Ternyata bukan mudah menerima kelainan pada diri. Bukan calang-calang wanita dapat melaluinya dengan tabah. Kisah wanita ini sudah tentu menjadi inspirasi buat yang “istimewa” sepertinya.
Wanita yang dikenali dengan nama Puan Shima (bukan nama sebenar) dilahirkan tanpa rahim dan faraj bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi bagi wanita yang mengimpikan mempunyai zuriat sendiri.
Wanita tabah ini antara seorang daripada 5,000 wanita yang dilahirkan tanpa organ reproduksi merangkumi rahim serta ovari sekali gus gagal hamil.
Namun bagi Puan Shima, Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) yang dihadapinya adalah satu anugerah dan ujian.
Mengikut kajian, setiap satu dalam 5,000 wanita di seluruh dunia menghidap Sindrom MRKH dan keadaan itu memberikan tekanan serta menjejaskan minda golongan itu kerana dianggap wanita tidak sempurna.
Dalam diam, Puan Shima belajar untuk reda dengan hakikat itu selain menggunakan kekurangannya sebagai sumber kekuatan diri.
Menurut Puan Shima, sebenarnya bagi wanita MRKH, pada peringkat awal ketika disahkan berdepan masalah dan tidak normal seperti wanita lain adalah waktu paling sukar. Bukan mudah iya untuk menerima kenyataan, jadi proses redha itu agak mengambil masa.
“Saya sendiri pada awalnya ingat pada peringkat awal sahaja mengalami kesukaran dan terfikir mungkin bila usia makin meningkat segalanya bertambah baik bila kita berkahwin atau mempunyai anak.
“Namun rupa-rupanya dalam usia sebegini iaitu 30-an, saya disahkan mengalami masalah pendengaran kerana MRKH. Saya tak sangka perkara ini akan berlarutan dan sangka semua masalah yang saya alami sebelum ini sudah habis.
“Rupanya timbul pula masalah lain. Jadi tak mudah untuk menghadam masalah lain kerana wanita MRKH akan dihantui beberapa masalah yang kadang-kadang kami tak pernah jangkakan,” jelasnya satu-persatu.
Katanya, selain gagal hamil dan kesukaran dalam hubungan kelamin, mereka turut mengalami masalah buah pinggang, tulang dan pendengaran.
Sudah tentu perkara utama yang seringkali dikaitkan dengan wanita MRKH adalah berkaitan isu hubungan intim dan sudah tentu masyarakat kita sukar jika perkara ini dibincang secara terbuka.
Oleh itu tak mudah untuk wanita MRKH untuk memikirkan tentang perkahwinan atau menjalinkan hubungan cinta kerana bimbang penerimaan pasangan serta bakal keluarga mertua atas kekurangan.
“Berterus-terang dengan keadaan diri adalah perkara yang amat berat untuk dikongsi apatah lagi memikirkan adakah pasangan atau keluarga dapat menerima sepenuhnya jika kenyataan yang tersimpan kemas diluahkan.
“Jika pasangan dapat menerima sekali pun tak semestinya keluarga juga mampu menerima wanita MRKH. Malah paling sedih bila bercinta segalanya dapat diterima, tetapi setelah berkahwin mulalah timbul konflik dan keadaan menjadi lebih teruk apabila ada antara memilih untuk bercerai.
Ada setengahnya perkahwinan hanya mampu bertahan sebulan, seminggu dan ada juga sehari selepas akad nikah,” perkara ini membuatkan wanita MRKH langsung tidak mahu memikirkan tentang perkahwinan.
Jelas Puan Shima, tapi tidak semualah berhadapan dengan masalah ini, ada juga pasangan yang hidup bahagia. Selalunya di kalangan pasangan yang telah menerima diagnosis awal dan buat pemeriksaan awal kurang menerima masalah dalam rumah tangga.
Untuk mengenali wanita MRKH secara mendalam dan mengetahui kesukaran wanita “istimewa” ini, jangan lupa saksikan Cerita Dalam Kain malam ini pada jam 830 malam di Facebook Mingguan Wanita.