamu, meja belajar, bilik air, bilik tidur dan sebagainya.

Minat Hello Kitty Dari Zaman Sekolah

Menurut pemilik, Khuraidah Baidzowi,37, minat mengumpul koleksi barangan Hello Kitty ini timbul sejak dari zaman sekolah menengah lagi dan kecintaan terhadapan karakter kucing comel ini masih lagi berterusan sehingga kini.

“Minat pada Hello Kitty ni sejak zaman sekolah. Mungkin sebab karakter Hello Kitty ni yang comel dan berwarna merah jambu membuatkan saya jatuh hati dan suka dengannya.Namun, ketika itu, sebab masih sekolah dan hanya mengharapkan duit saku, nak beli barang-barang ini agak terhad dan terbatas.Ditambah pula barangan Hello Kitty ini agak mahal harganya,”

“Setelah bekerja dan berkahwin, saya semakin kerap membeli barangan Hello Kitty ini.Ia bagaikan ‘membalas dendam’ kerana tidak mampu membeli sepuas hati waktu sekolah dahulu. Boleh dikatakan, selepas berkahwin sebelum memiliki anak dahulu, setiap minggu saya akan ke sebuah kedai khusus di Bangsar untuk membeli dan menambah lagi koleksi barangan Hello Kitty.

Tambah, Khuraidah lagi;

“Jika sebelum ini, saya banyak membeli peralatan,perkakasan dapur dan aksesori Hello Kitty, namun setelah mempunyai anak, saya lebih gemar membelikan baju, stationeries dan sebagainya untuk anak-anak,” jelas Khuraidah yang mesra dipanggil Ida.

Mendapat Sokongan Suami

Bukan itu sahaja, wanita yang merupakan ibu kepada tiga orang cahayamata ini cukup bertuah apabila minatnya terhadap karakter comel ini mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada suami tersayang.

“Suami,Roslan Ali,43, memang memahami dan mengetahui minat saya yang satu ini. Malah, suami,kawan-kawan, adik beradik mahupun ibu mertua turut memberikan sokongan penuh pada minat saya ni. Jika ada kedai, mahupun pameran yang menjual barangan Hello Kitty ini, mereka pasti akan memberitahu saya. Malah, mereka juga turut membelikan barangan Hello Kitty ini untuk di jadikan koleksi” ujar Khuraidah,yang memiliki barangan Hello Kitty dari serata negara seperti Jepun,U.S, Indonesia dan sebagainya.

Menurut Khuraidah lagi, jika dahulu, barangan Hello Kitty ini agak terhad dan sukar untuk didapati.Tak banyak kedai atau seller online yang menjual barangan ini, berbanding sekarang ia lebih mudah.Kebanyakkan barangan Hello Kitty boleh dibeli secara online seperti di E-bay, malah ada juga kedai yang menjual khusus barangan Hello Kitty ini.Jika dikira, anggaran RM20,000 telah dibelanjakan sehingga kini, demi minat mengumpul koleksi comel ini.

Selain itu, minat yang mendalam pada Hello Kitty bukan sahaja dizahirkan pada pembelian barangan tersebut, malah beliau sendiri turut aktif menyertai page Facebook peminat Hello Kitty yang di namakan “Hello Kitty Junkies” dan bertindak sebagai salah seorang Admin.

Setiap orang miliki minat yang berbeza. Hakak,kagum dengan minat dan kesungguhan wanita ini yang setia mengumpul koleksi karakter Hello Kitty ini sekian lama. Jika bukan peminat tegar, bukan mudah tau, nak kumpulkan segala koleksi kesayangan ni, malah memerlukan masa, kos dan minat yang mendalam!

Jom kita cuci mata antara koleksinya;

Published by
Suhaidah Abd Wahab