Menjaga kesihatan diri sangat penting. Jika belum betul-betul sembuh, ambilah cuti MC agar betul-betul sihat agar tidak memudaratkan diri sendiri. Walaupun ia hanya demam selesema, penyakit yang sering diambil ringan.
Baru-baru ini, seorang ibu anak satu lumpuh pada wajah selama lima minggu akibat serangan strok selepas dia menghidap selesema dan tekanan yang berpanjangan di tempat kerja.Penyakit yang dialami itu menyebabkan Shayna Aldrich, 34 tidak dapat menggerakkan otot pada wajahnya untuk makan, malah dia juga tidak dapat mengerlipkan matanya.
Shayna yang berasal dari Bandar Raya New York, mula menyedari terdapat suatu yang tidak kena pada dirinya pada Januari lalu.
Dia sebelum itu menghidap demam selesema yang agak teruk selama dua minggu namun tetap kembali bekerja sebagai pelayan ketika warga Amerika Syarikat menyambut Hari Kesyukuran.Ia merupakan antara musim paling sibuk sepanjang tahun.
Pada bulan sama selepas menyambut tahun baru, ketika membuat piza bersama suami, Patrick 31, dan anak perempuannya yang berumur lapan tahun, Lola, Shayna ada memakan buah zaitun namun rasanya seakan-akan rasa batang besi.
Namun demikian, Shayna tidak mengaggap ia perkara serius sehinggalah dia bangun keesokan paginya dan mendapati dagunya terasa kebas, malah bibirnya turut menghadapi masalah sama dan tidak lama kemudian seluruh wajahnya lumpuh.
Doktor menjalankan ujian dan mendapati dia menghidap varian penyakit Bell’s Palsy yang memberi kesan terhadap wajahnya.Wanita itu dipercayai diserang strok kerana mengalami stres berpanjangan kerana bekerja sebelum dia benar-benar pulih daripada selesema.
“Saya diberikan ubat steroid untuk mengurangkan bengkak pada saraf.
“Doktor meminta saya menunggu dan menganggarkan masa antara dua minggu hingga dua bulan atau lebih teruk lagi, dua tahun untuk saya kembali sembuh,” katanya.
Dalam tempoh 5 minggu tersebut, Shayna tak boleh makan atau minum seperti biasa, hanya makan makanan bayi. Dia juga tak boleh bercakap dengan sempurna serta tidak boleh mengerdipkan mata kerana mata kirinya tidak boleh ditutup.Shayna bagaimanapun kembali pulih lima minggu selepas itu.
MW: Macam-macam penyakit ada. Jadikan kisah ini satu pengajaran, jangan ambil ringan pada sesuatu penyakit yang dialami. Pastikan dapat rehat dan benar-benar sihat, sebelum kembali bekerja.
Sumber: Kosmo, Daily Mail