Wanita Kalau Dah Bercerai, Jangan ‘Melangut’ Terlalu Lama. Sila Move On!

Share

Tak ada perempuan yang berkahwin dengan niat nak bercerai. Ya, memang sedih, down, tertekan, malu dan macam-macam lagi perasaan bermain dalam fikiran. Berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan anda akan rasa macam tu. Tapi, perlu ke nak terus berada dalam lembah kedukaan? Tak boleh nak move on ke? Agaknya kenapa, ya?

Haaa… ini antara sebab tak boleh move on…

1. Trauma

Perceraian mengubah kehidupan seseorang. Jadi, bukan mudah untuk segera pulih. Emosi akan terganggu dan tak pelik kalau trauma.

2. Rasa Kehilangan

Mungkin sudah lama kamu berkahwin dan banyak perkara yang kamu bergantung pada bekas suami. Bila perceraian terjadi, anda akan rasa kehilangan. Rasa diri seumpama layang-layang terputus tali, terbang tanpa arah tujuan. Semua benda tak reti nak buat. Jadi, belajarlah untuk hidup berdikari. Sentiasa berfikiran positif dalam mengharungi apa saja ujian.

3. Kurang Keyakinan Diri

Ada perempuan yang salahkan diri sendiri bila berlakunya perceraian walaupun kadangkala bukan sebab diorang pun. Tepis perasaan itu, in shaa Allah anda boleh teruskan hidup dengan aman dan tenteram. Anda juga dihimpit rasa malu jika orang-orang sekeliling tahu anda dah bergelar ‘miss J”. Alahaaiii… buat apa nak malu. Sepatutnya anda kena tanamkan semangat dalam diri untuk membahagiakan diri sendiri pada masa hadapan. Anggap perpisahan dan perceraian itu sebagai pengalaman berharga yang bukan semua orang ‘berpeluang’ mengalaminya.

4. Dihantui momen manis

Anda masih teringat-ingat akan saat-saat manis bersama bekas suami. Stop! Tak perlu ingat lagi semua itu, buang masa dan hanya menyakitkan hati saja.

5. Sakit Hati Sakit Fizikal

Bila dilanda rasa kecewa dan sedih, anda akan rasa seluruh badan turut lemah, tak bermaya. Seolah-olah tubuh anda sedang sakit. Hakikatnya, perasaan itu wujud sebab anda tengah bersedih. ‘Sakit’ itu tiada ubatnya kecuali anda rawat rasa sedih itu. Dengan solat dan berdoa juga mampu merawat kesedihan itu. Mengadulah pada Allah kerana Dia yang Maha Mengetahui. Pohonlah dikurniakan yang terbaik untuk diri anda.

Tip Pulihkan Semangat

1. Pasang badan

Jangan terus nak berduka lara. Cantikkan diri kamu. Biar orang nampak anda boleh terima hakikat perceraian itu. Kalau selekeh, lagi orang mengata. Sebaliknya biar orang kata, “ruginya bekas suami dia tinggal dia dulu…”.

2. Cari kekuatan

Jika ada anak-anak, sentiasa pandang wajah mereka. Ingat, jangan tunjuk anda lemah sebab kesannya pada anak. Seorang wanita mampu jadi ibu yang hebat, yang mampu jaga anak-anak. Tapi seorang ayah, belum tentu seorang anak pun dia mampu jaga. Ada sesetangah ayah, nafkah anak pun buat tak tahu saja.

3. Tuntut hak anak-anak

Jangan baik hati sangat, biar saja bekas suami bersenang lenang lepas bercerai. Semua tanggungjawab di bahu kamu. Tuntut nafkah anak-anak. Tak kisah jika kena turun naik mahkamah berpuluh kali. Kasihan pada anak-anak yang haknya dinafikan.

4. Bersosial

Cari rakan-rakan dan sertai persatuan-persatuan supaya anda dapat berjumpa dengan ramai orang baru. Ini juga akan bantu kamu sibukkan diri dan lupakan kesedihan.

5. Jangan terlalu cepat cari pengganti

Memang sunyi bila kehilangan. Tapi jangan terlalu cepat cari pengganti. Beri ruang pada diri sendiri. Kadangkala ketika sedang sedih, kita boleh buat sesuatu yang mungkin kita akan menyesal kelak.

Ingat, wanita bukan sekadar nak cari suami, tapi bapa pada anak-anak.

Published by
Nadia