Kecantikan

Wanita Rela Pakai Korset Ketat 23 Jam Sehari, Demi Pinggang ‘Secekak’ 18 Inci

Share

Memiliki bentuk pinggang ramping bak ‘kerengga’ memang menjadi idaman ramai wanita. Antara usaha yang boleh dilakukan untuk mendapatkan pinggang yang ramping ini ialah dengan memakai korset ketat dalam tempoh masa yang panjang.Meskipun terpaksa menanggung kesakitan, bagi golongan wanita yang obses untuk cantik ini sanggup melakukan apa sahaja hanya untuk kelihatan menawan dan mencapai impian yang didamkan.

Buka Korset Hanya Ketika Mandi & Bersenam

Inilah yang dilakukan ibu beranak kembar tiga, Diana Ringo. 39 tahun dari Chula Vista, California yang sanggup memakai korset ketat selama 23 jam untuk mengecilkan pinggangnya, setelah dia merasakan diet dan senaman sahaja tidak memberikan hasil yang diingini.Diana hanya membuka korsetnya untuk mandi dan bersenam.Hasilnya, ibu kepada tiga anak itu kini mempunyai pinggang berukuran 18 inci berbanding 27 inci sebelum ini.

“Saya rasa amat seksi apabila memakai korset, sekaligus meningkatkan keyakinan diri saya.

“Malah saya selesa dengannya,” ujar Diana kepada Barcroft TV dalam rancangan Hooked on the Look.

Veteran Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ini memaklumkan dia tidak menyukai bentuk badannya sebelum ini apatah lagi selepas melahirkan kembar tiga tahun lalu.Meskipun mengakui gemuk itu tidak salah, namun dia tidak menyukainya.

“Saya tidak gembira dengan badan saya sebelum ini kerana saya gemuk. Gemuk itu tidak salah tetapi bentuk badan saya tidak feminin.

“Bentuk badan saya jadi seperti lelaki dan saya tidak sukakan bentuk itu,” katanya.

Miliki 45 Helai Koleksi Korset

Bekerja sebagai tukang masak tentera laut, Diana mempunyai koleksi lebih daripada 45 helai korset bernilai AS$1,955 (RM7,700) untuk membantu mengekalkan bentuk pinggangnya yang ramping.

“Saya terasa seperti tidak memakai baju dalam bila tidak memakai korset. Kerana sudah terbiasa, saya akan tetap memakainya.”

Dengan berat 60kg, Diana kini memakai pakaian bersaiz, 2 -4 dan mahu menonjolkan pinggangnya yang ramping walaupun mengakui ia nampak seperti satu kegilaan.

“Saiz pakaian saya adalah sekitar 2-4, tetapi saya perlu tonjolkan ukuran pinggang ramping yang saya ada walaupun kadang-kadang ia nampak seperti satu kegilaan,’ ujarnya lagi.

Suaminya, Brett, sangat prihatin dengan senaman pinggang Diana yang ketat namun tidak mahu isterinya mempunyai pinggang yang lebih kecil.

“Mula-mula saya bimbang dengan kesihatannya apabila pulang dari bertugas. Saya minta dia jumpa doktor,” kata Brett.

Doktor mengesahkan semuanya dalam keadaan baik dan Brett memikirkan isterinya itu masih relevan.Jelas seorang pegawai tentera laut itu, cukuplah dengan pinggang yang bersaiz 18 inci.

“Amalan itu telah meningkatkan keyakinan dirinya. Ini membuatkan dia bahagia. Isteri bahagia, hidup bahagia,’ tambahnya.

Kesan Jangka Panjang

Walaupun Diana mendakwa tidak mengalami sebarang kesan atau komplikasi kesihatan yang buruk, apa yang dilakukannya dianggap bahaya oleh profesional perubatan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan organ dan tulang belakang apabila diamalkan dalam jangka waktu yang lama.Pengamal juga berdepan risiko masalah pencernaan yang disebabkan oleh sekatan ke abdomen, masalah rahim, terutamanya jika dipakai semasa kehamilan dan membawa kepada sakit belakang.

Diana bukan satu-satunya yang sanggup memakai korset setiap masa untuk mengekalkan bentuk badan yang diidamkan.Pada tahun 2015, seorang model Venezuela Aleira Avendano,25 juga memakai korset selama 23 jam untuk tempoh 6 tahun bagi memiliki pinggang 19 inci.

Macam-macam hal, segalanya demi kepuasan diri nak nampak cantik meskipun badan terseksa dan sanggup merana menahan kesakitan. Buat wanita yang lain, tepuk dada tanya diri sendiri, sanggup ke nak cantik cara begini?

Sumber: Astro Awani & Mstar

Published by
Suhaidah Abd Wahab