hilang tiga anak akibat masalah genetik

Kehadiran cahaya mata pastinya dinantikan oleh setiap pasangan suami isteri. Cahaya mata pengikat kasih ibu dan ayah. Namun, ada juga pasangan yang diduga tidak dikurniakan cahaya mata atau dipisahkan oleh ajal. Suhaila bt Yosni, 39, seorang wanita tabah, telah kehilangan tiga daripada lima orang cahaya mata.

“Anak sulung saya, Muhammad Iman Zhafran, Alhamdulillah normal dan kini berusia 11 tahun. Anak kedua, Muhammad Iman Zhariff meninggal pada tahun 2010 pada usia setahun empat bulan. Anak ketiga, Muhammad Ammar Zhariff meninggal pada 2013 pada usia setahun lima bulan. Manakala anak keempat, meninggal ketika usia kandungan tujuh bulan dan saya lahirkannya secara normal,” ujar Suhaila membuka bicara.

Tak Dapat Kesan Dari Awal

Menurut Suhaila, pada usia Iman Zhariff tiga bulan, dia dapati perkembangannya tidak seperti bayi lain dan badannya juga seperti membengkak.

“Dia kemudiannya dirujuk ke hospital Sungai Buloh. Didapati mata Iman Zhariff tidak normal. Ketika itu dia hanya dikesan sebagai Global Delay Development sahaja. Sehinggalah sebelum dia meninggal dunia, doktor kesan buah pinggangnya terlalu kering.

“Ketika kehilangan Iman Zhariff, saya memang rasa sedih dan tak bersedia. Tapi saya kuatkan semangat dan tidak mahu terus larut dalam kesedihan. Setelah itu, lahir Ammar Zharif, anak ketiga. Rupanya sekali lagi kami diuji apabila dia juga menunjukkan simptom yang sama dengan arwah Iman. Ketika itu saya terus bawa dia ke PPUM dan doktor akhirnya merujuknya ke HKL bahagian buah pinggang kanak-kanak. Doktor mendapati buah pinggang Ammar Zhariff bocor dan menjalani rawatan namun tidak mampu bertahan. Kali ini, hati saya lebih kuat dan reda dengan pemergian Ammar Zhariff.

Mungkin pengalaman kehilangan Iman telah menguatkan hati saya untuk lebih reda,” katanya menceritakan tentang anaknya.

Ads

Wanita Ini Tetap Tabah Walau Hilang Tiga Anak Kerana Masalah Kelainan Genetik

Menurut Suhaila, sebelum Ammar Zhariff meninggal dunia, mereka sempat menghantar sampel darah arwah, suami dan dirinya ke UK. Didapati terdapat kelainan genetik pada gen Suhaila dan suaminya iaitu Gen Lamb2. Bermakna setiap cahaya mata mereka berisiko 25 peratus untuk mendapat penyakit yang berpunca daripada kelainan genetik ini.
Arwah anak-anak Suhaila juga dikesan menghidap penyakit Congenital Nephrotic Syndrome.

Sebenarnya penyakit ini tidaklah terlalu asing di negara ini tapi anak-anaknya kurang bernasib baik mengalaminya ketika usia di bawah dua tahun, menyebabkan penyakit mereka tidak dapat dirawat. Berbeza sekiranya mereka dikesan selepas usia lima tahun, lebih banyak ubat dan perawatan boleh dilakukan ke atas mereka.

Ads

Meninggal Dalam Kandungan

Ternyata ujian Allah untuk hamba-Nya ini belum terhenti. Ketika mengandungkan anak keempat, bayi yang dikandung itu tiba-tiba degupan jantungnya terhenti ketika usia kandungan tujuh bulan.

“Kali ini kesnya berbeza daripada anak kedua dan ketiga. Memang tak sangka kerana pada awal kehamilan saya sudah membuat ujian air ketuban dan uri untuk mengesan jika ada kelainan pada kandungan dan doktor mengatakan semua normal. Sebab itu saya meneruskan kehamilan itu. Kuasa Tuhan, pada usia kandungan tujuh bulan, bayi di dalam kandungan tiba-tiba terhenti degupan jantungnya dan anak keempat itu saya lahirkan tanpa nyawa,” sambungnya sedih.

Namun dia dan suami bersyukur kerana mereka kembali dikurniakan zuriat yang sihat, Muhammad Isyraf Zuhayr, yang kini berusia tiga tahun.

Ads

Keluarga Bagi Sokongan Padu

Tambah Suhaila, dia bersyukur saat dia menghadapi segala kepayahan menjaga dan mencari rawatan terbaik untuk anak-anaknya, keluarga sentiasa menjadi tulang belakang utama, sama ada ibu bapa kandung mahu pun mentua.

“Saya akui, tanpa sokongan daripada kedua pihak keluarga, saya dan suami takkan sekuat ini. Ketika saya sibuk berulang alik ke hospital, mak mentua yang tolong jagakan anak sulung kerana saya tinggal bersama mentua. Jadi saya tak risau tentang anak yang ditinggalkan di rumah. Saya juga bersyukur kerana mendapat seorang ketua tempat saya bekerja yang sangat memahami masalah kesihatan anak-anak saya.

“Demi mendapatkan rawatan untuk anak-anak, saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji dan cuti separuh gaji kerana perlu habiskan masa lama di hospital dan temu janji rawatan yang kerap. Syukur, mak dan ayah saya turut membantu dari sudut kewangan dan ia meringankan beban saya dan suami,” tambah isteri kepada Fazirul Wahidi Mansor, 39 Tahun.

Cari Kekuatan

Mata yang memandang tak sama dengan bahu yang memikul. Itulah yng boleh dikatakan buat pasangan ini.

“Saya akui, bukan mudah untuk saya lalui semua itu. Namun saya cuba mengumpul kekuatan dengan sentiasa berfikiran positif dan sentiasa muhasabah diri. Saya banyak membaca blog-blog orang lain yang turut diduga dengan anak-anak sakit. Ini membuatkan saya lebih kuat dan rasa masih ramai orang lain yang lagi hebat dugaan berbanding diri saya. Saya juga sering ingatkan diri untuk kuat, barulah saya boleh jaga keluarga saya,” akhiri Suhaila.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI