Waspada Trend ‘Child Shaming’, Buka Aib Malukan Anak Di Media Sosial!

Share

Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!

Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.

Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.

MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.

Dunia sekarang semakin aneh.

Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.

Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.

Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?

Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?

Fenomena ‘Child Shaming’

Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.

Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.

 

Menghakis Kepercayaan Anak

‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.

Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?

Anak Rasa Terhina

‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.

‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”

Mak Ayah Patut Lindungi Anak

Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.

Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.

Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.

‘Digital Footprint’ Anak

Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.

Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.

Tidakkah kita kisah?

Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.

Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.

Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.

Baca Disini: “Abah Rotan Sebab Nak Cess Faham Erti Maruah Seorang Perempuan..”

Sumber: Parent Connect

Published by
Suhaidah Abd Wahab