Bercerita bab faraid ini memang takkan pernah habis. Lagi-lagi pada isteri yang kematian suami dan suami ada meninggalkan sedikit harta. Ketika balu dalam kesempitan, semua balu tanggung sendiri. Bila tiba bab faraid, masing-masing waris adik-beradik berebut nakkan hak.
Ini kisah benar yang berlaku yang ditangani Peguam Syarie merangkap Perunding Keluarga & Harta Pusaka, Roslina Sabiyah & Co.
Mengenai seorang isteri yang terpaksa berdepan kerenah adik-beradik arwah suami yang mendesaknya memfaraidkan harta peninggalan arwah. Tanpa mengambil kira kesusahan dirinya melangsaikan hutang suami yang ditinggalkan.
Seorang suami telah meninggal dunia secara mengejut tanpa sempat membuat sebarang perancangan harta. Beliau meninggalkan waris-waris seorang isteri, 3 orang anak perempuan, 3 orang adik-beradik lelaki dan seorang adik perempuan.
Ibu bapa telah meninggal dunia. Harta yang ditinggalkan berupa sebuah rumah teres 2 tingkat, sejumlah wang simpanan di dalam akaun KWSP dan akaun simpanan untuk menerima dan menguruskan gaji.
Isteri seorang suri rumah sepenuh masa dan 3 orang anak perempuan semuanya masih bersekolah. Walaupun rumah tersebut telah diinsuranskan, bayaran ansuran bulanan masih tetap perlu dibayar sehingga urusan pihak insurans dengan pihak bank selesai. Sekurang-kurangnya mengambil masa beberapa bulan bergantung kepada setiap bank.
Oleh kerana isteri tiada pendapatan tetap dan memandangkan adik-beradik arwah suami juga adalah waris-waris faraid suami, maka si isteri telah meminta bantuan mereka untuk turut sama membayar ansuran rumah tersebut.
Walaubagaimanapun, kesemua mereka enggan memberi kerjasama dengan alasan, rumah tersebut diduduki oleh si isteri dan anak-anaknya kenapa mereka pula yang kena membayarnya.
Kecewa dengan sikap mereka, si isteri tiada pilihan lain selain terpaksa menggadaikan kesemua barang kemas yang ada untuk menampung bayaran ansuran rumah tersebut dan juga untuk perbelanjaan harian yang lain.
Tiba waktu bicara pusaka, kesemua adik-beradik suami menuntut bahagian faraid masing-masing ke atas rumah dan KWSP tersebut. Hanya seorang yang sukarela menarik diri kerana kesiankan kakak ipar dan anak-anak saudaranya.
Untuk pembahagian rumah, 2 daripadanya ingin nama masuk dalam geran dan seorang lagi menolak bahagian tapi nak mohon sedikit pampasan dengan alasan nilai rumah itu tinggi. Kalau isteri tak bayar pampasan, dia juga nak nama masuk dalam geran.
Si isteri nak tolak ansuran rumah yang telah dibayar sebagai hutang daripada bahagian mereka dalam akaun KWSP tetapi mereka tak setuju. Sepatutnya hutang ansuran rumah boleh ditolak dari harta pusaka si mati tetapi mereka tak setuju.
Mungkin kerana isteri uruskan sendiri tanpa bantuan orang lain jadi mereka tak takut. Si isteri terpaksa agihkan juga bahagian KWSP secara faraid tanpa menolak hutang sedikit pun.
Akhirnya urusan insurans selesai dan geran rumah dah keluar atas nama arwah suami. Si isteri tak mampu nak bayar pampasan kepada adik-beradik yang menuntut.
Mereka suruh jual rumah tersebut untuk dapatkan tunai tapi isteri tak setuju. Adik-beradik tak puashati. Si isteri buntu. Kata sepakat tak dicapai untuk tukar nama dalam geran rumah. Harta pusaka beku. Hubungan renggang.
Isteri dan anak-anak melihat rumah itu sebagai tempat tinggal untuk berteduh.
Manakala waris-waris yang lain mungkin melihat rumah itu sebagai sebuah aset hartanah yang mempunyai nilaian yang tinggi di pasaran.
Faraid tak salah. Yang salah ialah sikap waris-waris yang tak bertanggungjawab. Ambil iktibar dan jadikan pengajaran. Bertindaklah sebelum terlambat.
#celikpusaka
MW : Jangan berhenti belajar, sebab banyak perkara yang tak terjangka bila melibatkan harta pusaka ini.
Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co