Wariskan sifat kehambaan pada Allah SWT dalam diri anak kita. Itu tugas kita sebagai ibu bapa. Apabila melihat bayi kecil yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, mengimbau keadaan diri kita yang sememangnya faqir dan lemah yang harus berpegang kepada sesuatu yang Maha kuat dan Maha kaya, itulah Allah yang sememangnya amat mengasihani dan menyayangi hamba-Nya.
Lebih kuat rasa kehambaan dalam diri dengan penuh faqir dan kelemahan, lebih hebat lagi limpahan kasih sayang-Nya yang bakal kita rasakan. Persis bayi kecil, lebih kuat dia menangis menagih perhatian dan kefahaman lebih lagi rasa empati menerjah diri ibu bapa dan penjaganya. Sungguh kalam Allah itu benar, tiada satupun yang Allah jadikan sia-sia. Setiap inci penciptaan-Nya apabila direnungkan memberi inspirasi dan motivasi diri untuk kekal menjadi hamba-Nya. Maha hebat Allah!
Apa Yang Allah Ingin Didik Kita?
Rakan penjaga yang dikasihi, betapa banyak daripada peristiwa harian kita bersama anak-anak yang benar-benar kita tekuni dan kita tanyakan pada diri, apakah sebenarnya yang Allah ingin didikku melalui peristiwa ini?
Saya percaya, jika soalan ini kerap menerjah pemikiran kita rentetan daripada peristiwa-peristiwa bersama anak yang kita lalui saban hari, pasti akan bertambah rasa kehambaan kita kepada-Nya. Benar anak itu adalah amanah. Namun sejauh mana kita mengimani kata-kata itu dan sejauh mana kita terjemahkannya dalam kehidupan kita bersamanya.
Sudah menjaga amanahkah kita jika keperluan fizikalnya dipenuhi? Sudah jaga amanahkah kita jika material untuk kelangsungan hidupnya sudah tersedia? Apakah sudah cukup amanah jika dia di mata kita sudah cukup berjaya?
Anak-Anak Indikatornya
Ia berbalik kepada apakah takrifan cukup dan amanah yang kita fahami. Jika ianya disandarkan kepada kefahaman al-Quran maka indikatornya anak-anak ini kenal akan Tuhannya, cinta akan Rasulnya dan menjadikan Islam sebagai cara kehidupan dan pandangan alamnya.
Ads
Masya-Allah, dalam keadaan semasa kehidupan kita, cabarannya amat kuat. Mehnahnya hebat.Memerlukan kekuatan dalaman yang kuat untuk kekal dalam arus iman dan takwa. Hakikatnya, kita tidak berdaya mengharunginya sendirian apatah lagi dengan membawa beban amanah. Jadi kembalilah mengadu dan merengek di hadapan Allah Yang mempunyai kekuatan dan Allah yang mempunyai perbendaharaan. Pasti kita akan dibantu-Nya.
Persiapkan Diri Dengan Sifat Hamba
Justeru, persiapkan diri kita untuk benar-benar menjadi hamba kepada-Nya. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah merasakan dirinya lebih daripada orang lain hatta dengan anaknya sendiri. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah meletakkan apa yang diperkatakan adalah mutlak.
Hamba yang memiliki sifat hamba memiliki sifat tawadhuk yang membenarkan dirinya untuk menghormati dan bertolak ansur dengan yang lain. Dan yang paling penting, hamba yang memiliki sifat hamba akan sentiasa mencari jalan untuk mengagungkan pemiliknya bahkan mengajak orang disekelilingnya untuk melakukan hal yang sama. Begitulah serba sedikit indikator yang boleh kita renungkan dalam diri, melihat kembali, perteguh dan perbaiki. Kerana tiada seorang pun daripada kita yang sempurna.
Kisah ini harus dijadikan contoh. Betapa Nabi Ibrahim memastikan dirinya mengekalkan rasa kehambaan dalam diri sehingga apa sahaja yang diperintahkan Allah kepadanya dilakukan tanpa gagal hatta perintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Rasa kehambaan yang baginda miliki bukan sahaja diterjemahkan melalui perlaksanaan setiap perintah Allah malah manifestasi sifat hamba tadi menyebabkan baginda bertindak untuk bertanyakan pandangan anaknya Ismail ketika ingin melaksanakan perintah tersebut.
Ia bukan bermakna baginda ingin mengelak daripada melaksanakan perintah malah sebagai tanda hormat dan kasih sayangnya kepada anak. Dua keadaan ini menjelaskan bagaimana hakikat sifat hamba termanifestasi dalam diri kita selaku ibu bapa. Jawapan Nabi Ismail ketika itu pula mengukuhkan tarbiah ibunya untuk sentiasa menjadi hamba kepada Allah dalam setiap keadaan dan peristiwa kehidupan.
