Pengorbanan seorang mak sewaktu melahirkan anak amatlah tidak ternilai. Berdepan dengan pelbagai risiko dan komplikasi lain sehingga nyawa yang menjadi taruhan. Tak dapat digambarkan dengan perasaan apabila terpisah dan tidak dapat langsung bertemu dengan anak sendiri selepas melahirkannya akibat masalah kesihatan yang dialami.
Seorang ibu yang koma selama 138 hari akibat komplikasi semasa beranak hanya mampu mengalirkan air mata melihat anak lelaki sulungnya buat kali pertama semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Perasaan Norfadilla Che Par, 28, yang gembira bercampur sebak melihat bayinya, Muhamad Syahmi Mohd. Saiful yang dilahirkannya itu kini sudah hampir memasuki usia lima bulan.
Wanita itu koma selepas menjalani pembedahan untuk bersalin dan mengalami tekanan darah rendah, degupan jantungnya turut berhenti selama 10 minit mengakibatkan oksigen tidak sampai ke otak. Bayi itu bagaimanapun selamat dilahirkan dengan berat 3.7 kilogram serta dalam keadaan sihat.
Sepanjang dua jam pertemuan itu, Norfaidilla yang masih tidak mampu bercakap dilihat menangis teresak-esak sehingga mengeluarkan suara kerana terlalu gembira apabila anak yang dilahirkannya pada November lalu diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
Biarpun Norfaidilla tidak dapat bergerak, dia dilihat berusaha untuk mencium anak sulungnya itu sambil dibantu oleh suaminya Mohd Saiful Sudin, 30. Muhamad Syahmi yang pada mulanya tersenyum, turut menangis seolah-olah mengerti perasaan ibunya itu.
Mohd Saiful berkata, sebelum ini, dia sudah beberapa kali meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk mengatur pertemuan itu, namun terpaksa ditangguhkan dengan mengambil kira keadaan isteri.
Katanya, bagaimanapun beberapa hari lalu, dia mendapat khabar gembira apabila doktor memberi kebenaran selepas isterinya beransur pulih 80 peratus.
“Pertemuan dibuat di luar wad untuk mengelakkan bayi kami terkena jangkitan di wad. Saya dan ahli keluarga lain turut sebak melihat isteri menangis teresak-esak apabila anak diletakkan di pangkuannya buat kali pertama.
“Selama tempoh dua jam itu, isteri menangis tidak berhenti-henti kerana sebelum ini saya hanya mampu menunjukkan gambar anak kepadanya sahaja.
“Semalam adalah kali pertama isteri dapat menyentuh anak selepas 138 hari koma di hospital,” katanya
Menurutnya, isterinya mula menunjukkan perkembangan positif sejak Januari lalu.
“Dua bulan selepas koma, doktor terpaksa membuat pembedahan memasukkan tiub di leher isteri untuk pernafasan dan selepas hampir dua minggu isteri mula memberi tindak balas.
“Apabila namanya dipanggil, dia sudah boleh memalingkan muka dan doktor pun maklum yang isteri sudah sedar daripada koma, namun masih memerlukan pemantauan rapi,” katanya.
Mohd Saiful berkata, dia bersyukur sejak berita mengenai penderitaan isterinya dipaparkan, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.
“Saya turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga selepas saya bercuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.
“Terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan isteri, hanya tuhan yang dapat membalasnya,” katanya.
MW: Alhamdulillah, semoga kesihatan wanita ini kembali pulih dan segera sembuh seperti sedia kala serta dapat berada disamping anak dan keluarganya secepat mungkin.Buat para suami, hargailah pengorbanan isteri yang berkorban melahirkan anak sehingga nyawa menjadi taruhan.