Wanita Korea Viral Mengadu Lapar Pertama Kali Puasa, Rindu Makanan Malaysia

Share

Baru-baru ini tular video gelagat seorang wanita dari Korea Selatan bertutur dalam bahasa Melayu. Dalam video tersebut wanita yang baru sahaja belajar berpuasa mengadu lapar kepada suaminya dengan menggunakan bahasa pasar “lapar nak mampus”.

Video ini telah dikongsi oleh seorang pengguna Twitter sehingga menjadi tular. Wanita yang berasal dari Korea Selatan ini dikenali sebagai Maryam You Narea, 28, merupakan isteri kepada pemuda yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan iaitu Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 28.

Sepatutnya pasangan ini pulang untuk beraya di Kelantan dan dalam masa yang sama mengadakan majlis resepsi. Namun segalanya terpaksa dibatalkan demi keselamatan bersama.

Sebelum ini pasangan ini turut tular selepas keduanya mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga pada Ogos tahun lalu.

Suami Mengakui Turut Terkejut

Nik Muhammad Ryzal mengakui dia agak terkejut apabila mendengar isterinya menyebut perkataan yang kedengaran agak kasar itu. Tidak dinafikan selama ini, dia banyak mengajar isterinya Bahasa Melayu.

“Sebenarnya memang saya yang ajar dia bercakap bahasa Melayu tetapi tidak bertujuan pelik kerana saya cuma translate ayat asal dalam bahasa Korea (Paegukpa Juketnae) yang membawa maksud lapar macam nak mati.

“Tapi saya gantikan dengan perkataan mampus kerana orang kita banyak gunakan perkataan itu. Bila saya dengar dia cakap macam tu masa live di Instagram, memang saya sendiri pun terkejut.

“Oleh sebab itu, saya tegur dia dalam video minta jangan sebut ayat itu di depan orang ramai. Dalam masa yang sama, saya sendiri pun tak sangka video itu dapat perhatian ramai,” katanya lagi.

Pasangan ini kini menerap Di Seoul, Korea.

Gemar Berinteraksi Dalam Bahasa Melayu

Di samping itu, menurut anak kelahiran Kelantan ini lagi, memang kerap isterinya berinteraksi dengan peminatnya di Instagram menggunakan bahasa Melayu.

“Setakat ini, dia boleh faham perkataan yang mudah. Saya pun terkejut jugalah. Dia selalu buat live video dengan follower dia.

“Kebiasaannya dia baca komen-komen kemudian dia tanya maksud satu-satu perkataan. Dia banyak belajar sendiri. Kalau ikutkan saya ajar dia tak banyak dan lebih suka ajar dia benda basic sahaja.

“Benda-benda lain dia cari sendiri. Saya ada belikan buku bahasa Melayu untuk dia. Jadi ada perkataan dia tak faham dia akan buka dan cari,” katanya yang menetap di Seoul, Korea Selatan.

Pasangan ini telah mendirikan rumahtangga pada Ogos tahun lalu.

Isteri Teringin Berbuka Dengan Nasi Kerabu

Tahun ini merupakan tahun yang cukup istimewa buat Ryzal kerana dapat bersahur dan berbuka bersama isterinya.

“Ini adalah kali pertama Ramadan dengan isteri. Setakat ini dia juga berjaya puasa dan isteri juga tak cerewet dengan makanan Malaysia. Pada hari pertama Ramadan, kami berbuka dengan nasi kerabu.

“Saya belikan 10 bungkus kerana dia mengidam sebab pernah makan ketika di Malaysia.  Dua, tiga hari jugalah kami berbuka makan nasi kerabu dan isteri biasanya akan makan budu bersama nasi tersebut,” jelasnya.

Sumber: Instagram

Majlis Persandingan Dibatalkan

Mengikut perancangan asal, pasangan ini sepatutnya pulang ke Kota Ba hru untuk menyambut Syawal bersama keluarga tetapi terpaksa dibatalkan kerana wabak Covid-19.

“Memang sedih sebab kami sepatutnya mengadakan majlis persandingan pada raya ke-enam. Apa-apa pun kami tidak mahu ambil risiko kerana tak nampak wabak ini akan reda dalam masa terdekat.

“Ini juga merupakan kali pertama saya tak balik beraya. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Keluarga juga reda, paling penting keselamatann kami lebih diutamakan,” ujarnya lagi.

Rindu Makanan Malaysia

Sementara itu, Maryam turut meluahkan rasa sedih kerana hasrat untuk makan sate sekembalinya ke Malaysia seminggu sebelum Syawal tidak kesampaian.

“Saya rindu makanan Malaysia seperti nasi lemak, sambal belacan dan durian Musang King. Saya sedihlah tak dapat balik kampung sebab tak boleh makan sate, makanan kesukaan saya sebab Covid-19,” jelasnya.

Sumber: mStar online

MW: Semoga perkahwinan yang dibina bahagia ke hujung nyawa biar pun berlainan budaya, bangsa dan adat. Perkahwinan campur pasti mempunyai keunikannya yang tersendiri. 

 

Published by
Syazwani Mehat