Wanita Terkejut Bekas Suami Tuntut Harta Sepencarian Rumah RM1.3 Juta Miliknya, Selepas 3 Tahun Bercerai!

Share

Wanita terkejut bekas suami tuntut harta sepencarian rumah RM1.3 juta miliknya, selepas 3 tahun bercerai!. Apabila berlakunya perceraian, setiap pasangan yang bercerai perlu ambil tahu perkara yang melibatkan tuntutan harta sepencarian. Ada syarat-syarat tertentu yang ‘melayakkan’ diri untuk menuntut harta sepencarian ini.

Agak mengejutkan jika bekas suami tak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulanan rumah dan nafkah anak-anak, harta juga dibeli oleh bekas isteri sendiri, namun tetap ‘mengemis’ untuk menuntut harta sepencarian.Apatah lagi selepas 3 tahun penceraian berlaku.

Baca perkongsian daripada Peguam Syarie, Fahmi Ramli berkaitan kisah tuntutan harta sepencarian ini yang wanita perlu tahu.

Bekas isteri terkejut, selepas 3 tahun bercerai bekas suami tuntut rumah RM1.3 juta miliknya.

Ada satu story menarik yang saya nak kongsikan kepada wanita bekerjaya. Kisah ini sebagai pengetahuan dan pengajaran untuk semua yang bakal bergelar isteri, sudah bergelar isteri dan sudah berpisah.

Sekitar 3 tahun yang lalu, ada seorang wanita menelefon saya untuk dapatkan Private Consultation. Katanya dia nak jumpa saya secara private di luar sekitar Pulau Pinang. Tempat yang nak jumpa itu, mesti tak ramai orang.

Kami berjumpa di cafe yang private dan terkenal di Pulau Pinang. Semasa pertama kali berjumpa, orangnya lingkungan 40an. Tinggi, berkulit cerah, tinggi dan berbaju merah blazer hitam, persis seorang eksekutif syarikat anggaran saya.

Tekaan saya tepat. Wanita itu memperkenalkan dirinya dan beliau memang merupakan seorang Eksekutif Pemasaran di salah sebuah syarikat Swasta di sekitar Pulau Pinang.

Kami duduk di hujung penjuru cafe tersebut dan order minuman, sambil berbual kosong terlebih dahulu sebelum bercerita tentang tujuannya.

“Nampak macam tak sedih jer, maksudnya mesti bukan kes nak bercerai kalau macam ni”, ujar saya dalam hati.

3 Tahun Bercerai

Wanita itu telah bercerai dengan bekas suaminya lebih kurang 3 tahun yang lalu. Perkahwinannya selama lebih kurang 7 tahun terputus disebabkan suaminya yang telah dibuang kerja dan tidak pernah berusaha untuk mencari kerja lain selama lebih kurang setahun lebih.

Jadi dia terpaksa tanggung makan minum diri dia dan juga 3 orang anaknya. Bahkan, rumah yang mereka tinggal tersebut juga dibeli olehnya sebelum berkahwin lagi. Segala bil-bil elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh wanita ini.

Jadi, mereka bercerai atas persetujuan bersama. Anak-anak berada di bawah jagaannya.

Bekas suami pulang ke kampung halaman di Kedah dan tidak pernah ambil tahu apa-apa pun tentang nafkah anak-anak apatah lagi nafkah eddah buat dirinya.

Tapi, wanita ini tak kisah. Baginya, bab belanja harian dia dan anak-anak adalah masalah kecil.Pendapatannya sebulan juga lebih dari sekadar cukup untuk dia dan anak-anak.

Terkejut Bekas Suami Tuntut Harta Sepencarian

Cuma, dia terkejut bila ada seorang lelaki yang rasanya Despatch menghantar saman dari Mahkamah Tinggi Syariah.Alangkah terkejutnya dia, selepas 3 tahun bercerai tanpa sebarang berita, bekas suaminya memfailkan tuntutan Harta Sepencarian.

Harta yang dituntut adalah kereta Audi miliknya dan sebuah rumah yang wanita ini menetap sekarang. Nilainya sekarang adalah RM1.3 juta.
Wow! patutlah bekas suami tuntut.