Tidak Bermakna Di Sisi Allah
Itulah hakikat kehidupan kita yang harus kita benar-benar tahu dan faham. Kita bukan sesiapa di dunia ini walau mempunyai jawatan yang tinggi, harta yang banyak, ilmu yang tinggi mahupun kuasa yang besar. Ia tidak bermakna apa pun di sisi Allah. Bahkan yang termahal di sisi-Nya adalah rasa kehambaan yang mutlak daripada hamba-Nya. Masya-Allah!
Jadi, rasa itulah yang harus kita miliki dan diwariskan kepada anak-anak kita. Percayalah rasa kehambaan kepada Yang Berhak menidakkan rasa dimiliki dan ditakluki sesama makhluk. Yang ada hanyalah rasa kasih sayang dan hormat sesama insan atas arahan dan perintah daripada-Nya. Allahuallam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pernah tak dengar rungutan ibu yang anaknya enggan makan. Cuma nak minum susu formula semata. Bancuh sampai lima kali sehari pun tak apa. Nak suapkan makanan terutama jenis sayur atau nasi, bercinta dibuatnya.
Sebenarnya, memberi anak susu formula semata-mata tanpa makanan tambahan yang lain mengundang bahaya buat anak itu. Ini perkongsian dari Dato Dr. Suriyakhatun Osman apabila ibu terlebih memberi susu formula pada anak kecilnya.
Kesan Minum Susu Formula Berlebihan
Pembantu saya tanya. “Kenapa doktor marah pesakit tadi?”
Eh saya marah ke? Saya tak marah, cuma hati saya rasa kecewa sebab saya sudah berkali-kali beritahu bahawa bila minum susu formula banyak sangat semasa umur sudah lebih dua tahun akan menimbulkan berbagai masalah.
Dan anak ini ekzema selepas umur 4 tahun sebab ibunya mulakan susu formula pada umur 4 tahun. Dia minum 5 botol sehari dan tidak mahu makan kecuali telur dan nasi putih.
Cuba awak fikirkan perkara ini dengan mengunakan ilmu biochemistry yang telah awak belajar dulu.
Susu formula adalah makanan yang timbulkan acid ash, nasi putih pun sama dan telur pun sama. Darah kita perlu pH 7.35 – 7.45 dan tidak boleh lari dari pH ini. Keadaan acidosis adalah keadaan cemas dan tidak akan berlaku sebab badan kita ada mekanisma untuk betulkan .
Maka dalam badan ada buffer system yang kekalkan pH begini. Jika makanan yang masuk keluarkan acid ash, badan terpaksa ambil zat galian yang alkaline dari dalam TULANG anak itu untuk kekalkan pH darah.
Bayangkan apa yang berlaku bila makanan sentiasa dari range mengeluarkan acid ash tanpa diimbang dengan makanan yang keluarkan alkaline ash? Tulang anak tak kuat, usus dapat leaky gut sebab makanan acidic yang tinggi gula juga tidak baik untuk microbiota usus, eczema dan semua penyakit alahan akan keluar terutama bila ada unsur keturunan.
Apakah Makanan Yang Perlu Diimbangkan
Perlulah makan buah dan sayur. Jika ini pun tidak boleh kena berikan supplement yang ada zat serupa seperti dalam sayur dan buah, zat galian seperti Magnesium, Potasium dan lain-lain.
Bila pengambilan hanya susu, biskut, kuih dan roti, anak ini bukan sahaja akan terjejas kulit, tapi usus, tulang dan saraf akan terlibat dan tak lalu makan akan menyebabkan kurang zat.
Soalnya?
Cukupkah susu formula menampung semua keperluan anak?
Belajar tentang potential renal acid load. Untuk anak pun penting. Makanan yang hanya susu, biskut, kuih roti, jam tidak sihat. Ulam-ulaman, sayur dan buah amat perlu dalam pemakanan.
Biskut kuih kek pula akan tambah beban pada ginjal dan tingkatkan renal acid load. Ini akan ganggu imbangan mineral badan.
Quote
Rather, it’s the “potential renal acid load,” or PRAL, of a food — a value that measures acid excretion in the urine — that determines where it fits within the context of acid-alkaline balance.”
Sumber/Foto : Facebook Dr. Suriyakhatun
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sememangnya ayah sepatutnya jadi lelaki pertama di hati anak perempuan, luangkan masa berdua untuk berdating agar hubungan anak perempuan dan ayah menjadi rapat.
Percayalah anak perempuan menjadi bangga apabila dapat menghabiskan masa bersama berdua dengan ayah tanpa orang lain.
Malahan perkara ini akan turut dicemburui jika dia mempunyai adik-beradik perempuan yang lain. Tak perlu selalu, tetapi wujudkan ruang waktu untuk ayah bersama anak perempuan kerana sangat penting untuk dia merasa sentiasa disayangi oleh ayahnya.
Ayah Sepatutnya Jadi Yang Pertama
Ikuti perkongsian Firdaus Mokhtar ini dan fahami sebaiknya mengapa kita perlu berbuat demikian:
Kawan-kawan yang baik, yang ada anak perempuan kalian kena jadi begini;
1. Ayah sepatutnya menjadi lelaki pertama yang hidup dalam hati anak perempuan. Lelaki pertama yang dia belajar untuk mencintai.
2. Lelaki yang menjadi idola kepada anak perempuan. Yang menjadi bahu tempat mereka menangis dan mengadu masalah. Menjadi hero dalam drama kehidupan anak perempuan.
3. Dialah lelaki paling kacak, paling mulut manis, paling pemurah, paling lemah lembut, paling sabar di mata anak.
4. Daripada ayah jugalah anak perempuan mengharapkan pujian. Memberi sokongan kepada apa sahaja yang anak perempuan cuba untuk buat.
Sebab itu kalau nak buat aksi lasak, terjun dalam kolam yang dalam, nak main basikal 2 roda untuk kali pertama, nak cuba turun gelongsor yang tinggi 2 tingkat bangunan, mesti kena ada ayah yang beritahu, “Kakak boleh buat.”
Cukup begitu, dia akan yakin untuk terus terjun.
Anak Perempuan Rasa Disayangi Bila Keluar Berdua
Semua ini yang anak suka nak lihat bila dia keluar berdua dengan kita. Bila ada adik beradik lain, dia tak rasa kita boleh beri perhatian ke dia seorang.
Timbullah perasaan dia tak disayangi. Dia bukan anak yang baik. Dia rasa dirinya tak cantik. Dan dia juga akan rasa tak pandai bercakap.
Hilang keyakinan diri.
Atau sebaliknya lebih teruk, dia sangat perlukan sokongan seorang lelaki, tapi tak dapat daripada ayah dia sendiri. Maka, dia akan cari lelaki lain yang boleh dijadikan sandaran.
Inilah bahaya.
Begitulah.
Oh ya, hari tu siap Ameenah ajak kami pergi hotel. Maksud dia nak ajak pergi bercuti. Tapi dia ajak tu hari Rabu.
“Eh, tak boleh. Esokkan ummi kerja,” saya kata ke dia. Ummi dekat sebelah pun mengangguk.
Tenang dia balas;
“Biarlah Inah pergi dengan walid je berdua.”
Hahaha. Dia ok je kalau pergi bercuti dengan walid saja.
Nampak tak?
MW: Anak perempuan sangat memerlukan sokongan daripada ayahnya, bukan hanya setakat kasih sayang. Jangan sampai anak perempuan selesa mencari lelaki lain di luar sana yang memberi perhatian “lebih” padanya. Itu sangat berbahaya.
Kesan pendemik Covid-19 begitu besar. Bukan sahaja kehilangan pekerjaaan, malah ada di kalangan kita kehilangan orang yang tersayang. Berat benar ujian ini.
Bayangkan nasib bayi ini. Bayi ini tak sempat sentuh ibu, baru saja dilahirkan ibu meninggal dan akhirnya tinggal sebatang kara akibat Covid-19. Belum sempat merasai kasih seorang ibu, ibu pergi buat selamanya.
Bayi Tak Sempat Sentuh Ibu
Baru dilahirkan, tetapi seorang bayi lelaki di St Petersburg, Rusia, tidak sempat mengenali ibunya selepas wanita itu meninggal dunia akibat Covid-19.
Malah, datuk dan nenek bayi itu sebelum ini juga meninggal dunia akibat virus sama.
Ia menyebabkan bayi itu menjadi satu-satunya ahli keluarganya yang terselamat daripada Covid-19.
Mirror UK melaporkan bahawa sebelum ini, datuk kepada bayi itu, Kirey Pinchin, 64, dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan.
Bagaimanapun, selepas lapan hari discaj dari wad, lelaki itu meninggal dunia akibat Covid-19, pada 5 November lalu.
Ia disusuli isteri lelaki itu, Vera, 62, yang meninggal dunia akibat jangkitan virus sama, pada 12 November.
Difahamkan, ibu bayi itu, Svetlana Sorochinskaya, 36, pula dijangkiti virus sama ketika mengunjungi Kirey di hospital.
Bayi Tak Cukup Bulan & Perlu Dirawat
Dalam pada itu, The Sun melaporkan bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan dan terpaksa ditempatkan di dalam inkubator dengan bantuan alat pernafasan.
Ketika ini, bayi itu berada di bawah jagaan pihak hospital.
Difahamkan, susulan berita kematian wanita itu, seorang lelaki tampil dan mengakui bahawa dia adalah bapa kepada bayi berkenaan.
Bagaimanapun, sepupu kepada Sorochinskaya berkata, ahli keluarga perlu menunggu keputusan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) bagi membuktikan sama ada dakwaan individu terbabit adalah benar.
MW: Kisah ini membuatkan kita semua sedar bahawa Covid-19 tidak mengenali siapa mangsanya. Semoga ada ahli keluarga terdekat tampil membantu dan membesarkan bayi ini dengan baik.