Waris Tuntut Penjelasan Urus Jenazah Covid-19 Sendiri, KKM Pasti Wujud Salah Faham

Share

Waris dibiarkan uruskan jenazah Covid-19 memang sesuatu yang tidak masuk akal. Bayangkan waris yang tiada langsung ilmu tentang pengurusan jenazah virus ini perlu uruskan jenazah ke liang lahad. Ternyata ia bukan satu tugas yang mudah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil menjelaskan isu ini dan menurut mereka ianya mungkin salah faham antara waris dan pihak KKM sendiri. Semua sedia maklum bahawa KKM bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan jenazah COVID-19.

Kes Sedang Disiasat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui wujud sedikit salah faham berkaitan isu pengurusan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di Pasir Mas, Kelantan, awal pagi Ahad.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu sedang disiasat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Ada sedikit perselisihan faham dari segi pengurusan jenazah. Jadi pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah siasat perkara ini.

“Kita akan perbaiki SOP (Prosedur Operasi Standard) antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Terdahulu, Dr Noor Hisham ditanya oleh pemberita mengenai dakwaan waris mangsa Covid-19 yang terpaksa menguruskan sendiri jenazah bapa mereka susulan pegawai KKM yang terlibat enggan berbuat demikian.

Waris Uruskan Sendiri

Menerusi posting yang tular di Facebook itu, waris kepada korban ke-8 Hassan Abdul Wahab mendakwa, berlaku kecelaruan SOP yang mana dia diminta oleh pegawai KKM Pasir Mas untuk menguruskan sendiri pengebumian jenazah bapanya.

Ini kerana dakwanya, pegawai KKM berkenaan mendakwa mereka hanya ditugaskan untuk memantau.

Perkara itu menurut waris tersebut, adalah bercanggah dengan taklimat yang diberitahu kepadanya oleh pihak hospital bahawa pihak KKM yang akan menguruskan semua urusan pengebumian jenazah mengikut cara wabak Ebola.

Selain itu katanya, dia juga diberitahu bahawa waris juga tidak boleh berada dekat tanah perkuburan dan tidak dibenarkan melihat jenazah.

Diuruskan Oleh Mereka Yang Tidak Pakar

Bagaimanapun, disebabkan keengganan pegawai KKM terbabit, urusan pengebumian malam itu diuruskan oleh lima individu termasuk dua anak mangsa dan dibantu oleh tiga penduduk kampung yang mana kesemua mereka langsung tidak mempunyai kepakaran.

Korban ke-8 Covid-19 yang juga dikenali sebagai Ustaz Hassan, 69 tahun, pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Allahyarham telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 pada jam 4 petang.

Susulan itu, waris mangsa mendakwa akan membuat aduan kepada pihak yang berkenaan agar perkara tersebut disiasat agar tidak berulang kepada mangsa yang lain.

Sumber: mSTAR

MW: Semoga kes ini dapat diselesaikan segera dan tidak timbul salah faham di kalangan masyarakat. Ternyata menguruskan jenazah COVID-19 memerlukan kepakaran dan bukan mudah bagi masyarakat. Semoga perkara sebegini tidak berlaku lagi. MW mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Al-fatihah. 

 

 

Published by
Syazwani Mehat