Rumah dekat Penang kan mahal. Tinggi-tinggi valuenya. No wonderlah bekas suami ni nak tuntut rumah yang bekas isteri ini beli sebelum kahwin. Padahal, kata wanita ini, bekas suaminya tak pernah keluarkan satu sen pun untuk bayar bulan rumah itu.

  1. Adakah boleh bekas suami tuntut rumah yang bekas isteri beli sebelum mereka kahwin?

Harta yang dibeli sebelum mereka kahwin, tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Ini kerana harta sepencarian adalah harta yang dibeli bersama atau salah seorang suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan.

Mengikut seksyen 122 (5) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang, untuk jadikan rumah itu sebagai harta sepencarian, bekas suami mesti kena ada faktor ‘memajukan’ rumah tersebut.

Maksudnya, bekas suami ada keluarkan wangnya untuk renovate rumah contohnya. Barulah boleh dikatakan rumah itu harta sepencarian.

2.Kalau bekas suami ada bayar juga bulanan kepada bekas isteri untuk rumah tersebut, adakah boleh dikira memajukan?

Tidak boleh. Memajukan itu pada tafsiran undang-undang adalah melibatkan kepada usaha besar untuk kemajuan rumah tersebut. Misalnya, dapur diperbesarkan atau ditambah bilik atau mungkin ‘extend’ garaj kereta.

Jika bekas suami ada membayar bulanan rumah tersebut, dalam keadaan mereka sekeluarga menetap disitu, ia boleh dianggap sebagai Nafkah Tempat Tinggal yang menjadi kewajipan kepada si suami.

3.Boleh ke bekas suami tuntut harta yang isteri sendiri beli dalam tempoh kahwin?

Nak tuntut boleh. Siapa jua yang ada kaitan dengan kes harta sepencarian, boleh buat tuntutan. TAPI belum tentu boleh dapat. Ini kerana, bagi lelaki atau suami, mereka perlu ada sumbangan langsung atau bahasa mudahnya, mengeluarkan wang untuk pembelian harta tersebut.

Jadi, kalau bekas suami tak ada sumbangan wang ringgit untuk pembelian rumah tersebut, sangat sukar untuknya mendapatkan perintah Harta Sepencarian.

Berbeza dengan bekas isteri, kalau isteri tak keluarkan duit pun, masih layak untuk dapat harta sepencarian atas faktor sumbangan tak langsung seperti memasak, mengemas rumah, membasuh baju suami dan macam-macam lagi.

Kesimpulan

Kalau ada bekas isteri yang terkejut atau takut bekas suami nak tuntut harta sepencarian bagi rumah yang dia sendiri beli sebelum kahwin lagi, berikanlah jawapan yang professional.

‘Ok see u in court’.
Nak halang tuntutan tak boleh. Siapa pun berhak tuntut, cuma kena ingat, dapat belum tentu.

Puan itu pun lega bila saya terangkan sebegini. Alhamdulillah kes tersebut berjaya diselesaikan seperti yang dijangka.

Jika anda suka perkongsian saya dan ingin membaca penulisan-penulisan saya yang lain, jemput ke https://t.me/fahmiramliofficial
Saya selalu menulis dan berkongsi dengan isu rumahtangga, hak-hak wanita dalam Islam dan Undang-undang.
Fahmi Ramli

Mesti Baca:Demi Harta Sepencarian, Suami Tergamak Cabut Atap Rumah Bekas Isteri Selepas Bercerai
Baca Lagi Di Sini:Harta Sepencarian, Hak Isteri Harus Diselesaikan Dulu Sebelum Pembahagian Pusaka Peninggalan Suami
Artikel Menarik:Gara-gara Tak Tahu Cara Tuntut Harta Pusaka Selepas Suami Meninggal, Isteri ‘Ditendang’ Bak Bola

Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat wanita mengenai tuntutan harta sepencarian bagaimana. Sebaiknya kita kumpul harta sendiri, tak perlu ‘mengemis’ mengharapkan harta orang lain.

Sumber:Fahmi Ramli

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab