‘Warna Sebenar’ Seorang Lelaki, Lihat Bagaimana Layan Isteri Sewaktu Hamil & Berpantang

Share

Memang ada benarnya ‘warna sebenar’ seorang lelaki boleh dilihat, bagaimana dia melayan isterinya sewaktu hamil dan berpantang. Kehidupan rumahtangga penuh dengan warna warni. Untuk mendapat keserasian di antara suami isteri itu tak mudah.

Beruntung isteri yang dapat suami cukup memahami dah faham erti tanggungjawab dan amanah sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi ketika isteri sedang hamil, berjuang melahirkan zuriat dan sepanjang melalui tempoh berpantang. Kerana dari situlah, sikap sebenar seorang lelaki jelas kelihatan.

Baca perkongsian daripada Puan Intan Dzulkefli ini sebagai panduan;

Antara waktu paling mudah untuk melihat ‘warna sebenar’ seorang lelaki ialah, lihatlah bagaimana dia melayan isterinya sewaktu hamil dan berpantang.

Adakah dia santun dan sabar melayan? Atau sebaliknya? Adakah dia merasa kasihan atau dia rasa isterinya cuma mengada-ngada?

Hal ini kerana waktu itulah isteri dalam keadaan paling perlukan bantuan, ‘morning sickness’, ‘postpartum blues’, dilema ‘postpartum body’, sakit sana sini dan lemah tubuh badan – setelah melahirkan.
Ibu mentua juga, waktu inilah dia akan rasa lapang dada sekiranya melihat menantu bertanggungjawab menjaga keperluan anak isteri, atau rasa amat tersakiti apabila anak perempuannya dilayan dan ’dibuang’ seperti kain buruk.

Waktu isteri sakit dan tak berdaya si suami hantar ke kampung, atau dibiarkan berdikari sendiri tanpa ambil tahu keperluan belanja kewangan, mahupun kesihatan emosi dan mental isteri. Namun, apabila isteri sudah sihat, langsing, bersih, cantik selepas habis pantang – dialah ibarat kucing miang yang tak diundang datang. Tak tahu malu!

Isteri Takkan Lupa Layanan Suami

Apapun, ingatlah wahai suami. Para isteri takkan melupakan bagaimana akhlak dan layananmu waktu mereka dalam keadaan ini; iaitu sewaktu mengandungkan zuriatmu dengan susah payah, waktu dalam kesakitan untuk bersalin serta sewaktu proses penyembuhan selepas melahirkan zuriatmu. Ia merupakan sebuah perjuangan antara hidup dan mati – yang ramai kaum lelaki ambil mudah.

Menyantuni isteri yang hamil dan berpantang ini merupakan detik ujian untuk para suami juga sebenarnya, agar bersifat empati, meskipun mereka tidak mengerti segala kesakitan dan kepayahan itu kerana tidak merasakan sendiri bagaimana lelahnya membawa kandungan yang membesar, atau bagaimana dahsyatnya sakit waktu melahirkan dan peritnya luka-luka akibat proses itu.

Tahniah buat para lelaki yang berempati dan menghormati dengan wanita (umumnya) serta isterinya sendiri, secara khususnya. Semoga Allah ganjarkan sebaik-baik ganjaran buat suami yang santun meraikan kepelbagaian emosi isteri, sabar dan sentiasa setia dengan isteri walau dalam keadaannya yang paling teruk waktu hamil dan selepas bersalin.

Didik Anak Lelaki Dengan Kefahaman Agama

Harapanku, buat para ibu dan bapa yang Allah anugerahkannya zuriat lelaki, ayuhlah sama-sama berazam untuk mendidik anak-anak lelaki kita dengan kefahaman agama agar generasi lelaki qawwam yang akan melindungi, menghormati dan mendidik para wanita tidaklah pupus.
Para bapa, usahakanlah untuk menjadi figura contoh – diteladani oleh anak kandung, disegani oleh anak menantu.

Ya Allah perkenankanlah.
Ya Allah permudahkanlah.

Sabda Rasulullah SAW; “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya)” (HR al-Tirmizi) – hadis sahih

Mesti Baca:Baru Seminggu Bersalin Kembar, Layanan Suami Buat Dr Halina Rasa Macam Honeymoon
Baca Lagi Di Sini:“Suami Peluk Dan Sayangi Isteri, Wanita Yang Allah Jadikan Sensitif. Jiwa Mereka Lembut”
Artikel Menarik:Sedihnya ISTERI Berpantang, SUAMI Diam-Diam BUKA Ruang Pada Orang KETIGA

Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat! Memang ada benarnya, ‘warna sebenar’ dan sikap lelaki sebagai seorang suami itu dapat dilihat dengan jelas, sewaktu bagaimana dia melayan isterinya ketika hamil, bersalin dan dalam pantang.

Sumber:Intan Dzulkefli

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab