Wanita paling ‘tak rajin’ mengisi minyak selepas menggunakan kenderaan? Satu kenyataan yang penulis sendiri tidak sangkalkan kerana penulis juga antara individu yang ‘tidak rajin’ mengisi minyak selepas menggunakan kenderaan.
Mungkin itu antara faktor mengapa kenderaan EV atau kenderaan elektrik sebagai alternatif terbaik untuk wanita kerana pengecasan boleh dilakukan di rumah dengan menggunakan alat pengecasan yang bersesuaian dengan kenderaan EV yang dimiliki. Satu alternatif terbaik untuk wanita kan!
Bila menyebut tentang kenderaan elektrik, masih ramai di kalangan wanita yang mempunyai pandangan yang semborono mengenai kenderaan tersebut. Kurangnya ilmu dan keinginan untuk mengambil tahu mengenai kebaikan kenderaan elektrik (EV) membuatkan keterujaan memiliki kenderaan tersebut tidak begitu mendalam di kalangan wanita.
Penulis sendiri pun pada awalnya kurang mengambil tahu mengenai kenderaan EV ini sehinggalah diberi peluang mengikuti program ‘ZEVA East Coast Media Roadtrip’ yang diadakan baru-baru ini yang melibatkan beberapa jenama atau model kenderaan EV yang sudah berada di pasaran Malaysia.
Jelajah selama dua hari itu membuka mata penulis mengenai kenderaan EV yang menawarkan pelbagai keistimewaan bukan sahaja untuk kelestarian alam sekitar, malah turut merangkumi aspek keselamatan khususnya untuk kaum wanita yang ‘malas’ untuk mengisi minyak di stesen minyak serta lebih efisien dan menawarkan pelbagai ciri-ciri tenaga baharu dan mesra alam.
Penulis amat tertarik dengan perjalanan memandu kenderaan EV anjuran Persatuan Kenderaan Bebas Pemisi (ZEVA). Ia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan merupakan persatuan pertama di Malaysia yang mengumpulkan semua pihak berkepentingan seiring untuk menyokong ekosistem pengangkutan yang bersih melalui penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).
ZEVA mengetengahkan misi untuk menggalakkan penggunaan EV bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada sistem pengangkutan lebih mampan.
Media di bawa mencuba pelbagai jenama EV yang terdapat di pasaran ke pantai timur untuk menguji prestasi kenderaan, bahkan berpeluang melihat sendiri kemudahan pengecasan yang terdapat di sepanjang laluan.
Singgahan pertama perjalanan media kali ini membawa kami ke kawasan Rehat dan Rawat Gambang, di mana terdapat satu stesen pengecasan EV yang terletak di stesen Petronas dibawah selenggaraan Gentari yang menawarkan pengecasan aliran terus (DC). Penulis yang diberi peluang memandu Audi Q8 e-tron tidak melepaskan peluang megecas kenderaan tersebut yang memerlukan masa pengecasan selama 30 minit untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Terdapat hampir 300 pengecas di seluruh negara dan ia menyasarkan 400 unit pada hujung tahun ini. Untuk memudahkan pengguna menggunakan pengecas ini, ia boleh diakses menerusi aplikasi Setel JomCharge dan chargEV pada kadar berpatutan iaitu RM2.20 setiap minit.
Perjalanan kami diteruskan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menuju Kawasan Rehat dan Rawat, Paka Arah Utara di mana terdapat pengecas TNB Electron yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad.
Pengecas DC 180kW (90kw setiap satu) disediakan di sini di mana ia boleh ditempah menggunakan aplikasi GO TO-U dengan kadar sekitar RM2.05 sehingga RM2.35 seminit.
Sehingga kini, pihak TNB Electron sudah beroperasi di tiga lokasi strategik iaitu Paka, Kawasan Rehat dan Rawat Lebuhraya PLUS, Tapah arah Utara dan Ayer Keroh Arah Utara. Dalam waktu yang sama, TNB Electron sedang dalam perancangan untuk menambah enam lokasi untuk menggalakan lagi penggunaan kenderaan EV di Malaysia.
Perjalanan konvoi media dari Paka diteruskan pula ke Indera Mahkota, Kuantan untuk meninjau satu lagi pengecasan EV yang disediakan oleh Yinson Greentech yang terletak di kawasan strategik di situ. Mana tidaknya, pengecasan EV yang mudah untuk dikendalikan ini amat bersesuaian dengan gaya hidup wanita masa kini yang mementingkan praktikal dan memudahkan tanpa memberi kompromi terhadap aspek keselamatan.
Sepanjang dua hari kembara ke Pantai Timur, penulis berpeluang memandu kenderaan EV Audi Q8 e-tron dengan kapasiti sehingga 114 kWh (kasar). Julat maksimum kenderaan ini sehingga 582 kilometer. Jika tahap bateri rendah, anda boleh mengaktifkan mod julat dalam MMI untuk meningkatkan potensi julat.
Penulis juga berpeluang memandu kenderaan EV jenama Renault ZOE serta smart#1 di mana ketiga-tiga kenderaan EV ini memberi cara pemanduan yang berbeza tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan dan pemanduan yang efisien khususnya untuk wanita yang memandu secara berhemah dan mementingkan satu perjalanan jarak jauh yang lancar.
Model-model EV yang terbabit ialah BYD Atto 3, Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Kia, Audi Q8 E-Tron, Kia EV6, Renault Zoe, smart#1 dan Neta V.
Khusus buat wanita yang perlukan bantuan untuk membuat pertimbangan sebelum membeli kereta elektrik, Mingguan Wanita senarai 5 kelebihan EV berbanding kereta biasa.
1. Penjimatan kos penyelenggaraan
Tidak seperti kenderaan biasa, pemilik EV boleh menjimatkan perbelanjaan mereka kereta kereta itu tidak perlu diselenggara secara berkala. Kenderaan EV boleh berfungsi dengan baik tanpa perlu menukar komponen kereta, menyalin minyak enjin dan minyak gear. Kenderaan EV hanya dinasihatkan untuk membawa kereta mereka ke pusat pemeriksaan di setiap 15 ribu kilometer (km) perjalanan.
2. Tidak terjejas dengan kenaikan harga minyak
Hanya bergantung kepada cas elektrik dan kapasiti bateri, pemilik EV langsung tidak perlu runsing akan masalah kenaikan harga minyak dunia. Stesen pengecasan juga banyak dibangunkan di sekitar Malaysia khusus untuk pemilik kenderaan EV seperti di pusat beli belah.
3. Tidak perlu membayar cukai jalan
Pemilik kenderaan EV diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk tidak membayar cukai jalan sehingga dua tahun akan datang (2025). Hanya dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pengguna juga tidak tertakluk pada cukai import sehingga tahun 2025. Pemilik kereta elektrik yang dipasang di Malaysia seperti Volvo XC 40 juga tidak perlu membayar duti eksais dan SST.
4. Tiada pencemaran alam sekitar
Tidak menggunakan enjin untuk bergerak, kereta elektrik langsung tidak mengeluarkan asap dan juga gas berbahaya seperti karbon dioksida. Ketiadaan enjin juga membenarkan kenderaan ini untuk bergerak lancar dan senyap tanpa mengakibatkan pencemaran bunyi pada alam sekitar.
5. Boleh menjana kuasa elektrik
Kereta elektrik yang berada di pasaran umumnya dilengkapi dengan soket yang mampu menjana kuasa elektrik bagi kegunaan pemilik. Selain mengecas telefon bimbit, kuasa elektrik yang dibekalkan soket kereta elektrik ini dikatakan cukup buat menghidupkan peralatan rumah seperti pemanas air.
Secara keseluruhan, penulis dapat merasai sendiri perjalanan menggunakan kenderaan EV merupakan satu pengalaman yang menarik dan pemanduan yang lancar tanpa sebarang masalah meskipun pada awalnya penulis terfikir juga sekiranya bateri kenderaan EV tidak dapat bertahan sehingga ke destinasi yang dituju.
Tetapi apabila melihat kemudahan pengecasan yang semakin banyak disediakan, ia memberi keyakinan untuk penulis menikmati perjalanan dengan lebih lancar di samping menjaga kelestarian alam sekitar.
Kesimpulannya, memiliki kenderaan EV merupakan salah satu usaha kecil penulis memelihara alam sekitar. Mungkin ia satu petanda untuk penulis memilih kenderaan EV untuk kegunaan harian, satu persoalan yang boleh difikir-fikirkan sewjarnya!