Wanita Luar Biasa! Bila Gaji Tinggi, Rupanya Risiko Pun Makin Mencanak

Share

Sektor pekerjaan yang wanita luar biasa pilih ini jauh dari dunia glamour. Sanggup atau tidak melakukan kerja-kerja kasar yang dimonopoli kaum lelaki. Dan wanita luar biasa ini pilih untuk ambil risiko.

Wanita ini selayaknya diiktiraf dengan keberanian mereka menceburi dunia pekerjaan golongan adam. Antara wanita hebat ini, Juruterbang Wanita Pertama Air Asia, Kapten Datuk Norashikin Onn, jurukimpal dalam air wanita pertama di negara ini, Nurizzati Athira Mohamad Yusoff dan si manis Shazzatul Nahaqda Suleiman, yang bekerja sebagai pemotong daging di pasar.

 

Kredit foto : Remaja.my

Jurukimpal Dalam Air Wanita Pertama

Dua bidang berbeza namun tetap mempunyai risiko yang tersendiri. Jurukimpal kelahiran Selama, Perak ini baru berusia 22 tahun. Dalam usia muda, sudah dua tahun berkecimpung secara profesional menjadi jurukimpal di laut dalam

Terangnya, jurukimpal yang mencapai standard profesional dibayar gaji antara RM300 ke RM500 sehari. Setahun lalu, ketika masih baru dalam dunia ini purata gajinya antara RM2000 ke RM3000 ke atas.

Namun, risiko kerjayanya tinggi. Kerana dia sendiri tidak tahu apa yang akan jadi ketika bekerja dalam air. “Tangki oksigen habis gas atau kena tarik dengan air. Macam-macam boleh jadi.”

Pernah juga dia berenang di laut dalam yang gelap gelita. Jalannya cuma berpandukan arahan saja. Itu belum dikira, dia sendiri pernah menangis kerana hampir rasa putus asa.

Menangis sebab penat tak cukup rehat.” Akuinya jujur.

Tak mudah juga untuknya pada mulanya bergaul dengan rata-rata rakan sekerja lelaki. Bekerja di sektor yang dikuasai lelaki itulah harga yang perlu dibayar.

 

Kredit foto : Berita Harian

Si Manis Pemotong Daging Penyeri Pasar Awam

Shazzatul Nahaqda Suleiman, mengambil alih perniagaan ayah sejak dua tahun lalu. Menjadikan dirinya generasi ketiga yang berniaga daging di pasar.

Biar pun miliki Diploma Kejuruteraan Binaan dari Kolej Vokasional, beliau buang rasa malu dan teruskan berniaga di pasar. Daripada paksaan ayah yang mintanya membantu setiap kali cuti sekolah, lama kelamaan alah bisa jadi tegal biasa.

Berniaga daging jadi satu pekerjaan serius untuknya. Dia uruskan segala termasuk stok daging untuk jualan. Malah tekadnya mahu menjadikan perniagaan jualan daging bukan sekadar dikenali. Malah mampu membekalkan stok lembu di pasar tempatnya berniaga.

Untuk itu, si cantik ini akan mencari stok lembu bukan saja di sekitar daerahnya malah luar negeri Johor.

Biar pun cuma berniaga di pasar, Nahaqda tetap tampil cantik. Bersolek cantik walaupun kerjanya memotong daging. Akuinya, dulu perwatakannya ’tomboy’ dan kasar. Selepas sekolah menengah barulah dia mahu bercantik-cantik.

Terdorong dengan kakak yang belajar andaman dan sentiasa cantik. Bila dia mahu melangkah ke pasar, ibunya akan mengusik. Kata ibu, “macam artis ke pasar.”

Namun, dialah si manis Nahaqda, penyeri Pasar Awam Maharani, Muar.

 

Kredit foto : afterschool.my

Kapten Wanita Pertama Air Asia

Kapten Datuk Norashikin Onn, memasang impian lama untuk menerbangkan pesawat. Dan tahun 2005, syarikat penerbangan tempatnya bekerja menerimanya bekerja tanpa diskriminasi wanita.

Menjadikan dirinya Juruterbang Wanita Pertama Air Asia pada tahun 2009. Kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki ini membentuk dirinya menjadi wanita yang berani.

Baginya seorang juruterbang perlu ada kefahaman dan kearifan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi. Biarpun dalam masa-masa getir, perlu bertindak tenang, tak panik malah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Satu ketika dulu, waktu bertugas di awam biru, beliau juga pernah berdepan cuaca buruk dalam perjalanan pulang dari China ke Malaysia. Kunci utamanya adalah bertenang dalam setiap tindakan. Malah ketika itu, beliau pernah bekerja selama 28 hari selama 100 jam.

Namun, kerjaya lasak ini tak merencatkan masa rehat wanita hebat ini. Beliau masih boleh melakukan riadah seperti selam skuba, mendaki gunung malah bermain piano.

 

Wanita Luar Biasa! Istimewa MW Talkshow, 10 Julai 2019

Dan apakah sebenarnya yang mendorong wanita-wanita luar biasa ini menceburi bidang kerjaya lelaki? Adakah semata-mata kerana gaji yang tinggi, atau ada faktor lain yang mendorong.

Tentunya dengan adanya tenaga pakar yang dihasilkan di negara kita ini, Malaysia dapat mengecilkan kadar kekurangan tenaga pakar yang ada di negara ini.

Lebih hebat, apabila wanita-wanita hebat lagi luar biasa ini berkongsi ilmu, menjadi tenaga pengajar untuk melahirkan generasi kedua dalam bidang mereka.

Mak-mak yang masih tertanya-tanya dan mahukan anak-anak mengikut jejak wanita-wanita hebat ini, setia menonton Mingguan Wanita Talk Show esok, 10 Julai 2019 pada jam 11 pagi.

Di saluran 105/121 Astro Prima HD bersama pengacara, Siti Elizad dan Sherry Al-Hadad. Yang mana, kami bawakan tetamu khas ini, Kapten Datuk Norashikin Onn dan Shazzatul Nahaqda untuk berkongsi cerita mereka.

Sumber/Foto : Remaja, Mstar, Berita Harian, Sinar Harian

Published by
webadmin