Tanggal 3 November merupakan momen manis buat Nur Shahila Amir Amzah, 27 atau Shila Amzah apabila disunting jejaka yang bernama Haris Idraki Elias, 28. Haris merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Kota London sejak berusia dua tahun.
Berkongsi tentang rancangan majlis pertunangan yang berlangsung pada 3 November yang lalu, menurut Shila ia dirancang dalam masa yang sangat terhad kerana faktor jarak yang memisahkan antara kedua-dua keluarga.
“Dari segi perancangan sebenarnya Haris melamar Sha pada penghujung bulan Julai kerana kami tinggal di dua buah negara berbeza. Kedua-dua ibu bapa kami berbincang dan berhubung menggunakan Skype. Setelah perbincangan mendapat kata sepakat, ibu bapa kami mengambil keputusan untuk tunangkan kami berdua pada November.
“Sha dan Haris mula bercinta sejak bulan Ogos selepas kedua belah keluarga merestui keputusan kami untuk berkahwin. Persiapan majlis pertunangan kami Alhamdulillah banyak dipermudahkan Allah. Kami bertemu dengan mereka yang sangat berbakat dalam hal-hal merancang dan menguruskan majlis pertunangan atau perkahwinan.
“Sha pula sering sibuk dengan urusan kerja, jadi persiapan majlis banyak dibantu dan diuruskan oleh teman dan juga pembantu peribadi Sha, Aini. Alhamdulillah kini semuanya telah selesai dengan lancar dan Sha sangat berpuas hati dengan hasil kerja semua pihak yang terlibat.”
Ditanya bagaimana Shila bersetuju ketika sang jejaka melamar dirinya, ini jawapannya.
“Pada hari dilamar oleh Haris, Sha cuma bagi jawapan ” If my parents agreed dan bagi kita blessing, It’s a YES”.
Tambahnya lagi, ibunya Fauziah Sarman merupakan orang pertama yang tahu akan hasrat hati Haris yang ingin melamarnya setelah dimaklumkan sendiri oleh mama Haris.
“Sha dan mak sangat rapat. Kalau nak tahu mak adalah orang pertama yang tahu hasrat hati Haris bila Mama Haris sendiri merisik pada mak Sha dan menyatakan hasrat untuk melamar Sha.
“Tapi ketika itu kami langsung tak berhubung antara satu sama lain. Kebetulan pula mama Haris dan & mak Sha berkawan rapat dah lama. Jadi mak ketika itu menghormati dan menerima hajat mama Haris dengan hati terbuka.
“Lepas seminggu Sha tanya pula kepada abah, tak disangka abah sangat gembira dengan berita yang Sha sampaikan hinggakan kami berdua menangis bersama ketika itu. Itu antara momen yang paling indah di antara Sha dan abah,”ujar Shila yang merupakan anak kepada penyanyi terkenal 80-an, Amir Amzah Saleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala.
Jelas Shila lagi, kedua-dua keluarga memang telah lama menjalinkan hubungan persahabatan walaupun tinggal di dua benua yang berbeza.
“Keluarga kami memang telah lama saling mengenali. Dahulu adik Haris, Haziq Zikri pernah bermain dalam pasukan Harimau Muda dan Zikri tinggal jauh dari keluarga.
“Ada suatu masa dia mengalami kecederaan, kebetulan saya dan Zikri berkawan rapat ketika itu, jadi dia sering datang ke rumah dan menjadi rapat dengan keluarga saya. Dari situlah keluarga kami mula berkawan baik dan Alhamdulillah hubungan tersebut berkekalan hingga sekarang dan tak lama lagi akan terjalin pula hubungan yang akan merapatkan lagi kami dua keluarga, Insya-Allah.”
Shila juga mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga bakal mentuanya itu. Jelas Shila ayah Haris merupakan salah seorang peminat Shila dan sering mengikuti perkembangan kerjayanya di media sosial.
“My future parents in law are so cute! Kami memang ada hubungan yang sangat baik sejak dulu lagi. Silaturahim itu tak pernah putus walaupun Sha selalu di China. Sebenarnya bakal bapa mentua saya memang ikuti perkembangan kerjaya Sha, dia suka menonton video-video Sha di Youtube.”
Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, itulah yang dirasakan oleh Shila kerana bakal bergelar seorang suri hati kepada jejaka pilihan hati tidak lama lagi.
“Rasa macam mimpi, sebab Sha memang dah lama bersedia untuk berkahwin tapi Allah itu Maha Mengetahui. Apa yang boleh Sha kongsikan, perasaan berdebar dan dalam masa yang sama teruja dengan apa yang berlaku kepada Sha. Syukur Alhamdulillah dengan perancangan yang Allah atur untuk Sha.”