Wanita Ini Tidak Akan Lupa Saat Suami Hembus Nafas Akhir Di Depan Matanya

Share

Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.

Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.

Reda Apa Yang Terjadi

Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.

Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.

“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.

Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.

Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.

Akibat kemalangan saya  mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.

Dibaringkan Berdekatan Suami

Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.

Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”

Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.

“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”

Berkat Kuasa Doa

Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.

“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.

Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”

Kerja Baru

Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.

“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.

Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.

Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”

Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.

Seronok Sertai Persatuan

Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.

Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.

“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun  Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”

Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.

“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.

Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.

Syukur anak-anak mampu dibesarkan dengan sebaik mungkin

Foto: Azfarina Sulaiman

 

 

 

Published by
Julie Roshana